Rossa - Takdir Cinta

Thursday 19 May 2011

Bab 2

Kehadiran tetamu Puan Husna pada petang tadi cukup menggembirakan dirinya sekeluarga. Rumah itu sudah lama tidak menerima kunjungan tetamu. Bukanlah keluarga Puan Husna bersikap sombong, tetapi masyarakat sekeliling seolah-olah menyisihkan mereka hanya kerana kes lampau yang ternyata dusta belaka. Encik Musa, bapa Musliha adalah seorang pesara kerajaan yang menampung perbelanjaan keluarga hanya dengan wang pesara yang tidak seberapa dan kerja-kerja sambilan yang tidak menjanjikan bayaran upah bekerja.
Kerja-kerja itu terkadang memaksa Encik Musa untuk tidak pulang ke rumah. Sama ada Puan Husna, isterinya atau Musliha, mereka tidak pernah tahu akan jenis pekerjaan Encik Musa. Pernah pada suatu ketika, jiran sekeliling mengesyaki Encik Musa terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan setelah disiasat dengan teliti, ternyatalah cerita-cerita itu bohong belaka. Namun, mulut manusia manakan boleh ditutup kerana selagi mereka ingin berkata-kata, tidak siapa boleh mengawal bahkan mengatasi kawalan akal fikiran mereka sendiri.
Encik Musa difitnah pula bersubahat dengan polis demi melindungi aktiviti yang disyaki itu. Lantaran tuduhan itu, Puan Husna pernah mengekori suaminya ke tempat kerja, dan ternyata, suaminya tidak terlibat dengan kerja kotor itu. Kini, Encik Musa dikatakan beristeri dua. Pertelingkahan dan pergaduhan sering berlaku di antara pasangan suami isteri ini. Keraguan bertapak di fikiran Puan Husna tatkala mengingatkan kekerapan Encik Musa bekerja di Bangkok sejak empat tahun lalu.
Walaupun Encik Musa makin sibuk berurusan di Bangkok, tetapi kewangan keluarga semakin merundum dan ini menambahkan lagi kemusykilan di hati Puan Husna. Datuk Yunus, seorang yang boleh dipercayai telah menawarkan diri untuk mengintip Encik Musa di Bangkok memandangkan Datuk Yunus ada urusan di tempat yang sama. Hasil daripada pengintipan tersebut, Encik Musa ternyata ada urusan penting di sana dan sangkaan Puan Husna tentang kewujudan madunya ternyata meleset.
“Syukurlah bu, kalau ayah tak buat perangai,” Musliha tersenyum tawar. Hatinya masih meragui bapanya sendiri. Entah mengapa, hatinya begitu kuat mempercayai cerita-cerita jirannya. Ditambah dengan cerita Suraya, kawan sekolahnya, mengenai perempuan yang bersama dengan bapa Musliha yang dilihat sendiri oleh Suraya di KLCC minggu lepas. Namun, Musliha tidak pernah membuka cerita tersebut kerana takut kalau-kalau hati ibunya bisa terluka lagi. Bagi Musliha, biarlah ibunya tenang seketika dengan berita daripada Datuk Yunus tadi.
“Ibu rasa bersalah pada ayah sebab selama ni, ibu banyak bertengkar dengan ayah hanya kerana mulut-mulut jiran kita. Kenapalah kepercayaan ibu terhadap ayah boleh jadi segoyah tu, Mus? Kesian ayah,”
“Biasalah bu, curiga tu memang biasa wujud dalam sebuah hubungan. Itu semua cuma dugaan untuk ibu dan ayah dalam saling mempercayai antara satu sama lain. Alah bu, sedangkan lidah lagi tergigit,” lancing sungguh juara debat sekolah itu menyuarakan pendapatnya.
“Mus ni cakap macam dah ada pengalaman je,”
“Memang ada pun bu, tapi bukanlah pengalaman dalam alam perkahwinan,” Musliha tersenyum.
“Tadi ibu tengok Yusuf tu, makin kacak lah. Tak boleh ke dia jadi pengganti Syafik?”
“Isy ibu ni ke situ pulak perginya. Mana boleh lah bu, Yusuf tu kawan Mus je bu,”
“Ye, ibu faham, saja nak gurau pun tak boleh ke? Lagipun ibu tengok Mus dengan Yusuf bukan main rancak berbual sampai Alif kata, Mus tak join diorang main badminton pun kat dewan tadi kan?” Musliha mengerling ke arah adik lelakinya itu dengan pandangan tajam. Musliha tahu, Alif memang kuat mengadu kepada ibunya.
“Sebab Yusuf bagi berita sedih,” air muka Musliha berubah redup.
“Sedih? Kenapa?”
“Ibu ingat Daniel kan?”
“Mestilah ingat. Kenapa?”
“Daniel sekarang ni dalam wad, kat Hospital Pantai,”
“Masyaallah, dia sakit ke?”
“Haah, dia menghidap paru-paru berair,”
“Ya Allah, dah teruk ke?” perlahan, Puan Husna mengurut dadanya. Rasa simpatinya tertumpah buat Daniel yang sudah dia anggap seperti anaknya sendiri.
“Kata Yusuf, tahap kritikal sekarang ni bu,”
“Kesian makcik Liana kamu, mesti dia tersangat sedih sekarang kan?”
“Tulah. Mus ingat, Mus nak jenguk dia lah bu. Yusuf kata, dia, Fiza dengan Umi akan pergi lawat Daniel hujung minggu ni. Kalau Mus ke sana Sabtu ni boleh tak bu?”
“Ye lah, pergilah Mus, ibu tak boleh ikut sama, kalau tak adik-adik siapa nak jaga. Kalau bawa diorang pergi sekali, tau ajelah duit tambangnya nanti macam mana,”
Thanks bu. Takpa, ibu doakanlah supaya dia pulih macam biasa,”
“Insyaallah.”
 Puan Husna masih ingat lagi Daniel Zafran, rakan karib Musliha di zaman pra-sekolah dulu. Pernah beberapa kali Puan Husna membawa Daniel pulang ke rumah setelah habis kelas tadika kerana Puan Liana tidak dapat menjemput Daniel. Setelah selesai waktu pejabat, Daniel pulang ke rumah bersama mamanya. Puan Liana, seorang wanita gigih yang telah membesarkan Daniel sendirian tidak pernah mengabaikan anak tunggalnya walaupun dia sibuk menguruskan perniagaan.
Perpisahannya dengan suami di awal perkahwinan bukanlah suatu penghalang baginya untuk mencapai kejayaan yang dikecapinya kini. Daniel tidak pernah mengenali bapanya dan dia tidak pernah ada rasa ingin tahu tentang bapanya kerana bagi Daniel, Puan Liana lah ibu dan Puan Liana jugalah bapanya.
 Seperti biasa, sebelum tidur, Musliha pasti akan mencoret kisah sehariannya di dalam diari. Kekadang, diari lah yang menjadi tempat Musliha melepaskan geram. Hati Musliha seriang taman berbunga tatkala mengingatkan kehadiran Yusuf. Rupa menawan remaja itu langsung tidak terlintas di benak fikirannya. Selama dia berutus surat dengan Yusuf, hanya gambaran wajah Yusuf ketika di zaman kanak-kanak yang terukir di fikirannya.
Musliha teringat saat-saat pergaduhan kecil yang sering berlaku di antara dia dan Syafik di mana pergaduhan itu disebabkan hubungannya yang terlalu akrab dengan Yusuf. Acap juga Musliha membandingkan Syafik dengan Yusuf. Walau tidak pernah bersua, namun Yusuf dianggap pesaing hebat oleh Syafik.  Jika hendak dibandingkan dari segi rupa, Yusuf lah yang menjadi pilihan tetapi jika dibandingkan dari segi sikap penyayang, Syafik tentunya menjadi pilihan.
Musliha cukup senang dengan sikap penyayang yang dimiliki Syafik. Akan tetapi, sikap panas baran jejaka itu tidak dapat Musliha tanggung kerana setiap manusia ada tahap kesabarannya sendiri dan perkataan Syafik terhadap keluarga Musliha telah menyebabkan Musliha hilang sabar. Masakan tidak hilang sabar gadis itu apabila digelar ‘anak dadah’. Walaupun Musliha tahu sebenarnya Syafik tidak benar-benar memaksudkannya, tetapi pada Musliha, Syafik seharusnya megawal setiap tutur katanya walaupun dalam keadaan marah.
“Kenapa Mus selalu sangat cerita pasal si Yusuf tu?”
“Mus bukan cerita, tapi dah Fik tanya surat daripada siapa, Mus bagitau je,” Musliha berkata dengan nada memujuk. Dia tahu hati Syafik sedang membara ketika itu.
“Mus, boleh tak sekali je Mus tak payah reply surat dia?”
“Laa, kenapa pulak? Kesian la dia, nanti dia tertunggu-tunggu,”
“Mus, Mus girlfriend dia ke, girlfriend Fik ni?”
“Fik, kenapa macam ni? Fik kan Mus jumpa hari-hari, Yusuf ni, dalam surat je,”
“Ye, memanglah dalam surat je, tapi tiap kali Mus dapat surat dia, Mus tak concentrate dengan apa yang Fik tengah cakap and, kalau ye pun suka sangat dengan surat dia, baca kat rumah cukup lah, ni tak, nak jugak bawak sampai ke sekolah, lepas tu mulalah, Fik cakap sorang. Mus tersengih sana, tersengih sini, macam orang angau. Bukan sekali Mus buat macam ni tau, berkali-kali, Fik naik muak dengan cara Mus,” suara Syafik makin meninggi.
“Fik, Fik marah ke?”
“Kalau tak tanya soalan bodoh boleh tak? Pakai akal la kalau nak tanya pun,”
“Ok..ok..Mus minta maaf. Sorry sangat okay,”
“Ok, tapi janji, Mus tak reply surat dia kali ni. Boleh tak?”
“Mus tak reply, tapi Fik yang tolong replykan boleh?”
“Apsal pulak?”
“Supaya Fik tau, isi kandungan surat tu tak lebih daripada surat persahabatan,”
“Mus, kalau Mus nak sangat bersahabat, ramai lagi yang lebih bagus ada kat sekolah ni. Budak-budak sini semuanya moden, pakai handphone  lagi senang tak payah nak surat-surat bagai,”
“Tapi Mus tak ada handphone  lah Fik. Keluarga Mus tak semampu keluarga Fik. Kitorang pakai surat ni, bukan apa, saja. Syok lah Fik. Fik janganlah marah-marah macam ni. Walau macam mana rapat pun Mus dengan Yusuf, Mus tetap sayang Fik” tanpa disedari, surat utusan Yusuf berada dalam genggaman Syafik.
“Fik, jangan baca, tu privacy Mus,”
“Anak dadah macam Mus ni pun perlu privacy ke?”
“Syafik!” nada sura Musliha meninggi.
“Apa? Ok, aku tak baca, ambik nih!” Syafik melemparkan cebisan-cebisan surat itu kepada Musliha. Surat itu belum sempat dibaca habis oleh Musliha. Surat itu juga sebenarnya mengandungi resepi kek coklat yang disukai Syafik. Musliha bercadang untuk menghadiahkan kek buatan sendiri kepada Syafik sempena harijadi Syafik yang ke-limabelas pada minggu hadapan. Dia teringatkan kek coklat yang sangat sedap yang pernah dirasanya dan kek itu hanya terdapat di Cafe Nuzila milik Datin Fadzila. Atas sebab itulah Musliha membawa surat itu ke mana sahaja dia pergi.

“Mus,”
Musliha tersentak mendengarkan panggilan itu. Hilang sebentar kenangan pahit itu tadi dan segera perhatiannya dialihkan kepada wajah Puan Husna yang sedang berdiri di pintu bilik.
“Ada apa bu?”
“Kenapa tak tidur lagi?”
“Belum mengantuk, bu. Ibu kenapa belum tidur?”
“Ibu dah tidur, terjaga balik. Dah nampak bilik Mus terang lagi, ibu singgah je lah. Dah la tu, tidur lah, cuba pejam mata tu, tak lama, mengantuk tu datanglah,”
“Ok bu,”
Goodnight”
Goodnight, bu”



No comments:

Post a Comment