Rossa - Takdir Cinta

Saturday 27 August 2011

Bab 42


Dengan lafaz bismillah dan bacaan beberapa ayat suci di dalam hati, Musliha mengumpul seberapa boleh keberanian untuk berhadapan dengan ibunya lalu meneruskan niatnya bagi menceritakan hal yang sebenarnya berlaku antara dirinya dengan Syafik. Berbekalkan strategi yang disusun dan terangka di dalam minda, Musliha meyakinkan dirinya sambil hatinya tidak berhenti menitipkan pesanan doa padaNya. Mudah-mudahan segalanya dapat berjalan dengan lancar seperti yang dikehendaki.
Kiranya perjalanan yang bakal ditempuh tidak seperti yang dirancang, Musliha redha kerana dia tidak pernah menyangkal kekuasaan Allah dalam menetapkan segalanya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Tiada kuasa yang setanding denganNya. Namun sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran, Musliha tidak mudah berputus asa sebaliknya dengan akal itulah dia gunakan untuk berikhtiar. Musliha juga yakin, Allah tidak mensia-siakan hambaNya yang tidak jemu berikhtiar dalam memperoleh sesuatu.
Semakin langkahnya dekat dengan kamar beradu ibunya, semakin kuat debaran yang terasa hingga hujung jemarinya terasa sejuk bagaikan tiada darah yang mengalir di dalam pembuluh darah. Meskipun Puan Husna bukan seorang ibu yang suka memaksa anak-anaknya dalam membuat keputusan terutama dalam soal jodoh namun tidak mungkin baginya untuk bersetuju pada kehendak Musliha dengan membuta tuli sahaja. Hati Musliha gundah di kala pintu bilik ibunya sudahpun berada tepat di depan mata. Sejurus beberapa ketukan diberi pada pintu, Musliha memulas tombol pintu itu dengan perlahan.
“Ya Mus. Buat apa tercegat kat situ? Masuklah, macam tak biasa pulak masuk bilik ibu,” riak wajah Puan Husna yang ceria itu mengusir serba sedikit debaran yang dirasakan Musliha.
“Ibu cakap dengan siapa tadi?” tegur Musliha, sambil mengorak langkah ke dalam kamar bonda. Melihatkan tangan Puan Husna yang masih kemas menggenggam telefon bimbitnya, pasti ada talian yang baru diterimanya tadi.
“Ibu hajat nak pergi bilik Mus tadi. Kebetulan Mus masuk, bolehlah ibu beritahu perkara penting ni. Ni hah, tadi mak saudara Syafik call ibu. Pihak diorang nak cepatkan tarikh nikah. Kalau boleh biar sebelum puasa. Apa kata Mus?” Puan Husna nampak senang dengan berita itu namun riak yang ditunjukkan oleh Musliha pula adalah sebaliknya.
Aku ingat aku cepat, rupanya Syafik lagi cepat. Macam dia tahu aje aku nak runding dengan ibu tentang perkara ni. Kononnya tak nak paksa aku. Masa tengah menunggu, boleh lah cakap itu ini tapi kalau dah dalam keadaan macam ni, semua jadi habuk. Hati Musliha membentak.
Sekarang, apa yang harus dilakukannya adalah untuk memberi alasan bagi mengekalkan tarikh asal yang sudahpun ditetapkan. Bukan senang untuk membantah sesuatu yang disenangi ibunya. Tidak sampai hati pula rasanya untuk mencantas keceriaan pada riak wajah si ibu itu.
“Kenapa nak awalkan pulak bu? Mus ada projek nak kena handle sebelum puasa tu,” entah projek apa yang difikirkannya. Sedangkan projek binaan di Perak juga sudah hampir selesai.
“Mus tangguh projek tu boleh? Bukan apa, hal nikah kahwin ni lagi cepat lagi bagus,” ujar Puan Husna.
“Yang pinda tarikh projek, bukannya Mus tapi bos Mus. Mus tak boleh suka-suka nak pinda.” Kata Musliha. “Pada pendapat Mus, memang betul hal sebegini seeloknya dicepatkan tapi tak eloklah kalau nikah sebelum puasa. Ibu tahu-tahu je lah, pasangan baru kahwin ni banyak gangguannya dalam bulan puasa nanti. Ibu faham kan?” sambungnya lagi.
Puan Husna sudah mula terangguk-angguk. Barangkali pendapatnya kini sudah mula seiring dengan apa yang difikirkan Musliha.
“Betul jugak. Tak apa lah, nanti ibu bincang balik dengan pihak sana. Ibu ingat Mus dengan Syafik dah bincang perkara ni minggu lepas,”
“Dia tak sebut langsung hal ni kat Mus,” adu Musliha.
“Habis tu apa yang dibincangkan masa keluar hari tu?” soal Puan Husna pula. Dia berasa hairan kerana mengikut pada kata Syafik, mereka sudahpun membincangkan hal ini tetapi belum menemui kata sepakat.
“Takda apa-apa pun bu. Saja-saja keluar,” jawab Musliha. Mungkin ini bukan masa yang sesuai untuk membuka cerita sebenar. Mereka berdua menyepi sejenak sambil melayani fikiran masing-masing.
“Kalau takda apa-apa lagi, Mus masuk tidur dulu lah bu,”
“Bukankah Mus ada perkara yang nak diberitahu ibu?” Puan Husna sudah masak dengan cara Musliha. Jika tiada tujuan, mana mungkin bilik itu dijengah anak gadisnya yang satu itu.
“Tu lah. Mus lupa dah apa yang nak diberitahu tai. Takpalah bu, bila-bila kalau Mus ingat, Mus beritahu ibu ya. Assalamualaikum,” perlahan, langkah Musliha sudahpun sampai ke kaki pintu bilik itu.
“Waalaikumsalam,” jawab Puan Husna dengan kehairanan rasa yang masih bersisa.
Harapan Musliha untuk membatalkan majlis pertunangannya dengan Syafik nampaknya semakin tipis. Musliha mengetap bibirnya menahan geram. Geram dengan sikap Syafik yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Entah apa yang ada pada Syafik sehinggakan ibunya bisa mengukir senyuman lebar sampai ke telinga setiap kali bicara mereka menyentuh nama jejaka itu. Jika dahulu, Puan Husna lah yang sering memberi nasihat kepadanya untuk melupakan Syafik tetapi kini, nama itu sudah meniti di bibir manis Puan Husna.
Lamunannya membawa langkah kaki ke halaman rumah. Kedinginan angin malam yang menderu seakan mengusir lingkaran persoalan yang bermain di ruang fikiran. Saat mata terpejam, wajah Hazim bersama senyuman yang mampu menambat hati ramai wanita itu datang menjengahnya. Alangkah indahnya hidup kiranya dia dapat menjadi suri buat lelaki itu.
Sedang Musliha asyik melayani perasaan dan anganan yang kian menggunung, bunyi pintu rumah yang dibuka itu membuatkan dia tersentak. Dengan pantas, Musliha mengusir segala lamunan yang menyinggah lalu cuba mengembalikan dirinya ke alam nyata.
“Jauh termenung? Rindukan si dia ke?” dahulunya suara itu kedengaran sungguh comel di telinga Musliha dan kini, apabila masa telah merubah segalanya, suara itu juga sudah berubah mengikut arus kematangan pemiliknya.
“Mana ada termenung. Pandai-pandai aje Alif ni,” walau dirinya benar ditenggelami lamunan namun dia masih menafikan.
“Eleh..macamlah Alif tak nampak tadi. Dah lama Alif perhatikan akak di balik langsir tu tau. Akak je yang tak nampak. Mata terpejam, tapi bibir tersenyum-senyum. Hah, bukan termenung namanya tu?” jeratnya mengena apabila Musliha tidak mampu meneruskan penafiannya lagi sebaliknya hanya senyuman malu yang tersungging di bibir mungil kakaknya itu.
“Dah pandai mengintai ya sekarang. Ni kat kampus mesti kaki skodeng kan?” giliran Musliha pula untuk memasang jerat. Dia tahu, adiknya itu cukup dengan didikan akhlak dan dia juga tahu, tak mungkin bagi Alif untuk melakukan perkara sebegitu. Dia hanya bercanda cuma.
“Itu dah sememangnya kehandalan Alif, kak.” Kata Alif, sambil dadanya ditepuk-tepuk. Penuh bagga lagaknya. Belum aksi bangganya itu, Alif sudah mengaduh kesakitan dek seliang cubitan yang mengena pada pahanya.
“Sakitlah kak. Kesian Abang Fik nanti. Tak kena sikit, cubit. Jangan pulak esok-esok dia datang rumah jenguk ibu, tangan penuh lebam sebab cubitan akak aje,” usiknya lagi. Ada tawa yang terlepas dari Musliha namun tawa itu sedikit cuma. Setelah itu, warna ceria pada wajah Musliha beransur pudar lalu menimbulkan tanda tanya buat Alif. Tidak syak lagi, apa yang ditelahnya selama ini kian menunjukkan kebenarannya.
“Alif tahu Kak Mus taknak kahwin dengan Abang Fik kan?” Alif dapat menduga hati dan perasaan kakaknya itu. Sejak pertama kali Syafik ke rumah lagi, Alif sudah dapat membaca apa yang bersarang di fikiran Musliha.
“Kenapa Alif cakap macam tu?” Musliha tersentuh dengan keprihatinan Alif terhadap hati dan perasaannya.
“Kak Mus kan kakak Alif. Bukan susah untuk baca fikiran akak” jawab Alif dengan nada yang sungguh bersahaja namun cukup untuk mengharukan hati seorang kakak.
“Tapi kenapa ibu tak dapat fikir macam Alif?” lumrahnya, seorang ibu itu lebih memahami perasaan anaknya berbanding orang lain namun dalam soal Musliha ini, Puan Husna seperti tidak langsung memahami kehendak Musliha yang sebenar.
“Alif rasa ibu sebenarnya tahu yang akak berat hati untuk terima Abang Fik tu tapi mungkin kerana dia risau anak dara ibu yang seorang ni tak berkahwin sampai ke tua, ibu pun terima lah lamaran Abang Fik untuk akak tu. Tu lah akak, mana pernah akak kenalkan calon pilihan hati akak pada ibu. Agaknya ibu fikir akak dah mati hati untuk orang lelaki selepas apa yang jadi pada ibu dan ayah, so before it’s too late for anything, lebih baik ibu take action.” Ujar Alif, lancar sekali. Barangkali perkara ini sudah lama terpendam di benak fikirannya. Di saat persoalan itu dirungkai, langsung sahaja dia menyuarakan pendapatnya.
“Ibu fikir macam tu sekali? Ibu cakap macam tu ke kat Alif?” tidak Musliha sangka sejauh itu layangan fikiran ibunya. Hakikatnya, sekeping hatinya tidak mati meskipun sudah lama terbiar kering dan kini ia sudah mula bersiram dengan cinta seorang lelaki.
“Tak lah direct tapi itulah dia maksud yang tersirat di sebalik tindakan ibu,” jawab Alif pula.
“Maknanya kalau akak kenalkan seorang calon, ibu akan setuju dengan akak untuk batalkan pertunangan dengan Syafik?” soalnya dengan nada yang bagaikan disuntik satu semangat lantas terpacul dari mulutnya lancar tanpa tersekat. Namun gelengan kepala Alif menimbulkan rasa hairan pada Musliha sementara semangatnya yang baru sahaja berkobar tadi beransur reda.
“Eh tak. Alif rasa kalau sekarang baru akak nk kenalkan calon, ibu bukan setuju, tapi gerutu. Akak jangan nak buat onar kak. Lagi dua minggu aje tinggal, alih-alih akak nak tukar calon. Jangankan ibu, Alif pun tak boleh nak berpihak sepenuhnya pada akak.” Tidak sanggup rasanya untuk bersubahat dengan Musliha demi membatalkan sebuah acara yang sudah dirancang rapi oleh ibunya.
Walau bagaimana perit sekalipun bagi Musliha untuk menelan kenyataan itu, Alif masih tidak dapat mengetepikan soal maruah keluarga dan apalagi jika melibatkan airmuka ibunya. Ibu yang sudah banyak berkorban itu harus dijaga perasaannya, dimuliakan airmukanya sebagai balasan ke atas jasa dan pengorbanannya membesarkan anak-anak tanpa kehadiran suami di sisi.
“Akak dah kenal lama ke dengan ‘calon’ akak tu?” dia masih tertanya-tanya akan gerangan calon yang dimaksudkan kakaknya itu. Dia teringat akan drama bersiri Emil Emilda lakonan Sharifah Amani dan Aaron Aziz yang terpaksa berkahwin dan menjalani hidup suami isteri secara berkontrak semata-mata untuk memenuhi kehendak wasiat demi pewarisan harta. Kini, dia tidak mahu pula kakaknya sampai terpaksa berkahwin kontrak semata-mata untuk mengelak daripada diperisterikan Syafik.
“Nak kata lama tu tak tapi rasa macam dah lama kami kenal. Alif ingat tak Abang Yusuf?”
“Ingat sangat-sangat. Dia ke yang akak maksudkan? Tapi dia kan dah arwah,” di fikiran Alif, kakaknya itu memang sedang mereka sebuah onar. Manakan tidak, calon yang hendak dikenalkan itu sudah lama pergi menyahut seruan Illahi. Takkanlah nak bawa ibu ke kubur untuk berjumpa dengan bekal menantu?
“Memang lah tapi akak bukan nak kenalkan dia. Akak cuma nak tanya, Alif lagi suka siapa? Abang Yusuf atau Abang Fik?” walaupun sudah masak dengan pilihan Alif namun soalan itu diajukan juga sebagai umpan kecil.
“Abang Yusuf lah,” seraya soalan dijawab, Musliha tersenyum riang.
“Cuba bagi akak 3 sebab,” strategi sedang disusun dengan baik.
“Satu, sebab dia peramah. Dua, sebab dia cool. Tiga, sebab dia sporting. Kalau akak minta sepuluh sebab pun Alif boleh bagi kak. Alif ingat lagi masa kita keluar ke Sunway Pyramid dulu. Syok gila sebab itulah kali pertama Alif rasa macam Alif ada abang. Amir pun rasa benda yang sama,” ujar Alif. Jelas terpancar kerinduan yang dirasakan Alif pada riak wajahnya buat ‘abang’nya itu.
“Kenapa Alif tak suka Abang Fik macam Alif suka Abang Yusuf?” soal Musliha lagi.
“Sebab Alif tahu apa yang Abang Fik pernah buat pada akak dulu. Dia hina akak, samalah macam dia hina Alif juga,” perbualan Musliha dengan ibunya itu masih segar dalam ingatannya. Demi mengetahui perkara itu dengan lebih dalam, diari kepunyaan Musliha dibaca tanpa keizinan Musliha terlebih dahulu.
“Macam mana Alif tahu?” seingat Musliha hal yang sudah berlalu selama lebih sepuluh tahun itu tidak pernah sekalipun diberitahu adik-adiknya yang pada ketika itu masih kecil dan pastinya tidak dapat mengerti apa-apa.
“Maaf kak, Alif bukan tahu tapi Alif ingat. Alif tak sengaja baca diari akak. Sejak itu, Alif jadi benci dengan dia. Tapi kalau memang dia dah tertulis sebagai jodoh akak, Alif akan belajar untuk terima dia cuma mungkin memakan masa yang lama,” nada suara Alif sungguh serius dalam menyatakan perkara yang sudah lama tersemat dalam dadanya selama ini sebagai rahsia.
“Akak akan cuba untuk betulkan keadaan supaya Alif tak perlu paksa diri untuk terima dia sebagai abang ipar Alif. Okay?” pujuk Musliha. Dia faham, memang luka yang pernah ditinggalkan Syafik suatu ketika dahulu tidak mungkin terpadam kerana marahnya juga bagaikan dicalar dengan kata-kata hinaan seperti itu.
“Lain macam aje bunyinya. Gerun pulak Alif rasa,” jauh di dalam hatinya, dia bersedia untuk memberikan sokongan kiranya Musliha memerlukan. Hatinya sebagai seorang adik juga tidak sanggup untuk melihat kakaknya terpaksa mengharung hidup dalam perkahwinan yang dipaksa.
Pernah juga perkara ini dibincangkan bersama Amir tetapi pandangan Amir ternyata menyimpang daripada Alif. Bagi Amir, pilihan ibu itu baik kerana biasanya seorang ibu tahu siapa yang layak dalam memegang tanggungjawab menjaga anak yang selama ini dididiknya. Namun bagi Alif, kata-kata Amir itu memang ada benarnya tetapi dia tidak yakin dengan pilihan ibunya kali ini buat Musliha. Sama sekali tidak kerana sekali lelaki itu pernah menyakiti, tidak mustahil jika ada kali kedua buatnya. 

6 comments:

  1. ha'ah,jgn kasi dia kawen ngn fik..huhu

    ReplyDelete
  2. Hi, Luvchronicles...

    Akak baru jumpa blog ni, hari ni... akan baca novel awak bila sempat nanti, dah follow dan letak kat blog akak. TQ!! :-)

    ReplyDelete
  3. bila nk sambung ni?? dh berapa lama dh dok bab 42 je..

    ReplyDelete
  4. finally dapat buka balik blog ni, so, gonna continue soon.. :)

    ReplyDelete
  5. huhuhu...cepatlah sambung..best r citer ni...

    ReplyDelete
  6. Тут по ссылке- элитные индивидуалки Москвы хорошенькая девочка, обладательница невероятно привлекательных и женственных форм, ждет на свою попку сексуальных приключений в компании солидного человека. Жду звоночков и предложений.

    ReplyDelete