Rossa - Takdir Cinta

Monday 1 August 2011

Bab 39


Hubungan yang terjalin antara Musliha dan Hazim tersimpan kemas bagai rahsia. Sebenarnya, mereka langsung tidak berniat untuk berahsia namun tiada sebab bagi mereka untuk tiba-tiba membuka cerita tentang hal peribadi. Ditambah dengan sikap profesional yang tinggi dalam diri masing-masing, ikatan perasaan itu hanya tersimpan rapi dalam lipatan hati.
“Alia, tengahari ni kita makan sama ya?” pelawa Hazim, perlahan sambil langkahnya melewati Musliha yang sedang mencari fail di bahagian almari.
Musliha sekadar memberi senyuman kepada Hazim, tanda bersetuju. Setelah seminggu pulang dari Ipoh, baru kali ini mereka berkesempatan makan tengahari bersama. Semakin hari, kasih antara mereka kian bersemarak. Tidur malam mereka lebih banyak betemankan rindu buat kekasih. Dalam diam, Musliha sudah memahatkan janji pada diri sendiri untuk memberitahu hal dirinya dengan Syafik kepada Hazim. Musliha tekad.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Musliha kurang senang dengan cara Hazim merenungnya.
“Tak boleh ke? Dah lama saya tak tengok awak lama-lama macam ni.” Jawab Hazim sambil sepasang matanya masih tertancap pada wajah itu.
Musliha tersenyum senang. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa Hazim turut merasakan rindu yang terpendam.
Mummy awak apa khabar?” baru Musliha teringat, sejak kepulangan ibu saudara Hazim, belum pernah mereka bertemu mahupun berutus salam.
“Alhamdulillah. She’s fine. Saya ada cerita pasal awak tau,” jawab Hazim. Musliha pula melongo mendengarkannya. Baginya, Hazim terlalu cepat membuka cerita itu sedang hubungan yang terjalin baru menjejak langkah pertama dalam dunia cinta.
“Awak cerita tentang saya? Malu lah. Lagipun, kita ni baru lagi Zim. Kenapa cepat sangat awak cerita tentang saya?” Musliha tampak sedikit gelisah dengan pengkhabaran itu.
Hazim merenung sepasang anak mata Musliha dengan penuh rasa kasih. Dia mengerti, sudah tentu Musliha berasa segan diperceritakan perihal dirinya kepada ibu saudara kepada pasangan hati. Perlahan, segaris senyuman terukir di bibir Hazim dan senyuman itu hanya mampu menambah kegelisahan yang melanda Musliha.
“Apa senyum-senyum pulak ni?” Musliha masih tidak berpuas hati. Bibirnya yang mungil sudah mula menunjukkan muncungnya.
“Kenapa gelabah semacam je ni? Relaks lah my dear,” suaranya diperlahankan agar sayup kedengaran di telinga Musliha sejurus menghilangkan muncung di bibir mungil itu.
Tangan yang tersorok di balik meja makan itu dikepal Musliha bagi menahan getaran rasa di jiwa sebaik mendengar pujukan pada suara Hazim. Kasihnya terasa kian menggebu buat lelaki itu. Tidak daya lagi baginya untuk menahan segala perasaan indah ini. Hanya Hazim yang mampu mengangkat seluruh jiwanya ke awangan biarpun sekadar berdiri kaku di hadapannya tanpa mengeluarkan kata. Setiap panahan di mata itu bagai menusuk ke dalam kalbu dan naluri seorang perempuan sepertinya. Ya Allah..jodohkanlah aku dengan dia. Hati Musliha berbisik syahdu seakan merayu.
Actually, mummy terdengar saya cakap dengan awak semalam. Then, she asked me, who is Alia?” cerita Hazim dibiar tergantung. Dia ingin melihat respon Musliha terlebih dahulu. Hati Hazim tercuit melihat riak wajah Musliha yang jelas menampakkan rasa ingin tahunya yang membuak-buak.
“Awak jawab apa?” jelaslah, memang Musliha sedang ternanti-nanti sambungan cerita Hazim.
“Saya kata, she is the one,” kata-kata itu sekali lagi menggetarkan perasaan Musliha. Walau fitrahnya Musliha kaku di hadapan Hazim, namun Musliha merasakan seperti dirinya kini sedang berterbangan di awangan. Tangannya bagaikan dikurniakan sayap putih untuk terus terbang dalam kebahagiaan.
Then, saya cerita macam mana kita berkenalan but not much, saya cuma beritahu mummy yang awak ni officemate saya yang garang, sombong, dan banyak mengarah tapi cekap buat kerja, profesional, and committed.” Sebaik Hazim menyudahkan ayat, seliang cubitan pantas mengena di tangannya. Maka beraduhlah Hazim dan pecahlah deraian tawa si gadis.
“Mana ada saya mengarah awak,”
“Ya ke? Kalau itu masih belum dinamakan mengarah, tak tahulah saya kalau awak dah betul-betul mengarah nanti macam mana,” usik Hazim. Belum sempat ayat Hazim ternoktah, tangan Musliha sudah mencuba untuk mencubit Hazim lagi tetapi pantas dielak Hazim.
“Owh, satu hal yang saya baru tahu tentang awak,” Hazim terdiam sejenak sambil anak mata Musliha direnung telus.
“Kuat mencubit!” kata-kata Hazim melepaskan senyuman di bibir Musliha.
“Zim, macam mana kalau sebenarnya kita tak dijodohkan bersama?” senyuman yang menguntum di bibirnya tadi sudah hilang berganti seraut wajah yang penuh kerisauan.
“Alia, jodoh adalah qada’ Allah yang boleh berubah mengikut kehendak dan usaha manusia. Kalau kita berusaha ke arahnya, insyaAllah, jodoh itu pasti milik kita,” jelas Hazim sementara Musliha pula masih tidak berputus asa untuk memulakan bicara perihal dirinya dengan Syafik.
Actually...” kata-kata yang sudah elok tersusun dalam minda seakan tersekat di kerongkong. Tiada upaya baginya untuk memberitahu perkara sebenar pada Hazim. Dia tidak betah melukakan sekeping hati yang tulus menyampaikan kasih buatnya itu.
Do you still remember about Syafik that I’ve mentioned before?” Hazim yang masih setia mendengar sekadar mengangguk kecil. Hatinya mula menjadi tidak keruan rasa.
I’m going to get engaged with him next month,” sambung Musliha tanpa bertangguh lagi. Matanya hanya tertumpu ke atas permukaan meja makan itu tanpa sekilas pun diberi buat Hazim. Tidak sanggup baginya untuk menatap wajah itu di kala hati itu sedang terhiris luka.
Hazim terdiam kaku. Hatinya terasa retak bagai dihiris pilu. Air liur yang dtelan terasa bagai satu gumpalan kasar hingga menyesakkan kerongkongnya. Pelayan restoran yang menghidangkan makanan ke atas meja itu mengalih tumpuan mereka berdua namun fikiran Hazim masih di awangan.
“Saya tahu, saya salah but that was my mother’s decision and by hook or by crook, I have to agree with it. Saya pernah beritahu awak tentang Syafik sebelum ni, tapi...” Musliha cuba untuk membetulkan perasaan Hazim, membalut luka yang dihirisnya sendiri tetapi dia sudah tidak punya hujah yang cukup untuk itu. Bukan pula niatnya untuk menyalahkan Hazim tetapi dia sekadar mengingatkan Hazim bahawa perkara itu pernah dia suarakan suatu ketika di Ipoh tempoh hari.
“Saya masih ingat tapi saya fikir, itu cuma helah awak untuk jauhkan diri dari saya. Saya tak sangka pula hal itu benar. Sekarang, saya nak awak jujur dengan perasaan awak,” Hazim merenung mata Musliha dengan tajam, mencari anak mata gadis itu.
“Alia, tengok ke dalam mata saya,” suara Hazim bagai tusukan di pendengaran Musliha. Seingatnya, belum pernah dia mendengar suara tegas lelaki itu kerana selama ini, pertuturan Hazim sungguh sopan dan diplomat dalam nada yang sederhana. Namun kini, dek kelalaiannya dalam mengawal perasaan terhadap dua lelaki berbeza sudah membuakkan amarah dan kekecewaan Hazim. Perlahan, matanya dibiarkan tertusuk oleh panahan tajam dari mata Hazim.
“Siapa yang ada dalam hati awak?” Hazim melancarkan soalannya tanpa lengah sebaik mendapat renungan balas dari Musliha. Dia tidak peduli lagi kiranya jawapan yang terpacul tidak langsung menyebut namanya. Apa yang dibutuhkan hanya kejujuran dari Musliha kerana sekurang-kurangnya dia tahu di mana letaknya kasih yang diberi selama ini kepada Musliha.
“Awak, Hazim.” Jawab Musliha dengan nada yang sugguh yakin dan lembut demi mengawal rasa amarah yang sudah mula menyala dalam hati Hazim. Ketulusan di sinar matanya turut jelas mengiringi setiap bait kata lalu menghela nafas lega buat Hazim.
“Jadi, apa awak nak buat dengan pertunangan tu?” suara tegas tadi sudah reda bersama dengan kesayuan di renungan matanya. Tiada lagi tusukan buat Musliha kerana lukanya juga seakan hilang dek mengetahui kasihnya yang bersambut. Kini dia mengerti, Musliha lebih memerlukannya pada saat-saat genting begini. Dia turut mengerti kesusahan Musliha menghadapi dilemma dan dalam keadaan begini lah kasihnya buat Musliha perlu menjadi lebih teguh agar tidak goyah gara-gara si jejaka bernama Syafik yang sudah sekian lama menanti cinta Musliha.
“Saya tak tahu. Dia dah tunggu saya sekian lama, Zim.” Nada suara Musliha sungguh sayu bagai sudah mahu mengalah memperjuangkan cinta yang terbina antara dirinya dengan Hazim.
“Saya juga menanti awak. Mungkin perkenalan kita masih baru, tapi hati saya sangat memerlukan awak,”
Musliha mengetap bibir sambil wajahnya ditundukkan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Tiba-tiba telapak tangan Hazim terbuka seakan menadah tangannya di penjuru meja itu. Disambutnya huluran tangan itu sambil matanya kembali buat Hazim. Kehangatan sentuhan Hazim bagai mengembalikan semangat yang kian pudar dek perasaan bersalah yang menerjah hatinya.
“Saya nak awak ikut kata hati awak. Saya takkan paksa awak untuk buat keputusan dan saya tak nak awak keliru dengan cara saya. Apa yang saya buat untuk awak semuanya ikhlas. Jadi, janganlah awak rasa bersalah dengan manghadiahkan rasa cinta awak buat saya,” Hazim menelah bahawa dirinya diterima kerana dipengaruhi insiden yang menimpa dirinya tempoh hari. Mungkin Musliha terhutang budi padanya lalu membalas sahutan kasihnya. Tidak sanggup rasanya melepaskan gadis itu jauh sekali untuk mengganggu bahagia yang sudah dicita pasangan itu.
“Hazim, awak jangan salah faham. Saya terima awak bukan atas dasar simpati...” sekali lagi ayatnya tergantung.
“Mus!” suara garau lelaki itu menderaukan darah Musliha. Keluhan berat dilepaskan sambil tangannya dileraikan dari genggaman Hazim. Dengan segera, Hazim menoleh ke arah pemilik suara itu.
“Fik, ni Hazim, officemate Mus,” Musliha yang menyedari akan raut bengis di wajah Syafik cuba untuk meredakan keadaan dengan memperkenalkan Hazim kepada Syafik. Resah di hati bagaikan taufan tak terhenti.
Hazim yang sungguh profesional menghulurkan salam kepada Syafik dengan wajah yang sungguh tenang. Huluran itu bersambut diiringi kerutan di dahi Syafik. Matanya bagai sedang mengecam pemilik raut wajah itu. Wajah itu direnung sedalam mungkin. Matanya masih belum rabun dan ingatannya juga masih tajam. Walaupun kali pertama bertemu dengan lelaki itu merupakan pertemuan tak dirancang pada sebuah malam yang hanya disinari cahaya samar dan kali terakir pertemuan mereka juga merupakan pertemuan yang tidak dirancang, namun dia pasti lelaki itu adalah Yusuf, sahabat Musliha yang dimusuhinya suatu ketika dahulu.
“Yusuf Hazim?” tanya Syafik, untuk memastikan lagi tekaannya.
“Hazim Zakwan.” Hazim membetulkan tekaan Syafik.
“Fik jangan salah faham. Mus dengan Hazim cuma keluar makan bersama. That’s all,” Musliha bagai dihimpit mereka berdua. Diluah mati emak ditelan mati bapak. Dalam himpitan rasa begini, terpaksalah Musliha mengorbankan perasaan salah satu antaranya. Dia tahu, Hazim pasti mengerti keadaannya.
“Sampai berpegang tangan?” tanya Syafik, sinis. Itulah kehandalannya iaitu bernada sinis. Kembalilah perangai asalnya yang cukup dikenali Musliha. Disangkakan Syafik sudah berubah dalam kematangan tetapi rupanya tidak. Kemarahan telah menampakkan jalurnya yang sebenar.
For your information, Mr. Hazim. This is my future wife. We are going to get engaged...”
“Next month,” Hazim menyambut kata-kata Syafik dengan serentak. Secara tidak langsung, dia ingin memberitahu Syafik bahawa dirinya juga sudah maklum akan hal tersebut.
“Saya tahu. Tadi, kami cuma bersembang sebagai kawan. Mus luahkan perasaan sedih sebab terpaksa bertunang dengan orang yang tidak dia cintai. I was just giving her advise, so don’t get me wrong, Mr. Syafik,” balas Hazim. Baginya, lelaki yang tinggi dengan keegoan seperti Syafik harus ditundukkan bukan diagungkan.
Musliha yang mendengar pula kaget dengan kata-kata Hazim. Langsung tidak dia menyangka Hazim berani manyatakan perkara sebegitu kerana dengan kenyataan itu, kemarahan Syafik akan lebih menjadi-jadi.
“Fik, Mus rasa lebih baik kita bincang tentang hal ini lain kali saja because we need to rush to a site but please don’t get us wrong. Its true what Hazim have just said and I do want to have a talk with you regarding this matter. I’m sorry but we have to go,” tanpa berlengah lagi, tas tangannya dicapai lalu pantas menyusun langkah ke tempat kereta Hazim terparkir. Dia enggan memanjangkan ketegangan yang berlaku antara dua lelaki itu lagi.
Di pintu masuk restoran tersebut, pandangan Musliha tertancap pada seorang gadis berbaju kurung yang sedang tersenyum padanya. Lantas, kedua-dua mereka berpelukan. Sungguh lama mereka tidak berjumpa antara satu sama lain.
“Dah lama tak dengar khabar awak,” kata Nurul sambil bibirnya tidak lokek mengukir senyuman.
“Saya pun sama. Awak apa khabar?”
Belum lengkap mereka bertegur khabar, tumpuan mereka beralih kepada dua jejaka di belakang Musliha. Kedua-duanya terkejut hingga tangan mereka seolah menutup mulut yang sedikit ternganga.
“Syafik, apa ni? Semua orang tengoklah!” suara Nurul agak tinggi hingga seakan-akan menempik di telinga Syafik. Namun suara itu masih tidak dapat meleraikan pegangan kemas Syafik di kolar baju Hazim.
“Fik, ini semua salah Mus. Kalau Fik nak tumbuk, tumbuk muka Mus ni, bukannya Hazim!” giliran Musliha pula untuk cuba menenangkan amarah Syafik terhadap Hazim. Hazim yang tertolak ke dinding tidak berdaya untuk bersuara lagi dek dua tumbukan yang sudah mengena hidungnya dan bahagian perut. Ditambah pula dengan pegangan kemas Syafik pada bahagian lehernya, Hazim terasa bagai dicekik.
“Ini baru amaran pertama. Kau ingat, dia bakal isteri aku!” Akhirnya Syafik melepaskan Hazim sambil satu amaran keras diberi sebagai peringatan.
“Selagi dia belum jadi hak milik sesiapa, aku takkan mengalah!” jawab Hazim, dengan suara yang lemah tetapi masih bersemangat. Musliha yang mendengar jawapan Hazim pula terkesima dengan keberanian yang ditunjukkan Hazim.
“Kurang ajar! Memang aku dah agak, kau memang nak rampas Mus dari aku!” Syafik menengking Hazim hingga menggemakan suaranya di segenap ruang restoran itu. Tangannya sekali lagi dikepal, dan dihayunkan ke arah Hazim. Mujurlah Hazim sempat mengelak manakala Musliha pula menjerit kecil, takut dengan keadaan yang terjadi.
“Syafik, cukuplah!” Nurul bersuara persis seorang ibu yang memarahi anaknya yang sedang bertengkar. Begitulah juga dengan perasaannya. Sebagaimana kecewanya seorang ibu melihat anaknya bertumbuk, begitu jugalah kekecewaan yang dirasakan Nurul atas keterlaluan Syafik kerana walaupun selama ini dia sudah maklum dengan sikap panas baran Syafik, namun belum pernah dia lihat aksi sebegini dicetuskan oleh Syafik.
“Kau diamlah!” tempik Syafik, kepada Nurul sementara Musliha sudah membawa Hazim keluar restoran seterusnya menuju ke kereta Hazim yang terparkir di kawasan berhampiran.
“Cuba kau...”
“Aku kata, kau diam! Jangan nak menyibuk dalam urusan peribadi aku, boleh tak?!” sekali lagi Syafik menempik, melampiaskan amarahnya pada Nurul.
Fine!” Nurul pantas berlalu meninggalkan Syafik sendiri. Lelaki macam tu tak patut dibuat kawan! Getus hati Nurul sambil langkahnya dicepatkan dek kemarahan yang meluap-luap. Dia tidak menyangka niatnya untuk menemani Syafik untuk makan tengahari pada hari ini berakhir dengan tengkingan daripada lelaki itu.
“Nurul, nanti!” Syafik membuka langkahnya untuk mendapatkan Nurul. Sebaik dapat menyaingi langkah Nurul, pantas tangan dicapai dan digenggam kemas. Nurul menghentikan langkahnya lalu diam terkedu sementara jantungnya seakan berhenti seketika lantaran pegangan tangan Syafik yang sungguh kemas bagai sedang memujuk seorang kekasih.
“Lepaskan tangan aku,” Nurul masih berada dalam karakternya. Mana mungkin tengkingan itu bisa dilupakan hanya dengan pegangan tangan begitu. Namun Syafik masih berdegil dan enggan melepaskan tangan Nurul sepertimana yang dipinta kerana rasa bersalah sudah mula menjalar dalam naluri lelakinya. Baru dia sedar, tidak sepatutnya Nurul yang dimarahi kerana Nurul langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Kau nak apa lagi? Okay, aku janji takkan ganggu kau...” kata-katanya terhenti dek sentuhan lembut oleh jari telunjuk Syafik di bibirnya. Sepasang mata bundar Nurul membulat dengan tindakan Syafik.
Romantik betul mamat ni. Biar betul, entah-entah dia dah mula sayang aku sebab Mus dah ada orang lain tak. Aku dah agak dah akhirnya dia akan nak kat aku jugak. Alangkah bahagianya aku! Hati Nurul yang sudah mula berbunga seakan menjerit kecil. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia melompat-lompat sambil menjerit-jerit supaya semua orang tahu akan kebahagiaan yang dirasanya kini.
“Aku minta maaf. Aku terlalu emosi tadi,” suara Syafik mengembalikan Nurul ke alam nyata. Tiada lagi bayangan dirinya yang sedang melompat-lompat dan Syafik yang sedang memberikan jambangan bunga indah kepadanya sambil melutut dalam lamaran. Perlahan, Nurul mengangguk tanda kemaafan.
“Agak-agak berapa lama lagi kau nak pegang tangan aku?” soalan yang pada suatu ketika dahulu pernah ditujukan padanya kini diberi kembali kepada si pengajunya.
“Takda feel lah kau ni,” muka Syafik yang tadi merah padam kerana rasa amarah kini kembali merona merah menahan rasa malu.
Tak ada feel kau kata? Aku bagaikan orang meroyan dalam bayangan, kau aje yang tak tahu. Mahu sahaja dia menzahirkan suara itu namun demi maruah seorang perempuan, dia hanya membenamkan kata-kata itu bersama perasaan jauh ke dalam lubuk hati.
“Eleh..nak feel dengan aku konon. Tadi bukan main lagi sampai bertumbuk gara-gara Mus. Alih-alih nak feel dengan aku pulak,” jawab Nurul. Perasaan aneh yang sudah lama hadir di dalam hati segera disembunyikan kemas dalam lipatan hati. Tidak dinafikan lapan tahun mengenali lelaki itu telah membuahkan rasa aneh yang tidak tertafsir.
Sebenarnya, Nurul sengaja tidak mahu menafsirkan perasaan itu kerana dia tahu jika adapun perasaan yang sama dalam hati Syafik, ia hanyalah buat Alia Musliha, bukan dirinya lalu dia tidak pernah membenarkan hatinya berpaut pada dahan hati lelaki itu. Sebaliknya, dia merelakan dirinya dijadikan tempat untuk Syafik mengadu dan mendapatkan bekalan semangat dalam terus memperjuangkan cinta kepada Musliha.

1 comment:

  1. suke la wtk nurul tu..i think i lyk her more than mus laa..

    ReplyDelete