Rossa - Takdir Cinta

Wednesday, 6 July 2011

Bab 35


Restoran yang tersedia di aras bawah hotel bertaraf empat bintang itu cukup mempesonakan Musliha. Rambutnya diikat satu, membiarkan sedikit rambutnya terjurai di bahagian kanan kepalanya. Baju lengan pendek yang sekadar menutup bahu berwarna putih susu dipakainya dengan seluar coklat gelap, ringkas namun masih sesuai digayakan untuk satu temujanji makan malam. Solekan nipis dikenakan, menaikkan lagi seri di wajahnya.
Hazim sudahpun menunggunya di ruangan lobi lengkap berjaket. Gaya Hazim tidak ubah seperti Yusuf yang suka menyinsingkan lengan baju hingga ke paras siku. Segaris senyuman dihulur buat si gadis yang baru sahaja tiba.
“Saya lambat ke?” Musliha bertanya sambil senyuman tidak lokek dari bibir.
“Tak lah. Saya baru je duduk. Tak sempat henyak elok-elok lagi sofa empuk tu,” Hazim juga tidak membuang senyuman dari bibirnya.
Shall we?” kematangan dan sikap profesional Musliha makin jelas dengan cara pertuturannya. Ini membuatkan Hazim jadi lebih terpikat dengan Musliha. Tangan Hazim dibuka, sebagai tanda mempelawa Musliha untuk melangkah terlebh dahulu.
I’m sorry because this dinner is just an ala-carte dinner which you need to order for the meal.” Kata Hazim seraya merapatkan kerusi yang diduduk oleh Musliha.
It’s okay, Hazim. I understood as we just arrived..I mean..we both..just arrived..together,” Musliha tidak betah bertutur dengan lancar apabila dipandang begitu. Hazim pula tampak makin selesa dengan cara Musliha yang jelas dengan perasaan gementarnya.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya Musliha ditemani dengan darah gemuruh yang kian menakluknya.
You look so pretty. Saya tak pernah tengok awak secantik malam ni,” pujian Hazim tampak tulus dan ikhlas. Sungguh dia terpegun dengan seri di wajah Musliha hari ini. Walaupun rambut Musliha tetap berikat seperti biasa, namun wajah cantik yang disolek nipis itu tampak menyerlah.
I think it is better if kita order sekarang,” cadang Musliha. Dia tidak selesa dipandang begitu oleh Hazim. Hazim yang akur pantas sahaja memanggil seorang pelayan untuk mengambil pesanan makanannya.
Menu makanan diperhatikan Musliha. Perutnya yang berkeroncong menambah selera Musliha terhadap semua makanan yang tersenarai. Keasyikannya memilih makanan memberi peluang kepada sepasang mata di hadapannya merayap di seraut wajahnya. Tidak begitu lama memilih, Musliha langsung memesan makanan dan minuman pilihannya lalu buku menu tersebut diambil pelayan tersebut.
Hazim yang masih asyik menatap wajah berseri Musliha belum membuat pilihan lagi. Sebaik mata Musliha tertancap ke arahnya, pantas sahaja nama makanan yang muncul di depan matanya dipesan bersama dengan jus tembikai. Musliha sudah dapat menangkap perbuatan Hazim namun wajahnya dibiarkan diratah oleh renungan Hazim. Walaupun tidak selesa dilakukan begitu, Musliha tetap membiarkan sahaja.
Jauh di sudut hati, walaupun dia tidak selesa dengan renungan mata Hazim, sebenarnya masih ada suatu perasaan kagum dengan cara lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa Hazim terpegun akan penampilannya pada malam ini.
“Mus, saya dah lama tertanya-tanya. Kenapa awak tak suka dipanggil dengan nama Alia? Pada saya, nama itu lebih cantik. Sesuai dengan awak.” Akhirnya dia berani bersuara namun pandangan matanya masih tidak teralih.
“Sebab nama tu terlalu istimewa. Setakat ni, baru ada seorang yang berani panggil saya dengan nama tu. Walaupun saya tak benarkan, dia tetap panggil saya Alia. Orang itu tersangat istimewa di hati saya.” Walaupun sebab asalnya berlainan namun kini dia merasakan nama itu hanya kenangan di antara dirinya dengan Yusuf.
“Kalau saya nak panggil awak Alia? Boleh?”
“Kenapa awak nak panggil saya Alia pula? Panggil macam biasa aje lah. Saya tak selesa lah,” wajah Hazim memang serupa dengan Yusuf tetapi nama `Alia’ sudah lama diabadikan bersama memori Yusuf.
“Tak selesa? Kenapa?” soal Hazim pula. Belum pun soalan Musliha terjawab, Hazim menyoal Musiha lagi.
“Entah. Macam mana kalau saya nak panggil awak Zakwan?” Musliha cuba meletak Hazim di situasi yang sama dengannya.
“Maknanya awak panggil arwah ayah saya,” Hazim tidak terkena dengan soalan Musliha.
“Oh..saya ingat Zakwan tu nama awak?”
“Tak..tak..saya memang suka memperkenalkan diri saya sebagai Hazim Zakwan tapi nama sebenar saya Muhd Hazim bin Muhd Zakwan,”
Musliha mengangguk kecil, tanda faham. Kini soalannya terjawab. Benarlah jejaka di hadapannya kini bukan anak lelaki Datuk Yunus. Musliha bertambah yakin.
Hidangan makanan sudah tersedia. Mereka menikmati santapan makan malam itu dengan penuh tertib, sesuai dengan tempatnya. Sesekali mata mereka bertaut apabila sama-sama mencuri pandang. Namun, dalam kes curi pandang itu, Hazim lah yang selalu menang. Dia pandai mencari kesempatan untuk mengamati wajah kesayangannya itu. Sungguh manis dan lembut.
Walaupun mata Musliha tidak memandang tepat ke arah Hazim, namun ekor matanya dapat menangkap renungan mata lelaki itu yang kerap menghinggap di raut wajahnya. Suapan demi suapan dijaga penuh sopan.
“Sedap juga masakan dia kan?” kata Hazim sambil mulutnya dilapkan dengan napkin yang tersedia. Musliha mengangguk, mengiyakan kata-kata Hazim.
Selesai segalanya, Musliha meminta diri ke bilik terlebih dahulu. Hazim akur akan kehendak Musliha meskipun dia masih ingin meluangkan lebih masa bersama Musliha. Dengan pantas, kakinya mengejar langkah Musliha yang sudah melangkah keluar dari restoran itu.
“Mus,” panggilannya menghentikan langkah Musliha, memalingkan muka gadis cantik itu ke arahnya.
“Kalau awak sudi, teman saya jalan-jalan dekat luar kejap?” tanpa lengah, pelawaannya langsung disuarakan.
“Tapi saya nak tidur awal, esok kita kena pergi site, remember?” Musliha tidak sampai hati menolak pelawaan Hazim biarpun masanya sudah terluang bersama lelaki itu.
I would be happy if you would like to,” Hazim masih tidak berputus asa dengan ajakannya. Musliha kalah. Dia membuka langkahnya ke arah pintu luar yang mengarah ke kawasan kolam.
Hiasan landskap nan indah itu masih dapat dilihat dalam cahaya samar lampu hiasan sekitar kolam itu. Itulah yang menjadi salah satu tarikan bagi Impiana Casuarina Hotel di Ipoh ini. Pemandangan bukit batu kapur yang mengelilingi kawasan hotel itu menambahkan lagi kedamaian dan ketenangan buat si pengunjung.
“Awak tak selesa ke jalan dengan saya ni?” Hazim cuba untuk memulakan perbualan.
“Kenapa awak tanya macam tu?” soalan berbalas soalan. Musliha senang untuk menemani Hazim tetapi perasaan tidak selesanya hanya timbul tatkala terpanah dengan renungan mata lelaki kacak itu.
“Ya lah. Sebab saya nampak awak macam terpaksa je,” terang Hazim akan soalannya sambil langkah mereka masih perlahan dan seiring.
“Tak adalah. Saya okay je.” Jawab Musliha, cukup ringkas. Jawapannya seolah-olah mematikan bicara antara mereka berdua apabila Hazim sekadar mengangguk dan turut mendiamkan diri. Sebenarnya, sang kumbang masih ligat terbang mengelilingi sang bunga, mencari kata meneruskan bicara.
“Saya nak duduk kat situ,” kata Musliha, memecah kesepian yang mula terbina. Gazebo kayu dengan hiasan nipah di atas atap menarik perhatian Musliha. Memandangkan ianya kosong menanti diduduk, Musliha dan Hazim sama-sama melangkah ke dalam gazebo itu untuk menikmati keindahan malam yang terdampar di hadapan mata.
Rambut Musliha yang diikat satu itu ditenung Hazim. Alangkah indahnya gadis itu jika rambutnya dilepaskan dari genggaman ikatan itu. Pantas, jarinya menangkap ikatan rambut itu lalu ditarik, melepaskan rambut Musliha sambil harumannya menyinggah ke hidung Hazim. Musliha terkejut dengan tindakan Hazim yang sungguh pantas dan tidak disangkanya itu. Dia menoleh ke arah Hazim dengan perasaaan berbaur.
“Kenapa ni Hazim?” ada sedikit nada marah dalam soalannya.
“Saya lagi suka kalau awak lepas rambut macam ni. Cantik sangat,” jawab Hazim, lembut. Berderau darah Musliha mendengarkan pujian Hazim kepadanya.
“Tapi saya lagi suka ikat. Bagi balik getah rambut saya!”
No. I wont allow you to do so,” getah rambut yang dipegang Hazim disorokkan di belakang agar tidak dapat dicapai Musliha.
“Sini lah Hazim,” Musliha mendesak namun masih tidak berjaya.
“Saya dekat sini lah ni. Awak nak suruh saya dekat lagi ke?” Hazim sudah mula menunjukkan belangnya.
“Gatal lah awak ni. Saya nak getah rambut saya. Saya tak selesa lah,” suara marah tadi sudah mula menjadi suara rajuk seorang gadis. Hazim senang sekali mendengarnya. Hatinya terusik melihat wajah Musliha yang mula menunjukkan riak rajuk.
No way!” katanya sambil tangannya masih disorok ke belakang.
“Hazim!” Musliha masih mencuba untuk mencapai getah rambutnya yang disorokkan Hazim. Mereka kelihatan seperti dua anak kecil yang sedang berebut mainan di dalam gazebo itu. Suasana gelap di dalam gazebo menghalang penglihatan jelas oleh pengunjung-pengunjung lain yang turut berjalan-jalan di sekitar kolam.
“Okay..okay..awak menang. Saya dah kesian tengok awak,” Hazim menyerahkan getah rambut itu kepada Musliha semula. Hatinya tercuit melihat telatah Musliha.
“Tau pun!” getah rambut yang diserahkan diambil kasar sekadar menunjukkan kekuatannya sebagai seorang perempuan. Namun tangannya pantas digenggam Hazim. Musliha terkesima. Sentuhan tangan Hazim seakan menyelinap ke seluruh kalbunya.
Tangan kanan Hazim pula sudah mula merayap ke anak rambut Musliha. Helaian rambut yang halus itu dibelai lembut sambil genggaman tangan Musliha di sebelah kiri dikemaskan lagi. Musliha hanya membiarkan rambutnya dibelai lelaki itu kerana dia sudah tidak berdaya menarik tangannya. Walaupun tangan kiri Musliha masih bebas, belaian lembut dari jemari lelaki itu menenangkan jiwanya yang selama ini resah dalam kerinduan kepada Yusuf.
“Hazim, tangan saya,” suara Musliha sekan merayu kerana pegangan Hazim sudah mula memedihkan pergelangan tangan Musliha. Tambahan pula, dia tidak mahu berlama-lama begitu kerana dia masih sedar, dirinya bukan muhrim dengan Hazim.
“Saya akan lepaskan, tapi janji dengan saya, awak tak ikat rambut awak balik,” wajah Musliha yang menunduk dek memandang tangannya yang kepedihan diangkat oleh Hazim, lembut. Begitu jugalah kelembutan pada nada suaranya. Kelembutan suara itu memaksa Musliha untuk patuh pada janji yang dipinta.
Pegangan di pergelangan tangan Musliha sudah mula direnggangkan. Dahi Musliha berkerut menahan kepedihan yang terasa. Hazim mencapai tangan itu kembali lantas diusapnya perlahan. Perasaan bersalah mula mencengkam diri. Dia tidak menyangka perbuatannya sudah menyakitkan gadisnya.
“Sakit sangat ke?” tanya Hazim sambil tangan itu masih diusapnya. Musliha mengangguk tanpa mengangkatkan wajahnya kepada Hazim.
Sorry,” katanya, penuh keikhlasan. “Saya tak sedar yang saya pegang tangan awak kuat sangat.” Hazim makin dihimpit rasa bersalah melihatkan Musliha yang masih mendiamkan diri.
“Mus,” Hazim mengharapkan Musliha dapat menunjukkan wajah lembut itu buatnya. Namun dia hampa. Musliha masih tidak memberi respon.
“Mus, saya minta maaf sangat. Sakit lagi ke?”
“Awak percaya ke?” Musliha bertanya dalam nada yang sungguh perlahan persis menahan kesakitan.
Hazim terpinga-pinga dengan soalan Musliha. Kekosongan respon dari Hazim menggerakkan hati Musliha untuk mengangkat wajahnya, mendapatkan wajah Hazim pula. Ternyata Hazim masih percayakan helahnya. Musliha tersenyum sambil melepaskan tawa kecil. Dengan tawa itu, Hazim sudah mulai faham akan helah Musliha. Tangan lembut Musliha yang tadi diusap Hazim sudah menekup mulut sambil menutup tawanya dengan sopan.
“Oh..nakal eh?” Hazim turut tersenyum melihat Musliha.
“Padan muka awak,” kata Musliha, bersulam dengan tawa bersisa.
“Saya ingat awak sakit betul-betul,”
“Pandai tak saya berlakon?” nada Musliha sudah mula ceria. Tidak lagi sayu seperti tadi.
Thumbs up!” kata Hazim, sambil dua ibu jarinya diangkat. “This is the first time I see another side of you. Pandai juga awak bergurau ya?”
“Kenapa? Awak ingat saya ni jenis yang macam mana?”
“Saya fikir, awak ni jenis yang serius je. Honestly, saya tak pernah tengok awak ketawa macam tadi. Kalau awak senyum pun, hanya bila awak happy sebab kerja awak diluluskan.” Jelas Hazim akan pandangannya selama ini terhadap Musliha.
“Ya ke? Biasanya saya ni boleh tergelak bila luang masa dengan Fiza, kawan baik saya. Dulu, dengan Yusuf pun saya selalu gelak juga. Tapi akhir-akhir ni saya kurang ceria sebab saya sedih. Fiza dah nak kahwin hujung tahun ni. Walaupun sekarang saya masih serumah dengan Fiza, saya dah dapat rasa kehilangan dia.” Luah Musliha.
“Siapa Yusuf?” nama lelaki yang terpacul dari mulut Musliha menarik perhatiannya berbanding dengan keseluruhan cerita Musliha.
“Arwah kawan yang saya cerita kat awak petang tadi tu lah,” Musliha baru teringat, dia masih belum menyebut nama Yusuf kepada Hazim. Walaupun nama itu telah diperkenalkan kepada Hazim, namun dia tekad untuk tidak memberitahu Hazim tentang persamaan-persamaan yang ada pada dua lelaki itu.
“Oh..hmm..” bibir Hazim diketap, memikirkan susunan ayat yang betul untuk meneruskan bicara yang sudah dirangkakan dalam benaknya. Tanpa disedarinya, kesepian Musliha sebenarnya merupakan penantian buat ayat seterusnya dari Hazim.
What is your first impression about me?” Hazim masih ingat pandangan pertama yang diberikan Musliha. Sungguh dalam menusuk matanya.
First impression?” giliran Musliha pula untuk menyusun kata yang sesuai demi jawapan yang sememangnya ada dalam ruang minda.
“Err..awak okay. Saya boleh nampak kebolehan awak sebagai jurutera yang hebat.” Menolak elemen peribadi, Musliha menggantikan ia dengan profesionalisme dalam jawapannya.
“Selain itu?” Hazim pasti pandangan yang sungguh dalam itu bukan sahaja kerana keyakinan Musliha terhadap kebolehannya malah lebih dari itu.
“Tak ada dah kot,” Musliha masih setia untuk menyembunyikan perkara sebenar.
First impression awak terhadap saya pula?” soalan yang sama diajukan kepada Hazim pula demi menepis soalan Hazim.
“Terus terang, saya terpegun dengan kelembutan wajah awak. That is the first time saya tengok awak lepaskan rambut. Plus, awak nampak macam seorang yang serius and yes, you are. Satu lagi, awak nampak macam seorang yang kesunyian, yang sedang mencari cahaya dalam gelap. Kadang-kadang, saya pun jatuh sayu bila tengok mata awak yang penuh kesedihan.” Panjang lebar penjelasan Hazim. Ya, itulah yang difikirkannya tentang Musliha ketika kali pertama melihat wajah itu.
“Mula-mula dulu, saya fikir, saya cuma suka tengok wajah awak je. Tapi makin lama, saya rasa nak kenal awak dengan lebih dalam. Frankly speaking, saya tak pernah rasa ada kehadiran seorang perempuan dalam hati saya sehinggalah saya kenal awak.” Hazim sudah mula menyusun kata untuk meluahkan rasa yang terpendam. Musliha masih diam dengan dahi yang sedikit berkerut, seperti tidak bersedia mendengar luahan Hazim yang seterusnya.
“Saya mula tahu apa perasaan kasih dan sayang sejak mengenali awak. Setiap kali awak pergi site, saya resah kat ofis. Selalu risau dengan keselamatan awak. Ya lah, dekat site kan ramai lelaki, buruh-buruh semua tu. Saya bimbang sangat-sangat. Kebimbangan tu luar biasa tau. Even kalau awak keluar makan lambat sikit pun saya risau.saya tak nak awak sakit sebab bila awak sakit, awak tak dapat datang ofis. Pernah sekali masa awak ambil cuti, saya rasa rindu nak tengok wajah serius awak. Saya rasa sunyi. Saya selalu teringin nak call awak tapi saya takut awak tak suka pulak. Setiap kali awak ada di depan mata saya, saya bertambah ceria walaupun awak tak tegur saya dengan sepatah kata pun. Asalkan saya boleh nampak awak, saya dah rasa cukup. Saya rasa semangat nak buat kerja-kerja saya. Saya rasa...saya...” keluhan berat dilepaskan Hazim. Sementara Musliha pula masih menanti kata Hazim yang terhenti.
Payah baginya untuk meluahkan kata cinta buat Musliha walaupun dia yakin dengan perasaan itu. Mungkin juga reaksi Musliha yang menyukarkan lagi luahannya. Musliha tidak pernah menyangka bahawa selama ini dirinya menjadi perhatian Hazim.
“Saya yakin yang sebenarnya saya...” terhenti lagi. Kini dia tahu, bukan mudah untuk menyapa hati gadis itu.
“Dah lah. Saya rasa awak dah mula keliru, Hazim. Saya balik bilik dulu,” Musliha tidak mahu mendengar kata-kata Hazim seterusnya. Dia mencapai tas tangan lalu berdiri untuk membuka langkah, meninggalkan Hazim dengan seribu satu kata yang tidak terluah.
“Nanti dulu. Saya belum habis cakap. Saya tak keliru dengan perasaan saya, Alia.” Ujar Hazim.
Nama yang digunakan Hazim menggamit perasaan Musliha. Dia segera menoleh kepada Hazim yang turut berdiri di tempat yang masih sama.
“Jangan gunakan nama tu,” ujar Musliha, lembut dalam tegas.
Why not? Saya dah berazam untuk jadi orang kedua yang boleh panggil nama tu.”
“Hazim, tolong jangan keliru dengan hati awak sendiri. Kita baru kenal, tak mungkin awak dah mula rasa semua tu. Maaf, saya balik dulu. Saya nak rehat. Jumpa pagi esok.” Musliha membuka langkahnya keluar dari dalam gazebo, meninggalkan Hazim sendiri.
Bangku yang tadi ditemani dua insan kini hanya ditemani seorang lelaki sahaja. Hazim meraup mukanya berkali-kali. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk mengulang kembali saat-saat manisnya bersama dengan Musliha tadi. Nafasnya turun naik dan adakalanya melepaskan dengusan kasar. Hatinya tidak puas selagi tidak dapat menyatakan perasaan sebenarnya buat Musliha. 

1 comment: