Rossa - Takdir Cinta

Saturday, 23 July 2011

Bab 37


Kesibukan dan kepenatan telah menghanyutkan soal hati sepasang jurutera itu yang kini masih bertugas di Ipoh. Tanpa disedari, hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum mereka dijadualkan untuk berangkat pulang ke tempat asal. Segala tugas yang harus diselesaikan juga sudah hampir ke garisan penamat. Setelah selesai tugasan kali ini, bulan hadapan lah masa bagi mereka untuk melawat lokasi itu semula bagi peringkat pembinaan seterusnya.
Perbualan dalam telefon bersama Puan Husna semalam sedikit sebanyak merunsingkan Musliha. Ada sesalan yang terbit di dasar hatinya dek kerana tidak hadir bersama dalam perbincangan mustahak itu. Namun, dia pasrah. Jika memang itu yang menjadi keputusan ibunya, dia hanya mampu akur. Masih segar di benak fikiran akan apa yang sudah termaktub dalam madah janjinya pada si ibu.
“Ibu decide lah untuk Mus. Keputusan ibu, keputusan Mus juga,” itulah janji yang pernah diberikan kepada ibunya sebelum berangkat ke Ipoh. Nasiblah kau Mus, lepas raya nanti, orang dah panggil kau puan, dan kau sendiri pulak kena panggil Syafik dengan panggilan ‘abang’. Oh tidak! Detik hati kecilnya sambil matanya terpejam seakan sedang menjerit.
Sebelum sempat matanya tercelik, tubuh lampainya terasa ditolak dengan begitu kuat hingga dia rebah jauh dari tempat kakinya bertapak tadi. Matanya berpinar-pinar dan kepalanya terasa berpusing kerana tejatuh dengan begitu kuat. Dalam penglihatan yang samar-samar, matanya masih dapat menangkap gambaran batang-batang besi yang terjatuh dari pengangkutnya. Namun bukan besi-besi itu yang menarik perhatian Musliha tetapi suasana cemas di sekitar tempat itu yang menjadi tarikan.
Beberapa orang pekerja yang ada di situ sedang mengangkat besi-besi itu untuk menyelamatkan seseorang. Musliha menjadi hairan. Sedang dia berdiri berdekatan dengan lelaki-lelaki itu, mengapa pula mereka masih ingin menyelamatkan dirinya.
“Encik, jangan risau, saya selamat,” kata Musliha kepada salah seorang pekerja buruh warga Indonesia itu.
“Ada seorang bapak yang terjatuh di sini,bu,” kata pekerja buruh itu dengan dialeknya sendiri.
Barulah Musliha tahu mengapa tiba-tiba dirinya ditolak jauh dari tempat itu. Barangkali ada orang yang sudah menyelamatkan dirinya namun tidak sempat untuk menyelamatkan diri sendiri. Musliha jadi cemas. Batang-batang besi yang berat itu cuba diangkatnya satu persatu dengan bantuan beberapa orang lelaki di situ.
“Encik, Encik dengar suara saya?” Encik Isa yang turut membantu bertanya kepada lelaki yang terhempap di bawah timbunan besi itu. Buat masa ini, hanya separuh tubuhnya sahaja yang kelihatan manakala wajahnya masih tersembunyi.
Encik Isa mengulang soalan itu beberapa kali namun tiada respon yang diharapkan daripada si mangsa. Besi-besi yang berat itu masih diangkat lelaki-lelaki itu sementara Musliha cuba mendail nombor telefon kecemasan bagi meminta pertolongan. Selesai berbicara dengan operator bertugas, Musliha segera berpaling kepada lokasi cemas itu dan dalam sesaat, jantungnya bagai diragut sebaik lelaki yang teruk tercedera itu terlihat.
“Cik Mus, ambulans dah sampai?” tanya Encik Isa yang sedang cuba memapah Hazim sambil dibantu oleh dua orang buruh.
“Belum, dalam masa lima minit diorang datang,” jawab Musliha sambil matanya masih tertumpu kepada Hazim.
“Hazim, awak dengar suara saya tak?” Musliha mendekati tubuh yang lemah dipapah itu. Hazim masih sedar namun tidak dapat memberi sebarang respon kepada Musliha. Suara lembut Musliha terketar-ketar menahan sebak. Selang beberapa minit kemudian, siren ambulans sudah terdengar dan dengan segera mereka membawa Hazim ke dalam van tersebut. Musliha menemani Hazim manakala yang lain hanya akan menanti khabar berita selanjutnya daripada Musliha.

Suasana gelap yang hanya disinari neon jalanan yang samar dek titisan hujan renyai mengaburkan pandangannya. Kereta di hadapan pula bergerak dalam kelajuan tidak sekata. Sudahlah pemanduannya bagaikan hilang arah, ditambah pula dengan sinaran lampu merah di bahagian belakang kereta itu yang sering menyala. Hatinya mula tidak keruan.
Andai perjalanannya diteruskan dengan berpandukan pemanduan kereta di hadapannya kini, pasti maut yang ditempah. Barangkali pemandu itu sedang mengantuk atau mungkin ada masalah penglihatan. Lantas kereta yang dipandunya dibelokkan ke kiri, memasuki perkarangan restoran yang tersedia. Selang beberapa kereta selepas itu, dia kembali kepada jalan asal yang disusuri tadi.
Sebaik tayar kereta hadapannya menyusur kembali di atas jalan asal tersebut, ada sebuah kereta di belakang yang dipandu pecut membunyikan hon dengan sungguh kuat. Pedal minyak ditekan lalu keretanya kini di arah bertentangan dan sepantas itu juga sebuah lori besar yang juga dipandu laju datang ke arahnya.


“Ya Allah!” suara Hazim akhirnya kedengaran. Segala bayangan ngeri yang bermain di ruang fikiran sudahpun hilang. Hatinya berasa amat lega. Mujurlah bayangan itu sekadar mimpi yang bermain dalam tidurnya.
             Walaupun sepasang mata itu masih tertutup rapat, Musliha berasa lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu Hazim dalam keadaan sedar.
“Hazim, awak dengar suara saya tak?” Musliha bertanya dengan nada yang sungguh lembut. Mata Hazim sudah terkedip-kedip, cuba dibuka.
Selang beberapa saat, anak mata Hazim sudah dapat ditatap. Pandangan Musliha masih tidak berbalas namun hati Musliha yang dari tadi diselubungi kerunsingan sudah mulai reda. Hazim kembali memejamkan matanya, mencari segenap kudrat untuk menggerakkan anggota tubuhnya.
“Hazim...Hazim..kenapa ni?” suara Musliha bertukar cemas. Tubuh lelaki itu digoncang-goncang sebaik mata Hazim sudah tidak lagi kelihatan. Yang tinggal hanya kelopaknya.
“Saya ada kat sini. Awak jangan risau,” suara Hazim masih lemah namun dia tetap menguatkan semangatnya untuk bersuara demi meredakan kerunsingan di hati gadis itu.
Dalam diam, hati Hazim berbunga kerana kini dia tahu betapa Musliha mengambil berat akan dirinya. Bukan hanya melalui pandangan mata yang diberikan Musliha, malah genggaman di tangannya juga jelas menunjukkan keprihatinan Musliha terhadapnya. Berbekalkan semangat yang teralir dari kehangatan sentuhan Musliha, genggaman itu dikemaskan seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi.
“Awak okay?” tanya Hazim.
I’m totally fine.” Jawab Musliha. Hazim..Hazim..dia yang tengah sakit, aku yang dirisaukannya. Detik hati Musliha.Kenapa awak tak lari?”  tanya Musliha pula.
“Tak sempat,”
“Macam mana awak boleh perasan besi tu nak jatuh? Sedangkan awak tengah handle bahagian parit kan tadi?” seingatnya, bahagian parit yang sedang dikendalikan Hazim pada ketika itu agak jauh daripada bahagian bawah tanah yang dikendalikan Musliha.
“Saya rasa tak sedap hati, so saya pun pergi jenguk sekejap,” balas Hazim.
“Saya ni menyusahkan awak je kan? Sepatutnya saya yang tengah baring kat atas katil ni, bukan awak,” suara Musliha sudah bertukar sebak.
“Apa awak cakap ni? Musliha yang saya kenal takkan berfikir macam tu,” ujar Hazim.
Musliha menunduk, menyembunyikan linangan yang mula berkolam di matanya. Hatinya sebak tatkala mengingatkan kembali layanannya terhadap Hazim kebelakangan ini. Tidak dia menyangka lelaki itu masih sanggup mengorbankan diri demi menyelamatkan dirinya. Musliha terasa dirinya tidak layak dibantu sebegitu sekali. Tanpa dia sedari, air matanya sudah tertitik di atas tangan Hazim.
“Awak menangis?” soal Hazim setelah tangannya dapat merasakan beberapa titisan dingin yang hinggap di tangannya.
Dengan pantas, jarinya menyeka titisan air mata itu sambil kepalanya digeleng-gelengkan.
“Habis tu, ni apa?” soalnya lagi sambil kebasahan yang masih tersisa di jemarinya ditunjukkan.
Musliha hanya mendiamkan diri. Sudah tiada apa yang dapat membantu dirinya untuk menafikan titisan airmata yang sudah tertumpah. Perasaan malu datang menyelinap segenap sanubari Musliha kerana dia tidak betah menangis di hadapan orang lain.
“Awak jangan rasa sedih. Saya okay. Saya janji, saya akan sembuh dengan cepat,” tangan halus yang masih berada di dalam genggamannya masih dipegang kemas. Terasa hilang segala kesakitan saat tangan itu bertaut dalam pegangannya.
Sorry. Sepatutnya saya beri awak semangat,” suara yang bernada sendu itu masih dalam arus sesalan.
“Awak ada di samping saya pun dah lebih dari semangat, Alia,” senyuman pendek yang penuh keikhlasan diberikan kepada Musliha.
Inilah kali pertama nama ‘Alia’ digunakan Hazim dan ini jugalah kali pertama Musliha membenarkan nama kesayangannya itu digunakan Hazim. Senyuman Hazim berbalas. Apa yang dirasakan Hazim kini adalah kemanisan dalam kesakitan. Senyuman itu ibarat penawar baginya.
“Cik, minta maaf. Sekarang masa untuk pesakit ambil ubat,” kata jururawat yang tiba di balik tirai biru itu.
Musliha merenggangkan pegangan tangannya namun ia masih kemas bertaut dalam pegangan Hazim.
“Encik Hazim, awak kena makan ubat dulu. Nanti dah sembuh peganglah tangan isteri Encik ni lagi ya,” usik jururawat itu. Namun telahannya langsung tidak mengena.
Musliha tersenyum mendengarkan kata-kata jururawat itu. Hazim yang sedang terbaring sakit itu juga tersenyum malu. Malu dengan kelakuannya yang diperhatikan orang asing di situ.


Tubuh Hazim yang masih terbaring di atas katil itu seperti meronta kecil. Dahinya yang berkerut juga berpeluh-peluh. Musliha tersedar dari tidurnya sebaik tangan yang dipegang Hazim digenggam kuat.
“Hazim,” Musliha memanggil-manggil Hazim sambil tubuh itu digoncang perlahan. Barangkali Hazim masih dalam keadaan trauma dengan kejadian yang menimpa drinya. Setelah beberapa kali dipanggil, akhirnya Hazim tersedar dari igauannya.
“Hazim, awak mimpi ya?” tangan Hazim diusap perlahan, meredakan kecemasan yang melanda dalam fikiran Hazim.
“Alia..saya bermimpi ngeri,”  kata Hazim dengan nada yang masih cemas.
“Dah..dah..jangan difikirkan sangat. Itu semua cuma mainan tidur. Awak rehat ya?” Musliha cuba untuk melepaskan tangannya namun sekali lagi, dia tidak berjaya mendapatkan tangannya kembali.
“Awak nak ke mana?”
“Saya nak pergi solat Isyak. Dah pukul 2 pagi ni,” jawab Musliha.
“Okay. Jangan lupa datang sini balik ya?” Hazim mengingatkan Musliha lalu dibalas anggukan kecil.
Pandangan sayunya mengiringi langkah Musliha. Mimpi ngeri yang sudah dua kali menerpa fikirannya menimbulkan rasa gundah di dada. Dia tidak faham akan maksud mimpi itu. Namun setiap kali mimpi itu menjengah, ianya selah-olah cuba menyampaikan suatu alamat buatnya.
“Ya Allah. Aku berlindung padaMu.” Hazim berbisik sendiri. Dalam keadaan badannya yang masih lemah, dia hanya mampu solat dalam pembaringan. Walaupun jerih menahan sakit, tanggungjawab pada Yang Esa tidak pernah terabai.
Hati lelakinya memanjat rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana akhirnya kasih yang diutus kepada Musliha berbalas. Biarpun Musliha pernah mengkhabarkan tentang soal perkahwinan dengan lelaki bernama Syafik namun dia pasti, itu semua sekadar alasan buat Musliha untuk menjauhinya. Kini, ada satu persoalan besar yang meniti ruang fikirannya saban masa. Gambar itu masih belum dipulangkan kepada Musliha. Apakah lelaki itu yang dikatakan Syafik?


Tangan lembut Musliha diraup lembut ke mukanya, mengaminkan doa yang  dipanjat kepada Dia Yang Maha Mendengar. Dalam telekunya di atas sejadah, fikirannya ligat memikirkan soal jodohnya dengan Syafik. Hatinya kini tidak dapat menolak kasih Hazim dan dia juga tidak dapat menafikan perasaan yang sememangnya sudah lama bertunas di dalam hatinya buat Hazim.
Mengapa baru kini Hazim muncul dalam hidupnya? Soalan demi soalan datang menerpa benak fikiran. Walau berjauhan dengan bakal suami, namun tiada rindu yang hinggap di tangkai hati walau sekelumit jua. Tidak sanggup rasanya untuk mengabaikan kasih yang diberikan Hazim buatnya kerana ketulusan yang tersemat amat jelas terasa tanpa perlu diselongkar lagi. Namun hatinya tidak sampai untuk meletak kasih suci Syafik yang sudah sekian lama bersemi .
Harapan Puan Husna tidak seharusnya disia-siakan. Suara Puan Husna yang bersungguh menceritakan hasil perbincangan itu masih terngiang-ngiang di telinga Musliha. Hati seorang anak itu tidak rela menoktahkan kesungguhan ibunya dengan sebuah titik yang tiada pasti. Belum tentu restu Puan Husna bakal mengiringi perhubungan Musliha dan Hazim kerana kesungguhan Puan Husna itu berpegang pada harapan penyatuan buat Musliha dan Syafik.
Kerinduan yang selama ini sentiasa hadir buat Yusuf kian menghilang saat hadirnya Hazim. Tatkala itulah keraguan terpagut di hatinya akan kasih yang dirasakan buat lelaki itu. Mungkin jua kemiripan rupa dua lelaki itu yang mengalirkan perasaan kasih dan sayang Musliha buat Hazim. Cinta yang tidak sempat dibalas kepada Yusuf membuatkan Musliha serba salah untuk menidakkan perasaannya buat Hazim.
Tiada apa yang dapat menafikan akan persamaan antara Yusuf dan Hazim. Bukan sahaja dari segi paras rupa, malah pendirian, kejujuran, dan keikhlasan yang terpamer turut berbaris dalam garisan yang sama. Panahan mata yang pernah dirasakan Musliha dari sepasang anak mata Yusuf tika berkongsi masa di Sunway Pyramid suatu ketika dahulu sama tajamnya dengan yang dipanah Hazim. Gaya percakapan yang agak berlainan itu tidak menyembunyikan persamaan cara pemikiran mereka.
Pada Yusuf, hanya kasih kepada sahabat yang terasa selama hayat lelaki itu masih ada. Perasaan cinta hanya hadir setelah lama kerinduan meniti pemergian lelaki itu. Kini, ketulusan cinta yang sama dirasakan buat Hazim. Kali ini Musliha tekad untuk tidak mengabaikan perasaannya sendiri jauh sekali mengecewakan sekeping hati yang lain. Antara Hazim dan Syafik. Musliha berserah sebulatnya kepada takdir, berarah cinta.



1 comment:

  1. bila Musliha n tau Hazim 2 Yusuf ni? Hazim sendiri bila nk ingat balik? dpt rskan cite ni panjang seyh! good job!!

    ReplyDelete