Rossa - Takdir Cinta

Wednesday 3 August 2011

Bab 40


“Sakit lagi?” darah yang sedari tadi menitik dari hidung Hazim sudah tidak kelihatan lagi namun Musliha masih risau akan Hazim.
“Dah okay sikit. Thanks,
Kapas yang diletakkan ubat menahan darah masih dipegang Hazim sementara Musliha pula mengemas semula kotak pertolongan cemas yang digunakannya lalu diletakkan kembali ke tempat asal. Musliha dirundum rasa bersalah tatkala melihat keadaan Hazim. Termasuk kali ini, sudah dua kali Hazim terpaksa menanggung kesakitan angkara dirinya. Seluruh kesalahan diletakkan sebulat-bulat ke atas dirinya akan kejadian yang berlaku antara Syafik dan Hazim.
“Alia, sudah lah. Jangan layan sangat rasa bersalah awak tu. Saya langsung tak salahkan awak,” Hazim dapat menangkap kesugulan di wajah Musliha. Pastinya gadis itu sedang dilanda rasa bersalah yang tak sudah.
“Kalau tak kerana saya, awak takkan kena macam ni,” wajah Musliha masih sugul manakala Hazim mengukir senyuman di bibir.
“Sayang jugak awak kat saya ya?” dalam kesakitan yang masih terasa, masih sempat jari nakalnya mencuit dagu Musliha. Perlahan, Musliha turut menguntum senyuman di bibirnya. Dia termalu sendiri kerana tanpa sedar, kasihnya buat Hazim makin jelas lantaran kebimbangannya yang bukan kepalang.
“Baru tahu?”
“Dah lama tahu, tapi tak pernah dengar,” usik Hazim lagi. Terasa panas di pipi Musliha diusik begitu.
“Kalau nak dengar, tunggu sah dulu. Tapi saya rasa takut pulak.”
“Takut dengan saya?” Hazim hairan dengan kenyataan Musliha.
Kepala Musliha menggeleng perlahan manakala wajahnya tersorok dari pandangan Hazim.
“Syafik,” jawab Musliha, perlahan dan ringkas.
“Jangan risau, dia takkan tumbuk awak. Kalau dia tumbuk pun, tak sakit mana. Tengok saya ni, maintain,”
“Hazim, ni bukan masa nak bergurau lah,” Musliha tahu, Hazim cuma berusaha untuk mengurangkan resah yang dirasakannya kini namun perkara sebegini memang sepatutnya difikirkan, bukan dipermainkan.
“Betullah, saya tak sakit pun. Dah, jangan nak buat muka monyok lagi. Apa yang awak nak risau, saya bukannya sakit sangat. Tengok ni, setakat lebam macam ni, takda hal lah,” Hazim masih meneruskan candanya.
“Ya lah tu tak sakit. Nak saya tekan lebam tu?”
“Kalau awak tekan sekuat mana pun, takkan sama dengan rasa sakit yang saya akan rasa kiranya awak tinggalkan saya,” suasana sayu datang menjengah mereka tatkala Hazim menyatakan soal hati.
Kesayuan datang menyinggah di hati Musliha sehinggakan dia sudah tidak termampu untuk berbicara lagi. Tiada kata seumpamanya buat Hazim. Dalam hati, dia mengakui, hatinya turut akan merasakan kesakitan yang sama kiranya dia terpaksa berpisah dengan Hazim. Cukuplah takdir memisahkan dirinya dengan Yusuf. Janganlah hubungan yang baru tersimpul ini dileraikan lagi. Setelah sekian lama hatinya kontang dari siraman cinta, tidak mungkin baginya untuk membiarkan hatinya berkeringan sekali lagi.
“Alia, janjilah dengan saya yang awak takkan biarkan saya rasa kesakitan tu,”
Musliha mengangguk sambil matanya merenung anak mata Hazim dengan pandangan yang sungguh tulus. Itulah ketulusan yang lahir dari hatinya.
“Apa saya nak bagitau Syafik?” kali ini, Musliha meminta pandangan dari Hazim dan bukannya menyatakan himpitan rasa di hatinya lagi. Hazim senang dengan perubahan itu.
“Saya rasa, lama-lama dia akan terima kenyataan yang hati awak ada bersama saya,” jawab Hazim, penuh makna. Hatinya yakin selagi mereka berdua taat pada cinta yang disemai bersama, selagi itulah hanya maut yang dapat memisahkan mereka.
“Masalahnya, hari pertunangan tu dah tak lama. Bulan depan je Encik Hazim,”
“Oh ya tak ya jugak eh. Nanti saya bagitau dia, tak payah susah-susah buat dulang hantaran peminangan untuk awak sebab saya yang akan ganti dia,” jawab Hazim, separa seloroh.
“Hazim, saya serius ni. Kalau tak sebab awak baru lepas kena tumbuk, dah lama saya cubit awak,” Musliha geram sungguh dengan sikap Hazim yang gemar berseloroh itu. Hazim pula tidak mengendahkan raut wajah Musliha yang membengis itu sebaliknya diledakkan tawa sekuat hatinya. Mujurlah kereta itu tidak melantunkan bunyi kerana jika begitu, sudah pasti ruang dalam kereta itu bergema dengan ledakan tawa Hazim.
“Dah lah. Jangan risau sangat, nanti saya akan cuba berunding dengan dia. Man to man talk,”
“Bila?” pertanyaan Musliha bagai desakan buat Hazim.
As soon as possible,” jawab Hazim.
“Alia, saya ada satu soalan penting,” Hazim menukar topik perbualan sementara Musliha hanya menanti apa jua soalan yang ingin diajukan Hazim itu.
“Siapa Yusuf Hazim?” tanpa lengah, soalan yang ligat bermain di ruang fikirannya dikeluarkan.
“Yusuf Hazim? Kenapa?” Musliha berasa sungguh hairan kerana seingatnya, dia tidak pernah menyebut nama sebenar Yusuf kepada Hazim.
“Tadi Syafik sebut nama tu. Dia ingat, tu nama penuh saya,”
“Bila? Saya tak dengar pun,” ketika itu, Musliha sedang ligat memikirkan alasan yang terbaik untuk diberi kepada Syafik.
“Masa saya bersalam dengan dia. Who is he?” Hazim dapat mengagak bahawa lelaki itu merupakan lelaki dalam gambar yang diambilnya dari simpanan Musliha.
“Dialah Yusuf, arwah sahabat saya yang saya ceritakan dulu pada awak,” jawab Musliha.
“Kenapa Syafik kata saya ni Yusuf?” tanya Hazim, mencari sebuah kepastian yang tersirat.
“Mungkin sebab dia dengar nama awak Hazim,” Musliha masih ingin menyembunyikan perkara sebenar kerana dia tidak mahu Hazim merasakan dirinya diterima kerana rupa yang sama dengan Yusuf kerana hal itu sama sekali tidak benar. Tautan hati yang menjalinkan perasaan Musliha buat Hazim yang melahirkan rasa cinta di hati Musliha buat Hazim, bukan kemiripan rupa parasnya dengan Yusuf. Pada Musliha, Yusuf dan Hazim masing-masing ada tempat yang istimewa di hatinya.
“Bukan sebab ni?” kali ini, soalan Hazim datang bersama dengan gambar Yusuf.
“Hazim, awak curi hak saya!” Musliha sungguh kesal dengan cara Hazim. Sungguh dia tidak menyangka selama kehilangan gambar itu, ia disimpan oleh Hazim.
“Saya tak curi, tapi saya ambil. Awak ingat tak masa kita nak ke Ipoh dulu? Masa tu awak masuk ke kedai stesen minyak. Banyak kad-kad yang jatuh dari dompet awak termasuklah gambar ni. Saya terkejut masa tu sebab tak sangka, ada lelaki yang rupanya sangat sama dengan saya. Jadi, saya simpanlah dulu sebab saya rasa, kalau saya terus tanya masa tu, awak takkan bagi saya jawapan yang tepat kan?” keterangan Hazim menyepikan Musliha sejenak.
“Dia hanya mirip dengan awak tapi dia tak sama dengan awak. Banyak perbezaan yang saya nampak antara awak dengan Yusuf. Saya minta, jangan sekali-kali awak fikir saya terima awak kerana ini tapi sebenarnya memang saya ikhlas menerima awak. Sejak awak datang kerja di sini, segala rasa kesunyian saya hilang dan kerinduan saya buat Yusuf semakin terubat. Itu bermakna, saya dah jumpa dengan orang saya perlukan,” Musliha menerangkan situasi sebenar dengan tenang agar tidak menyinggung hati Hazim.
“Saya tak terfikir macam tu. Cuma, saya dah dapat jawapan kenapa awak pandang saya semacam masa pertama kali kita berjumpa dan kenapa awak terlalu serius dengan saya di awal perkenalan,” luah Hazim pula.
“Saya akui, memang saya terkesima masa pertama kali berjumpa dengan awak. Tambah pula dengan nama yang sama, tak dinafikan saya berharap yang awak adalah Yusuf tapi lama kelamaan, saya nampak banyak perbezaan antara awak dengan Yusuf. Contohnya, Yusuf lebih keanak-anakan, awak pula lebih matang dan Yusuf lebih kurus berbanding dengan awak. Cuma ada satu persamaan yang saya nampak antara awak dengan dia iaitu minuman kegemaran, jus tembikai,” suara Musliha sungguh sayu dek kerinduan yang mula menebal di dada buat Yusuf. Walau kini hatinya terisi, namun kenangan bersama sahabat sebaik Yusuf tidak mungkin akan luput dari memori.
“Alia, la tahzan..I’m with you,” tangan Alia digenggam lembut. Dia mengerti, pasti Musliha sedang dilanda kesedihan kerana dipukul ombak rindu kepada seorang yang tiada lagi di muka bumi ini. Musliha memberi senyuman kepada Hazim lalu enjin kereta itu dihidupkan untuk kembali ke pejabat. Pasti suasana di pejabat bakal menjadi riuh dengan kesan kebiru-biruan di hidung Hazim itu. Biarlah jawapan itu terpacul secara spontan sahaja kerana fikiran mereka kini sudah berat memikirkan masalah peribadi.
“Kenapa awak tak pernah beritahu saya tentang hal Yusuf? I specifically mean about our look,” setiap patah katanya disusun rapi dan disebut lambat-lambat agar tidak ada di antara katanya bakal mengundang mendung di hati Musliha lagi. Lama Musliha terdiam, akhirnya dia bersuara memberi jawapan.
“Saya tak nak rasa sedih lagi. Buat pengetahuan awak, sejak ketiadaan Yusuf, saya seperti hilang arah. Sehinggakan kini, saya masih hantar e-mail kepada dia walaupun saya tahu, saya takkan dapat pesanan balas daripada dia lagi. Tapi, melalui luahan yang saya hantar kepada dia, saya dapat rasa segala tekanan seolah-olah hilang sama sekali. Hanya itulah satu-satunya cara untuk saya bangkit dari ratapan pemergiannya,” mutiara jernih dari mata Musliha sudah berlinangan di tubir mata di saat meluahkan kesedihan dan kemurungan yang pernah dirasakannya suatu ketika dahulu.
“Saya ada soalan lagi tapi saya takut airmata awak mengalir lagi,” kata-kata Hazim mencuit hati Musliha lalu tawa kecil dilepaskan.
“Tanyalah, selagi saya mampu, saya jawab,”
“Betul?” Hazim sekadar ingin memastikan dan sebaik kepala Musliha mengangguk kecil, lalu di fikirannya ligat menyusun kata.
“Boleh saya tahu, dia sakit apa?” soalannya diaju lambat-lambat demi menjaga hati Musliha.
“Pendarahan dalam otak akibat kemalangan. Saya tak pasti macam mana dia boleh terlibat dalam kemalangan tu sebab sampai sekarang, saya masih belum dapat peluang untuk berjumpa dengan parents dia. Jangan terkejut kalau saya cakap saya tak tahu mana kuburnya,” kali ini Musliha sudah reda dari kesedihan dalam bercerita sebaliknya dia lebih tenang dalam berkongsi kedukaan yang diharungnya selama ini bersama Hazim, lelaki yang dicintainya.
“Kenapa awak tak pergi berjumpa dengan parents arwah?” tanya Hazim lagi demi meleraikan kekusutan persoalan yang bermain di ruang fikiran.
“Selepas Yusuf meninggal, parents Yusuf berhijrah ke luar negara tapi saya tak tahu negara mana. Pernah sekali saya ke rumahnya di Cheras tapi rumah tu dah tak berpenghuni sehingga kini. Mungkin kerana tak tahu mana kuburnya, saya jadi susah untuk merelakan pemergian dia,” kereta yang sudah terparkir dihentikan dengan harapan soalan Hazim turut mengikut rentak pergerakan kereta itu.
“Maaf sebab saya terlambat datang mengganti. Saya mungkin tidak sebaik Yusuf dan mungkin tidak seistimewa dia tapi saya janji, dengan adanya saya di samping awak, awak takkan rasa sunyi lagi. Itu janji saya buat awak,” kata-katanya dihiasi nada suara yang sungguh romantik di pendengaran Musliha. Sungguh hatinya tidak ingin melihat gadis kesayangannya dirundum sebuah pilu. Biarlah kehadiran dirinya dalam hidup Musliha dapat mengubat segala duka seterusnya menceriakan hari-hari yang bakal ditempuh bersama.
Alangkah bertuahnya aku jika dapat menjadi isteri Hazim yang tulus mencintaiku. Dahulu, tika diriku melewati episod duka setelah kehilangan Umi, Yusuf sentiasa hadir di saat aku memerlukan. Hatiku terubat dengan kehadiran lelaki itu dan kini, tika diriku merindukan kehadiran Yusuf, Hazim datang mengisi kekosongan itu. Tuhan, aku bersyukur padamu kerana mengurniakan aku sebuah cinta dari seorang lelaki bernama Hazim Zakwan.
Alia..saya takkan biar awak bersedih lagi. Ketahuilah hati saya turut dilanda kesedihan setiap kali airmata awak mengalir. Rasa cinta saya buat awak jadi semakin kencang hinggakan hati ini hanya mampu bergerak mengikut arus itu. Tiada lagi daya saya untuk menahan luahan cinta ini maka saya berjanji untuk memiliki, menyayangi dan mencintai awak sepenuh hati saya. Dalam hati, Hazim memegang seribu janji demi cinta yang satu.


Usai solat fardhu Isyak, Hazim berteleku sambil muhasabah dirinya dengan penuh kekhilafan. Puji-pujian kepada Yang Maha Esa tidak putus dititipkan buat Yang Maha Esa. Selesai mengaminkan doa, daun pintunya dikuak seseorang.
Mum, masuklah,” pelawanya kepada ibu saudaranya yang terjengul di balik pintu.
“Kenapa dengan hidung Hazim ni?” nada suara wanita itu sungguh cemas kedengaran. Di fikirannya, tidak hairanlah Hazim seakan menyorok mukanya ketika tiba pulang dari pejabat tadi sehinggakan tetamu yang ada juga tidak ditegurnya seperti biasa.
“Takda apa, mum. Jatuh sikit aje,” jawab Hazim sambil sebuah senyuman diukir bagi meredakan rasa cemas yang melanda wanita itu.
“Jatuh lagi? Berapa kali lagi Zim nak jatuh ni? Mummy risau lah macam ni,” hatinya resah kerana semasa kepulangannya baru-baru ini, Hazim terhincut-hincut datang menjemputnya akibat kemalangan kecil di tapak projek dan kini, hilang hincutan di kaki, lebam di hidung datang mengganti.
“Biasalah mum, kerja macam Zim ni memang kena kental sikit. Setakat lebam macam ni, memang perkara biasa lagipun bukan Zim yang jatuh, ada benda yang jatuh atas hidung Zim. Don’t worry mum, I’m allright,”
“Ya lah tu. Nampak teruk je ni,” jawapan Hazim tidak berjaya menawan kepuasan di hatinya. Lebam di hidung Hazim dibelek-belek sambil jemarinya mengusap perlahan penuh kasih seorang ibu.
It’s okay mum. I’m not 7 years old kid but a 27 years old guy. Kejap, kenapa senyap je kat bawah, Azam mana mum?” pantas sahaja dia menukar topik perbualan kerana bimbang cerita tentang pergaduhan yang tercetus tengahari tadi terbuka.
“Dah balik dah,”
“Mama Lina pun dah balik?” soalannya merujuk kepada ibu saudaranya yang datang menziarah di rumah tadi bersama satu-satu anaknya, Azam Mustaqim. Mama Lina adalah adik bongsu dalam adik-beradik ibunya manakala Mummy Zila adalah kakak sulung dalam adik-beradik itu.
“Haah. Mummy teringat, hari tu Zim nak cerita perkara penting pada mummy kan? Apa dia?” kesibukannya menguruskan hal migrasi telah mencantas luangan waktu bersama Hazim yang sudah dianggap bagai anaknya sendiri.
“Yup. Hmm..sejak kebelakangan ni, Zim selalu termimpi-mimpi perkara yang sama. Ngeri pulak tu,” Hazim membuka cerita tentang mimpinya yang aneh itu.
“Mimpi apa?”
“Zim mimpi, Zim kemalangan dengan lori,” jawab Hazim sementara wanita di hadapannya mengurut-urut dadanya perlahan dek rasa terkejut yang bukan kepalang. Mulutnya terkumat-kamit mengucap panjang.
“Mimpi tu mainan tidur, Zim,”
“Tapi kenapa mimpi ni selalu datang, mum?” tanya Hazim lagi.
“Dah, jangan fikir sangat. Itu semua perasaan Zim aje. Okay, mummy masuk tidur dulu,” pantas, wanita itu bingkas dari tempatnya lalu membuka langkah menuju ke pintu bilik teruna itu.
Mum, mungkin kemalangan itu yang arwah ayah dan ibu lalui dulu?” Hazim masih belum putus asa untuk menelah.
“Jangan fikir sangat, Zim. Tidur ya, mummy pergi dulu. Goodnight,” lalu pintu itu tertutup rapat tanpa sempat Hazim mendapatkan jawapan yang diinginkannya.
Jauh di suatu sudut hati, Hazim yakin mimpi itu membawa makna tersirat dan barangkali kejadian itulah yang pernah menimpa dirinya sekeluarga. Namun, apa yang menjadi persoalan di dalam fikirannya kini ialah motif di sebalik kehadiran mimpi itu. Jika benar kejadian itu merupakan suatu yang pernah dialaminya, mengapa pula mimpi itu hadir acapkali dalam tidurnya kini iaitu setelah sekian lama kejadian itu menimpa dirinya.
Kenapa tidak wajah ibubapanya  hadir menggamit memori yang hilang akibat kejadian itu? Persoalan demi persoalan yang tiba dibiarkan tidak terlerai kerana dia sedar, sejauh manapun dia berfikir, jawapan yang pasti masih tiada. Hanya Allah yang tahu. Tiada upaya lagi bagi Hazim sebagai manusia biasa untuk merungkainya lagi.



4 comments: