Rossa - Takdir Cinta

Monday 8 August 2011

Bab 41


Tas tangan yang terpamer di atas rak-rak kaca itu dibelek-belek Hafizah tanpa menunjukkan rasa minat. Walau tangannya sibuk menjamah barang-barangan ternama itu namun tumpuannya tidak tumpah seluruhnya di situ sebaliknya dia lebih cenderung meladeni fikirannya yang sedang ligat berputar. Sesekali apabila Musliha bersuara, responnya diberi ala kadar sahaja.
“Awak ni kenapa? Nampak macam tak happy aje,” sedari tadi Musliha sudah dapat membaca raut wajah Hafizah itu. Sudahlah diajak keluar secara tiba-tiba, respon yang diberi juga acuh tak acuh. Sedikit sebanyak, ia membuahkan tanda soal di fikiran Musliha.
Hafizah mengeluh perlahan sambil diperhatikan Musliha. Musliha tahu, pasti ada sesuatu yang ingin dibicarakan Hafizah lalu diberikan ruang buat Hafizah untuk menyusun kata-kata sebaiknya. Mungkin sahaja hubungan Hafizah dengan Qayyum kini dilanda masalah. Musliha sekadar menelah dan dia berdoa agar telahannya meleset kerana dia tidak mahu melihat kasih antara sepasang tunangan yang sekian lama bertaut itu goyah di saat gerbang perkahwinan menanti jejak.
“Kita nak tanya awak satu soalan yang sangat penting dan yang paling penting, awak perlu jawab dengan jujur. Boleh?” raut wajah Hafizah yang sungguh serius itu mencemaskan Musliha. Apakah cemburu sudah menghasut Hafizah? Tidak dinafikan, kebelakangan ini Musliha kerap keluar bersama Qayyum demi tuntutan pekerjaan namun dia tidak pernah memasang niat untuk memancing lelaki itu jauh sekali menghancurkan hati sahabatnya sendiri. Cukuplah hatinya kini dihimpit dua lelaki, jangan pula ditambah dengan kesangsian Hafizah. Nauzubillah!
“Awak sayangkan Hazim sebab dia mirip dengan Yusuf kan?” Musliha menarik nafas lega. Lega kerana telahannya ternyata meleset namun nafasnya kembali sesak dengan soalan Hafizah. Soalan itu langsung tiada terlintas di fikirannya. Musliha terdiam sejenak sambil dahinya berkerut, memikirkan jawapan yang sesuai. Walaupun soalan itu sungguh mudah dan tidak memberi sebarang kesukaran padanya dalam menyusun kata namun fikirannya menerawang mencari punca.
“Awak kenal Hazim?” soalan berbalas soalan. Seingatnya, belum pernah dia memperkenalkan Hazim kepada Hafizah.
“Baru kenal pagi tadi. Kebetulan terserempak, Qayyum kenalkan. Sebelum ini, pernah juga kite nampak dia tapi kite ingat tu sekadar bayangan Yusuf,” jawab Hafizah, ringkas kerana jawapan Musliha yang sedang dinantikannya masih belum terperoleh lagi.
“Kite sayang Hazim, bukan Yusuf. Perasaan kite buat Yusuf dah tersimpan bersama kenangan, Fiza. Hazim dan Yusuf memang serupa tapi mereka tak sama. Banyak perbezaan yang ada antara mereka. Bukan kemiripan paras rupa yang menghadirkan rasa sayang dari hati kite buat Hazim, tapi..” keluhan kecil dilepaskan. Musliha kehilangan kata untuk menyambung ayatnya.
“Tapi?” Hafizah butuh sambungan ayat itu kerana dia masih ragu-ragu akan perasaan Musliha buat Hazim.
“Okay..cuba bagi kite sebab kenapa awak sayang Qayyum,” Musliha cuba untuk memberi Hafizah berfikir mengikut sudut pandangan sendiri.
“Sebab...” giliran Hafizah pula untuk mencari kata. Matanya melilau sambil bibirnya pula diketap, mencari jawapan. Antara malu dengan tidak pasti, Hafizah tidak tahu apakah jawapan yang tepat. Memang benar, cinta itu datang tidak terduga dan tanpa sedar, jalinan perasaan itu sudahpun menyatukan hati mereka lalu mengikat sebuah janji untuk meniti kehidupan bersama.
“Susah untuk jelaskan kan? Itulah yang kite rasa buat Hazim. Kalau awak tanya, kenapa kite sayang Yusuf. Jawapannya sebab dia sahabat kite tapi kalau awak tanya tentang Hazim, kite tak ada jawapan,” ujar Musliha.
Hafizah mengangguk perlahan sambil menilai kembali jawapan Musliha. Hatinya lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu bahawa sahabatnya yang satu itu tidak keliru dalam perasaan dan tidak buta menilai cinta.
“Kenapa selama ni, awak tak pernah bagitau kite tentang hal ni?” tanya Hafizah lagi.
“Sebab kite belum bersedia. Kite takut kalau apa yang kite nampak selama ini cuma ilusi mata sebab terlalu rindukan Yusuf,” jawab Musliha dengan jujur. Sungguh, itulah perkara yang ditakutinya iaitu permainan ilusi mata sehingga membawa wajah Yusuf di raut muka Hazim.
“Sebenarnya kite dah pernah nampak dia kat sini. Awak ingat tak masa kite keluar sama-sama dengan Qayyum untuk tinjau barang hantaran awak dulu? Masa tu, tak semena-mena kite beli kebab di Kebab King. Ingat tak?”
“Yang awak bad mood tu?” Hafizah sudah mula mengingati peristiwa itu kerana mereka berdua jarang keluar bersama dengan Qayyum.
“Ya kot. Masa tu, kite nampak dia beli kebab. Kite ingatkan, tu cuma bayangan tapi bila kite tengok dia dekat-dekat, memang sah rupa dia sebiji dengan Yusuf. Tapi bila dah lama kenal, sikap dan perwatakan antara dia dan Yusuf sebenarnya ada banyak beza. Contohnya, Hazim lebih romantik sedangkan Yusuf, dia lebih cool.” Ujar Musliha.
“Arwah tu banyak bergurau daripada serius. Sebab tu awak tak nampak sikap romantik dia. Anyway, awak pasti dengan perasaan awak?” Hafizah sekadar mencari kepastian di hati Musliha. Anggukan di kepala Musliha mengukir senyuman nipis di bibirnya. Syukur.
“Sebenarnya, kite tengah buat mogok suara dengan Qayyum,” topik perbualan mereka beralih sebaik panggilan telefon daripada Qayyum tidak berjawab dan Hafizah pasti Musliha perlukan penjelasan bagi situasi itu. Sebelum Musliha bertanya, lebih baik dia yang membuka cerita terlebih dahulu.
“Lagi? Kali ni apa pulak hal nya?” betullah sangkaan Musliha tadi. Wajah Hafizah yang mencuka itu pasti ada kaitannya dengan Qayyum.
“Hazim punya pasal lah,” mulut Musliha sedikit terlopong mendengar jawapan Hafizah. Tiada telahan yang dapat dibuat.
“Kenapa pula dengan Hazim?”
“Hazim tu kan sebiji macam Yusuf. Tentulah kite terkejut. Agaknya kite pandang Hazim lain macam kot,”
“Jadi?” Musliha tercuit dengan cerita Hafizah kerana teringat akan renungan pertamanya buat Hazim ketika pertama kali bertemu dahulu sehinggakan Hazim jatuh cinta pandang pertama padanya.
“Apa lagi, cemburu buta lah mamat tu dibuatnya. Kite nak explain, tapi dia buat tak endah aje tadi, fed up lah kite.” Hafizah meneruskan ceritanya dengan raut wajah yang cukup tegang sementara Musliha pula tersenyum mendengarkannya.
“Cemburu tu tandanya sayang,” ujar Musliha, perlahan bagaikan sedang berbisik di telinga Hafizah sambil senyumannya dileretkan bagi meredakan ketegangan di hati Hafizah terhadap Qayyum. Hafizah pula senang mendengarkannya. Baginya, pertengangan lidah atau pertelingkahan begitu merupakan rencah hidup berpasangan bagi menambah kepelbagaian perisa sebuah percintaan.


Dengusan keras dilepaskan Syafik sambil matanya merenung tepat ke dalam sepasang anak mata bundar milik gadis di hadapannya dengan tajam. Hatinya terasa bagai dipermainkan dengan permintaan itu. Memang pada awalnya, dia tidak ingin memaksa Musliha menyambut semaian kasihnya namun kini, dia tidak rela untuk melepaskan Musliha seraya kehilangan Musliha buat kali kedua apa lagi untuk menyerah kalah kepada Hazim. Keegoannya bagaikan dicabar.
“Mus pilih dia hanya kerana rupa dia yang serupa dengan Yusuf, Mus! Sedarlah.” Syafik cuba untuk menyedarkan Musliha yang pada fikirannya, sedang keliru memilih insan untuk berkasih.
“Tak Fik. Dulu memang Mus ragu-ragu tapi sekarang Mus yakin. Hati Mus tak dapat menerima Fik sebagaimana Mus pernah terima Fik suatu ketika dulu sebaliknya hati Mus sekarang hanya ada buat Hazim. Fik, tolonglah faham perasaan Mus. Kalau betul Fik ada di samping Mus selama Mus berduka, Fik pasti tahu betapa kosongnya hati Mus dan sekarang, di saat hati Mus mula terisi, kenapa Fik perlu jadi penghalang?” ujar Musliha dengan nada separa merayu.
“Jadi selama ni, penantian Fik hanya sia-sia?” walau selama ini dia menanti dengan penuh kesetiaan namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengharapkan balasan daripada Musliha tetapi kini apabila penantiannya sudah menemui pintu keluar, Musliha pula bagai merantai kunci di pintu itu lantas pergi meninggalkan dirinya kesepian.
“Dah banyak kali Mus ingatkan Fik supaya tidak menaruh harapan yang tinggi pada Mus. Sekarang, Fik nak ungkit pulak?” Musliha tidak dapat menerima kenyataan andai dirinya dipersalahkan semata-mata kerana tidak dapat membalas kasih yang dihulur Syafik.
“Jadi, kenapa Mus terima lamaran Fik?” tanya Syafik lagi.
Aduh! Jawapan apakah yang harus ku beri sedang aku tidak pernah menerima lamarannya. Bagaimanapun aku tidak boleh menyalahkan ibu kerana ibu hanya menginginkan yang terbaik buatku. Biarlah diri ini yang terus-terusan dipersalahkan daripada membiarkan ibu dituding. Berani buat berani tanggung!
Musliha buntu memikirkan jawapan yang terbaik untuk disuarakan sementara Syafik masih menanti jawapan daripada Musliha. Kedua-duanya sepi melayani perasaan yang mencelarukan benak fikiran. Apabila sesekali terdengar dengusan Syafik, Musliha bangkit dari lamunan.
“Maaf Mus, Fik tak dapat ikut kehendak Mus yang satu ni sebab kalau Fik turutkan, ia bermakna Fik mengabaikan perasaan Fik sendiri dan Fik takkan benarkan hal sebegitu terjadi sekali lagi.” Syafik sudah memuktamadkan keputusannya.
“Mus ingat Fik dah jadi makin matang rupanya Fik masih tak berubah. Fik masih seorang yang pentingkan diri sendiri!” Musliha membentak.
“Habis tu Mus tak pentingkan diri? Bila Mus takda sesiapa, Mus terima lamaran Fik tapi bila Mus dah jumpa orang lain, Mus nak tolak Fik macam tu aje? Mus ingat Fik ni apa nak main campak ke sana ke mari?“ soalan demi soalan dilontarkan kepada Musliha dengan nada yang agak keras sehinggakan Musliha hanya mampu terdiam meskipun dadanya berombak kencang dengan bentakan sendiri.
Suasana sepi antara mereka. Kedua-duanya mendiam seribu bahasa. Musliha kehilangan kata dek soalan Fik yang akhir itu.
 “Jangan salahkan Mus kalau hati Mus ada pada orang lain dan jangan sesekali kategorikan Mus sebagai seorang yang curang.” Hatinya bagaikan dipaksa untuk menerima lelaki itu lantas dia lancang mengutarakan peringatannya agar Syafik tidak silap membuat pilihan dan jika tiada lagi jalan untuk melepaskan dirinya daripada ikatan itu nanti, peringatan itu mungkin akan membataskan Syafik daripada terus melampiaskan kemarahan dek kedinginan Musliha kelak.
“Suatu hari nanti Mus akan sayang Fik sebagaimana Fik menyayangi Mus juga. Itu janji Fik. Assalamualaikum.” Cermin mata hitam yang berada di tangannya dari tadi dipakai lalu langkahnya dibuka, meninggalkan Muslih di situ sendirian.
Tidak sanggup lagi Syafik berlama-lamaan di situ kerana semakin banyak hujah yang keluar dari si gadis, hatinya makin remuk. Tahulah dia kini bahawa cinta gadis itu tiada bersamanya lagi walau sekelumit jua.
Dalam sendirian, hati Musliha makin rancak berkata-kata namun fikirannya makin hampir dengan jalan buntu. Setelah lama berfikir, barulah mindanya membuahkan idea bagi menyelesaikan masalah ini. Puan Husna! Ya, hanya tinggal satu jalan sahaja lagi untuk meleraikan tali simpulan ini iaitu dengan memujuk Puan Husna.
Aku pasti, tentu ibu mahukan yang terbaik buatku. Tak mungkin seorang ibu sanggup melihat anaknya sengsara mengabaikan cinta yang kian bersemarak di hati. Ya Allah, Kau lembutkanlah hati ibuku agar dia dapat menurut kehendak hatiku ini. Dalam doa, Musliha memegang teguh pada satu harapan.


“Dari mana kau dapat nombor aku?” soalan menjadi sapaan. Hanya sapaan sebegitu yang paling sopan yang terlintas di fikiran Hazim buat lelaki yang pernah memberi tumbukan padanya tempoh hari. Tanpa dipelawa, Hazim langsung mengambil tempat berhadapan lelaki itu sambil pandangannya langsung tidak diberikan pada lelaki itu. Dia lebih senang membiarkan matanya melilau ke suasana sekeliling daripada berlaga mata dengan lelaki yang kaya dengan keegoan itu.
“Encik Qayyum. Thanks for coming,” jawab Syafik. Bicaranya dimulakan dengan penuh tenang. Hanya dengan satu pesanan ringkas, mereka bertembung mata pada malam ini. Suasana tegang antara mereka hanya dihiasi keriuhan suara sekumpulan anak-anak muda di meja bersebelahan mereka.
“Kau nak apa? Aku tak ada banyak masa,” ujar Hazim.
“Aku rasa kau dah tahu tujuan aku kan?” kata Syafik, separa menyoal. Hazim pula hanya memandang Syafik dengan pandangan kosong seolah-olah tidak berminat dengan tajuk perbualan yang sudahpun menjadi pilihan Syafik.
“Kau tahu tak sebab apa kau menjadi pilihan Musliha?” Syafik meneruskan tujuannya dengan sebuah provokasi sementara Hazim hanya diam membisu. Dia sudah dapat menangkap rentak Syafik yang cuba untuk menggoyah kepercayaannya buat Musliha.
“Sebab Yusuf. Yusuf Hazim, sahabat Mus yang paling istimewa dalam hati dia. Tentu kau tertanya-tanya, apa kaitan antara kau dengan arwah Yusuf kan? For your information, rupa kau saling tak tumpah dengan arwah Yusuf. Aku nampak betapa bermaknanya Yusuf dalam hidup Musliha. Buktinya, aku yang merupakan cinta pertama dia sanggup diabaikan, ditinggalkan semata-mata kerana Yusuf.
Aku akui, aku tak akan dapat rampas tempat Yusuf di hati dia walaupun aku pernah memiliki cintanya. Tapi mungkin dah jodoh aku dengan Mus, Yusuf pergi menyahut panggilanNya. Aku yang beri dia semangat ketika dia bagaikan hilang arah selepas kematian Yusuf. Itu bermakna, Mus memang dah tertulis buat aku. Jadi, aku minta kau tinggalkan Mus supaya  Mus dapat kembali berpijak pada realiti dan tidak terus jadikan kau sebagai tempat untuk dia lepas kerinduan buat Yusuf.” Terang Syafik, panjang lebar dengan nada yang kadangkala ada turun dan naiknya namun masih tenang.
“Dah habis?” giliran Hazim pula untuk melancarkan provokasi.
“Kau memang buang masa aku kalau kau nak bersemuka dengan aku hanya untuk ceritakan perkara yang dah lama aku tahu. For your information,  aku dengan Yusuf masih ada banyak perbezaan yang kau tak tahu tapi Mus tahu. By the way, aku ada hal. Gerak dulu!” Hazim bingkas dari tempat duduknya dan sebelum meninggalkan Syafik, dia masih sempat berpaling dan sebuah pesanan sinis disampaikan.
Bro, next time, do talk something that you walked.” Kata-kata itu dilontarkan diiringi sebuah senyuman sinis yang bisa membangkitkan kemarahan sesiapa sahaja yang disindir. Sejurus itu, Hazim langsung melangkah ke arah keretanya sambil bersiul perlahan tetapi cukup untuk memanaskan cuping telinga Syafik.
Bengang dengan kenyataan sinis itu, sebuah tumbukan dilepaskan pada permukaan meja di hadapannya sambil giginya terkancing rapat. Hati Syafik membengkak. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan cara Hazim tadi. Beberapa keluhan berat dilepaskan bagi meredakan kemarahan yang melanda dirinya.
“Sial!” Syafik menyumpah seranah sendirian yang sebenarnya ditujukan kepada Hazim walaupun Hazim kini tidak lagi berada di hadapannya. Beberapa lelaki muda di meja bersebelahan tidak melepaskan peluang untuk memasang mata pada kelakuan Syafik yang aneh itu.
“Kau tengok apa?” dengan nada berang, Syafik seolah-olah sedang melampiaskan kemarahannya pada lelaki-lelaki berkenaan yang sedari tadi asyik meneliti kelakuannya.




4 comments:

  1. kesian dia..dia pun dah lama tunggu tu

    ReplyDelete
  2. mane bab 42 niiiii...:(

    ReplyDelete
  3. Nice blog :)
    salam kenal sobat :)
    Buatlah hari esok lebih baik dari sekarang !
    di tunggu kunjungan balik.nya!terimakasih ...

    ReplyDelete