Rossa - Takdir Cinta

Tuesday, 24 May 2011

Bab 3


Baju blaus hijau dipadankan dengan jeans gelap digayakan Musliha untuk ke hospital. Pada mulanya dia memilih baju berwarna kelabu tetapi akhirnya Musliha bertukar fikiran dan memilih warna hijau kerana Musliha ingin tampak ceria, mudah-mudahan dapat memberi sedikit keceriaan kepada Puan Liana dan terutamanya, Daniel. Perasaan sedih dan hiba datang menyelubungi tatkala mengingatkan tujuannya ke hospital namun, di sebalik kesedihan itu, masih ada perasaan teruja apabila mengenangkan persepakatan mereka berempat untuk pergi melawat Daniel bersama-sama pada hari ini.
Lama benar Musliha tidak berjumpa dengan sahabat-sahabatnya. Belum pernah dia temu sahabat-sahabat sehebat Umi, Hafizah, Yusuf dan Daniel. Semasa Musliha berada di zaman tadika, Daniel dan Umi ialah temannya pada setiap masa. Permainan yang selalu dimainkan bersama ialah ‘kahwin olok-olok’ di mana Daniel adalah pengantin lelaki, Umi sebagai pengantin perempuan dan Musliha sebagai mak andam.
Ke mana mereka pergi pasti bertiga dan pernah satu ketika Daniel dimarahi pakciknya kerana bermain di luar rumah hingga senja hari, Umi menangis teresak-esak kerana tidak sanggup melihat Daniel dimarah dan dipukul. Musliha lah yang memohon ampun kepada pakcik Daniel dan mereka berjanji untuk tidak mengulangi hal yang sama. Apabila di bangku sekolah, mereka berkenalan dengan Yusuf dan Hafizah.
 Mereka sering  bermain, berehat dan belajar bersama. Kenangan dengan mereka tidak akan pernah dilupakan Musliha dek kerana keakraban yang tidak mungkin diperolehi dengan mudah. Kini, Daniel terlantar sakit di hospital. Inilah masanya untuk mereka bersama-sama memberikan semangat kepada Daniel agar mungkin Daniel dapat meneruskan hidup seperti yang lain dan dapat menduduki peperiksaan PMR yang menjelang tiba.
“Mus kirim salam ibu kepada Puan Liana ya. Bagitau dia, ibu minta maaf sebab tak dapat datang.”
“Baiklah bu, Mus pergi dulu ya,” tangan ibunya dikucup sebagai meminta restu.
“Ya lah, baik-baik ya nak. Baca ayat-ayat pelindung tu. Nanti jangan balik lewat sangat pulak. Melawat tu, melawat jugak tapi jangan sampai keselamatan diri terabai. Ingat tu, Mus.”
“Ok bu, don’t worry. I’ll be fine. InsyaAllah, Mus balik before Maghrib,”
Musliha melintas jalan untuk menunggu teksi sejurus selepas bersalam dengan ibunya. Dia memang sudah biasa menaiki kenderaan awam sejak ekonomi keluarganya makin lemah. Sejak itu, keluarga Musliha tidak berkereta lagi. Ke mana sahaja mereka pergi, teksi atau bas lah yang menjadi pengangkutan mereka. Sesungguhnya Puan Husna sangat membimbangi anak gadisnya itu tetapi dia tetap membenarkan Musliha ke Hospital Pantai kerana Puan Husna tahu betapa akrabnya hubungan persahabatan Musliha dan Daniel yang sudah terjalin sejak mereka berdua berumur enam tahun lagi.
“Assalamualaikum, Umi..” Musliha teragak-agak kerana takut tersalah orang.
“Waalaikumsalam, Mus!” wajah itu jelas dengan sinar keceriaannya mendapatkan sahabat yang sudah lama tidak ditemu.
“Alhamdulillah, awak cam lagi kite kan?” kata Musliha sambil kedua-dua mereka berpelukan.
“Mestilah, kan baru je hari tu awak hantar gambar terbaru awak. Awak apa khabar?”
“Kite sihat, Alhamdulillah. Awak nak ke mana ni?”
“Nak ke kafe sekejap, lapar pulak rasa. Awak nak apa-apa?”
“Takpa..takpa..kite baru je sarapan kat rumah tadi. Tunggu lunch nanti je lah,”
“Betul ni? Air pun tak nak?”
“Kite ada bawa air. Takpa. Thanks by the way. Wad Daniel kat mana? Semua dah sampai ke?”
“Oh, wad Daniel no 237, tingkat dua. Yusuf dah ada kat atas. Makcik Na balik kejap, nak ambil baju katanya. Awak pergi lah, nanti keluar lif tu confirm awak nampak Yusuf.”
Allright. Kite naik dulu ek”
“Okay.” Umi meneruskan langkahnya ke kafe.
Umi tak banyak berubah. Sikap lemah lembutnya masih kekal. Musliha berfikir sendirian dan dia penasaran apa sikapnya juga tak berubah atau dirinya kini tidak sama lagi dengan Alia Musliha yang dikenali mereka dahulu. Musliha tersentak daripada lamunannya sebaik ternampak Yusuf yang sedang tercegat di depan lif.
“Eh, nak ke mana?” sapa Musliha.
“Tak ke mana pun. Saja je berdiri kat sini,” Yusuf membatalkan niatnya untuk ke lobi kerana sedikit teruja dengan kehadiran Musliha di situ.
“Mana wad Daniel?” Musliha terlupa nombor wad yang diberikan Umi tadi.
“Jom ikut kite,” Yusuf pantas membuka langkahnya ke wad tersebut sambil diiringi Musliha.
“Dah lama ke awak sampai?”
“Tak lah lama sangat. Baru je sejam lebih. Daniel tidur. Tadi masa kite baru sampai, doktor baru bagi dia ubat tidur. Nanti nak lunch, dia bangun lah,”
“Oh, so, macam mana? Doktor kata apa?”
“Hmm...keadaan paru-paru Daniel makin okay, sebab tu dia dah tak payah pakai alat bantuan tapi katanya, bila-bila masa je paru-paru dia boleh berair semula kalau dia kurang rehat. Bila dah berair, darah tak sampai jantung. Tu lah yang membahayakan,” terang Yusuf sementara Musliha setia mendengar. Sebaik tiba di wad berkenaan, ibu jarinya menunjukkan Daniel kepada Musliha walau sudah jelas di penglihatan Musliha.
“Daniel pun handsome lah,” suara Musliha perlahan, bagai sedang bercakap kepada dirinya sendiri.
“Kenapa ‘pun’?” Yusuf bertanya sambil mengangkat kening kirinya.
“Lantaklah kite nak kata apa pun. Sibuk je.” Musliha menjawab, bengis.
Yusuf tersengih sendiri. Dia masih teringat-ingat reaksi Musliha tika kali pertama melihat dirinya tempoh hari. Teruja dalam marah.
“Apsal awak ni? Tersengih-sengih,”
“Lantaklah kite nak sengih ke apa pun. Sibuk je.” Yusuf mengejek cara Musliha berkata-kata.
“Yusuf, kata nak tunggu kat lobi, lama kite tunggu tau,” tanpa disedari mereka, Umi tiba di belakang mereka dengan segelas teh panas dan roti canai yang dipesan Yusuf tadi.
“Eh, sorry..sorry. awak dah makan ke belum?” kata Yusuf sambil menyambut makanan dan minuman yang dipesannya tadi kepada Umi sementara Umi hanya mengangguk sebagai memeri jawapan kepada soalan Yusuf.
“Bukankah awak nak turun ke lobi masa kite sampai tadi tu?” tanya Musliha.
“Eh, tak, tadi memang kite saja berdiri kat situ,” Yusuf termalu sendiri. Sememangnya dia mahu ke lobi ketika Musliha tiba tadi tetapi dia telah membatalkan niatnya lantaran keterujaan untuk menyambut Musliha.
“Apa-apa je lah,” Musliha sudah masak dengan sikap Yusuf yang penuh helah itu.
Sedang Yusuf menikmati sarapannya, Umi dan Musliha rancak berbual dan berkongsi cerita. Umi Rasyidah, anak kedua daripada tujuh adik-beradik mengalami masalah sepanjang hidupnya sejak kecil, hingga kini. Bapanya seorang kaki judi dan kaki mabuk, selalu membuat masalah kepada keluarga tersebut. Ibunya pula, Puan Maryam terpaksa bekerja keras setiap hari demi menampung perbelanjaan keluarga. Kakak Umi tidak dapat menyambung pelajarannya selepas SPM kerana perlu membantu ibunya. Pendapatan ibunya sebagai kerani sekolah belum cukup untuk menampung perbelanjaan pelajaran tinggi bagi kakaknya. Disebabkan itulah, kakaknya sanggup berkorban demi dua adik perempuan dan empat adik lelaki di mana kenam-enam mereka masih berada di bangku sekolah.
Seukir senyuman nipis di bibir Puan Liana menyenangkan hati Yusuf, Musliha dan Umi kerana sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa kehadiran mereka pada ketika itu tidak menjadi masalah bagi Puan Liana.
“Dah lama sampai?” pertanyaan Puan Liana dituju kepada Musliha.
“Taklah lama sangat makcik, masa makcik baru je pergi tadi, saya baru sampai. Ibu kirim salam kat makcik. Dia minta maaf sangat sebab tak dapat datang, kalau tak, takda siapa boleh jagakan adik-adik,” Musliha menjawab sambil menghulurkan sepuluh jarinya kepada Puan Liana lalu dikucupnya lembut.
“Waalaikumsalam. Takpa, makcik faham. Keselamatan adik-adik Mus tu lebih penting. Sorry Yusuf and Umi, lama pulak makcik pergi, kata tadi sekejap je kan? Jalan jam lah.”
No worries, makcik. Biasalah, ni kan time orang-orang masuk pejabat” jawab Yusuf, selamba.
“Dani sedar tak tadi?”
“Tak, langsung tak. So, basically makcik langsung tak menyusahkan kami because what we were doing was just chatting,
“Nak sedapkan hati makcik la tu kan?” Puan Liana cuba mengagak.
“Betullah makcik, kami bersembang je tadi. Ya lah, dah lama tak jumpa. Rindu...” Musliha mengiyakan kata-kata Yusuf.
“Tak ganggu you all study ke ni?”
“Ala makcik, sekali-sekala otak ni kena la rest sikit. Asyik study je, tepu pulak nanti.” Berderai tawa mereka dengan celahan Umi.
Mereka terus berbual dan terkadang, Yusuf menyulam senda dalam bicaranya. Dia cuma ingin melihat ukiran senyuman di wajah ibu tunggal itu. Acapkali usikannya menuju Musliha dan setiap kali diusik, Musliha pasti menarik muka seolah-olah merajuk dengan gurauan Yusuf. Puan Liana mampu tersenyum melihat gelagat mereka yang tidak berubah sedari dulu. Sedang mereka asyik berbual, jam sudah pun menunjukkan tepat pada pukul 12 tengahari. Dengan adanya mereka, masa Puan Liana berlalu lebih pantas berbanding biasanya. Musliha meminta diri untuk ke kafe memandangkan perutnya yang sudah mula meminta sesuatu untuk diisi dan sebaik sahaja Musliha mengangkat diri, pelengkap kepada lima sahabat itu tiba dengan membawa beberapa plastik bercoret logo KFC.
“Mus!!” Hafizah memeluk Musliha dengan tangan yang penuh dengan beg-beg plastik itu. Sungguh dalam rasa rindu Hafizah kepada Musliha hingga membuatkan dia terpeluk rakannya itu walaupun dia terkenal dengan sikap kasarnya dan dia bukanlah seorang kawan yang murah pelukan. Namun, dia tidak berasa janggal untuk memeluk Musliha pada waktu itu kerana dia sudah lama merindukan sahabatnya itu.
“Fiza, awak apa khabar?”
“Kite okay sangat-sangat. Awak datang seorang diri je ke? Makcik Husna mana?” suara Hafizah agak kuat sehinggakan Umi memberi isyarat kepadanya untuk memperlahankan suaranya.
“Ibu tak dapat datang, sebab kalau tak, takda siapa boleh jagakan adik-adik. Kite datang dengan teksi tadi. Awak datang sendiri ek?” Musliha boleh mengagak apabila terlihat kunci kereta yang berada di dalam genggaman Hafizah.
“Haah, takda siapa boleh tolong hantarkan lah,” Musliha tahu, Hafizah sungguh berani bahkan memandu tanpa lesen juga berani dilakukannya.
“Isyh, awak ni, kalau kena tahan macam mana?”
“Ala dekat je dengan rumah, takda polis punya lah. Jangan risau.”
“Kenapa lambat, Za?” Umi mencelah.
“Ada hal sikit tadi, terpaksa tunggu sekejap,” Hafizah menjawab sambil bersalaman dengan Puan Liana.
“Bawak makanan banyak-banyak ni untuk siapa Za? Dani bukan boleh makan pun semua ni. Za menyusahkan diri sendiri je tau,”
“Takpa makcik, saya ada. Hehe” Yusuf cuba bersenda sekali lagi.
“Ni bukan untuk awak ye, Encik Usop Suntorian, ni untuk pesakit.” Hafizah menyahut senda Yusuf. Semasa zaman kanak-kanak, itulah panggilan yang digunakan untuk mengejek Yusuf sempena nama watak animasi yang pada suatu ketika dahulu sangat popular di kalangan kanak-kanak.
“Ya lah, tapi pesakit tak boleh makan benda-benda macam ni. So,apa salahnya kalau kite tolong makan, tak gitu?”
“Tak salah Yusuf, tapi bukan awak seorang je yang makan ye, kita semua sekali” kata Musliha pula.
“Tak kisahlah, asalkan dapat makan, itu lebih penting” lalu mereka pun menikmati santapan itu bersama-sama di ruangan yang telah tersedia.
Musliha beredar ke wad Daniel sesudah menikmati makanan yang dibawa Hafizah. Seronok benar apabila sekali-sekala bersama dengan mereka. Melihatkan Puan Liana yang tidak jemu mengukir senyuman di bibir, Musliha lebih bersenang hati. Sebaik pintu wad itu dikuak, Musliha  bersyukur kerana dapat melihat kelopak mata Daniel berkelip. Itulah masa yang dinantikannya. Dia terlalu ingin untuk bercakap dengan Daniel yang dianggap seperti abangnya atas sikap kematangan Daniel sedari dulu.
“Daniel, awak nampak kite?” Musliha bertanya lembut. Daniel tersenyum melihatkan Musliha begitu berhati-hati menyusun tutur kata.
“Mus, kite masuk wad bukan sebab buta. Mestilah kite nampak awak.” Daniel menjawab perlahan. Namun masih sempat bercanda.
“Ya tak ya eh. Bukan apa, kite takut awak tak sedar. Lupa pulak, tadi tu awak tidur je kan?”
“Ibu Husna mana?” dalam keadaanyya seperti itu, dia masih ingat akan wajah-wajah yang suatu ketika dahulu sering ditatapnya. Musliha member jawapan yang sama seperti yang telah diberikan kepada Puan Liana dan Hafizah tadi lalu kiriman salam Puan Husna dihulur.
 “Waalaikumsalam. Kirim salam balik kat ibu ek.” Jawab Daniel. Perlahan, Daniel menoleh ke arah meja bersebelahan dengannya.
“Kenapa Dan, awak nak air ke?” Daniel sekadar mengangguk lalu Musliha terus menuangkan air ke dalam cawan yang tersedia dan diberikan kepada Daniel menggunakan sudu kerana Daniel tidak mampu minum sendiri menggunakan cawan. Pilu hati Musliha melihat keadaan sahabatnya yang berkeadaan sebegitu rupa. Jauh di sudut hatinya, dia berdoa agar Daniel dapat meneruskan hidup seperti sediakala. Amin.
“Dani dah sedar?” Hafizah muncul di balik pintu wad.
“Dah,” jawab Musliha, ringkas.
“Daniel, awak okay? Nampak kite tak? Dengar tak?”
“Fiza, cuba tanya slow-slow. Kesian Dan tau, tak sempat nak jawab, awak terjah lagi dengan soalan baru,”
“Acah je, nak bagi Dan semangat sikit dengar soalan bertubi-tubi daripada kite,”
Daniel tersenyum mendengarkan usikan Hafizah dengan lagak ganasnya itu. Puan Liana menguak pintu dan wajahnya tenang melihatkan anak terunanya yang sudah sedar dari tidur. Dia berasa sangat tenang pada hari ini kerana doktor yang merawat Daniel, Dr. Fahim mengatakan Daniel sudah mula stabil sejak pagi tadi. Walaupun Daniel tidak banyak berkata-kata, tetapi paru-parunya mula beransur pulih dan dia masih memerlukan rehat yang secukupnya. Seorang jururawat datang untuk memberikan susu kepada Daniel sebagai makan tengahari. Daniel belum mampu makan makanan pepejal kerana buah pinggangnya perlukan tenaga minima untuk menghadam memandangkan paru-parunya yang berada dalam proses rawatan.  Yusuf dan Umi masuk ke dalam wad sejurus selepas jururawat tersebut berlalu pergi daripada wad tersebut.
“Kenyang tak, Dan?” Yusuf masih dengan gurauannya.
“Tak rasa apa-apa pun,”
“Alahai kesiannya” Daniel tersenyum lebih lebar mendengarkan usikan Yusuf. Dia tahu, Yusuf dan yang lain-lain berusaha memberinya semangat untuk pulih namun tiada siapa dapat menolak jika maut datang memanggil. Puan Liana keluar sebentar mendapatkan panggilan di telefon bimbitnya. Setelah diberikan ubat, sekali lagi Daniel perlu tidur.
“Umi, kalau ada apa-apa, kuatkan hati ya. Jangan cengeng tau. Tolong kirim salam kite kat mama.” Umi mengangguk kecil.
“Korang janganlah berpisah, selalulah bersama sebab dunia hanya sementara dan satu hari, malaikat pasti datang mengambil kita,” mereka yang lain sekadar mengangguk kepada Daniel lalu dengan perlahan, lenalah Daniel sebaik terkesan dengan ubat yang telah diminumnya. Musliha duduk di kerusi yang berada di samping Daniel. Diperhatinya sahabat karib yang sedang terlena itu. Umi dan Hafizah berlalu ke tandas manakala Yusuf setia di kamar wad itu.
 Sedang wajah tenang Daniel diperhatikan Musliha, mesin bacaan nadi yang sentiasa berbunyi mengikut denyutan nadi si pesakit itu tiba-tiba berubah kepada satu bunyi desing yang tidak terhenti. Satu garisan merah berterusan dilihat di kaca mesin itu. Musliha menelan air liurnya sebaik menyedari denyutan nadi Daniel tidak dapat dibaca lagi. Yusuf keluar dan memanggil beberapa jururawat yang berada tidak jauh daripada wad tersebut. Dengan segera, Dr. Fahim dan empat orang jururawatnya berlari menuju ke wad 237 dan melakukan sebarang usaha bagi mengembalikan denyutan nadi Daniel. Puan Liana yang sedang berbicara di telefon bimbit menghentikan perbualannya sebaik melihat Dr. Fahim yang berkejaran ke arah wad Daniel.
Sebaik menapak ke dalam wad, Dr. Fahim sedang menarik selimut hijau menutupi seraut wajah tenang anak terunanya. Lututnya terasa lemah, jantung seakan berhenti, air matanya jatuh tanpa dipaksa namun wajah Puan Liana masih tenang dan redha akan pemergian itu. Musliha pantas mendapatkan Puan Liana yang jatuh terduduk. Umi dan Hafizah yang sedang menuju ke arah wad hairan dengan keadaan Puan Liana yang kelihatan begitu lemah di pintu wad berkenaan. Jururawat yang datang dari arah wad Daniel menepuk bahu Umi lalu diberinya ucapan takziah. Umi masih mamai dengan suasana itu walaupun telah ada sepatah ucapan takziah daripada jururawat tadi. Pesanan Daniel sebelum tidur tadi terngaiang-ngiang di kepalanya lalu dia mendapatkan Puan Liana lantas disampaikannya salam terakhir daripada Daniel di telinga Puan Liana.
Kesedihan menyelubungi segenap ruang. Yusuf masih menatap jasad yang terkujur kaku di depannya. Baru beberapa minit lepas bibir itu tersenyum, baru beberapa tika yang lepas mata itu ditatap dan baru sahaja tadi dia sempat bersenda dengan lelaki itu namun kini, hanya jasad yang tertinggal. Tiada lagi senyuman terukir dan sinar di mata itu. Tertitis air mata lelakinya tatkala mengenangkan ketiadaan sahabat lelaki yang paling akrab dengannya.
Musliha yang tidak mengalirkan air matanya memberi kekuatan kepada Puan Liana melalui dakapan yang amat erat manakala Hafizah yang juga tidak menitiskan air mata menenangkan Umi yang berada di dalam esakan. Bukanlah Hafizah dan  Musliha tidak merasakan kesedihan itu, tetapi mereka bukan seseorang yang boleh menitiskan air mata di hadapan orang lain bahkan Puan Husna sendiri tidak pernah melihat setitis pun air mata Musliha. Sudah tertulis, setiap yang bertemu pasti akan berpisah dan setiap yang datang pasti akan pergi. Musliha redha.



No comments:

Post a Comment