Musliha sangat bersenang hati pada hari ini. Senyumannya tidak lokek dari bibir mungilnya. Senyuman dan keceriaan itulah yang dirindukan Puan Husna. Biarpun bukan aku yang dapat hadiah itu asalkan anakku mampu tersenyum dan ceria, aku turut senang. Bisik hati Puan Husna. Hasil kerja sambilan Musliha semasa cuti, ditambah dengan beberapa hadiah kemenangan cerpen-cerpennya di sekolah, Musliha dapat memiliki sebuah telefon bimbit yang dibelinya sendiri. Dengan adanya telefon bimbit itu, mudah baginya untuk berhubung dengan sesiapa jua terutama sekali, ibunya.
“Ibu, lepas ni bolehlah Mus contact diorang kan bu? Yelah, diorang semuanya dah ada handphone masing-masing. Tapi bila nak berhubung dengan kawan yang paling jauh ni, terpaksa pakai surat lagi,” keceriaan jelas terpancar di raut wajah anak gadis itu.
“Tapi Mus kena pandai-pandai guna tau. Nak call sekali-sekala tu boleh, tapi tak bolehlah lama. Mus faham kan?” Puan Husna berkata-kata dengan nada yang cukup lembut, takut kalau kata-katanya bakal mengganggu keceriaan Musliha. Dia tahu Musliha faham dengan apa yang dimaksudkannya sebentar tadi.
“Faham. Mus janji, Mus takkan minta ibu belanjakan kredit telefon Mus. Mus memang dah berazam untuk pakai duit sendiri je,” niat Musliha cuma satu, tidak ingin membebankan ibunya sebaliknya, penggunaan telefon bimbit itu diniatkan untuk meringankan kerisauan Puan Husna terhadapnya.
“Yusuf and the gang dah tahu ke Mus dah ada handphone ni?”
“Belum. Mus tengah bagi SMS kat diorang la ni,bu” tiba-tiba hatinya pilu mengenangkan hanya tiga orang sahabat yang tinggal untuk dirinya berkongsi kegembiraan. Mus..Mus..kenapa kau selalu rasa macam ni? Daniel pergi menyahut seruan Illahi dan itu adalah sebuah ketentuan yang tidak akan cepat atau lewat walau sesaat jua. Daniel, semoga awak tenang di sana. Bisik hatinya penuh keredhaan. Pemergian Daniel sememangnya adalah sebuah kenangan duka yang tidak dapat dilupakannya. Namun kini, setelah dua tahun sahabatnya itu tiada, Musliha redha dengan ketentuan Yang Maha Esa.
Hujung minggu hadapan, mereka akan berjumpa di perpustakaan negara untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Berbekalkan wang Biasiswa Persekutuan Kecil yang diperoleh Musliha, perbelanjaan untuk ke sana ditanggung dirinya sendiri. Begitulah utuhnya azam Musliha yang tidak mahu menyusahkan Puan Husna. Tambahan pula kini, ibunya tidak lagi tinggal bersama suami dek kerana perbuatan Encik Musa yang telahpun ketahuan. Benarlah apa yang selama ini mereka anak-beranak sangkakan, Encik Musa sememangnya beristeri dua cuma mungkin ketika pengintipan Datuk Yusuf, dia tidak membawa isteri keduanya ke Bangkok. Semuanya ketahuan setelah Puan Husna sendiri yag menjawab panggilan daripada madunya. Sejak itu, Musliha dan adik-adiknya yang tidak dapat menerima kenyataan telah bertindak seolah-olah memulaukan bapanya setiap kali bbapanya ada di rumah. Mereka memerlukan masa bagi menelan kepahitan itu.
Kami sayang ayah, Mus tak pernah benci ayah, Cuma Mus terkilan dengan kesanggupan ayah melukakan hati ibu yang telah banyak berkorban untuk ayah dan kita semua. Teganya ayah mengguris hati isterimu yang sentiasa menyayangi dan mentaatimu. Mus tidak merancang untuk mengecilkan hati ayah, tapi Mus tidak ingin berbicara dengan ayah dalam kepura-puraan, Mus tidak ingin melihat ayah dengan ada rasa benci di dasar hati. Namun, jika ayah nekad untuk tidak lagi bersama keluarga, siapa Mus untuk menghalang hasrat ayah. Tiada lagi upaya Mus untuk memujuk ayah kerana hati ini telah dilukai. Bisik hatinya.
Selama mereka sekeluarga dihimpit kemiskinan, selama itulah perkahwinan kedua ayahnya disembunyikan. Manakan mampu Encik Musa menampung perbelanjaan dua buah keluarga dengan pendapatan yang tiada tentunya. Pada hari kegembiraan Musliha ketika dia mengambil keputusan PMR, Musliha mendapati ibunya yang sedang lesu kesedihan di samping kakaknya. Adakah berita tentang kejayaan Musliha mendapat 8A telah menumpahkan airmata ibunya? Tapi mengapa airmata itu seperti dimiliki kesedihan? Mengapa ayahnya seakan-akan memujuk ibunya? Sebulan selepas kejadian itu, Encik Musa menghilang, tidak lagi kembali ke pangkuan keluarga. Tiada dapat mereka hubungi ketua keluarga itu lagi. Dari Taman Sri Muda, mereka berpindah ke Bandar Sunway, berdekatan dengan tempat kakaknya bekerja, bagi membawa Puan Husna jauh daripada kesedihan yang sentiasa menyelubunginya selama berada di Taman Sri Muda.
Hari-hari yang dijalani Musliha kini lebih bahagia walau dengan ketiadaan bapanya. Setiap kali tekanan menjenguk hati, pasti dia akan menghubungi Yusuf dan meluahkan segalanya. Musliha sedar, sememangnya Yusuf seorang sahabat yang tiada galang gantinya. Namun, dia hanya sahabat, tidak lebih dan tidak kurang.
“Tut..tut..” Musliha tersentak dari lamunannya mendengarkan bunyi telefon bimbit yang berada di hujung katil.
“Umi?” Musliha tertanya sendiri. Hairan. Baru tadi mereka berbual di telefon dan kini, sekali lagi Umi menghubunginya.
“Assalamualaikum, Mus, sorry ganggu lagi,”
“Waalaikumsalam, takpa, tak ganggu pun. Kenapa?”
“Erm..sebenarnya takda apa-apa pun, Cuma kite nak minta maaf kalau kite ada tercakap apa-apa yang boleh buat awak terasa,”
Apa kena pulak dengan budak ni? Takkanlah soalan biologi pun boleh buat aku terasa? Musliha kehairanan.
“Takdalah. Mana ada apa-apa, tak terasa lah,”
“Ye lah, mana tau kan? Selama ni, surat yang kite bagi kat awak ke, percakapan kite masa jumpa awak minggu lepas ke,”
“Oh, takda hal lah. Relax sudah”
“Awak halalkan air yang awak belanja tu tau. Semua bendalah, halalkan ye”
“Ye, ye..dah lama dah kite halalkan. Alah, kite kan sahabat, takkanlah benda-benda kecik pun nak berkira. Kite pun sama lah dengan awak. Jap,awak nak pergi mekah ke yang minta maaf,halal bagai ni?” Musliha cuba merungkai persoalan yang membelitnya.
“Haha..tak lah..saja..senang hati kite dengar awak cakap macam tu. Kite tak dapat contact Yusuf lah, kalau awak dapat contact dia, kirim salam ya”
“Insyaallah. Ok lah, kite ciao dulu, nak solat Maghrib. Awak dah habis kerja belum?”
“Dah, tengah jalan lah ni. Doa kan kite ya dalam solat tu,”
“Allright. Kite doa moga-moga awak terbuka hati nak belanja kite dengan duit gaji awak tu,”
“Insyaallah, kalau ada umur yang panjang. Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam” Musliha kagum dengan sikap Umi yang sentiasa luhur hatinya dan rajin bekerja di hujung minggu demi menampung perbelanjaan hariannya di sekolah.
Musliha berniat untuk tidak menyentuh buku pelajaran pada pagi ini kerana dia ingin merehatkan mindanya buat seketika sebelum mengahadapi peperiksaan percubaan SPM esok. Tangannya mencapai suratkhabar yang berada di atas meja makan. Musliha terus membelek ke bahagian sukan tanpa meneliti bahagian lain terlebih dahulu. Berita sekarang ni takda apa pun, bosanlah macam ni. Getus hatinya. Lalu dia meletakkan surat khabar itu dalam keadaan asal. Gadis dirogol dan dibunuh dijumpai di dalam semak. Itulah tajuk utama suratkhabar pada hari ini. Tajuk tersebut cukup menyentuh hati gadisnya lalu dibaca tempat dan tarikh perkara itu berlaku. Sebelum sempat mencari tempat kejadian, gambar ibu mangsa menarik perhatiannya.
Aku kenal rupa ini. Ya, aku masih ingat, dan aku pasti, aku kenal rupa ini. Musliha bermonolog dalam hati. Rupa wanita itu persis Puan Maryam, ibu Umi. Ditelitinya lagi, gambar Puan Maryam dilabelkan ‘ibu mangsa’. Lantas dia membaca berita penuh tentang tajuk tersebut.
Cheras – Seorang gadis yang ditemui di dalam semak berdekatan sebuah pasarraya di Cheras ditemui mati dalam keadaan mengaibkan. Mangsa dipercayai dirogol dan dibunuh semalam, kira-kira pada jam 7 ke 8 malam sewaktu mangsa pulang ke rumah sesudah habis waktu kerja. Ibu mangsa, Maryam Mustapha berkata anaknya, Umi Rasyidah Rashid, 17 tahun bekerja pada hari terakhir sebelum menduduki peperiksaan pada Isnin ini (esok).
“Fiza, Umi..betul ke?” Musliha bertanya dalam esakan.
“Kite baru nak tanya awak,” suara Hafizah juga sebak di hujung talian.
“Fiza, jom pergi rumah Umi. Tapi kite tak dapat call ibu, kakak pun sama,”
“Awak tenang, kite cuba call Yusuf dulu. Awak try la call kakak awak lagi. Nanti kalau kite dah dapat call Yusuf, kite pergi dengan dia. Sebab parents kite takda kat rumah ni,”
“Ok..apa-apa hal, roger tau,”
“Allright, Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam”
Jari-jemari Musliha ligat mencari nama kakaknya untuk dihubungi.
“Helo, kak Fira, kat mana ni?”
“Pasar. Kenapa ni? Macam cemas je,” Aira Musfira hairan mendengar suara cemas adiknya.
“Kak, boleh balik sekarang tak? Umi, kawan Mus,” ayatnya tidak sanggup untuk disambung.
“Umi? Kenapa dengan Umi?”
“Susah nak cakap, kak Fira balik je la,”
“Ok..ok..akak tunggu ibu jap. Ibu tengah membayar tu,”
“Ok, assalamualaikum” Musliha mematikan talian sebelum sempat Musfira menjawab salamnya.
No comments:
Post a Comment