Rossa - Takdir Cinta

Friday 1 July 2011

Bab 31


Kertas-kertas yang berselerakan di atas katil bagaikan sedang beratur menunggu giliran untuk diselesaikan. Komputer riba yang sedari tadi dihidupkan dibiarkan sahaja. Ingatan Musliha kini setia pada Hazim dan Yusuf. Dua wajah itu mirip. Dua suara itu sama namun nama mereka berlainan. Muhd Yusuf Hazim dan Hazim Zakwan.
Jauh di lubuk hati, Musliha berharap Hazim dan Yusuf adalah lelaki yang sama namun secara realistik, dia masih sedar bahawa Yusuf sudah lama meninggalkannya tanpa khabar berita. Ibubapa Yusuf juga telah jauh meninggalkan tanah air demi ketenangan jiwa mereka. Tiba-tiba fikirannya hinggap pada wajah Syila. Lantas telefon bimbitnya dicapai lalu nombor Syila dihubungi.
“Assalamualaikum, Syila. Ni aku, Mus.” Musliha bersuara sebaik Syila menyambut panggilan telefon itu.
“Waalaikumussalam. Kau apa khabar? Dah lama tak contact aku ek?” suara Syila masih tidak ubah seperti yang didengarinya buat kali terakhir kira-kira dua tahun dulu.
“Aku busy lah Syila. Kau pun sama, mana ada contact aku dah sekarang kan?”
“Aku pun sama lah Mus, sibuk memanjang.” Syila yang kini merupakan ketua bahagian kawalan tetamu di hotel yang sama juga payah untuk meluangkan masa bersama teman-teman.
“Orang dah naik pangkat kan?” usik Musliha.
“Kau ni ada-ada je. Aku memang dah bercadang nak call kau. Tapi aku takut ganggu pulak. Biasanya kalau aku bagi SMS pun kau jarang balas, ni kan pulak call.
“Haah..biasanya aku ada meeting atau discussion bila malam. Tapi Qayyum tak ada. So, aku macam free sikit lah. Kau kenapa nak call aku?”
“Aku nak minta alamat rumah,” masing-masing terdiam. Musliha menanti ayat seterusnya manakala Syila pula segan untuk meneruskan ayat yang sebenar. “Nak bagi undangan,” sambungnya, ringkas tapi penuh erti.
“Undangan? Kau nak kahwin ke? Bila?” soalan Musliha bertubi-tubi, teruja dengan khabar itu.
“Kau ni, bersabarlah sikit.” Tawa kecil dilepaskan Syila. “Insyaallah, bulan depan. Kau datang tau,”
“Eh, mestilah aku datang. Kau kahwin kat mana? Dengan siapa?” rasa teruja dan gembiranya masih belum hilang.
“Kat Dewan Akasia. Dengan bakal laki akulah.”
“Dewan Akasia? Kat hotel tu ke? Kenapa tak Dewan Astana?”
“Kau gila Dewan Astana? Aku tak mampu lah. Sebab kalau Dewan Astana kena tambah bayar mahal sangat. Dewan Akasia ni taklah mahal sangat bila dah campur sekali yang hotel sponsor.”
Sponsor? Bestnya kau!” Musliha sungguh gembira dengan rezeki Syila.
“Haah..diorang sponsor makanan. Sewa dewan tetap kena bayar,”
“Oh..bakal laki kau tu siapa?”
“Kawan sama sekolah dengan aku dulu. Jodoh, Mus.” Suara Syila di hujung talian sungguh tenang menyatakan tentang bakal suaminya.
“Aku tumpang gembira untuk kau, Syila. Semua kawan-kawan aku dah nak kahwin. Tinggal aku je yang tak laku lagi,” ujar Musliha tanpa terfikir tentang risikan Syafik yang masih tidak mendapat jawapan darinya.
“Semua? Maksud kau?”
“Oh..aku belum bagitahu kau pasal Fiza ek. Dia pun dah nak kahwin. Dah tunang dah pun. Insyaallah, lepas raya dia kahwin. Kau tau dengan siapa?”
“Siapa?”
“Dengan Qayyum.”
“Qayyum? Yang kau kenalkan kat aku masa kau punya dinner dulu tu?” Syila masih teringat wajah Qayyum yang manis sewaktu dikenalkan Musliha pada majlis makan malam amal Hotel Seri Kayangan. Musliha telah hadir bersama Qayyum, Faiz dan Hafizah untuk turut beramal pada malam itu.
“Ya, dialah. Masa tu aku sengaja kenalkan dia kat kau. Nak bagi Fiza cemburu.”
“Oh..kau jadikan aku arnab putih ek! Sampai hati kau. Nasib baik iman aku kuat,” kata-kata Syila memecahkan deraian tawa Musliha di hujung talian. “Eh, sebenarnya kenapa kau call aku ni? Nak mengundang jugak ke?” Syila cuba menduga.
“Tak. Aku nak tanya kau satu hal sebenarnya,” nada Musliha sudah berubah serius sebaik teringat tujuan utamanya menghubungi Syila. Syila hanya terdiam menanti soalan Musliha.
“Vila Nuzila masih sunyi ke?” Musliha sekadar ingin tahu sama ada Datuk Yunus dan isteri sudah kembali ke tanah air atau belum.
“Macam tu lah jugak Mus. Tak balik lagi nampaknya. Yang ada cuma tukang kebun dengan pengawal. Kadang-kadang ada seorang lelaki yang lebih kurang baya Datuk Yunus pergi jenguk rumah tu. Agaknya sanak saudara dia kot,” walaupun Datuk Yunus dan Datin Fadzila sudah lama tidak kelihatan, Syila masih setia memerhatikan vila itu demi membantu Musliha.
“Oh..tak apa lah. Kalau katakan kau nampak Datuk atau Datin, beritahu aku tau. Mungkin diorang dah suka duduk kat negara orang agaknya,” suara Musliha jelas di dalam kecewa.
“Ya, aku janji. Kalau aku nampak, aku beritahu kau. Tapi satu hal aku nak pesan. Kau janganlah asyik teringat je kat Yusuf. Dia dah lama tinggalkan kita, Mus.” Pesan Syila, sebagai kawan yang penuh prihatin. Dia tahu Musliha sungguh merindui Yusuf.
“Aku tahu tu. Aku nak jumpa parents dia sebab nak tanya tentang kubur Yusuf. Aku rasa bersalah sebab tak pernah sekali pun lagi aku pergi ziarah kubur dia.”
“Oh..kalau tentang tu, aku setuju lah. Aku pun sedih jugak, kawan meninggal tapi tak pernah sekali pun pergi jenguk kubur dia. Lega aku kalau kau dah okay. Aku tak nak kau menangis asyik rindu kat dia je tau,”
Mereka berdua menjadi rapat sejak sama-sama bekerja di hotel. Hingga kini, walaupun jarang bersua muka, namun hubungan mereka tetap rapat seperti dahulu. Perbualan mereka meleret selama 10 minit sebelum Syila mengundurkan diri. Musliha langsung tidak menyebut tentang perkara utama yang sedang ligat bermain di fikirannya. Hazim. Lelaki yang sangat mirip dengan arwah sahabatnya, Yusuf.
Komputer riba yang sedia terpasang di depan mata disentuh. Peti simpanan e-melnya dibuka. Seperti biasa, hanya luahan kepada Yusuf yang bisa mengusir segala perasaan aneh yang hadir. Sebuah e-mel dikarang dengan penuh emosi dan sarat dengan kerinduan. Biarlah e-mel itu sudah tentu tidak diusik apatah lagi untuk dibaca namun semakin diluah, semakin lega yang dirasakan.
 Dia tahu, Hafizah akan sentiasa bersama kiranya dia memerlukan Hafizah untuk mendengar tetapi entah mengapa dia lebih selesa meluahkan segalanya kepada Yusuf. Mungkin juga kasih yang pernah dicurahkan olah Yusuf buatnya terlalu dalam dan hingga kini, Musliha gagal mencari seseorang yang dapat memberikan kasih seperti itu. Sudah lama Musliha sedar, dirinya terlalu menyayangi Yusuf tetapi apakan daya. Sedalam mana pun sayang itu, ia tidak akan mampu mengembalikan Yusuf ke sisinya semula.


Sejak petang tadi, hanya kesunyian yang setia menemani rumah apartment itu. Laporan bulanan masih menanti untuk diselesaikan Hafizah. Tidak dinafikan, Hafizah terasa bosan dengan suasana begitu. Suasana sepi tanpa kegirangan suara Musliha. Tiada guran senda dan hilai tawa seperti sediakala. Mungkin juga Musliha sedang tertekan dengan kerja-kerja di pejabat. Ingin sahaja dirinya menghubungi Qayyum tetapi dia tidak mahu mengganggu lelaki itu.
Tiba-tiba rindunya hinggap pada kenangan bersama Umi, Daniel dan Yusuf. Jika dulu, kebosanannya selalu diiisi dengan luangan masa bersama mereka bertiga ketika sama-sama bersekolah di Cheras dahulu. Tidak kurang juga rindunya pada Musliha yang sentiasa ceria. Kini, Musliha tidak lagi seceria biasanya. Walau bagaimanapun, Hafizah terpaksa menerima keadaan itu dengan cuba untuk menyesuaikan diri dengan kerenggangannya dengan Musliha.
Hafizah sedar, tidak lama lagi, dirinya dan Musliha terpaksa tinggal berasingan kerana dirinya bakal mendirikan rumahtangga. Pernah juga Hafizah meminta izin Qayyum untuk tinggal bersama Musliha selepas berkahwin sehingga Musliha bertemu jodoh namun suami manakah yang sanggup berjauhan dengan isteri tercinta. Hafizah akur.
Perlahan, langkahnya disusun keluar bilik. Dia berkira-kira untuk ke dapur demi menikmati secawan nescafe panas. Setibanya di dapur, matanya tertancap ke arah sekujur tubuh yang sedang duduk di kerusi meja makan mereka. Rupanya, Musliha juga sedang menikmati minuman yang sama seperti yang ada dalam bayangannya.
“Minum sorang je? Apsal tak ajak?” tegurnya buat Musliha. Musliha hanya tersenyum biasa sambil air di dalam mug nya dihirup.
“Awak ada masalah lagi ke?” Hafizah yang sukar memendam soalan, mengutarakan persoalan utamanya.
“Lagi? Apa maksud awak?” Musliha berasa sedikit hairan dengan soalan Hafizah.
“Ya lah. Kerja-kerja awak selalu bagi awak masalah kan? Tapi kite takut masalah awak kali ni bukan sebab kerja,” ujar Hafizah.
“Ni la yang buat kite sayang awak, Fiza,” suara Musliha lembut. Hafizah terdiam sambil mengambil tempat di hadapan Musliha. “Awak selalu dapat detect masalah kite kan?”
“Dah berapa lama kite kenal awak Mus,” renungan yang dalam diberikan ke arah mata Musliha yang bersinar. “Kenapa?” tangan Musliha digenggamnya.
“Kite teringat Yusuf,”
“Yusuf? Kenapa Yusuf je? Yang lain?”
“Entahlah Fiza. Susah kite nak cakap. Yang lain pun kite rindu jugak tapi dalam fikiran kite ni sentiasa ada Yusuf. Buat pengetahuan awak, kite masih hantar e-mel kat Yusuf sejak hari pertama kita tahu tentang kematian dia,” terang Musliha.
“Sampai sekarang?” Hafizah seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Musliha pula sekadar menganggukkan kepala.
“Mus, kenapa awak tak redha? Kesian lah kat Yusuf. Tak tenteram rohnya nanti,”
“Kite redha, Fiza. Tapi kite tak tahu macam mana nak kurangkan rasa rindu selagi tak bagi e-mel tu pada dia. Hanya Yusuf yang pernah dengar tangisan kite. Hanya dia jugak yang pernah tengok titisan airmata kite. Macam mana kite nak lupa Yusuf?” luahnya dengan dada yang penuh sebak. Hafizah terdiam. Sungguh dia tidak menyangka rupanya sepanjang ketiadaannya di tanah air sembilan tahun lalu, hubungan Musliha dan Yusuf serapat itu.
“Kite tak tahu yang awak dengan Yusuf dah jadi serapat tu. Maknanya awak dah tahu lah?” Hafizah dapat merasakan bahawa Musliha tahu akan perasaan sebenar Yusuf padanya sepertimana yang pernah diberitahu Yusuf suatu ketika dahulu memandangkan hubungan Musliha dan Yusuf sudahpun menjadi serapat itu.
“Dah tahu apa?” Musliha hairan dengan soalan Hafizah yang tergantung itu. Sepatutnya, perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan Musliha kerana Yusuf berhajat besar untuk menjadi insan pertama yang membongkar perasaannya sendiri kepada Musliha.
“Hmm...sepatutnya benda ni rahsia, Mus.” Hafizah tidak tahu apakah harus baginya untuk memberitahu perkara sebenar ataupun untuk terus menyimpan perkara itu sebagai rahsia.
“Cakap je lah. Dengan kite pun awak nak berahsia?” Musliha sudah mula tertanya-tanya akan rahsia yang nampaknya besar.
“Sebenarnya, masa arwah masih ada,” Hafizah masih teragak-agak untuk meneruskan ayatnya namun memandangkan Yusuf sudah tiada lagi di dunia, tiada salah baginya untuk memberitahu perkara sebenar kepada Musliha. Musliha masih menanti sambungan ayat Hafizah dengan penuh tekun.
“Dia selalu beritahu kite tentang awak. Bukan beritahu perkara biasa, tapi katanya, dia sentiasa fikirkan tentang awak. Mimpi pun pasal awak, segalanya berkenaan dengan awak. Dia juga pernah mengaku yang dia sebenarnya terlalu sayangkan awak dan dia pernah sedar, sebenarnya perasaan kasih yang ada dalam diri dia buat awak adalah perasaan cinta. Bukan setakat sayang kepada sahabat,” panjang lebar penjelasan Hafizah. Musliha yang mendengar pula kini tergamam.
“Awak biar betul, Fiza.” Musliha tidak dapat menelan apa yang dikatakan Hafizah bulat-bulat.
“Betul. Kite simpan lagi e-mel dia yang berkenaan dengan awak ni,” Hafizah meyakinkan Musliha.
Sungguh Musliha tidak menyangka bahawa perasaan cinta pernah terbit di hati Yusuf buatnya. Kenangan di Sunway Pyramid datang menjengah berselang-seli dengan kenangan makan malam dengan Yusuf. Kini dia mengerti kenapa Yusuf begitu prihatin akannya.
“Dia pernah cerita kat kite, masa dia nak luahkan perasaan pada awak, Syafik datang then awak jadi sedih sangat sebab Syafik marah awak. Dia sedar pada masa tu, dia tak layak buat awak sebab hati awak masih milik Syafik,” sambung Hafizah lagi. Dada Musliha kini berombak kencang sambil gambaran yang mengusik benaknya kian segar. Kini segala-galanya jelas. Dia teringat wajah Yusuf yang agak muram ketika dalam perjalanan pulang. Langkah longlai Yusuf juga segar dalam ingatannya kini.
“Kenapa awak tak bagitau kite dulu, Fiza?” suaranya kini tersekat-sekat menahan sebak di dada.
“Sebab kite dah janji dengan Yusuf untuk simpan perkara ni sebagai rahsia,”
“Kite menyesal sebab pilih Syafik masa tu.” Kepalanya digeleng perlahan sambil rambutnya yang mula mengusik wajahnya dikuak.
Musliha tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan sesalan dan hampa yang dirasakan kini. Tidak sepatutnya perasaan Yusuf diabaikan hanya kerana menjaga hati Syafik. Kau bodoh, Mus! Buta! Bantak hatinya.
“Kite rasa, kite dah tau apa maksud mimpi awak tentang Yusuf dulu.” Musliha hanya diam menanti kata seterusnya dari Hafizah.
“Mungkin dia nak serahkan awak pada Syafik,” Hafizah sekadar menelah. Itulah yang timbul di fikirannya sebaik Musliha bercerita tentang mimpinya suatu ketika dahulu.
“Mungkin,” Musliha turut menelah perkara yang sama. Perlahan, sesalan yang dirasakan menghilang.
So, walaupun kite tak suka Syafik tapi kite rasa, dia lah yang terbaik buat awak. Dia setia menunggu awak sejak dulu, Mus. Biarlah kalau dia tak dapat terima kite sebagai sahabat awak, tapi sekurang-kurangnya dia dapat terima awak seadanya. Walaupun sekarang layanan awak dah tak sama lagi untuk dia, tapi dia masih dapat terima awak. Bukalah hati awak buat dia,” saran Hafizah. Sungguh dia kagum dengan kesugguhan Syafik menanti cinta Musliha.
“Kite rasa, ini lah petunjuk yang kite nanti-nanti selama ni, Fiza.” Suara Musliha kembali tenang. Namun airmukanya keruh. Hampa datang menyelinap di sanubari tatkala mengingatkan diri akan cinta yang tidak dapat dibalas kepada Yusuf.
 Hafizah tersenyum mendengarkan kata Musliha. Apa yang ingin dilihatnya adalah kebahagiaan sahabatnya. Dia juga tidak sampai hati meninggalkan Musliha keseorangan di rumah itu kiranya sudah tiba masa untuk dirinya untuk hidup bersama Qayyum.
Rindu yang dirasakan buat Yusuf kini makin kuat menghimpit hati. Pandangan mata yang pernah memberi getaran di hati Musliha, terimbau. Pegangan tangan yang sungguh erat bagai tidak mahu dilepaskan, terasa hangat di kedua telapak tangan Musliha. Hatinya kini bersedia untuk menerima Syafik kiranya itu yang dimahukan Yusuf. Tetapi andai kata Yusuf masih bernyawa di muka bumi ini, Musliha berjanji untuk membalas cinta Yusuf. Namun janji hanya tinggal janji. Lelaki itu tiada lagi.

No comments:

Post a Comment