Rossa - Takdir Cinta

Tuesday 19 July 2011

Bab 36

Bunyi jam di telefon bimbit menyedarkan Hazim dari tidurnya. Tidur malamnya tidak begitu nyenyak seperti sediakala kerana penolakan Musliha malam tadi. Jam yang sudah menunjukkan 6.30 pagi memaksa tubuhnya untuk bingkas dari katil. Mata yang masih terpisat-pisat dipaksa untuk celik dengan seluas yang mampu.
Solat Subuh wajib ditunaikannya sebagai tanggungjawab seorang muslimin. Dirinya yang dibesarkan di Qatar tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya menunaikan solat. Ibu saudaranya atau yang lebih mesra dipanggil mummy, sentiasa mengingatkannya akan kewajipan seorang hamba kepada Yang Maha Esa.
Sedang Hazim melipat sejadahnya, langsung wajah Musliha datang menyinggah ke benak fikiran. Tirai bilik dibuka, mendapatkan balkoni yang tersedia. Matanya tertancap pada tirai balkoni bilik yang didiami Musliha. Ia masih tertutup lagi sejak malam tadi. Pantas, telefon bimbit di atas meja kecil dicapai.
Nama Musliha dicari dan didail. Bunyi deringan dalam talian itu panjang berlarut. Selang beberapa minit, Hazim mematikan talian itu kerana panggilan hanya berbalas sepi tanpa suara Musliha. Masih marahkah Musliha padaku? Bisik hatinya. Sekali lagi nombor itu didail dengan harapan Musliha terbuka hati untuk menjawab panggilan itu.
“Helo,” suara serak Musliha terdengar. Hazim jadi penasaran. Apakah Musliha tidak sihat pada hari ini?
“Mus, awak tak sihat ke?” tanya Hazim.
“Hmm..pukul berapa ni?” soalan Hazim dibalas soalan yang bernada sungguh lemah.
“Dah nak dekat pukul 7.00 pagi. Lebih kurang 15 minit lagi pukul 7.00. Kenapa?”
“Alamak! Saya belum solat Subuh! Bye,” suara Musliha yang pada mulanya kedengaran lemah, bertukar cemas serta merta.
Hazim tersenyum sendiri. Dirinya dirasakan makin rapat dengan Musliha kerana dapat melihat sudut yang berlainan dalam perwatakan gadis itu. Ternyata, gadis pujaannya itu bukanlah seorang yang sentiasa serius namun tawanya mudah meledak kiranya ada jenaka yang hadir. Sikap gelabah Musliha juga jelas tatkala ada sesuatu yang tidak ditunaikan. Bukan sahaja insiden solat Subuh itu yang menampakkan sikap gelabah Musliha, bahkan kerja-kerja perjabat juga kadangkala menggelabahkan gadis itu. Semakin dirinya mengenali Musliha, semakin hatinya terpikat akan gadis itu.


Pintu bilik Musliha diperhatikan Hazim. Entah bila Musliha siap untuk ke tapak projek bersama. Walaupun sudah menunggu selama hampir dua puluh minit, Hazim masih setia menunggu tanpa mengetuk pintu bilik tersebut. Hazim sudah berkira-kira untuk menunggu Musliha di dalam kereta sahaja. Sebaik langkahnya bermula ke arah lif, pintu bilik Musliha akhirnya terbuka. Di balik pintu yang terkuak, wajah Musliha sudah terjengul dengan rambut yang terikat seperti biasa. Imejnya formal, tidak seperti semalam.
Morning,” sapa Hazim.
Morning. Dah lama tunggu?” Musliha membalas sapaan Hazim seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka malam semalam.
“Lama lah jugak, hampir dua puluh minit,” Hazim turut meneruskan sandiwara itu. Walaupun Musliha adalah gadis yang disayanginya, dua puluh minit tidak menjadi tempoh yang singkat sebaliknya dia masih berpijak pada realiti.
Sorry. Saya bangun lewat tadi,” ujar Musliha sambil menyarung kasut pada kedua belah kaki.
“Saya tahu. Tu pun nasib baik saya call kan?” kata Hazim sambil mengiringi langkah Musliha ke dalam lif.
Thank you,” senyuman manis diberikan sebaik menoleh kepada Hazim.
“Awak tidur lewat ke semalam?” tanya Hazim, sinis. Dia dapat merasakan kejadian malam tadi turut mengganggu tidur Musliha.
“Tak lewat pun. Tapi saya bangun lewat sebab selesa sangat tidur kat hotel ni kot,” jawab Musliha, menepis maksud sebenar yang disiniskan oleh Hazim. Memang benar, tidurnya terganggu dek kerana kejadian yang berlaku antara mereka berdua semalam.
Hazim sekadar mengikut rentak Musliha yang mungkin sudah melupakan hal itu. Langkah mereka seiringan ke kereta Hazim dan dalam setiap langkah itu, seraut wajah Musliha asyik diperhatikan Hazim. Tidak mungkin bagi Musliha untuk melupakan segenap memori yang tercipta bersama walaupun lagak yang ditunjukkan sangat selamba tanpa menghiraukan mata Hazim yang merayap di wajahnya.
Namun, ada satu hal yang dia terlupa iaitu soal perbincangan perkahwinannya dengan Syafik. Dalam fikiran Musliha langsung tidak terlintas nama Syafik walaupun semalam, matanya payah dilelapkan dek kerana mindanya yang ligat berfikir.
“Nak singgah breakfast dulu?” tanya Hazim yang sedang kekosongan perut. Pemanduannya perlahan sahaja sambil matanya melilau ke sekeliling kawasan itu, mencari tempat yang sesuai.
“Kalau awak lapar, singgahlah tapi saya dah makan roti tadi,” jawab Musliha. Hatinya berat untuk makan berdua sekali lagi dengan Hazim.
Kereta yang dipandu perlahan dihentikan di hadapan sebuah gerai yang tidak banyak mejanya. Hazim lantas membuka tali pinggang keledar, berkira-kira untuk keluar. Sebelum membuka pintu kereta, Hazim masih sempat menoleh ke arah Musliha yang sedang sibuk memeriksa telefon bimbitnya lalu tangan Hazim spontan sahaja menekan kekunci tali pinggang keledar yang dipakai Musliha.
“Kenapa ni? Saya tak nak turun,” kata Musliha yang terkejut dengan tingkah spontan Hazim membuka tali pinggang keledar yang dipakainya.
“Awak kena turun, sebab saya tahu awak belum sarapan kan?” Hazim sekadar serkap jarang.
“Kan saya dah cakap, saya dah makan roti tadi,” ujar Musliha pula.
Come, lets go. Kalau tak, nanti lambat,” tegas Hazim lagi.
“Hazim!” Musliha tidak berpuas hati. Suaranya seakan anak kecil yang sedang merengek tidak mahu bersarapan. Hazim sudah membuka pintu kereta di sebelah Musliha.
“Saya tak nak turun,” Musliha cuba bertegas.
“Saya janji, saya takkan cakap macam semalam. Okay? Saya cuma risau, kalau awak tak sarapan, it might cause you problem. Kalau awak sakit, siapa yang susah? Saya juga,” terang Hazim.
Musliha yang masih setia duduk di dalam kereta mendengus perlahan sambil kakinya sudah menapak keluar. Mudah sungguh hatinya terpujuk dengan kata-kata Hazim. Kekebalannya hilang sama sekali.
“Okay,” Musliha akur seraya keluar dari isi perut kereta. Hazim tersenyum kerana dia berjaya memujuk gadis degil itu dengan jayanya.
Now, tell me frankly. Have you had your bread?” tanya Hazim sambil mengambil tempat di meja plastik yang disediakan.
“Dah., secubit,” Musliha menjawab perlahan.
“Kenapa secubit je? Kenapa tak habiskan terus satu roti?” soal Hazim lagi.
“Tak sempat. Bila tengok jam, dah nak dekat pukul 8.00 pagi, menandakan masa sudah tidak mengizinkan,” terang Musliha, panjang.
“Masa tak pernah ada keizinan, yang penting pada hati,” kata Hazim. Sepantas kilat mata Musliha terhenti pada sepasang mata jejaka di hadapannya. Jantungnya berdegup kencang. Serasa kata-kata itu bagai merentap ketenangan di hati. Dadanya terasa bagai dipukul ombak rindu. Musliha terkesima dengan kata-kata Hazim kerana kata-kata itu hanya pernah didengarinya daripada suara yang sama seperti Hazim, suara yang dirindukannya.
Dua pinggan nasi lemak dan teh o panas sudah tersedia di atas meja namun Musliha tetap membatu. Kekeliruan mula melanda. Tidak mungkin ada dua insan yang mirip rupanya dan berpegang pada prinsip yang sama.
“Mus, makanlah,” pelawa Hazim memandangkan Musliha masih terdiam. Dipanggilnya gadis itu berkali-kali sehinggalah wajah Musliha terangkat semula.
“Ya?” Musliha sudah kembali dari lamunannya.
“Makanlah. Tak elok termenung depan rezeki. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran awak ke?” tanya Hazim, penuh prihatin.
I wonder. Where did you hear those words from?” tanya Musliha. Dia tidak mahu ditimpa kekeliruan lagi.
Words?” Hazim tidak jelas dengan pertanyaan Musliha.
“Yang tentang masa tadi,” Musliha kelihatan sungguh beriya ingin mengetahui jawapannya.
“Oh..that one. I don’t know. I mean, I just say it spontaneously. Why?”
Are you sure?”
“Yes. I’m sure. Kenapa? Ada mana-mana tokoh negara pernah cakap macam tu ke?” tanya Hazim sambil menyuapkan sarapannya.
No. I’m just curious. It sounds good to me,” Musliha masih sukar untuk mempercayai apa yang baru sahaja didengarinya. Namun, dia masih tidak mahu membiarkan persamaan antara Hazim dan Yusuf diketahui Hazim kerana dia tidak mahu perasaan yang sudah mula berputik di dahan hati Hazim kian menghasilkan buahnya.
Sounds good? Kalau macam tu, saya akan pegang kata-kata tu sebagai kata azimat saya. Boleh?” ujar Hazim. Langsung dia tidak menyangka kata-kata spontannya disukai Musliha.
Up to you,” Musliha hanya menjawab ala kadar kerana dia tidak suka kiranya Hazim berasa selesa di sampingnya.
“Awak tak sihat ke?” Hazim dapat menangkap tindak tanduk Musliha pada pagi ini yang tampak tegang berbanding semalam.
“Sihat je. Kenapa?” soalan Hazim dijawab ringkas sambil matanya hanya ditumpukan pada pinggan nasi lemak sahaja.
“Saya nampak awak macam lain sikit hari ni.” Ujar Hazim.
“Tak adalah. Saya biasa aje. Makanlah cepat, takut lambat pulak nanti.” Ujar Musliha pula.
Beberapa minit berlalu sepi hanya ditemani desiran angin pagi di pekan kecil itu. Suapan demi suapan dinikmati keduanya sambil sepasang mata arjuna masih mencari ruang di hati kebal itu. Tiada pandangan yang bertaut. Si gadis nampaknya langsung tidak memberi peluang buat si jejaka yang bagai mengemis sekelumit kasih.
“Awak marah saya ke?” Hazim memberanikan diri mengeluarkan persoalan paling besar dalam benaknya.
“Hazim, lets not to talk about personal matter.. I’m professional and I hope you know that,” tegas Musliha.
I’m professional too. Sebab tu saya takut kalau awak masih terganggu emosi gara-gara marahkan saya. Of those, kita tak akan dapat cooperate profesionally,” kata Hazim dengan nada yang sungguh lembut, penuh ketegasan.
“Saya memang macam ni, Hazim. Mungkin awak tak kenal saya lagi.” Nada tegasnya tadi sudah mula redup.
“Dan mungkin awak yang tak bagi saya peluang untuk kenali awak dengan lebih baik,” tambah Hazim lagi.
“Boleh kita pergi sekarang? Saya dah siap,” Musliha bingkas dari kerusinya lalu terus membuka langkah ke arah pekedai yang sedang membungkus makanan buat pelanggan yang sedang beratur.
Hazim menghabiskan sisa minumannya yang masih tertinggal lalu segera membayar makanannya. Dengan pantas, langkahnya disusun ke arah kereta memandangkan Musliha sudahpun berdiri bersebelahan kereta, menunggu Hazim.
“Nanti, saya akan deal dengan Encik Isa, awak deal dengan manager dia. I’m not sure who is the manager but what you need to discuss with him is about their budget. Saya rasa kalau dia nak tinted mirror untuk the whole bangunan, budget diorang akan lari sebab kita tak boleh luluskan simen yang lain lagi. Awak tahu kan tentang simen ni?” kata Musliha.
“Tahu. Tapi saya belum tengok lagi jenis-jenis yang diorang nak,” balas Hazim.
“Tak apa, nanti saya bagi handout tu,”
Regarding the manager, is there something that I must not discuss with him? Well, some words might be sensitive for some people,” soal Hazim pula. Sebagai jurutera baru, dia perlu berguru dengan Musliha yang sudah berpengalaman mengendalikan projek.
Sorry. I don’t know either. Saya tak pernah lagi deal dengan dia. Ataupun nak lagi senang, awak deal tentang load test and let me handle the budget part.” ujar Musliha sambil kertas-kertas kerja di tangannya diperiksa dan disemak dengan penuh teliti.
Wah, Musliha dah kembali serius. Sekejap je aku boleh tengok dia tersenyum. Bisik hati Hazim. Sangkanya Musliha akan menjadi lebih mesra tetapi ternyata meleset. Mood serius Musliha sudahpun kembali dan samada mahu atau tidak, dia terpaksa mengikut rentak gadis itu demi menjaga perhubungan mereka berdua. Tumpuannya kembali kepada pemanduan untuk menyelesaikan kerja pemantauan pertama di tapak projek tersebut.
Sepanjang pemantauan, Musliha hanya memberi fokus kepada penerangan dan penjelasan Encik Isa berkenaan dengan kerja-kerja dalaman yang mencakupi perwayaran elektrik, perpaipan dan perangkaan besi bangunan. Lakaran demi lakaran dilakukan bersama demi mencapai kehendak bagi kedua-dua belah pihak. Perbincangan mereka juga terkadang agak tegang kerana pihak Encik Isa hanya menyediakan bajet asas bagi sebuah pembangunan projek sedangkan apa yang dimahukan mereka memerlukan bajet lanjutan. Setelah diteliti, rekaan dan material yang diinginkan mereka tidak mungkin dapat terlaksana jikalau bajet itu kekal.
Ketegasan Musliha jelas dalam setiap hujahnya. Namun ketegasan itu tidak sedikitpun meninggikan suara Musliha sebaliknya, dia bercakap dengan lebih matang dan penuh diplomatik. Itulah yang menaikkan lagi rasa hormat pihak pemaju terhadap jurutera wanita ini. Ketelitiannya juga tidak kurang hebat dalam setiap kerja yang dilakukan. Dengan saranan dan hujah yang diberikan Musliha, akhirnya pihak pemaju bersetuju untuk mengusulkan penambahan bajet atau pengurangan rekaan ke atas projek tersebut.
“Kalau tak dapat dua-dua, saya terpaksa berbincang sekali lagi dengan pihak atasan saya sebab kami hanya menerima arahan untuk ke lokasi tetapi bukan kami yang memproses kertas kerja dan mencari projek. Saya yang bertanggungjawab dalam construction ni tak berani untuk meluluskan material macam ini untuk rekaan sebegini. Saya harap Encik Isa faham dengan kerja saya,” terang Musliha.
“Saya faham tu. Apa-apa hal nanti, saya akan update Cik Musliha,” kata Encik Isa yang mula sependapat dengan Musliha.
“Terima kasih. Mari ke sana pula, dengar apa yang mereka bincangkan,” kata Musliha sambil pandangannya dilemparkan sudut di mana perbincangan antara Hazim dan pengurus projek, Mr. Leung. Sambil kertas putih di tangan digulung kemas, mereka sama-sama melangkah ke arah tersebut.
“Mr. Leung, this is Musliha, my colleague,” kata Hazim yang pada ketika itu sedang berbincang dengan Mr. Leung. Sebaik Musliha bersalaman denagn Mr. Leung, perbincangan tadi disambung semula.
Pada pandangan Musliha, Hazim adalah seorang yang berkaliber dalam mencapai hasil rundingan. Dengan mudah dan lancar, Mr. Leung bersetuju untuk memanjangkan lagi tempoh penumpatan tanah demi kestabilan tapak bangunan dan mulai esok, proses penumpatan tanah itu akan disambung lagi. Sebaik segalanya selesai, hasil rundingan juga sudah terperoleh, Hazim dan Musliha meminta diri untuk pulang dan merehatkan diri terlebih dahulu.
Walaupun kerja-kerja untuk hari ini sudah selesai, Musliha masih berasa berat hati untuk menaiki kereta bersama-sama dengan Hazim. Namun, berbekalkan profesionalisme yang ada dalam diri, Musliha tetap mengebalkan hatinya daripada disusuri segenap perasaan yang cuba menjelajah perasaannya.
“Kita ronda-ronda Ipoh dulu ya?” Hazim bersuara setelah beberapa minit kedua-dua mereka menyepi.
“Saya penatlah Hazim, nak rehat,” kata Musliha sambil suaranya terdengar sayup perlahan.
“Tak apa. Tak payah jalan-jalan pun sebab saya nak bawa awak dalam kereta aje. Awak duduk je, tak payah guna tenaga pun,” ujar Hazim pula. Dia tahu, Musliha sebenarnya tidak mahu menghabiskan masa untuk berdua-duaan bersamanya.
“Saya rasa nak tidur kat bilik,” ujar Musliha, ringkas dan dia pasti Hazim sudah dapat memahaminya.
“Sekejap aje,” balas Hazim lagi. Jalan yang dimasukinya sudah jauh dari kawasan hotel.
“Hazim, saya tak suka dipaksa. Boleh tak awak ikut aje apa yang saya nak? Saya cuma nak rehat,” suara Musliha sudah mula meninggi sedikit, menahan kemarahan.
“Saya pun tak suka dipaksa,” balas Hazim, pendek.
“Saya langsung tak paksa awak,”
“Awak paksa saya suruh balik hotel tu? Tak nak mengaku?” soal Hazim.
“Suka hati awak lah,” Musliha sudah mula berasa malas untuk melayan kerenah Hazim.
“Kenapa awak macam ni?” tanya Hazim, meneruskan perbualan.
“Macam mana?”
“Macam layan saya acuh tak acuh je,” sambung Hazim.
“Saya dah cakap tadi, saya penat.” Jawab Musliha, dengan nada yang masih sama.
“Penat? Setahu saya awak ni kental. Kadang tu kalau di pejabat, malam-malam baru balik. Ni, baru sampai tengahari dah penat?” soal Hazim.
Musliha hanya mendiamkan diri, mengambil zon selesa dengan hanya menyepi kerana pada sesuatu masa, diam itu lebih baik.
“Awak nak jauhkan diri dari saya kan?” tanpa meleretkan perbualan dengan lebih lama, Hazim langsung menanyakan soalan sebenar.
“Tak ada sebab,” Musliha hanya memberi jawapan ringkas.
“Awak nak jauhkan diri dari saya, betul?” Hazim mengulang soalannya.
I’ve told you, I’m professional,” jawab Musliha.
“Ya, tapi waktu kerja kita dah habis. So I need an exact answers for the repeated question,” jawab Hazim.
“Saya bukan nak jauh. Tapi tak nak dekat,” balas Musliha.
“Kenapa? Sebab awak sukakan saya juga kan? Awak ada perasaan yang sama macam saya kan?” Hazim cuba menemba hati Musliha.
“Apa awak cakap ni Hazim? Awak jangan jadikan saya sebagai sasaran awak sebab saya bukan dalam medan tembakan awak,” jawab Musliha dengan tenang.
“Kenapa? Awak belum termilik lagi kan? Tak salah rasanya kalau saya letak awak dalam medan saya,”
“Saya akan berkahwin tak lama lagi dengan Syafik,” jelas Musliha tanpa sedikitpun memikirkan perasaan Hazim ketika itu.
Di saat Musliha berkata, dada Hazim terasa seperti ditusuk dengan sebilah belati yang cukup asahnya.
“Saya cuma ikut nasihat awak,” kata Hazim dengan nada suara yang mula berubah namun masih cuba dikawalnya agar kehampaan yang dirasa tidak begitu jelas.
“Nasihat saya? Maksud awak?” Musliha kurang jelas dengan kata-kata Hazim.
“Awak menasihati saya untuk cuba mendekati perempuan yang saya suka tu. Ingat tak?” Hazim cuba mengingatkan Musliha akan nasihat yang pernah didengarinya beberapa hari yang sudah.
“Awak maksudkan saya?” tanya Musliha. Langsung dia tidak menyangka bahawa dirinya lah yang dimaksudkan Hazim ketika dalam perbualannya tempoh hari.
“Memang awak, tiada yang lainnya,” jawab Hazim, sungguh tenang dengan satu pandangan sekilas yang diberikan kepada Musliha.
“Awak silap. Saya bukan untuk awak dan saya pasti awak keliru dengan perasaan awak,” Musliha bersuara lembut.
“Kalau saya kata awak yang keliru?” Hazim masih cuba mengasak Musliha.
“Saya tak keliru, Hazim. Tak ada sebab untuk awak kata saya keliru,” jawab Musliha.
“Ada sebab. Betul tak kalau saya katakan yang awak dapat rasa renungan mata saya pada awak?” soalan Hazim seakan tusukan yang dalam di dada Musliha.
“Saya dah tak larat nak cakap tentang ni. Saya harap awak dapat menghormati saya dengan tidak menyentuh soal ni lagi. Kita datang kerana kerja, so I hope that we could be professional to each other,” Musliha mengelak untuk menjawab soalan Hazim dengan berlembut lidah menyatakan hasratnya.
“Kalau itu yang awak nak, saya akur tapi saya nak awak tahu yang saya tak akan pernah abaikan perasaan saya,” kata Hazim.
Musliha hanya mendiamkan diri sambil mendengar hujah terakhir Hazim. Walaupun hati mengakui kebenaran di sebalik perasaannya namun Musliha tidak mahu membenarkan Hazim menakluk perasaannya sedang Syafik telah diterimanya. Hazim sudah terdiam seribu bahasa sambil fokusnya langsung tidak teralih daripada pemanduan kereta. Kesepian itu menyenangkan hati Musliha kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu lagi berbahas dengan jejaka itu berkenaan soal hati dan perasaan. Mungkin hubungan Musliha dan Syafik sudah tersurat dalam takdir.

No comments:

Post a Comment