Rossa - Takdir Cinta

Monday 4 July 2011

Bab 33


Ada suatu perasaan aneh yang terbit di hati Musliha tatkala mengingatkan dirinya yang sedang berdua di dalam kereta bersama Syafik. Syafik? Ya, benar lelaki di sebelahnya adalah Syafik. Cinta pertamanya. Kali terakhir mereka berduaan begitu adalah ketika  Syafik menemaninya ke Mines Shopping Centre beberapa tahun dahulu dan pada ketika itu mereka masih berada di tahun pertama pengajian di universiti.
Kini, masing-masing sudah matang dengan cara sendiri. Biarpun kematangan sudah menumbuhkan pucuknya, namun sikap Syafik yang suka memaksa masih belum layu. Jika dahulu, Musliha kurang senang dengan sikap itu tetapi kini, Musliha tidak kisah akannya. Paksaan itu bukanlah terhadap suatu perkara yang buruk, ianya demi kebaikan Musliha juga. Syafik tidak betah mendengarkan makanan yang dipesan Musliha sebagai makan malam tadi. Apa yang dimahukan buat gadisnya adalah yang terbaik dan semestinya bukan Maggi Goreng sebagai santapan.
“Fik nak bawak Mus ke mana ni?” jalan yang dimasuki Syafik menimbulkan rasa hairan di hati Musliha. Dia takut kalau Syafik sampai tergamak melakukan perkara yang tidak diingini. Walaupun sepanjang perkenalan mereka, Musliha masak akan pekerti Syafik, tetapi itu semua bukanlah suatu jaminan kerana manusia kian berubah!
“Ada lah,” suara Syafik perlahan, penuh misteri. Musliha mula diserang perasaan takut. Walaupun dia sudah biasa dengan kawasan Bangi, namun jalan yang gelap dan dipenuhi pokok besar itu menggerunkan Musliha.
“Fik, Mus percayakan Fik tau,” Musliha cuba mengelak sebarang kemungkinan yang buruk berlaku.
“Mus takut ke?” Syafik memandang gadis di sebelahnya sekilas. Perasaan serba salah mula timbul di hati. Tangan Musliha cuba dicapainya namun gadis itu lebih tangkas menarik tangannya, tidak mahu dipegang.
“Mus, kenapa ni? Come, give me your hand before Fik paksa,” kereta sudah dihentikan di sebelah pokok besar yang berada di dalam suasana yang sungguh gelap. Musliha dapat merasakan titisan-titisan sejuk di dahinya. Sebelum berlaku perkara yang tidak diingini, Musliha merelakan tangannya digenggam oleh Syafik.
“Kalau Mus lapar, Fik pun lapar juga,” suara perlahan itu kedengaran lagi sambil tangan Musliha dibelai lembut dan dikucup perlahan.
“Apa Fik cakap ni?” Musliha berkira-kira untuk memboloskan diri dari perut kereta itu. Kata-kata doa sudah mula dipanjatkan ke hadrat Illahi moga maruahnya dibela dan masih dapat dipertahankan.
“Mus nak Fik terangkan maksudnya ke?” renungan mata Syafik kini lebih menggerunkan daripada suaranya. Badannya digerakkan sedikit untuk mendekati si gadis.
“Fik, tolonglah. Jangan macam ni. Mus tahu, Mus dah buat Fik tunggu Mus lama sangat tapi Mus dah terima Fik. Cuma Mus tengah cari masa untuk beritahu Fik,” suara Musliha terketar menahan ketakutan. Dia tidak menyangka Syafik yang dikenalinya sudah hilang kawalan perasaan. Tubuh lelaki itu sudah kembali pada jarak asal. Segaris senyuman kelihatan dalam cahaya yang samar.
“Alang-alang Mus dah terima Fik, lagi senang kan?” ayat itu sinis dan penuh dengan pengertiannya sendiri. Musliha jadi makin tidak keruan mendengarkannya.
“Fik, jangan!” rayu Musliha.
“Mus lapar kan?” walaupun soalan itu mudah tetapi Musliha tahu maksud di sebaliknya. Kereta digerakkan semula. Kali ini, ia menyusuri jalan itu, semakin jauh meninggalkan jalan utama.
“Mus nampak tu?” soal Syafik sambil jarinya dituding ke arah sebuah binaan yang cantik berkonsepkan ala-ala kampung. Beberapa pondok kelihatan di situ. Musliha masih keliru.
“Kita makan kat situ, ya?” suara Syafik kini tidak menggerunkan lagi namun Musliha masih terpinga-pinga melihat suasana tersebut. Sebuah suasana yang sangat mendamaikan dengan adanya beberapa lelaki berpakaian serba putih lengkap dengan kain alas di tangan sedang menunggu dan mempelawa tetamunya masuk.
“Apa ni Fik?” soal Musliha, menghilangkan kekeliruan.
“Ni restoran, sayang. Restoran ni best, masakan dia ala-ala kempung, boleh makan kat atas pondok. Jom,” tali pinggang keledar yang dipakainya dan Musliha dibuka.
Syafik sudah keluar dari kereta meninggalkan Musliha sendiri. Selang beberapa saat kemudian, pintu kereta Musliha dibuka. Senyuman Syafik mempelawa Musliha untuk berjalan bersamanya. Dengan perlahan, Musliha menapak keluar dari kereta itu. Dentuman perlahan daripada bunyi pintu yang ditutup memeranjatkan Musliha.
“Mus takut lagi ke?” Syafik tahu, Musliha masih dalam keadaan ketakutan. Musliha hanya terdiam sambil sepasang mata Syafik direnung dalam. Dia cuba mencari kebenaran dalam sinaran mata itu.
“Mus, Fik takkan buat perkara yang tak baik pada Mus. Fik minta maaf kalau gurauan Fik melampau tapi Fik hanya berniat untuk mengusik Mus aje,” Syafik dirundum rasa bersalah dengan gurauannya yang sememangnya melampaui batasan tadi. Namun, tidak sedikitpun niat untuk mengambil kesempatan terlintas di nawaitunya.
“Kenapa Fik buat macam tu? Mus takut tau Fik. Mus ingat Fik dah hilang akal. Mus hampir menyesal sebab terima Fik.” Suara Musliha kini tidak lagi terketar-ketar seperti tadi. Syafik menarik nafas lega mendengar suara itu kembali berbunyi.
“Fik minta maaf ya? Fik janji tak buat lagi unless dah kahwin. Okay?” senyuman nipis diberikan buat Musliha yang masih tidak puas hati.
“Fik janji akan jaga maruah Mus?” inilah kesempatan untuk Musliha menambah ikrar di panji lelaki itu.
“Itu memang pasti,” mereka terdiam sejenak, asyik melayan fikiran masing-masing. “Dah, jom makan. Perut Fik dah buat piket dah ni,”
Musliha menurut langkah Syafik sambil tangannya masih dibiarkan dalam genggaman tangan sasa Syafik. Genggaman itu kemas bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Musliha yakin akan kasih yang masih segar di hati Syafik buatnya dan dia juga yakin dengan penerimaannya buat lelaki itu. Kini, dia terasa selamat dengan genggaman itu tidak seperti tadi lagi.

Girangnya hati Syafik tidak dapat diungkapakn saat melihat senyuman manis di bibir mungil Musliha kembali terukir tika di sampingnya. Hatinya tekad untuk memperisterikan Musliha. Hanya Musliha seorang yang mampu mengisi kekosongan di hati lelakinya. Walau Nurul sentiasa ada buatnya tika diperlukan, hatinya masih mendambakan cinta Musliha.
Thanks Fik,” kata Musliha sebaik kereta dihentikan berhadapan blok kediamannya. Pandangan mata Syafik bagai tidak mahu melepaskan Musliha pergi.
“Kenapa Fik pandang macam tu lagi?” walaupun pandangan mata itu tidak setajam dan senakal tadi, Musliha masih gerun menatap mata lelaki itu. Syafik yang masih merenung mata bundar itu melepaskan tawa kecil lantas kepalanya tertunduk, melepaskan pandangan kepada penarik brek kereta. Bibirnya diketap sambil fikirannya ligat menyusun kata.
Thanks Mus,” tangan lembut Musliha dicapai lagi. Kiranya gadis itu sudah sah menjadi miliknya, pantas sahaja tangan itu dikucup namun ditahan rasa itu demi menjaga maruah seorang gadis yang amat dicintainya.
“Apa pulak? Mus lah yang sepatutnya berterima kasih pada Fik sebab dah bawa Mus pergi makan. Belanja pulak tu,” ujar Musliha, dengan nada yang sangat tenang. Setenang air di kali. Mungkin belum tiba masa untuk hatinya berkocak dengan layanan Syafik kerana benih cinta itu masih dicari di segenap ruangan hatinya.
“Apalah sangat yang Fik belanja Mus tu kalau nak dibandingkan dengan penerimaan Mus untuk Fik.” Suara lelakinya masih lembut berbicara. Tidak mungkin lagi baginya untuk berkasar dengan Musliha. Cukuplah sekali. Tiada keduanya.
“Apalah sangat penerimaan Mus kalau nak dibandingkan dengan penantian Fik,” balas Mus pula. Baginya, penerimaan buat Syafik bukanlah sesuatu yang boleh membalas jasa penantian Syafik buat dirinya yang hanya insan biasa.
“Penantian itu satu penyeksaan, Mus. Tapi Fik rela menunggu kalau itulah hukuman bagi kesalahan Fik pada Mus dulu,” masih ada nada penyesalan di dalam bicara itu. Musliha mengeluh perlahan. Tidak disangka, perkara yang sudah lama terkubur dalam ingatannya masih segar di ingatan Syafik.
“Maaf kalau Mus dah terlalu menyeksa Fik,” wajah Musliha berubah mengikut arus perasaan bersalahnya. Dia alpa akan penyeksaan yang selama ini ditanggung Syafik sepanjang penantian itu.
Jari telunjuk Syafik pantas sahaja mencapai bibir Musliha, menghentikan kata-kata maaf yang terucap. Kepalanya ditundukkan sedikit, mendapatkan wajah Musliha yang sedikit tersembunyi dari penglihatannya.
“Mus jangan rasa bersalah. Fik tak pernah salahkan Mus,”
Musliha terdiam. Kenangan bersama Yusuf suatu ketika dahulu menerjah lagi. Dulu, Yusuf juga pernah melakukan perkara yang sama dan kini dilaluinya lagi tetapi dengan lelaki lain yang bernama Syafik. Bukan Yusuf. Wajah Syafik dipandang redup. Senyuman yang dirindukannya datang menerpa. Pandangan mata yang penuh kelembutan dan kasih sayang itu datang menjenguknya lagi. Sebak di dada makin menyesakkan nafasnya. Sukar untuk dipercaya, lelaki yang sangat disayanginya kembali ke dalam hidupnya kini.
“Mus,” suara itu lembut di pendengaran Musliha. Seakan memujuk hatinya yang kini dirundum pilu.
“Mus, janganlah sedih macam ni. Fik langsung tak salahkan Mus,” suara yang penuh dengan nada pujukan itu terdengar lagi dan sebaik nama `Fik’ disebut, sepantas itulah wajah kesayangannya bertukar kepada wajah Syafik.
“Astaghfirullah,” Musliha tersedar dari lamunannya. Mujurlah tiada titisan airmata yang jatuh di kala asyik melayani wajah Yusuf dalam lamunan.
“Apa yang Mus imagine sampai istighfar ni?” Syafik sekadar bersenda. Sebanarnya dia sedikit tersentak mendengar lafaz istighfar dari bibir Musliha yang tidak semena-mena itu.
“Mus minta diri dulu. Ada banyak kerja tak siap lagi,” soalan Syafik dibiarkan tidak berjawapan.
“Okay. Kalau Fik call jangan tak jawab pula tau,” pesan Syafik sebelum Musliha membuka pintu kereta.
“Okay. Fik drive elok-elok ya. Assalamualaikum,” sebaik salam diberi, pintu kereta itu dihempas perlahan, melepaskan bunyi dentuman yang tidak kuat.
Musliha masuk ke dalam blok kediamannya sambil diperhatikan Syafik. Sebagai lelaki, dia bertanggungjawab memastikan keselamatan Musliha. Gadis itu diperhatikan hingga hilang bayangnya. Lantas keretanya dipandu dengan hati yang sungguh senang kerana dapat meluangkan masa bersama yang tersayang. Kegirangan di hatinya bertambah saat mengingatkan lamarannya yang sudah diterima Musliha.


“Awak pergi mana?” Hafizah pantas bertanya sebaik pintu rumahnya dibuka Musliha. Kerisauan jelas terpancar di riak wajahnya.
“Pergi makanlah. Tadi kan kite dah bagitau,” Musliha pula menjawab dengan penuh selamba.
“Ya lah, tapi kenapa lama sangat? Awak keluar tadi belum pukul 8.30 pun, tapi balik rumah dah pukul 10 malam. Dahlah kite call pun tak dapat,” Hafizah masih tidak berpuas hati. Kerja-kerjanya yang sepatutnya disiapkan sebelum tengahari esok tergendala dek kerana kebimbangannya akan keselamatan Musliha.
“Awak call?” Musliha bertanya sambil tangannya meraba isi tas tangan, mencari telefon bimbit. “Laa..patutlah. bateri kong!”
“Banyaklah awak punya kong. Kite yang kat rumah ni lebih dari kong dah tau?” Hafizah memeluk tubuhnya sambil matanya tidak lagi memandang Musliha.
“Alaa..sorry lah dear. Kite kan dah selamat ni. Nah, tengok kite. Okay je, tak ada apa-apa pun jadi. Takkan nak marah kot?” kata Musliha sambil mengambil tempat di sisi Hafizah.
“Dia bawa awak ke mana?” suara Hafizah sudah tenang. Sememangnya dia lega akan kepulangan Musliha. Tersangat lega! Tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.
“Bangi,” jawab Musliha, ringkas sambil tangannya sibuk menekan-nekan punat alat kawalan jauh, mencari program televisyen yang sesuai.
“Dekatnya? Tak ada yang dekat lagi pada tu?” soal Hafizah, penuh sinis. Tahulah dia kini mengapa Musliha dibawa pergi oleh Syafik begitu lama hingga membuatkan kebimbangannya membuak-buak.
Best tau. Makan dalam pondok kat atas pokok,” Musliha bergelagat seperti kanak-kanak yang bangga dengan tempat yang baru sahaja dikunjungi.
“Awak dah bagitau dia?”
“Bagitau apa?”
“Tentang keputusan awak,” Hafizah tahu, tentu sahaja perkara itu sudah dibincangkan mereka ketika sama-sama menikmati santapan malam itu tadi. Musliha mengangguk kecil sambil riak di wajahnya langsung tidak menunjukkan kegembiraan yang sepatutnya terpancar di wajah seorang gadis yang baru sahaja menerima lamaran seorang lelaki.
“Dia macam mana?” Hafizah mengerti akan perasaan sahabatnya. Sememangnya Hafizah sudah maklum dengan sebab penerimaan Musliha terhadap Syafik.
Happy. Sepanjang malam dia senyum. Kite happy bila berjaya buat seseorang happy macam tadi,”
“Kite pun happy untuk awak,” ujar Hafizah dalam nada yang penuh dengan keikhlasan. Musliha tersentuh melihat keluhuran hati Hafizah. Satu-satunya sahabat yang tinggal buatnya.
“Kite masuk dulu ya. Nak solat, then nak habiskan kerja sikit,” Musliha menarik tas tangannya sebelum berdiri dari tempat duduk. Hafizah ditinggalkan sendiri bersama rancangan televisyen yang tidak diberikan tumpuan. Jauh di sudut hatinya mengharapkan yang terbaik buat Musliha. Kesyukuran dipanjat buat Illahi tatkala mengingatkan diri betapa bertuahnya dia dalam mengenal erti cinta kerana cinta itu disemai bersama dengan lelaki yang mencintai dan dicintainya.
Musliha melangkah lemah ke dalam biliknya. Sebaik pintu ditutup rapat, tubuhnya disandarkan pada pintu itu sambil matanya dipejam rapat. Rasa bersalah kepada Syafik kian mencengkam diri apabila dia sedar akan lamunannya tadi. Di kala Syafik yang menemani, dia tidak harus menjemput bayangan wajah Yusuf ke dalam ingatan. Biarlah kenangan itu bagai terulang, namun kasih Syafik sepatutnya dihargai. Bukan untuk dibandingi.
Matanya dibuka perlahan, mengusir bayangan itu. Langkahnya dibuka dan disusun perlahan ke katil tempat beradu. Tubuhnya dihempaskan semahu-mahunya sambil bantal kecil yang sering menemani tidur malamnya dicapai. Rindu yang dirasakan buat Yusuf terasa kian sarat. Apakah rasa rindu dan kasih yang dirasanya kini adalah cinta? Tidak. Tidak mungkin dirinya mencintai seseorang yang sudah lama meninggalkan kehidupan fana ini.
Namun jika benar perasaan itu yang dikatakan cinta, biarlah cinta itu kini menjadi milik Syafik. Walaupun perasaan itu bukan lagi perasaan yang pernah dirasakannya suatu ketika dahulu, Musliha rela. Dia rela melepaskan rasa kasihnya buat Yusuf kepada Syafik. Tiada gunanya lagi buat Musliha mendamba kehadiran Yusuf sedangkan Syafik sentiasa ada di sampingnya. Hatinya ingin dibuka buat kehadiran Syafik di sisi.
Ingatannya terhinggap pada segenap wajah milik Hazim. Yusuf dan Hazim sememangnya sangat mirip dari segi rupa namun lain dari segi perwatakan. Setiap kali dirinya berdepan dengan Hazim, setiap kali itulah dia membandingkan Yusuf dengan jejaka itu. Terkadang, rasa rindu kepada Yusuf terasa hilang saat mengamati wajah Hazim. Musliha sedar, dia tidak seharusnya memperlakukan wajah Hazim begitu. Semenjak mengenali Hazim dan salasilah keluarganya, Musliha sentiasa teringin untuk mengetahui nama bapa lelaki itu tetapi dia tidak sampai hati kerana Hazim sudah kehilangan kedua ibubapanya sejak kecil dan Musliha tidak mahu mengembalikan memori pahit itu sekali lagi.
Musliha mengerti akan perasaan Hazim yang telah kehilangan orang-orang yang tersayang. Musliha sendiri tidak suka nama sahabat-sahabatnya yang sudah tiada disebut lagi. Berpandukan prinsip menjaga hati orang lain bak menjaga hati sendiri, Musliha tidak mahu melakukan suatu perkara yang tidak disukainya dengan membicarakan perihal ibubapa Hazim. Biarlah persoalan itu dicari jawapannya sendiri.

No comments:

Post a Comment