Rossa - Takdir Cinta

Monday, 4 July 2011

Bab 34


Semangat Musliha berkobar-kobar untuk memulakan pemantauan tapak projek di Perak. Meskipun terpaksa ke sana dengan lebih kerap, Musliha tetap senang. Hazim juga nampaknya sudah bersedia untuk memulakan tugas berat dalam mengendalikan sebuah projek yang sebelum ini belum pernah dilakukannya.
Kali ini, Musliha dan Hazim akan ke Perak selama seminggu bagi permulaan pemetaan tapak dan seterusnya meluluskan pelantaian bangunan. Seminggu bukanlah suatu tempoh yang lama bagi Musliha tetapi ianya adalah satu tempoh yang panjang buat Syafik. Kasih Syafik buat Musliha kian bersemarak sejak Musliha menerima lamarannya sebulan lepas. Perbincangan di antara keluarga pula bakal dilangsungkan di rumah Puan Husna pada hari esok.
Sudah berbuih mulut Puan Husna memujuk Musliha untuk menangguhkan kerjanya di Perak sehari sahaja lagi memandangkan perbincangan itu merupakan perkara penting buat Musliha kerana ia melibatkan perkahwinan Musliha kelak. Namun apakan daya, Musliha yang terlalu komited itu sentiasa menurut tuntutan kerjanya berbanding tuntutan peribadi. Hati ibu mana yang tidak runsing melihat anak gadisnya begitu.
Deringan telefon bimbit Musliha menghentikan bebelan dan rungutan Puan Husna buat seketika. Riak wajahnya masih berkerut, tidak berpuas hati.
“Helo, ya..awak tunggu dekat hujung taman permainan tu aje. Saya datang sekarang, allright,” talian segera dimatikan.
“Dah sampai dah ke kawannya?” tanya Puan Husna dengan nada suara yang sama seperti tadi. Musliha mengangguk perlahan. Tangan ibunya dicapai lalu dikucup, meminta restu untuk bertugas di sana.
“Ibu decide lah untuk Mus. Keputusan ibu, keputusan Mus juga,” Musliha berkata sambil menyejukkan amarah yang mungkin timbul di dada ibu itu.
“Ya lah. Baik-baik jalan tu. Jaga diri elok-elok,” suara Puan Husna sudah mula tenang, berbeza dari tadinya. Musliha berasa lebih tenang untuk melangkah pergi mendengarkan kata-kata pesanan seorang ibu buatnya.
Musliha berjalan membawa begnya bersama hingga ke hujung lorong rumah, tempat Hazim memarkirkan keretanya. Sebuah BMW 3 Series berwarna silver yang suatu ketika dahulu pernah dilihatnya di tempat meletak kereta bangunan pejabatnya sedang menunggu Musliha bersama pemandunya. Hazim yang sedang berkaca mata hitam keluar membantu Musliha memasukkan beg pakaian ke dalam but kereta.Tangannya diangkat dan dilambai ke arah Puan Husna dan begitu juga lah yang dilakukan Hazim.
“Dah lama tunggu?” Musliha bertanya sambil tali pinggang keledar dipakai.
“Tak lah. Saya baru aje sampai. Awak anak tunggal ke?”
“Nope. Why do you guest so?”
“Because your mother seems not happy with this.” Matanya masih dapat melihat kesedihan dan kesayuan seorang ibu yang mengiringi pemergian Musliha.
“Memang dia tak suka. Ada sebab,” Musliha tidak merasakan perkara tentang perbincangan perkahwinannya perlu diberitahu kepada Hazim. “Anyway, macam mana awak boleh tahu cara nak masuk ke sini? Biasanya orang-orang yang tak biasa dengan kawasan ni, sesat.” Topik perbualan ditukar agar hatinya tidak lagi tersentuh kerana meninggalkan ibu.
“I’m not sure but I am quite familiar with this area.”
“Really? Awak pernah ke sini ke?” seingat Musliha, dia belum pernah membawa Hazim mahupun mana-mana rakan pejabatnya ke kawasan rumah bonda.
“Rasa macam tak pernah tapi entah it is kinda deja vu.” Jawab Hazim sambil matanya ditumpukan pada pemanduan. Pengalaman ke Perak bersama Qayyum beberapa kali sebelum ini sudah membiasakan Hazim akan jalan ke sana.
“Nanti awak tolong singgah dekat mana-mana petrol station boleh? Saya nak beli air lah. Lupa nak bawa tadi,”
“Okay, mam!” Hazim berseloroh sambil akur dengan permintaan Musliha.
Sebaik terlihat papan tanda stesen minyak Petronas, kereta yang dipandu pantas sahaja dibelok ke kanan, memasuki stesen tersebut. Musliha yang sedang berkira-kira untuk menapak keluar dari kereta terdengar deringan di telefon bimbitnya. Lantas talian disambut sambil sebelah lagi tangannya terkial-kial mengeluarkan duit dari dalam dompet. Sambil panggilan dijawab, Musliha masuk ke dalam kedai berbekalkan duit sepuluh ringgit tanpa membawa dompetnya bersama.
Hazim mencapai beberapa kad yang terkeluar dari dompet Musliha yang terjatuh semasa Musliha terkial-kial mengeluarkan duit dari dompetnya. Dua keping kad bank dan sekeping gambar pasport itu diletakkan di atas tempat duduk Musliha. Namun matanya dapat menangkap seraut wajah di kepingan gambar pasport itu. Dahinya berkerut-kerut sambil matanya asyik menatap wajah lelaki itu. Cermin sisi kereta yang menampakkan wajahnya dalam cahaya berbalam direnung. Kemudian matanya sekali lagi teralih pada gambar itu. Sama!
Sukar untuk dipercayai bahawa ada insan lain yang memiliki wajah yang serupa dengannya. Bukan hanya iras tetapi mirip. Mirip sekali! Sebiji! Musliha yang sudah melangkah keluar dari dalam kedai dinanti. Panggilan yang diterima tadi masih lagi di dalam sambungan.
“Okay. Nanti dah sampai, Mus bagitau Fik. Bye,” talian sudahpun dimatikan sebaik pintu kereta dibuka. Nama itu kerap didengari Hazim sejak kebelakangan ini. Terkadang, lelaki itulah yang menjadi peneman Musliha ketika makan tengahari tetapi tidak pernah sekali pun dia mengenali Fik. Bahkan nama penuh juga tidak pernah diketahuinya.
“Mus, tu kad awak yang jatuh tadi,” dua keping kad itu dituding Hazim.
“Thanks,” Musliha menyimpan semula kad tersebut ke dalam dompetnya tanpa perasan akan kehilangan gambar Yusuf yang menjadi simpanannya. Gambar itu diberi Yusuf ketika mereka terpaksa berpisah demi melanjutkan pelajaran masing-masing ke universiti yang berlainan. Gambar yang sama saiz juga pernah diberikan Musliha kepada Yusuf.
Hazim tidak tahu bagaimana harus dimulakan soalannya kepada Musliha. Dia ingin sekali bertanya tentang gerangan si jejaka di dalam gambar itu. Apakah lelaki itu adalah lelaki yang dipanggil Fik itu? Atau mungkin gambar itu adalah milik seseorang yang lain? Pemanduannya diberikan sepenuh tumpuan sambil fikirannya berselirat dengan persoalan yang kian menggamit diri.
Sedar tidak sedar, sudah selama dua jam mereka membiarkan kesepian beraja sepanjang perjalanan. Musliha asyik melayan pemandangan sekitar lebuhraya itu. Hazim pula berkira-kira untuk bersuara, menghlangkan rasa bosannya. Dia hairan dengan Musliha. Gadis itu langsung tidak menunjukkan rasa bosan sepanjang perjalanan walaupun radio tidak terpasang.
“Mus, awak tak boring ke? Kalau boring pasang la radio tu,” ujar Hazim. Diam. Tiada respon dari Musliha.
“Mus,” panggilnya lagi. Mata yang jelas tercelik itu dipandang sekilas. Dia pasti Musliha sedang dalam jaga.
“Mus,” suaranya kini dikuatkan lagi kerana mungkin Musliha sedang termenung jauh. Musliha masih terdiam dan ini membuatkan rasa hairan Hazim menjadi-jadi. Tangannya diberanikan untuk menyentuh lengan Musliha.
“Eh, apa ni?” suara garang gadis itu akhirnya kedengaran. Biarlah garang sekalipun, sekurang-kurangnya ada respon dari Musliha.
“Saya panggil awak for times tapi awak make don’t know je. Saya gerakkanlah awak sikit. Mana tau, awak tidur sambil mata terbuka ke,” Hazim agak cuak mendengar suara garang Musliha ditambah pula ekor matanya yang masih dapat menangkap renungan tajam Musliha.
“Kenapa awak panggil?” Musliha sudah mula bersuara tenang. Salah dia juga kerana memekakkan telinga dengan earphone.
“Saya kata, kalau boring, pasanglah radio tu,” sebenarnya dia ingin bertanyakan hal gambar yang masih ada dalam simpanannya tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk mengajukan soalan itu memandangkan Musliha nampak tegang. Kiranya Musliha tahu gambar itu disimpan Hazim, pasti marahnya bisa meledak.
“Oh tak apa. Saya tengah layan lagu la ni. Pakai earphone,”
“No wonder lah saya panggil, awak tak dengar. Tak apa, pasang lah kuat-kuat lagi. Kalau saya nak panggil awak lagi, bolehlah saya cuit lengan awak,” Hazim bersuara nakal sambil senyuman dileretkan.
“Awak cuit saya, saya cubit awak. Nak?”
“Kadang-kadang kalau main cubit-cubit dengan perempuan ni seronok juga. Kira saya setujulah dengan pelawaan awak,” Hazim berseloroh lagi. Musliha di sebelahnya pula menjegilkan biji matanya.
“Saya gurau je Mus,” Hazim takut kalau selorohnya membuatkan Musliha rasa tidak senang dengannya.
“Saya faham. Dulu, saya ada kawan yang suka bergurau macam awak juga,” suara Musliha berubah sayu. Kenangan bersama Yusuf datang lagi tetapi kali ini wajah itu tidak terhinggap di ingatannya, malah sekadar berlalu bagai bayu yang menghembus.
“Kenapa dulu? Sekarang?”
“Dia dah tak ada. Dah lama dah. Masa tu, saya di tahun pertama pengajian,” kali ini Musliha senang untuk bercerita tentang Yusuf kepada teman barunya itu. Tidak seperti biasanya, setiap kali berbicara tentang Yusuf, pasti kesedihan datang menyinggah.
“My condolences to you. Yang call tadi tu pengganti dia ke?” Hazim menganggap `kawan’ yang dimaksudkan Musliha adalah seorang yang istimewa dan barangkali kekasih Musliha.
“Pengganti? Maksud awak?”
“Ya. I mean he might be someone special for you and I guess the person who called you just now is a special person as well. Am I right?”
“I’m so sorry that you’ve guessed wrongly. Kawan saya tu..”
“Arwah kawan,” Hazim mencelah di pertengahan bicara Musliha sambil mengingatkan panggilan yang sepatutnya digunakan Musliha.
“Yup. You’re right. Saya terlupa. Dia memang special tapi dia bukanlah seperti yang awak sangkakan. Dia bukan kekasih saya, tapi sahabat yang paling istimewa yang pernah saya kenal. The person who called me just now is Syafik. He was my lover,” terang Musliha dengan sangat tenang.
“Was? What do you mean by `was’?”
“Dia teman lelaki saya masa sekolah and now, entah..susah nak cakap,” jika diikutkan hati, Musliha memang berasa sungguh senang untuk menceritakan hal Syafik tetapi Hazim adalah seseorang yang baru sahaja dikenalinya, tidak mungkin bagi Hazim untuk mengetahui segalanya.
“I guest he is still waiting for you.” Kata-kata Hazim membuatkan Musliha mati kata. Syafik tidak lagi menantikannya kerana lamaran lelaki itu sudahpun diterimanya bahkan esok, perbincangan bagi majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung.                 
“Kenapa awak anggap arwah kawan awak tu sebagai sahabat paling istimewa?” Hazim bertanya lagi.
“Entah lah. Mungkin sebab dia pandai baca hati saya,”
“Awak sayangkan dia tak?” Hazim sebenarnya tidak menyangka soalan itu bisa terpacul dari mulutnya.
“Tersangat sayang. Saya hampir tak redha dengan pemergian dia sebab terlalu menyayanginya.” Hatinya kini dipagut sayu saat menyatakan rasa sayangnya buat Yusuf.
“Saya pasti, arwah pun sayangkan awak macam tu juga dan mungkin lebih dari itu,” Hazim cuba untuk mengusir kesayuan di hati Musliha.
“Betul. Saya baru tahu, rupanya dia cintakan saya. Saya yang buta,” ada senyuman terukir di bibir Musliha.
“Syafik?” soal Hazim lagi. Dia ingin tahu soal hati gadis yang kian menarik minatnya. Sejak pertama kali bertemu, Hazim dapat merasakan sesuatu yang aneh di dalam hati bahkan hingga kini, saat berdua dengan Musliha di dalam kereta itu, degupan jantung Hazim sentiasa kencang.
“Awak ni tak bosan ke asyik dengar cerita saya aje. Apa kata awak cerita pasal diri awak pula?” Musliha sentiasa mencari jalan untuk tidak bercakap perihal perasaanya buat Syafik.
“Saya tak ada sesiapa pun. Seingat saya, saya tak pernah bercinta. Cuma sejak kebelakangan ni, ada juga perasaan pelik yang datang bila berjumpa dengan seorang gadis ni,” Hazim berpura-pura sedang bercerita tentang orang lain sedangkan gadis itu ditujukan buat Musliha.
“Boleh saya tahu siapa?” soal Musliha pula.
“Saya masih tak dapat nak luahkan perasaan ni kat dia. Nanti kalau dah settle, saya janji, awaklah orang pertama yang akan tahu. Okay?” masakan dia beritahu gerangan gadis itu kepada Musliha sedangkan dia sendiri belum pasti akan perasaannya buat `gadis’ itu.
“Tapi ada masalah sikit lah.” Hazim bersuara lagi.
“Masalah macam mana?”
“Seems like she has got someone already,”
“Memang confirm tengah bercinta ke?”
“I’m not sure. Why?”
“Kalau belum bercinta, why don’t you try and maybe compete with the guy?” cadang Musliha.
Hazim tersenyum mendengarkan cadangan itu. Dia turut merasakan bahawa tiada salahnya andai dia bersaing dengan Syafik. Walau sehebat mana pun penantian Syafik buat Musliha, selama mana pun hubungan itu terjalin, dia tidak harus mengabaikan perasaannya sendiri. Hazim tekad untuk merebut Musliha kerana setakat ini, belum ada perempuan yang bisa mengocak rasa cintanya. Hanya Musliha.


Setelah penat berada dalam perjalanan, inilah masa yang sesuai untuk merehatkan dan merenggangkan otot-otot yang mula kekejangan. Bilik hotel yang disewa mereka sungguh mendamaikan. Pemandangan di waktu petang di situ memang sungguh menarik ditambah pula angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, ianya bagaikan meniup segala tekanan yang terasa.
Tirai yang menyembunyikan pemandangan tenang itu dibuka. Musliha menapak ke ruang balkoni untuk menikmati ciptaan Tuhan yang luas terbentang itu. Udara segar dihirup sepuas-puasnya sambil mata terpejam.
“Best kan?” tiba-tiba ada suara lelaki menyapanya.
“Awak intai saya ek?”
“Kalau intai buat apa saya berdiri kat sini? Lebih baik saya langkah balkoni ni, intai kat tingkap tu. Lagi senang,” ujar Hazim yang menyewa bilik bersebelahan dengan Musliha.
“Awak kata awak nak duduk kat hotel satu lagi tu?”
“Pada awalnya macam tu lah. Tapi tiba-tiba saya rasa lagi senang kalau saya sewa kat sini. Senang, kita pun pakai satu kereta je kan?” Hazim tidak mungkin melupakan cadangan Musliha tadi. Rebut. Inilah masanya untuk menyusuri hati gadis yang telah memikat hatinya.
“Would you mind to join me for a dinner?” Hazim bersuara setelah lama mereka terdiam.
“Dinner? Bila?” respon yang baik diberikan Musliha.
“Tonight. Would you?”
“Okay. Awak tunggu saya kat bawah je lah. Jangan tunggu saya kat sini pula,” tanpa rasa teragak-agak, Musliha menyambut pelawaan Hazim. Hati Hazim berbunga riang mendengar persetujuan Musliha untuk menemaninya makan malam bersama. Segaris senyuman diberikan buat Musliha.
Musliha membalas senyuman itu dengan renungan redup di mata. Terasa panahan mata itu bagaikan tertusuk di dada Musliha.
“Saya masuk dulu, nak solat Asar,” Musliha meminta diri terlebih dahulu sebelum panahan mata itu menusuk sanubarinya lebih dalam.
Musliha tidak pasti apakah getaran tadi hanya dirasakan dirinya seorang atau Hazim turut merasakan yang sama. Kelembutan senyuman yang dimiliki Hazim persis sekali dengan kelembutan pada senyuman Yusuf. Panahan mata yang dirasakan juga sama seperti yang pernah dirasakannya suatu ketika dahulu. Namun, Musliha yakin, getaran tadi adalah daripada Hazim, bukan Yusuf. Sekalipun hatinya terpikat pada lelaki itu, ianya kerana lelaki itu adalah Hazim, bukan Yusuf.
Tidak! Tidak mungkin bagiku terpikat kepada lelaki lain. Ingat, Mus! Lamaran Syafik sudahpun kau terima. Kau tidak patut mengabaikan perasaan Syafik hanya kerana seorang lelaki yang baru saja kau kenali. Bisik hati Musliha. Dia lalai dek kerana Hazim. Musliha masih ingat bahawa Hazim sudah terpikat kepada seorang gadis dan pastinya gadis itu bukan dirinya. Dalam diam, hatinya masih tidak percaya bahawa soal perkahwinannya bakal dibangkitkan esok. Itulah yang dikatakan takdir. Tiada siapa dapat menyangka akan sesuatu itu melainkan ianya adalah sesuatu yang dirancang mengikut kehendakNya.



Bab 33


Ada suatu perasaan aneh yang terbit di hati Musliha tatkala mengingatkan dirinya yang sedang berdua di dalam kereta bersama Syafik. Syafik? Ya, benar lelaki di sebelahnya adalah Syafik. Cinta pertamanya. Kali terakhir mereka berduaan begitu adalah ketika  Syafik menemaninya ke Mines Shopping Centre beberapa tahun dahulu dan pada ketika itu mereka masih berada di tahun pertama pengajian di universiti.
Kini, masing-masing sudah matang dengan cara sendiri. Biarpun kematangan sudah menumbuhkan pucuknya, namun sikap Syafik yang suka memaksa masih belum layu. Jika dahulu, Musliha kurang senang dengan sikap itu tetapi kini, Musliha tidak kisah akannya. Paksaan itu bukanlah terhadap suatu perkara yang buruk, ianya demi kebaikan Musliha juga. Syafik tidak betah mendengarkan makanan yang dipesan Musliha sebagai makan malam tadi. Apa yang dimahukan buat gadisnya adalah yang terbaik dan semestinya bukan Maggi Goreng sebagai santapan.
“Fik nak bawak Mus ke mana ni?” jalan yang dimasuki Syafik menimbulkan rasa hairan di hati Musliha. Dia takut kalau Syafik sampai tergamak melakukan perkara yang tidak diingini. Walaupun sepanjang perkenalan mereka, Musliha masak akan pekerti Syafik, tetapi itu semua bukanlah suatu jaminan kerana manusia kian berubah!
“Ada lah,” suara Syafik perlahan, penuh misteri. Musliha mula diserang perasaan takut. Walaupun dia sudah biasa dengan kawasan Bangi, namun jalan yang gelap dan dipenuhi pokok besar itu menggerunkan Musliha.
“Fik, Mus percayakan Fik tau,” Musliha cuba mengelak sebarang kemungkinan yang buruk berlaku.
“Mus takut ke?” Syafik memandang gadis di sebelahnya sekilas. Perasaan serba salah mula timbul di hati. Tangan Musliha cuba dicapainya namun gadis itu lebih tangkas menarik tangannya, tidak mahu dipegang.
“Mus, kenapa ni? Come, give me your hand before Fik paksa,” kereta sudah dihentikan di sebelah pokok besar yang berada di dalam suasana yang sungguh gelap. Musliha dapat merasakan titisan-titisan sejuk di dahinya. Sebelum berlaku perkara yang tidak diingini, Musliha merelakan tangannya digenggam oleh Syafik.
“Kalau Mus lapar, Fik pun lapar juga,” suara perlahan itu kedengaran lagi sambil tangan Musliha dibelai lembut dan dikucup perlahan.
“Apa Fik cakap ni?” Musliha berkira-kira untuk memboloskan diri dari perut kereta itu. Kata-kata doa sudah mula dipanjatkan ke hadrat Illahi moga maruahnya dibela dan masih dapat dipertahankan.
“Mus nak Fik terangkan maksudnya ke?” renungan mata Syafik kini lebih menggerunkan daripada suaranya. Badannya digerakkan sedikit untuk mendekati si gadis.
“Fik, tolonglah. Jangan macam ni. Mus tahu, Mus dah buat Fik tunggu Mus lama sangat tapi Mus dah terima Fik. Cuma Mus tengah cari masa untuk beritahu Fik,” suara Musliha terketar menahan ketakutan. Dia tidak menyangka Syafik yang dikenalinya sudah hilang kawalan perasaan. Tubuh lelaki itu sudah kembali pada jarak asal. Segaris senyuman kelihatan dalam cahaya yang samar.
“Alang-alang Mus dah terima Fik, lagi senang kan?” ayat itu sinis dan penuh dengan pengertiannya sendiri. Musliha jadi makin tidak keruan mendengarkannya.
“Fik, jangan!” rayu Musliha.
“Mus lapar kan?” walaupun soalan itu mudah tetapi Musliha tahu maksud di sebaliknya. Kereta digerakkan semula. Kali ini, ia menyusuri jalan itu, semakin jauh meninggalkan jalan utama.
“Mus nampak tu?” soal Syafik sambil jarinya dituding ke arah sebuah binaan yang cantik berkonsepkan ala-ala kampung. Beberapa pondok kelihatan di situ. Musliha masih keliru.
“Kita makan kat situ, ya?” suara Syafik kini tidak menggerunkan lagi namun Musliha masih terpinga-pinga melihat suasana tersebut. Sebuah suasana yang sangat mendamaikan dengan adanya beberapa lelaki berpakaian serba putih lengkap dengan kain alas di tangan sedang menunggu dan mempelawa tetamunya masuk.
“Apa ni Fik?” soal Musliha, menghilangkan kekeliruan.
“Ni restoran, sayang. Restoran ni best, masakan dia ala-ala kempung, boleh makan kat atas pondok. Jom,” tali pinggang keledar yang dipakainya dan Musliha dibuka.
Syafik sudah keluar dari kereta meninggalkan Musliha sendiri. Selang beberapa saat kemudian, pintu kereta Musliha dibuka. Senyuman Syafik mempelawa Musliha untuk berjalan bersamanya. Dengan perlahan, Musliha menapak keluar dari kereta itu. Dentuman perlahan daripada bunyi pintu yang ditutup memeranjatkan Musliha.
“Mus takut lagi ke?” Syafik tahu, Musliha masih dalam keadaan ketakutan. Musliha hanya terdiam sambil sepasang mata Syafik direnung dalam. Dia cuba mencari kebenaran dalam sinaran mata itu.
“Mus, Fik takkan buat perkara yang tak baik pada Mus. Fik minta maaf kalau gurauan Fik melampau tapi Fik hanya berniat untuk mengusik Mus aje,” Syafik dirundum rasa bersalah dengan gurauannya yang sememangnya melampaui batasan tadi. Namun, tidak sedikitpun niat untuk mengambil kesempatan terlintas di nawaitunya.
“Kenapa Fik buat macam tu? Mus takut tau Fik. Mus ingat Fik dah hilang akal. Mus hampir menyesal sebab terima Fik.” Suara Musliha kini tidak lagi terketar-ketar seperti tadi. Syafik menarik nafas lega mendengar suara itu kembali berbunyi.
“Fik minta maaf ya? Fik janji tak buat lagi unless dah kahwin. Okay?” senyuman nipis diberikan buat Musliha yang masih tidak puas hati.
“Fik janji akan jaga maruah Mus?” inilah kesempatan untuk Musliha menambah ikrar di panji lelaki itu.
“Itu memang pasti,” mereka terdiam sejenak, asyik melayan fikiran masing-masing. “Dah, jom makan. Perut Fik dah buat piket dah ni,”
Musliha menurut langkah Syafik sambil tangannya masih dibiarkan dalam genggaman tangan sasa Syafik. Genggaman itu kemas bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Musliha yakin akan kasih yang masih segar di hati Syafik buatnya dan dia juga yakin dengan penerimaannya buat lelaki itu. Kini, dia terasa selamat dengan genggaman itu tidak seperti tadi lagi.

Girangnya hati Syafik tidak dapat diungkapakn saat melihat senyuman manis di bibir mungil Musliha kembali terukir tika di sampingnya. Hatinya tekad untuk memperisterikan Musliha. Hanya Musliha seorang yang mampu mengisi kekosongan di hati lelakinya. Walau Nurul sentiasa ada buatnya tika diperlukan, hatinya masih mendambakan cinta Musliha.
“Thanks Fik,” kata Musliha sebaik kereta dihentikan berhadapan blok kediamannya. Pandangan mata Syafik bagai tidak mahu melepaskan Musliha pergi.
“Kenapa Fik pandang macam tu lagi?” walaupun pandangan mata itu tidak setajam dan senakal tadi, Musliha masih gerun menatap mata lelaki itu. Syafik yang masih merenung mata bundar itu melepaskan tawa kecil lantas kepalanya tertunduk, melepaskan pandangan kepada penarik brek kereta. Bibirnya diketap sambil fikirannya ligat menyusun kata.
“Thanks Mus,” tangan lembut Musliha dicapai lagi. Kiranya gadis itu sudah sah menjadi miliknya, pantas sahaja tangan itu dikucup namun ditahan rasa itu demi menjaga maruah seorang gadis yang amat dicintainya.
“Apa pulak? Mus lah yang sepatutnya berterima kasih pada Fik sebab dah bawa Mus pergi makan. Belanja pulak tu,” ujar Musliha, dengan nada yang sangat tenang. Setenang air di kali. Mungkin belum tiba masa untuk hatinya berkocak dengan layanan Syafik kerana benih cinta itu masih dicari di segenap ruangan hatinya.
“Apalah sangat yang Fik belanja Mus tu kalau nak dibandingkan dengan penerimaan Mus untuk Fik.” Suara lelakinya masih lembut berbicara. Tidak mungkin lagi baginya untuk berkasar dengan Musliha. Cukuplah sekali. Tiada keduanya.
“Apalah sangat penerimaan Mus kalau nak dibandingkan dengan penantian Fik,” balas Mus pula. Baginya, penerimaan buat Syafik bukanlah sesuatu yang boleh membalas jasa penantian Syafik buat dirinya yang hanya insan biasa.
“Penantian itu satu penyeksaan, Mus. Tapi Fik rela menunggu kalau itulah hukuman bagi kesalahan Fik pada Mus dulu,” masih ada nada penyesalan di dalam bicara itu. Musliha mengeluh perlahan. Tidak disangka, perkara yang sudah lama terkubur dalam ingatannya masih segar di ingatan Syafik.
“Maaf kalau Mus dah terlalu menyeksa Fik,” wajah Musliha berubah mengikut arus perasaan bersalahnya. Dia alpa akan penyeksaan yang selama ini ditanggung Syafik sepanjang penantian itu.
Jari telunjuk Syafik pantas sahaja mencapai bibir Musliha, menghentikan kata-kata maaf yang terucap. Kepalanya ditundukkan sedikit, mendapatkan wajah Musliha yang sedikit tersembunyi dari penglihatannya.
“Mus jangan rasa bersalah. Fik tak pernah salahkan Mus,”
Musliha terdiam. Kenangan bersama Yusuf suatu ketika dahulu menerjah lagi. Dulu, Yusuf juga pernah melakukan perkara yang sama dan kini dilaluinya lagi tetapi dengan lelaki lain yang bernama Syafik. Bukan Yusuf. Wajah Syafik dipandang redup. Senyuman yang dirindukannya datang menerpa. Pandangan mata yang penuh kelembutan dan kasih sayang itu datang menjenguknya lagi. Sebak di dada makin menyesakkan nafasnya. Sukar untuk dipercaya, lelaki yang sangat disayanginya kembali ke dalam hidupnya kini.
“Mus,” suara itu lembut di pendengaran Musliha. Seakan memujuk hatinya yang kini dirundum pilu.
“Mus, janganlah sedih macam ni. Fik langsung tak salahkan Mus,” suara yang penuh dengan nada pujukan itu terdengar lagi dan sebaik nama `Fik’ disebut, sepantas itulah wajah kesayangannya bertukar kepada wajah Syafik.
“Astaghfirullah,” Musliha tersedar dari lamunannya. Mujurlah tiada titisan airmata yang jatuh di kala asyik melayani wajah Yusuf dalam lamunan.
“Apa yang Mus imagine sampai istighfar ni?” Syafik sekadar bersenda. Sebanarnya dia sedikit tersentak mendengar lafaz istighfar dari bibir Musliha yang tidak semena-mena itu.
“Mus minta diri dulu. Ada banyak kerja tak siap lagi,” soalan Syafik dibiarkan tidak berjawapan.
“Okay. Kalau Fik call jangan tak jawab pula tau,” pesan Syafik sebelum Musliha membuka pintu kereta.
“Okay. Fik drive elok-elok ya. Assalamualaikum,” sebaik salam diberi, pintu kereta itu dihempas perlahan, melepaskan bunyi dentuman yang tidak kuat.
Musliha masuk ke dalam blok kediamannya sambil diperhatikan Syafik. Sebagai lelaki, dia bertanggungjawab memastikan keselamatan Musliha. Gadis itu diperhatikan hingga hilang bayangnya. Lantas keretanya dipandu dengan hati yang sungguh senang kerana dapat meluangkan masa bersama yang tersayang. Kegirangan di hatinya bertambah saat mengingatkan lamarannya yang sudah diterima Musliha.


“Awak pergi mana?” Hafizah pantas bertanya sebaik pintu rumahnya dibuka Musliha. Kerisauan jelas terpancar di riak wajahnya.
“Pergi makanlah. Tadi kan kite dah bagitau,” Musliha pula menjawab dengan penuh selamba.
“Ya lah, tapi kenapa lama sangat? Awak keluar tadi belum pukul 8.30 pun, tapi balik rumah dah pukul 10 malam. Dahlah kite call pun tak dapat,” Hafizah masih tidak berpuas hati. Kerja-kerjanya yang sepatutnya disiapkan sebelum tengahari esok tergendala dek kerana kebimbangannya akan keselamatan Musliha.
“Awak call?” Musliha bertanya sambil tangannya meraba isi tas tangan, mencari telefon bimbit. “Laa..patutlah. bateri kong!”
“Banyaklah awak punya kong. Kite yang kat rumah ni lebih dari kong dah tau?” Hafizah memeluk tubuhnya sambil matanya tidak lagi memandang Musliha.
“Alaa..sorry lah dear. Kite kan dah selamat ni. Nah, tengok kite. Okay je, tak ada apa-apa pun jadi. Takkan nak marah kot?” kata Musliha sambil mengambil tempat di sisi Hafizah.
“Dia bawa awak ke mana?” suara Hafizah sudah tenang. Sememangnya dia lega akan kepulangan Musliha. Tersangat lega! Tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.
“Bangi,” jawab Musliha, ringkas sambil tangannya sibuk menekan-nekan punat alat kawalan jauh, mencari program televisyen yang sesuai.
“Dekatnya? Tak ada yang dekat lagi pada tu?” soal Hafizah, penuh sinis. Tahulah dia kini mengapa Musliha dibawa pergi oleh Syafik begitu lama hingga membuatkan kebimbangannya membuak-buak.
“Best tau. Makan dalam pondok kat atas pokok,” Musliha bergelagat seperti kanak-kanak yang bangga dengan tempat yang baru sahaja dikunjungi.
“Awak dah bagitau dia?”
“Bagitau apa?”
“Tentang keputusan awak,” Hafizah tahu, tentu sahaja perkara itu sudah dibincangkan mereka ketika sama-sama menikmati santapan malam itu tadi. Musliha mengangguk kecil sambil riak di wajahnya langsung tidak menunjukkan kegembiraan yang sepatutnya terpancar di wajah seorang gadis yang baru sahaja menerima lamaran seorang lelaki.
“Dia macam mana?” Hafizah mengerti akan perasaan sahabatnya. Sememangnya Hafizah sudah maklum dengan sebab penerimaan Musliha terhadap Syafik.
“Happy. Sepanjang malam dia senyum. Kite happy bila berjaya buat seseorang happy macam tadi,”
“Kite pun happy untuk awak,” ujar Hafizah dalam nada yang penuh dengan keikhlasan. Musliha tersentuh melihat keluhuran hati Hafizah. Satu-satunya sahabat yang tinggal buatnya.
“Kite masuk dulu ya. Nak solat, then nak habiskan kerja sikit,” Musliha menarik tas tangannya sebelum berdiri dari tempat duduk. Hafizah ditinggalkan sendiri bersama rancangan televisyen yang tidak diberikan tumpuan. Jauh di sudut hatinya mengharapkan yang terbaik buat Musliha. Kesyukuran dipanjat buat Illahi tatkala mengingatkan diri betapa bertuahnya dia dalam mengenal erti cinta kerana cinta itu disemai bersama dengan lelaki yang mencintai dan dicintainya.
Musliha melangkah lemah ke dalam biliknya. Sebaik pintu ditutup rapat, tubuhnya disandarkan pada pintu itu sambil matanya dipejam rapat. Rasa bersalah kepada Syafik kian mencengkam diri apabila dia sedar akan lamunannya tadi. Di kala Syafik yang menemani, dia tidak harus menjemput bayangan wajah Yusuf ke dalam ingatan. Biarlah kenangan itu bagai terulang, namun kasih Syafik sepatutnya dihargai. Bukan untuk dibandingi.
Matanya dibuka perlahan, mengusir bayangan itu. Langkahnya dibuka dan disusun perlahan ke katil tempat beradu. Tubuhnya dihempaskan semahu-mahunya sambil bantal kecil yang sering menemani tidur malamnya dicapai. Rindu yang dirasakan buat Yusuf terasa kian sarat. Apakah rasa rindu dan kasih yang dirasanya kini adalah cinta? Tidak. Tidak mungkin dirinya mencintai seseorang yang sudah lama meninggalkan kehidupan fana ini.
Namun jika benar perasaan itu yang dikatakan cinta, biarlah cinta itu kini menjadi milik Syafik. Walaupun perasaan itu bukan lagi perasaan yang pernah dirasakannya suatu ketika dahulu, Musliha rela. Dia rela melepaskan rasa kasihnya buat Yusuf kepada Syafik. Tiada gunanya lagi buat Musliha mendamba kehadiran Yusuf sedangkan Syafik sentiasa ada di sampingnya. Hatinya ingin dibuka buat kehadiran Syafik di sisi.
Ingatannya terhinggap pada segenap wajah milik Hazim. Yusuf dan Hazim sememangnya sangat mirip dari segi rupa namun lain dari segi perwatakan. Setiap kali dirinya berdepan dengan Hazim, setiap kali itulah dia membandingkan Yusuf dengan jejaka itu. Terkadang, rasa rindu kepada Yusuf terasa hilang saat mengamati wajah Hazim. Musliha sedar, dia tidak seharusnya memperlakukan wajah Hazim begitu. Semenjak mengenali Hazim dan salasilah keluarganya, Musliha sentiasa teringin untuk mengetahui nama bapa lelaki itu tetapi dia tidak sampai hati kerana Hazim sudah kehilangan kedua ibubapanya sejak kecil dan Musliha tidak mahu mengembalikan memori pahit itu sekali lagi.
Musliha mengerti akan perasaan Hazim yang telah kehilangan orang-orang yang tersayang. Musliha sendiri tidak suka nama sahabat-sahabatnya yang sudah tiada disebut lagi. Berpandukan prinsip menjaga hati orang lain bak menjaga hati sendiri, Musliha tidak mahu melakukan suatu perkara yang tidak disukainya dengan membicarakan perihal ibubapa Hazim. Biarlah persoalan itu dicari jawapannya sendiri.

Saturday, 2 July 2011

Bab 32


Derapan tapak kaki beberapa orang yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat mendebarkan Musliha dan Faiz. Ini adalah projek pertama yang disiapkan sepenuhnya di bawah kendalian mereka berdua. Segala penelitian dan pemeriksaan dilakukan. Pengiraan kestabilan bangunan diambil kira sebagai perkara terpenting dalam setiap projek dan itulah yang paling mencabar buat Musliha dan Faiz sepanjang menyudahkan projek tersebut.
             Faiz membentangkan hasil kerjanya dengan penuh semangat dan berkarisma. Soalan-soalan yang diajukan pihak pengusaha dapat dijawabnya dengan sangat baik. Terkadang, soalan yang ditanya bukanlah soalan yang pernah terlintas di fikiran mereka. Akan tetapi, berbekalkan ilmu, dan kejujuran melakukan kerja, Faiz dapat mewaskan cabaran soalan tersebut.
Seperti biasa, Musliha yang mempunyai keyakinan tinggi membentangkan hasil kerja nya. Senyuman dan anggukan kepala pengusaha projek memuaskan hati Musliha. Hazim yang turut sama menjadi pemerhati di dalam mesyuarat tersebut terpegun dengan hasil kerja Musliha dan Faiz. Besarnya hati Qayyum tidak dapat digambarkan melalui kata-kata melihat jurutera yang selama ini berada di bawah bimbingannya berjaya membentangkan hasil kerja yang sungguh cemerlang.
Selesai sesi pembentangan, Qayyum memperkenalkan Hazim kepada pihak pengusaha terbabit. Keyakinan dan karisma Hazim juga tidak kurang hebatnya. Gayanya sedikit sebanyak meyakinkan mereka akan kebolehannya.
“Tahniah, Musliha,” kata Qayyum seraya bersalam dengan Musliha. Salam tahniah sudahpun diberikan kepada Faiz sebelum melangkah keluar bilik tersebut.
“Thanks to you. Kalau tak kerana tunjuk ajar Encik Qayyum, belum tentu kami dapat buat semua tu,” Musliha melebarkan senyumannya.
“So, lepas ni saya kena belajar dengan Encik Qayyum ke dengan mereka berdua?” soal Hazim kepada Qayyum.
“Tentulah dengan Encik Qayyum. Kami cuma boleh tolong yang mana mampu je,” sampuk Faiz pula.
“As in formal, you masih di bawah saya but I don’t see any chance to put you under my name as both of them are better than me,”
“No..no..either formal or not, Hazim masih milik Encik Qayyum and we have no right on him selagi Encik Qayyum masih di sini.” Musliha tidak biasa dipandang tinggi begitu.
“Its okay. I don’t think Hazim needs so much taught because dia dah ada experience sebelum ni,” kata Qayyum pula.
“Tapi pengalaman handle projek tak pernah la pulak,” bidas Hazim dengan rasa yang penuh rendah diri.
“Kalau macam tu, I will let you handle the next project with Musliha because this current project will be needing Faiz’s help. Faiz, will you?” Qayyum cuba memberi keputusan. Faiz terkesima dengan pelawaan Qayyum untuk bersama-sama mengendalikan projek terbaru. Lalu senyumannya melebar.
“Of course, Encik Qayyum. I will!” responnya jelas menunjukkan rasa terujanya.
Mereka sama-sama berpuas hati dengan keputusan yang dicapai. Musliha juga teruja untuk mengendalikan sebuah lagi projek yang akan bermula pada bulan hadapan.
“Disebabkan both of you dah buat saya rasa bangga sangat and saya tak pernah lagi belanja Hazim, our lunch today will be on my treat. What say you?” pelawa Qayyum.
“I say yes!” sahut Faiz penuh gembira.
“Fiza?” soal Musliha. Hatinya terniat untuk mempelawa Qayyum memperkenalkan tunangannya kepada semua yang ada nanti.
“She’ve got lunch appointment,” jawab Qayyum, ringkas.


Restoran yang mendamaikan dihiasi kehijauan dilangkah mereka. Walaupun restoran itu terselit di hujung bangunan kompleks beli belah, namun ia masih mampu menyegarkan mata yang memandang hiasan hijaunya.
Qayyum dan Faiz sibuk meneliti menu bahagian minuman untuk dipesan manakala Musliha dan Hazim terus sahaja ke bahagian makanan. Pelayan yang sedang menunggu di sisi meja langsung meminta pesanan minuman daripada Musliha dan Hazim yang nampaknya sudah siap memikirkan air minuman mereka.
“Jus tembikai,” kedua-dua mereka bersuara serentak. Mereka berpandangan seketika kemudian terus meneliti menu makanan sekali lagi. Musliha menyedari satu lagi persamaan Hazim dan Yusuf. Tetapi mungkin saja jus tembikai bukanlah merupakan kegemaran Hazim. Pada Musliha, itu hanyalah kebetulan. Hazim menutup menu itu setelah beberapa kali menyelak kandungannya. Qayyum dan Faiz sudah siap memberi pesanan.
“Musliha, dah decide?” tanya Qayyum kepada Musliha yang masih membelek menu.
“Order lah dulu.”
“Kami semua dah order,” jawab Faiz. Musliha tidak menyedari bahawa hanya tinggal dirinya yang belum memesan makanan.
“Saya suggest  awak pilih mihun kari,” saran Hazim. Musliha yang mendengarkan saranan itu tersentak.
“Kenapa?” Musliha sudah tidak keruan dengan sebuah lagi persamaan lelaki itu dengan Yusuf.
“Because that’s my favourite since I was in Qatar. You should give it a try,” Hazim tersenyum manakala Musliha bertambah kaget.
“Mus?” Hazim dapat mengesan fikiran Musliha bukan bersama mereka pada waktu itu biarpun pandangan mata itu menumpu ke arahnya.
“Ya..okay..mihun kari then,” dengan segera, pesanan diberikan. Pelayan restoran yang berpakaian serba putih itu sudah membawa pesanan mereka ke kaunter. Musliha masih tidak dapat menerima persamaan yang begitu ketara di antara Hazim dan Yusuf. Sebulan bekerja bersama-sama di pejabat yang sama, Musliha sudah mula menerima hakikat bahawa Hazim bukan Yusuf dan Yusuf bukan Hazim. Namun, persamaan di antara mereka pada kali ini mengganggu fikiran Musliha sekali lagi.
“Zim, aku dah lama nak tanya kau tapi tak berkesempatan. Kau memang lahir di Qatar ke?” soal Faiz, memecah dinding kesepian yang mula terbina.
“Tak. Aku lahir kat sini. Maksud aku, kat Perak. Kampung arwah ayah aku,” Musliha menarik nafas lega sebaik mendengarkan tentang kematian ayah Hazim. Bukan kerana hatinya gembira dengan ketiadaan bapa Hazim, tetapi kenyataan itu meyakinkan Musliha tentang perbezaan Hazim dan Yusuf.
“Oh..habis tu, macam mana kau boleh duduk kat sana?” soal Faiz lagi sambil Qayyum dan Musliha hanya tumpang dengar.
“Dulu, bapa saudara aku yang ambik aku. Dia jaga aku sebab dia tak ada anak. Dia bermastautin kat sana, jadi aku pun membesar kat sana lah,” terang Hazim.
“Maaf tanya, mak kau?” meskipun teragak-agak, Faiz tetap ingin tahu salasilah keluarga Hazim.
“Mak aku pun terkorban dalam kemalangan yang sama. Kebetulan masa tu, aku terselamat,” Hazim masih tenang membiacarakan tentang kisah hitam hidupnya.
“Aku tumpang simpati. Masa tu kau umur berapa?” Faiz sudah mula bersimpati akan nasib Hazim.
“Kata mak saudara aku, masa tu, aku baru habis UPSR,”
“Mak saudara? Dia yang cerita kat kau semua ni?”
“Haah..sebab lepas kemalangan, ingatan aku terjejas. Sebab tu aku habis belajar lambat.”
“Oh..maknanya awak tangguh pelajaran masa sekolah lah? Bukan masa peringkat universiti?” sampuk Qayyum yang pada perkiraannya, mungkin Hazim menangguhkan pelajaran semasa berada di peringkat universiti.
“Ya, masa sekolah. Sekarang pun, saya masih tak ingat zaman sekolah saya sebab masa tu, ingatan saya lemah dan tak dapat kumpul memori. Sekarang dah okay, tapi kata doktor, memori tu masih belum tiba. Ambil masa sikit untuk recall,” terang Hazim lagi. Musliha hanya setia mendengar. Satu lagi persamaan Hazim dan Yusuf adalah pengalaman kemalangan jalanraya. Namun, Hazim lebih bernasib baik, nyawanya masih termilik manakala Yusuf terkorban nyawa akibat kemalangan itu.
“Kesian awak, saya pun pernah kehilangan orang yang saya sayang kerana kemalangan,” Musliha bersuara akhirnya. Nadanya sungguh sayu.
“Boleh saya tanya, siapa?” Hazim bertanya dengan nada suara yang sangat lembut.
Belum sempat Musliha menjawab soalan itu, pelayan restoran sudah datang membawa makanan-makanan yang dipesan. Masing-masing menghentikan perbualan sambil makanan yang sampai disambut.
“Sedapnya bau mihun kari tu,” kata Faiz.
Walaupun aroma kari itu sudah mula menggoda nafsu makan Musliha, namun jus tembikai yang kemerahan terlebih dahulu diusiknya. Sebaik tiba di depannya, air itu segera dihirup ke kerongkongnya yang sudah mula kekeringan. Aksi itu bukan sahaja dilakukan Musliha, malah Hazim turut melakukan perkara yang sama. Bukan tiru, tapi serentak.
“Bukan main lagi awak berdua ni. Dah haus sangat ke?” tegur Qayyum sambil senyuman dileretkan.
“Sorry boss. Tapi saya memang tak boleh tahan setiap kali tengok jus tembikai.” Kata Hazim dengan penuh semangat.
“Kalau macam tu, samalah dengan Musliha. She likes the juice most!” Qayyum yang biasa makan tengahari bersama Musliha dan Hafizah sudah masak dengan kegemaran Musliha. Terkadang, kiranya Musliha terlambat ke kafe, Hafizah akan tolong memesan minuman itu buat Musliha. Dari situ lah, Qayyum dapat mengenal kegemaran Musliha.
“Really?” pandangan Hazim kini tertancap ke arah Musliha. Musliha hanya tersenyum nipis sambil mengangguk kecil.
“Tak sangka kita suka benda yang sama,” Hazim bersuara lagi. Kali ini ditujukan kepada Musliha.
“Jodoh la tu,” sampuk Faiz yang sedang menyuapkan makanannya ke dalam mulut. Hazim sudah tersipu mendengar usikan Faiz sementara Musliha sempat memberi jelingan tajam kepada Faiz. Hazim perasan akan perubahan di wajah Musliha lalu lengan Faiz disiku.
“Aduh! Kenapa?” Faiz beraduh sebaik lengannya mengena siku tajam Hazim. Hazim hanya menunjukkan muka sepuluh sen kepada Faiz seolah-olah tiada apa yang berlaku. Musliha dan Qayyum tidak mengendahkan mereka berdua. Hazim mengeluarkan telefon bimbitnya lalu ditaipkan pesanan ringkas buat Faiz.

Kau kata jangan cakap pasal jodoh depan Mus. Kalau dia sakit macam mana?

Faiz tersenyum sendiri sebaik membaca pesanan itu. Tawanya ditahan agar tidak berderai. Hazim..Hazim..kesian betul mamat ni. Kau percaya cakap aku bulat-bulat? Hatinya berbisik sendiri ditemani tawa yang tertahan.


Deringan telefon bimbit Musliha mengganggu konsentrasi Hafizah berdoa. Mukanya diraup, lalu dia bingkas bangun dengan telekung yang masih dipakai.
“Mus!” Hafizah memanggil Musliha sambil pintu bilik diketuk. Diam. Tiada jawapan mahupun sahutan dari Musliha. Telefon yang masih berdering itu dikerlingnya. Selang beberapa saat, pintu bilik dibuka Musliha.
“Sorry. Kite tengah solat tadi. Siapa call?” Musliha yang juga bertelekung terjengul di balik pintu.
“Syafik. Dah putus dah pun,” telefon bimbit di tangan dihulurkan kepada Musliha. Musliha pula berkerut mendengar nama itu manakala Hafizah terus berlalu ke bilik tidurnya.
“Fiza, awak rasa patut ke kite call dia balik?” Musliha bertanya sambil menyandarkan tubuhnya di pintu bilik Hafizah.
“Selama ni, asyik dia je yang tunggu awak. Apa kata kali ni, awak pulak tunggu dia?” pesanan Hafizah tetap menyelitkan ego. Musliha meleretkan senyumannya. Dia faham benar dengan sikap egois Hafizah yang sangat tinggi tambah-tambah lagi bila berkenaan dengan lelaki. Sedang dia berkira-kira untuk melangkah masuk ke dalam bilik Hafizah, telefonnya berdering sekali lagi. Nama Syafik jelas tertera di skrin itu.
“Helo,” Musliha menyambut panggilan itu sambil melangkah masuk ke dalam biliknya, meninggalkan Hafizah yang sudah membuka komputer riba di atas katil.
“Hai Mus. Kenapa tak jawab tadi?”
“Mus tengah solat,” jawabnya ringkas.
“Oh..Mus dah makan?” suara Syafik sungguh lembut mencapai pendengaran Musliha.
“Belum. Kejap lagi Mus makan,” walaupun dia tidak tahu apa yang boleh dimakannya, jawapan tetap diberikan juga.
“Mus! Kite nak keluar makan dengan Qayyum, nak ikut tak?” laungan Hafizah kuat terdengar dari biliknya. Lantas Musliha menjauhkan telefon bimbitnya dari dirinya.
“Tak ikut, tapi nak pesan macam biasa!” Musliha menguatkan suaranya tetapi tidak mencapai tahap laungan supaya tidak didengari Syafik.
“Sorry Fik. Fiza panggil tadi,” dia kembali pada perbualannya dengan Syafik yang tergantung tadi.
“Tak apa. Biasanya Mus pesan makanan apa dengan Fiza?” Musliha tersentak mendengar soalan Syafik. Tidak dia sangka Syafik terdengar akan perbualannya dengan Hafizah.
“Maggi goreng dengan jus tembikai. Kenapa?”
“Maggi goreng? Biar betul, Mus,”
“Betullah..buat apa nak tipu?”
“Kalau macam tu, Mus cancel kan order tadi tu. Biar Fik belikan Mus makanan,”
“Hah! Fik nak beli? Fik kat mana ni?”
“Tak kiralah Fik kat mana pun. Lebih kurang sepuluh minit lagi Fik sampai. Okay?”
Musliha mengeluh kecil. Dia sudah masak dengan perangai Fik yang sememangnya suka mendesak.
“Okay,” akhirnya Musliha akur. Talian dimatikan lalu dia mendapatkan Hafizah yang sedang mengunci pintu rumah. Pesanan makanan dibatalkan walaupun dia masih tidak pasti dengan keputusannya. Hafizah juga bingung dengan Musliha. Ada riak gembira yang terpancar saat menyatakan kehadiran Syafik yang akan membawa makanan untuknya namun masih ada lagi riak yang kurang jelas di wajah itu. Akhirnya Hafizah akur lalu segera menapak ke dalam lif mendapatkan tunangannya yang sedang menunggu di bahagian bawah.
Sebenarnya Musliha sungguh gembira dengan keprihatinan yang ditunjukkan Syafik namun dia ragu-ragu untuk menyebut nama itu di depan Hafizah. Musliha tahu, Hafizah masih tidak menyukai Syafik dan begitu juga sebaliknya. Diam-diam, Musliha berjanji pada diri sendiri untuk memperbaiki pandangan mereka di antara satu sama lain.

Friday, 1 July 2011

Bab 31


Kertas-kertas yang berselerakan di atas katil bagaikan sedang beratur menunggu giliran untuk diselesaikan. Komputer riba yang sedari tadi dihidupkan dibiarkan sahaja. Ingatan Musliha kini setia pada Hazim dan Yusuf. Dua wajah itu mirip. Dua suara itu sama namun nama mereka berlainan. Muhd Yusuf Hazim dan Hazim Zakwan.
Jauh di lubuk hati, Musliha berharap Hazim dan Yusuf adalah lelaki yang sama namun secara realistik, dia masih sedar bahawa Yusuf sudah lama meninggalkannya tanpa khabar berita. Ibubapa Yusuf juga telah jauh meninggalkan tanah air demi ketenangan jiwa mereka. Tiba-tiba fikirannya hinggap pada wajah Syila. Lantas telefon bimbitnya dicapai lalu nombor Syila dihubungi.
“Assalamualaikum, Syila. Ni aku, Mus.” Musliha bersuara sebaik Syila menyambut panggilan telefon itu.
“Waalaikumussalam. Kau apa khabar? Dah lama tak contact aku ek?” suara Syila masih tidak ubah seperti yang didengarinya buat kali terakhir kira-kira dua tahun dulu.
“Aku busy lah Syila. Kau pun sama, mana ada contact aku dah sekarang kan?”
“Aku pun sama lah Mus, sibuk memanjang.” Syila yang kini merupakan ketua bahagian kawalan tetamu di hotel yang sama juga payah untuk meluangkan masa bersama teman-teman.
“Orang dah naik pangkat kan?” usik Musliha.
“Kau ni ada-ada je. Aku memang dah bercadang nak call kau. Tapi aku takut ganggu pulak. Biasanya kalau aku bagi SMS pun kau jarang balas, ni kan pulak call.”
“Haah..biasanya aku ada meeting atau discussion bila malam. Tapi Qayyum tak ada. So, aku macam free sikit lah. Kau kenapa nak call aku?”
“Aku nak minta alamat rumah,” masing-masing terdiam. Musliha menanti ayat seterusnya manakala Syila pula segan untuk meneruskan ayat yang sebenar. “Nak bagi undangan,” sambungnya, ringkas tapi penuh erti.
“Undangan? Kau nak kahwin ke? Bila?” soalan Musliha bertubi-tubi, teruja dengan khabar itu.
“Kau ni, bersabarlah sikit.” Tawa kecil dilepaskan Syila. “Insyaallah, bulan depan. Kau datang tau,”
“Eh, mestilah aku datang. Kau kahwin kat mana? Dengan siapa?” rasa teruja dan gembiranya masih belum hilang.
“Kat Dewan Akasia. Dengan bakal laki akulah.”
“Dewan Akasia? Kat hotel tu ke? Kenapa tak Dewan Astana?”
“Kau gila Dewan Astana? Aku tak mampu lah. Sebab kalau Dewan Astana kena tambah bayar mahal sangat. Dewan Akasia ni taklah mahal sangat bila dah campur sekali yang hotel sponsor.”
“Sponsor? Bestnya kau!” Musliha sungguh gembira dengan rezeki Syila.
“Haah..diorang sponsor makanan. Sewa dewan tetap kena bayar,”
“Oh..bakal laki kau tu siapa?”
“Kawan sama sekolah dengan aku dulu. Jodoh, Mus.” Suara Syila di hujung talian sungguh tenang menyatakan tentang bakal suaminya.
“Aku tumpang gembira untuk kau, Syila. Semua kawan-kawan aku dah nak kahwin. Tinggal aku je yang tak laku lagi,” ujar Musliha tanpa terfikir tentang risikan Syafik yang masih tidak mendapat jawapan darinya.
“Semua? Maksud kau?”
“Oh..aku belum bagitahu kau pasal Fiza ek. Dia pun dah nak kahwin. Dah tunang dah pun. Insyaallah, lepas raya dia kahwin. Kau tau dengan siapa?”
“Siapa?”
“Dengan Qayyum.”
“Qayyum? Yang kau kenalkan kat aku masa kau punya dinner dulu tu?” Syila masih teringat wajah Qayyum yang manis sewaktu dikenalkan Musliha pada majlis makan malam amal Hotel Seri Kayangan. Musliha telah hadir bersama Qayyum, Faiz dan Hafizah untuk turut beramal pada malam itu.
“Ya, dialah. Masa tu aku sengaja kenalkan dia kat kau. Nak bagi Fiza cemburu.”
“Oh..kau jadikan aku arnab putih ek! Sampai hati kau. Nasib baik iman aku kuat,” kata-kata Syila memecahkan deraian tawa Musliha di hujung talian. “Eh, sebenarnya kenapa kau call aku ni? Nak mengundang jugak ke?” Syila cuba menduga.
“Tak. Aku nak tanya kau satu hal sebenarnya,” nada Musliha sudah berubah serius sebaik teringat tujuan utamanya menghubungi Syila. Syila hanya terdiam menanti soalan Musliha.
“Vila Nuzila masih sunyi ke?” Musliha sekadar ingin tahu sama ada Datuk Yunus dan isteri sudah kembali ke tanah air atau belum.
“Macam tu lah jugak Mus. Tak balik lagi nampaknya. Yang ada cuma tukang kebun dengan pengawal. Kadang-kadang ada seorang lelaki yang lebih kurang baya Datuk Yunus pergi jenguk rumah tu. Agaknya sanak saudara dia kot,” walaupun Datuk Yunus dan Datin Fadzila sudah lama tidak kelihatan, Syila masih setia memerhatikan vila itu demi membantu Musliha.
“Oh..tak apa lah. Kalau katakan kau nampak Datuk atau Datin, beritahu aku tau. Mungkin diorang dah suka duduk kat negara orang agaknya,” suara Musliha jelas di dalam kecewa.
“Ya, aku janji. Kalau aku nampak, aku beritahu kau. Tapi satu hal aku nak pesan. Kau janganlah asyik teringat je kat Yusuf. Dia dah lama tinggalkan kita, Mus.” Pesan Syila, sebagai kawan yang penuh prihatin. Dia tahu Musliha sungguh merindui Yusuf.
“Aku tahu tu. Aku nak jumpa parents dia sebab nak tanya tentang kubur Yusuf. Aku rasa bersalah sebab tak pernah sekali pun lagi aku pergi ziarah kubur dia.”
“Oh..kalau tentang tu, aku setuju lah. Aku pun sedih jugak, kawan meninggal tapi tak pernah sekali pun pergi jenguk kubur dia. Lega aku kalau kau dah okay. Aku tak nak kau menangis asyik rindu kat dia je tau,”
Mereka berdua menjadi rapat sejak sama-sama bekerja di hotel. Hingga kini, walaupun jarang bersua muka, namun hubungan mereka tetap rapat seperti dahulu. Perbualan mereka meleret selama 10 minit sebelum Syila mengundurkan diri. Musliha langsung tidak menyebut tentang perkara utama yang sedang ligat bermain di fikirannya. Hazim. Lelaki yang sangat mirip dengan arwah sahabatnya, Yusuf.
Komputer riba yang sedia terpasang di depan mata disentuh. Peti simpanan e-melnya dibuka. Seperti biasa, hanya luahan kepada Yusuf yang bisa mengusir segala perasaan aneh yang hadir. Sebuah e-mel dikarang dengan penuh emosi dan sarat dengan kerinduan. Biarlah e-mel itu sudah tentu tidak diusik apatah lagi untuk dibaca namun semakin diluah, semakin lega yang dirasakan.
 Dia tahu, Hafizah akan sentiasa bersama kiranya dia memerlukan Hafizah untuk mendengar tetapi entah mengapa dia lebih selesa meluahkan segalanya kepada Yusuf. Mungkin juga kasih yang pernah dicurahkan olah Yusuf buatnya terlalu dalam dan hingga kini, Musliha gagal mencari seseorang yang dapat memberikan kasih seperti itu. Sudah lama Musliha sedar, dirinya terlalu menyayangi Yusuf tetapi apakan daya. Sedalam mana pun sayang itu, ia tidak akan mampu mengembalikan Yusuf ke sisinya semula.


Sejak petang tadi, hanya kesunyian yang setia menemani rumah apartment itu. Laporan bulanan masih menanti untuk diselesaikan Hafizah. Tidak dinafikan, Hafizah terasa bosan dengan suasana begitu. Suasana sepi tanpa kegirangan suara Musliha. Tiada guran senda dan hilai tawa seperti sediakala. Mungkin juga Musliha sedang tertekan dengan kerja-kerja di pejabat. Ingin sahaja dirinya menghubungi Qayyum tetapi dia tidak mahu mengganggu lelaki itu.
Tiba-tiba rindunya hinggap pada kenangan bersama Umi, Daniel dan Yusuf. Jika dulu, kebosanannya selalu diiisi dengan luangan masa bersama mereka bertiga ketika sama-sama bersekolah di Cheras dahulu. Tidak kurang juga rindunya pada Musliha yang sentiasa ceria. Kini, Musliha tidak lagi seceria biasanya. Walau bagaimanapun, Hafizah terpaksa menerima keadaan itu dengan cuba untuk menyesuaikan diri dengan kerenggangannya dengan Musliha.
Hafizah sedar, tidak lama lagi, dirinya dan Musliha terpaksa tinggal berasingan kerana dirinya bakal mendirikan rumahtangga. Pernah juga Hafizah meminta izin Qayyum untuk tinggal bersama Musliha selepas berkahwin sehingga Musliha bertemu jodoh namun suami manakah yang sanggup berjauhan dengan isteri tercinta. Hafizah akur.
Perlahan, langkahnya disusun keluar bilik. Dia berkira-kira untuk ke dapur demi menikmati secawan nescafe panas. Setibanya di dapur, matanya tertancap ke arah sekujur tubuh yang sedang duduk di kerusi meja makan mereka. Rupanya, Musliha juga sedang menikmati minuman yang sama seperti yang ada dalam bayangannya.
“Minum sorang je? Apsal tak ajak?” tegurnya buat Musliha. Musliha hanya tersenyum biasa sambil air di dalam mug nya dihirup.
“Awak ada masalah lagi ke?” Hafizah yang sukar memendam soalan, mengutarakan persoalan utamanya.
“Lagi? Apa maksud awak?” Musliha berasa sedikit hairan dengan soalan Hafizah.
“Ya lah. Kerja-kerja awak selalu bagi awak masalah kan? Tapi kite takut masalah awak kali ni bukan sebab kerja,” ujar Hafizah.
“Ni la yang buat kite sayang awak, Fiza,” suara Musliha lembut. Hafizah terdiam sambil mengambil tempat di hadapan Musliha. “Awak selalu dapat detect masalah kite kan?”
“Dah berapa lama kite kenal awak Mus,” renungan yang dalam diberikan ke arah mata Musliha yang bersinar. “Kenapa?” tangan Musliha digenggamnya.
“Kite teringat Yusuf,”
“Yusuf? Kenapa Yusuf je? Yang lain?”
“Entahlah Fiza. Susah kite nak cakap. Yang lain pun kite rindu jugak tapi dalam fikiran kite ni sentiasa ada Yusuf. Buat pengetahuan awak, kite masih hantar e-mel kat Yusuf sejak hari pertama kita tahu tentang kematian dia,” terang Musliha.
“Sampai sekarang?” Hafizah seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Musliha pula sekadar menganggukkan kepala.
“Mus, kenapa awak tak redha? Kesian lah kat Yusuf. Tak tenteram rohnya nanti,”
“Kite redha, Fiza. Tapi kite tak tahu macam mana nak kurangkan rasa rindu selagi tak bagi e-mel tu pada dia. Hanya Yusuf yang pernah dengar tangisan kite. Hanya dia jugak yang pernah tengok titisan airmata kite. Macam mana kite nak lupa Yusuf?” luahnya dengan dada yang penuh sebak. Hafizah terdiam. Sungguh dia tidak menyangka rupanya sepanjang ketiadaannya di tanah air sembilan tahun lalu, hubungan Musliha dan Yusuf serapat itu.
“Kite tak tahu yang awak dengan Yusuf dah jadi serapat tu. Maknanya awak dah tahu lah?” Hafizah dapat merasakan bahawa Musliha tahu akan perasaan sebenar Yusuf padanya sepertimana yang pernah diberitahu Yusuf suatu ketika dahulu memandangkan hubungan Musliha dan Yusuf sudahpun menjadi serapat itu.
“Dah tahu apa?” Musliha hairan dengan soalan Hafizah yang tergantung itu. Sepatutnya, perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan Musliha kerana Yusuf berhajat besar untuk menjadi insan pertama yang membongkar perasaannya sendiri kepada Musliha.
“Hmm...sepatutnya benda ni rahsia, Mus.” Hafizah tidak tahu apakah harus baginya untuk memberitahu perkara sebenar ataupun untuk terus menyimpan perkara itu sebagai rahsia.
“Cakap je lah. Dengan kite pun awak nak berahsia?” Musliha sudah mula tertanya-tanya akan rahsia yang nampaknya besar.
“Sebenarnya, masa arwah masih ada,” Hafizah masih teragak-agak untuk meneruskan ayatnya namun memandangkan Yusuf sudah tiada lagi di dunia, tiada salah baginya untuk memberitahu perkara sebenar kepada Musliha. Musliha masih menanti sambungan ayat Hafizah dengan penuh tekun.
“Dia selalu beritahu kite tentang awak. Bukan beritahu perkara biasa, tapi katanya, dia sentiasa fikirkan tentang awak. Mimpi pun pasal awak, segalanya berkenaan dengan awak. Dia juga pernah mengaku yang dia sebenarnya terlalu sayangkan awak dan dia pernah sedar, sebenarnya perasaan kasih yang ada dalam diri dia buat awak adalah perasaan cinta. Bukan setakat sayang kepada sahabat,” panjang lebar penjelasan Hafizah. Musliha yang mendengar pula kini tergamam.
“Awak biar betul, Fiza.” Musliha tidak dapat menelan apa yang dikatakan Hafizah bulat-bulat.
“Betul. Kite simpan lagi e-mel dia yang berkenaan dengan awak ni,” Hafizah meyakinkan Musliha.
Sungguh Musliha tidak menyangka bahawa perasaan cinta pernah terbit di hati Yusuf buatnya. Kenangan di Sunway Pyramid datang menjengah berselang-seli dengan kenangan makan malam dengan Yusuf. Kini dia mengerti kenapa Yusuf begitu prihatin akannya.
“Dia pernah cerita kat kite, masa dia nak luahkan perasaan pada awak, Syafik datang then awak jadi sedih sangat sebab Syafik marah awak. Dia sedar pada masa tu, dia tak layak buat awak sebab hati awak masih milik Syafik,” sambung Hafizah lagi. Dada Musliha kini berombak kencang sambil gambaran yang mengusik benaknya kian segar. Kini segala-galanya jelas. Dia teringat wajah Yusuf yang agak muram ketika dalam perjalanan pulang. Langkah longlai Yusuf juga segar dalam ingatannya kini.
“Kenapa awak tak bagitau kite dulu, Fiza?” suaranya kini tersekat-sekat menahan sebak di dada.
“Sebab kite dah janji dengan Yusuf untuk simpan perkara ni sebagai rahsia,”
“Kite menyesal sebab pilih Syafik masa tu.” Kepalanya digeleng perlahan sambil rambutnya yang mula mengusik wajahnya dikuak.
Musliha tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan sesalan dan hampa yang dirasakan kini. Tidak sepatutnya perasaan Yusuf diabaikan hanya kerana menjaga hati Syafik. Kau bodoh, Mus! Buta! Bantak hatinya.
“Kite rasa, kite dah tau apa maksud mimpi awak tentang Yusuf dulu.” Musliha hanya diam menanti kata seterusnya dari Hafizah.
“Mungkin dia nak serahkan awak pada Syafik,” Hafizah sekadar menelah. Itulah yang timbul di fikirannya sebaik Musliha bercerita tentang mimpinya suatu ketika dahulu.
“Mungkin,” Musliha turut menelah perkara yang sama. Perlahan, sesalan yang dirasakan menghilang.
“So, walaupun kite tak suka Syafik tapi kite rasa, dia lah yang terbaik buat awak. Dia setia menunggu awak sejak dulu, Mus. Biarlah kalau dia tak dapat terima kite sebagai sahabat awak, tapi sekurang-kurangnya dia dapat terima awak seadanya. Walaupun sekarang layanan awak dah tak sama lagi untuk dia, tapi dia masih dapat terima awak. Bukalah hati awak buat dia,” saran Hafizah. Sungguh dia kagum dengan kesugguhan Syafik menanti cinta Musliha.
“Kite rasa, ini lah petunjuk yang kite nanti-nanti selama ni, Fiza.” Suara Musliha kembali tenang. Namun airmukanya keruh. Hampa datang menyelinap di sanubari tatkala mengingatkan diri akan cinta yang tidak dapat dibalas kepada Yusuf.
 Hafizah tersenyum mendengarkan kata Musliha. Apa yang ingin dilihatnya adalah kebahagiaan sahabatnya. Dia juga tidak sampai hati meninggalkan Musliha keseorangan di rumah itu kiranya sudah tiba masa untuk dirinya untuk hidup bersama Qayyum.
Rindu yang dirasakan buat Yusuf kini makin kuat menghimpit hati. Pandangan mata yang pernah memberi getaran di hati Musliha, terimbau. Pegangan tangan yang sungguh erat bagai tidak mahu dilepaskan, terasa hangat di kedua telapak tangan Musliha. Hatinya kini bersedia untuk menerima Syafik kiranya itu yang dimahukan Yusuf. Tetapi andai kata Yusuf masih bernyawa di muka bumi ini, Musliha berjanji untuk membalas cinta Yusuf. Namun janji hanya tinggal janji. Lelaki itu tiada lagi.