Selama seminggu berita kematian Yusuf diketahui Musliha namun penerimaannya tiada buat berita itu walau sekelumit jua. E-mel masih dihantar kepada Yusuf seperti sediakala. Pencariannya masih diteruskan seperti biasa. Biarlah Sofea dan Hafizah dapat menerima berita itu dengan baik namun hatinya tetap berkeras. Dia masih berdiri atas kepercayaannya. Percaya akan Yusuf yang masih hidup. Meskipun hatinya menangis saban hari, matanya membengkak, perut tidak diisi, kepercayaannya tetap teguh.
Di sebalik keteguhan itu, terkadang hatinya menerima pemergian Yusuf. Musliha puas memaksa dirinya untuk menerima hakihat Allah kerana dia tidak mahu sikapnya membuatkan roh Yusuf tidak tenang. Syafik yang menanti dibiarkan begitu sahaja. Hati dan perasaannya kini bukan untuk dibelai. Musliha mahu bersendiri. Dia perlukan masa untuk menelan kepahitan itu. Hafizah juga tidak lagi berhubung dengannya sekerap dahulu. Begitulah Hafizah menyembunyikan getaran sebak di dada.
Sejak dulu, Hafizah tidak suka memperlihatkan dirinya di kala dia sedang berkabung. Biarlah kematian itu melibatkan ibu dan kakaknya, airmata Hafizah tetap tersorok. Musliha akui, dia tidak tabah dalam mengharungi ujian sebegini. Dia tidak setabah Hafizah yang telah kehilangan ibunya sejak berumur 8 tahun. Bukan hanya pemergian yang disaksikan bahkan keempat-empat das tembakan yang mengenai kakak dan ibunya itu berlaku di hadapannya. Hanya dia sebagai saksi.
Takdir telah menentukan ajal Hafizah bukan pada masa itu apabila pihak polis sempat sampai ke tempat kejadian dan tiada lagi peluru untuk Hafizah di dalam senjata rompakan itu. Namun hati Hafizah tetap tabah. Selepas kejadian, Hafizah memerlukan masa untuk bersendiri. Barangkali menumpahkan airmata semahu-mahunya. Musliha faham akan kehendak Hafizah kerana dirinya juga berkehendak akan masa tatkala kesedihan menimpa diri.
Selama seminggu Musliha tahu akan ketiadaan Yusuf di muka bumi, selama seminggu dirinya masih menantikan kepulangan Yusuf di sisi, selama seminggu airmata tidak berhenti mengalir di pipi, selama seminggu jugalah hanya Yusuf bermain di mimpi. Benarkah dia hanya mampu berbicara dengan lelaki itu di dalam mimpi? Yusuf..biarlah rindu yang sarat ini ku tanggung sendiri tanpamu di sisi. Kini, bicara Musliha tidak bersama suara tetapi hanya dalam hati.
Pelajaran tidak pernah diabaikannya. Musliha tahu, hanya pelajaran yang mampu mengubati kesedihan itu. Saat menghadapi tugasan yang mencabar, telefon bimbit yang baru dibelinya dicapai untuk menghubungi Yusuf kerana hanya sahabatnya itu lah yang mampu memberi tunjuk ajar kepadanya. Hati Musliha sering dirundum hampa apabila hanya suara wanita yang sama dengan ayat yang sama dan intonasi yang sama menyahut panggilan telefonnya kepada Yusuf.
“Yusuf..awak pergi mana? Janganlah tinggal kite macam ni je. Awak selalu buat kite happy tapi surprise yang awak bagi kali ni tak mampu buat kite happy. Baliklah Yusuf!” Musliha meninggalkan pesanan suara kepada Yusuf sambil ditemani airmata yang laju menitis di pipi. Musliha teresa-esak sendiri. Pesanan terakhir daripada Yusuf dibuka lagi. Setiap bait-bait perkataan itu ditatapnya sedalam mungkin.
Insyaallah. Mus, jaga diri baik2 ya. Ingat, jangan terlalu ikutkan perasaan. Yang datang akan pergi, dan yang pergi tetap pergi. Jangan terkena penyakit selsema buat-buat lagi. Kalau kite tak ada, siapa nak pujuk. Bye, Mus. See you!
“See you? Macam mana? Kalau awak tak nak balik sini lagi?” suara Musliha perlahan dek ditenggelami kesedihan yang teramat. Apakah itu tanda pemergian Yusuf? Ya, bila awak tiada, tiada siapa yang dapat pujuk kite lagi. Kalau awak ada, pastinya kite tak sempat menangis sampai macam ni kerana setiap kali kite sedih, awak di sini. Yusuf! Batinnya menjerit lagi.
Musliha cuba untuk meredakan kesedihan yang melanda dengan memperdengarkan radio secara online. Waktu Asar telah pun tiba. Selesai tazkirah pendek yang berkumandang di dalam radio, seperti biasa lagu nasyid lah yang menjadi selingan. Musliha membiarkan lagu nasyid itu berkumandang kerana barangkali lagu itu dapat menenangkan jiwanya yang kini hanyut dalam kesedihan. Sebuah lagu daripada kumpulan Hijjaz disampaikan kepada pendengar-pendengar.
Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati
Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati
Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi
Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami
Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Kau sahabatku kau teman sejati
Hatinya kini hanyut ditelan arus duka. Tenang yang dicita, parah yang menimpa. Entah bila kedukaan ini akan terhenti. Penghujungnya tiada tanda ibarat merentasi lautan dalam kelam. Hanya bayu yang menentukan haluan.
Bagaikan hilang punca. Syafik buntu menceriakan Musliha. Baru kini dia sedar, selama ini Yusuf lah nadi kegembiraan Musliha. Segala layanan istimewa yang diberikannya kepada Musliha tidak berjaya mengembalikan senyuman di bibir gadis itu. Setiap hari, mata Musliha membengkak. Bila ditanya, hanya satu jawapan yang keluar dari mulut Musliha.
“Jangan risau, ni cuma penyakit selsema buat-buat. Yusuf kata, ia tak menyebabkan kematian,” hanya itu yang terdengar tatkala Syafik bertanyakan tentang matanya yang kian membengkak. Syafik tahu, Musliha masih waras dalam berkata-kata namun kejutan yang diterima mungkin tidak dapat memberi sepenuh kepercayaan kepada Musliha akan kematian Yusuf. Syafik kini mengaku tewas. Walau apapun, dia masih meneruskan asa dalam mengembalikan celoteh manja Alia Musliha.
“Syafik!” Syafik segera menoleh ke arah suara serak basah itu.
“Kenapa? Nampak risau semacam je,” Nurul yang masih tercungap-cungap ditenungnya.
“Kenapa kau tenung aku macam tu?” pertanyaan Nurul masih dalam mengah.
“Ya lah. Dah kau tu macam kena kejar hantu. Kenapa?”
“Memang hantu. Tapi bukan aku yang kena kejar, Mus..”
“Mus? Kenapa dengan Mus? Mus kat mana?” Syafik mula risau dengan berita yang cuba disampaikan Nurul.
“Tadi aku nampak dia bagi e-mel kat Yusuf. Aku rasa kita kena bawak dia jumpa kaunseling lah,”
“Oh..e-mel..kau ni..aku ingat betullah Mus tu kena kejar hantu. Hisy!” Syafik mendengus.
“Ya lah. Hantar e-mel kat orang yang dah tak ada. Tak ke macam kena kacau tu?”
“Entahlah Nurul. Aku dah mati akal. Tak tahu lagi macam mana aku nak beritahu dia, Yusuf dah tak ada. Baru aku tahu. Kehadiran Yusuf dalam hidup dia memang bermakna. Sebagaimana bermaknanya hidup aku bila ada dia,” hati Syafik diruntun pilu.
“Aku pun pernah menangis tengok keadaan Mus. Aku rindu Mus yang dulu,”
“Aku pun,” mereka terdiam. Masing-masing melayani perasaan yang terbit di hujung hati.
“Syafik, aku nak tanya kau satu benda,”
“Ada ke benda yang boleh ditanya? Setahu aku lah kan, soalan je yang biasanya ditanya. Bukan `benda’,” Syafik cuba menyakat. Dengan pantas bahu Syafik ditumbuk perlahan oleh Nurul.
“Kau ni kan. Sejak bila pulak pandai menyindir ni?”
“Sejak kenal kau lah. Kau kan ratu sindir” Syafik sempat mengerling ke arah Nurul. Kerlingan itu pantas dibalas dengan jelingan tajam.
“Main sedap mulut kau je kan? Eh, aku nak tanya satu soalan ni,”
“Bukan kau dah tanya tadi?”
“Bila?” Nurul bingung. Seingatnya, soalan itu belum ditanyakan lagi.
“Hah tu, kau tanya lagi. Soalan lah tu kan? Kata satu je. Ni dah masuk yang kedua ni,” Syafik menyakat lagi. Melihatkan wajah Nurul yang kian mencuka, tawanya meledak tiba-tiba.
“Bukan tu lah soalannya. Soalan ni penting,” Syafik masih asyik melayan tawanya. “Eh Syafik, kau dengar tak ni?” suara Nurul kali ini mula meninggi.
“Okay..okay..go ahead,”
“Kalau kata kan Yusuf masih hidup. Dan kau mula nampak betapa pentingnya Yusuf dalam hidup Mus macam sekarang ni, kau sanggup tak lepaskan Mus untuk Yusuf?” dua pasang mata itu bertentangan.
Syafik terdiam lama. Lamunannya menerawang entah ke mana. Nurul masih menanti jawapan yang pasti. Setelah lama kesepian terbina antara perbualan mereka, Syafik menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dihembuskan perlahan. Bibirnya diketap.
“Aku sayang Mus. Mus happy, aku dua kali ganda happy. Mus sedih, aku dua kali ganda sedih. Susah aku nak bagi jawapan sebab hanya Mus yang boleh membahagiakan aku tapi kalau dia tak bahagia dengan aku, bermaksud aku dua kali ganda tak bahagia jugak. Kalau itu yang jadi, aku rela berkorban asalkan aku dapat tengok senyuman di bibirnya sekali lagi. Tiada apa yang boleh membahagiakan aku kecuali senyuman dan tawa Mus.”
“Aku tak sangka kau sayang Mus sampai macam tu sekali. Aku bangga dengan kau,” mereka berbalas senyuman sambil tangan Syafik digenggam Nurul.
“Tiba waktu aku pulak nak tanya kau soalan,” Nurul hanya diam menanti soalan Syafik. “Agak-agak berapa lama lagi kau nak pegang tangan aku?” sepantas kilat Nurul menarik tangannya sebaik menyedari tingkah lakunya sendiri. Nurul terasa hangat di pipi. Dia sungguh malu dengan tindakannya tadi. Dia sendiri tidak sedar entah bila tangan Syafik berada dalam genggamannya.
“Aku bangga sangat dengan kau,” ringkas sahaja jawapannya dan jawapan itu tidak mampu menghalang tawa Syafik daripada berderai laju.
“Amboi, bukan main lagi kau gelak ya? Aku tahu sebenarnya kau syok kan aku pegang tangan kau? Sebab tu kau gelak..huh!” Nurul cuba mengena Syafik pula.
“Kalau aku cakap memang aku suka?” suara yang diperlahankan itu seakan berbisik di telinga Nurul. Nurul terasa jelek dengan cara Syafik.
“Hello..aku bukan mudah cair okay,”
“Ya ke? Habis tu kenapa pipi kau merah?”
“Tak payah nak mengada-ada kan cerita. Tak ada effect pun okay,” matanya menjeling lagi. “Dah lah, aku nak teman Mus kat sana. Layan kau ni buat aku rasa geli tau tak?” lantas Nurul beredar dari situ meninggalkan Syafik yang masih dengan senyuman bersisa.
Komputer riba Musliha dibuka. Butang `on’ ditekannya. Selang beberapa minit menanti di hadapan komputer, nama Hafizah segera dicarinya di dalam senarai nama Skype. Hampa. Warna hijau yang diharap, warna kelabu juga yang setia terpapar. Nama Hafizah tidak diaktifkan bermakna dia tidak berada di hadapan komputernya pada ketika ini. Musliha segera membuka peti pesanan masuk e-melnya.
Sedikit sebanyak, Musliha masih meletak harapan kepada Yusuf. Dia masih mengharapkan ada pesanan balas daripada Yusuf namun jawapannya tidak seperti yang diharapkan. Segera jari-jemarinya bermain di atas papan kekunci. E-mel baru dikarang.
Salam,
Yusuf. Awak apa khabar? Sampai hati awak tak reply satu pun e-mel yang kite bagi kat awak. Yusuf, semua orang kata awak dah tak ada. Kadang-kadang hati kite pun berkata yang sama tapi kenapa sebahagian besar hati kite mengatakan awak masih ada untuk kite? Maaf andainya kite tak redha dengan pemergian awak tapi kalau kite redha sekalipun, kite tak ikhlas, Yusuf. Tadi kite dalam kelas statik dinamik, ada kuiz. Tentang shear force. Kite dapat jawab soalan tu dengan baik, Yusuf. Itu semua hasil daripada tunjuk ajar awak pada kite. Thanks a lot. Kalau baca, reply tau. Kite tunggu. Bye.
Salam rindu,
Musliha.
Ya Allah, benarkah apa yang sedang aku lakukan ini? Apakah aku menganggu ketenteraman roh sahabatku sendiri? Mengapa Kau masih memberi aku gerak rasa yang bertentangan dengan hakiki? Apakah aku masih dalam keadaan waras? Jika benar, mengapa aku masih mengharapkan maklum balas dari orang yang sudah pulang ke rahmatMu? Kenapa Kau temukan kami andai begini perpisahannya? Di manakah dosaku sehinggakan aku tidak layak untuk menemuinya buat kali terakhir? Mengapa aku masih memanggilnya meskipun dia tidak lagi meninggalkan apa-apa walaupun kelibat?
Deringan telefon bimbit Musliha menggerakkan jemarinya untuk menyeka airmata yang mengalir di pipi.
“Helo?” suaranya menahan ketar dek sebak.
“Mus?” suara Puan Husna di hujung talian yang terketar persis getaran di dada Musliha yang kini menahan. Musliha mula runsing. Ya Allah, apa pula kali ini? Hatinya berbisik.
“Kenapa bu?” Musliha cuba bernada tenang.
“Mus...pak lang..” esakan Puan Husna membantutkan ayatnya. Musliha sudah mula mengaagak berita yang sebenarnya. Hatinya masih sempat berdoa agar berita itu tidak seperti yang difikirkan.
“Kenapa dengan pak lang?” Musliha diam menanti jawapan dari ibunya.
“Pak lang dah tak ada lagi, nak” suara Puan Husna perlahan namun masih dapat ditangkap dari pendengaran Musliha. Daripada berdiri, Musliha terjelepok di atas lantai. Dirinya sungguh lemah menerima khabar kematian sekali lagi. Musliha tidak mampu bersuara.
“Mus..nanti kami semua pergi ambil Mus di kolej, kemudian kita terus ke airport. Kita balik kampung secepat mungkin,” suara Puan Husna yang masih sebak ditahan dengan ayatnya yang disampaikannya pantas.
“Baiklah bu. Ibu sabar ya?”
“Mus pun bersabarlah. Ada lah tu hikmah kenapa Allah tarik Yusuf dan pak lang dalam masa yang singkat.” Esakan Puan Husna makin menjadi. Dia sedih dengan nasib yang menimpa Musliha. Setelah sama-sama memberikan salam, talian dimatikan. Musliha menangis semahu-mahunya. Dadanya ditekan-tekan menahan sebak.
“Ya Allah. Mengapa lepas satu, satu lagi Kau tarik dariku? Cukuplah bagiku Ya Allah. Tiada lagi upayaku menahan sebak di dada” rintih Musliha. Dirinya yang masih terduduk di sisi katil tertunduk-tunduk dalam esakan. Sekali lagi airmata membanjiri segenap sanubarinya. Tatkala ini, Musliha terkenangkan saat kesedihannya tika meratap pemergian kedua-dua pengantin zaman kecilnya. Di kala itu juga Yusuf hadir mendengar tangisnya. Kata-kata Yusuf ketika itu terngiang-ngiang di kepala.
“Mus, menangislah sepuas hati awak. Kite ada untuk dengar luahan awak. Kite tahu, awak memerlukan seseorang untuk mencurah perasaan. Bebaskan diri awak daripada kesedihan tu. Jangan simpan sendiri sebelum termakan hati sendiri,”
Kite tak dapat untuk bebaskan diri daripada kesedihan itu lagi kerana awak tiada di sini mendengar luahan kite. Maaf, kerana sering meratap pemergian awak. Mungkin kerana awak pergi terlalu awal. Tika kite masih memerlukan awak di sisi. Kalau awak mampu, kembalilah untuk kite, Yusuf! Kite dalam kesedihan. Pak lang turut meninggalkan kite. Pada siapa lagi kite nak bersandar tika lumpuh? Segala kekuatan kite dah diambil. Pulanglah, Yusuf. Hati Musliha merintih dan meronta kesedihan.
Sehebat mana pun ujian yang diterima, ingatlah tuhan masih menyayangi hambaNya dan setiap yang diangkat ke rahmatNya itu adalah orang-orang yang dikasihi. Setiap yang teruji pula adalah orang-orang yang terpilih. Sabarlah Musliha, kerana masih ada yang setia di sisimu kiranya dirimu memerlukan.
No comments:
Post a Comment