Hari-hari yang dilalui Musliha kini bertambah sihat. Tiada lagi kemurungan yang melanda. Ditambah pula dengan kehadiran Hafizah yang sentiasa di sisi, hatinya kian riang. Mereka duduk serumah di rumah sewaan mereka berdekatan dengan tempat kerja. Hafizah juga bertambah ceria walaupun kerja-kerjanya di pejabat kadangkala seperti beban di bahu, namun dengan adanya sahabat baik di sisi, segalanya terubat.
Mujurlah Encik Tan, pengurus bahagian HR di IA Development & Construction menerima cadangan Encik Fauzi tentang pengambilan Musliha sebagai salah seorang jurutera awam di situ. Jawatan itu sememangnya sudah lama kekosongan iaitu sejak dua bulan lalu apabila satu-satunya jurutera awam muda yang bekerja di situ berpindah syarikat. Kini, mereka masih mencari seorang lagi jurutera muda sebagai pelapis di syarikat itu.
“Musliha, we will be having a short discussion about latest project at 2 pm. I want you to come and join us.” Ujar Qayyum sebaik melintasi meja Musliha.
“Baik, Encik Qayyum. I will be here in a short while after my lunch,” jawab Musliha, sopan.
“You nak pergi lunch?”
“Yes. Sekejap lagi, with my friend,”
“Oh..okay..if you don’t mind, I would like to have lunch with you. Tapi kalau you dah janji dengan kawan you, it’s okay. We may have lunch together next time then,” Qayyum menyatakan niatnya.
“Kalau Encik Qayyum tak keberatan, why not Encik Qayyum join us?” Musliha mempelawa Qayyum pula kerana dia tidak senang untuk menolak pelawaan Qayyum begitu sahaja.
“Kawan awak tak kisah ke?” Qayyum tidak mahu melepaskan peluang untuk mengenal Musliha dengan lebih rapat kerana baginya, Musliha adalah seorang gadis pendiam yang perlu banyak berkomunikasi kerana dia berpotensi untuk meyakinkan klien syarikat dalam mengendalikan projek di masa hadapan.
“No, she wouldn’t mind. Will you?” segaris senyuman manis diberikan kepada Qayyum. Niatnya hanya untuk meyakinkan Qayyum akan pelawaannya.
“That’s good. I will join you. Kat mana?”
“Sri Melaka. Our favourite,” jawab Musliha ringkas. Qayyum yang bersetuju mengangguk seraya perlahan beredar ke tempatnya semula.
“See you there,” Qayyum berkata sambil langkahnya disusun ke biliknya.
Telefon bimbit di dalam laci digapai Musliha. Dengan segera, nama Hafizah dicari.
“Helo, Fiza. Nanti macam biasa kat Sri Melaka tau.” Musliha takut kalau-kalau Hafizah ada hal lain dan itu bermakna dia terpaksa makan tengahari berdua dengan Qayyum di restoran yang sangat hampir dengan tempat kerja mereka. Dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang gosip liar kerana perkara sebegitu bisa merosakkan reputasi Musliha sebagai pekerja setahun jagung di situ.
“Baik puan!” Hafizah setuju. Musliha menghela nafas lega dengan persetujuan itu.
“Tapi kite akan bawa seorang kawan. Dia senior engineer kat sini. Awak okay kan?”
“Siapa? Qayyum ke?”
“Aik, awak kenal dia?”
“Boleh tahan kenal sebab dia selalu jugak ke aras kite ni. Jumpa makwe dia agaknya,” Hafizah hanya menelah kerana Qayyum kerap datang ke pejabat Hafizah untuk bertemu dengan pengurus kewangan syarikat Encik Fauzi, bapa Hafizah. Hafizah berani mengeluarkan telahan itu kerana baginya, Qayyum tiada sebarang urusan formal untuk dibincangkan di pejabat pengurus kewangan tersebut.
“Oh..okay. Kalau awak tak kisah, legalah,”
“Okay..see you there friend,”
Butang merah ditekan. Musliha senang untuk membawa Qayyum bersama-sama menikmati makan tengahari nanti. Sekurang-kurangnya, dia dapat mengenali Qayyum dengan lebih rapat justeru memudahkan perjalanan kerja-kerja Musliha sebagai jurutera bawahan Qayyum. Selama ini, dia sentiasa ada rasa takut untuk menegur Qayyum kerana ketegasan lelaki itu. Kini, dia seolah-olah diberikan peluang untuk menegur lelaki itu dengan lebih mesra sebagai rakan kerja.
Sebaik telefon bimbitnya diletakkan semula ke dalam laci, Musliha menumpukan perhatiannya kembali kepada skrin komputer untuk meneruskan kerja. Namun tumpuan itu terganggu sekali lagi dengan deringan telefonnya pula.
“Helo,”
“Helo Musliha. Mus apa khabar?” suara Syafik sungguh ceria di hujung talian. Rindu sungguh dia kepada Musliha.
“Baik. Fik?” Musliha membalas dengan corak intonasi yang sama.
“Fik baru sihat.”
“Baru sihat? Fik sakit ke?”
“Tadi rasa macam nak demam sikit. Sebab tu call Mus. Dengar je suara Mus, terus rasa sihat,” Syafik sekadar mengeluarkan ayat manisnya sebagai seorang lelaki yang sedang memikat gadisnya.
Musliha tertawa kecil. “Fik..Fik..kalau nak ayat Mus pun, agak-agak lah sikit. Mus bukan budak tingkatan 3 yang Fik kenal dulu tu tau. Dah 23 tahun dah pun. Tak main lah ayat-ayat macam tu,” sebenarnya Musliha sudah dapat menangkap taktik Syafik yang seakan-akan menagih simpati itu.
Terdengar tawa Syafik yang sedang terbahak-bahak di corong talian.
“Gelak pulak eh. Fik tak kerja ke?”
“Kerja lah ni.” Jawab Syafik ringkas dengan tawa yang bersisa.
“Habis tu, kenapa bising je bunyinya tu?”
“Fik ikut senior Fik ke site. Kat Kota Damansara. Tu yang nak ajak Mus keluar makan tengahari kejap lagi. Nak?” nada suara Syafik penuh dengan harapan.
Musliha tidak sampai hati untuk menolak pelawaan Syafik namun tidak mungkin baginya untuk memungkiri janjinya kepada Hafizah dan Qayyum.
“Fik, Mus bukan tak nak keluar dengan Fik tapi Mus dah janji dengan senior Mus. Sekali dengan Fiza jugak.”
“Fiza lagi..” terdengar keluhan kecil Syafik sebaik ama Hafizah disebut.
“Fik, kenapa Fik tak suka dengan sahabat-sahabat Mus?” Musliha tahu Syafik tidak menyenangi Hafizah.
“Fik okay je dengan dia. Dia tu yang selalu cari pasal dengan Fik. Apahal entah. Asal jumpa, muka dia tak pernah manis dengan Fik.” Syafik masih teringat ketika terserempak dengan Musliha dan Hafizah yang sedang bersiar-siar di One Utama.
“Dah lah Fik, Mus nak sambung buat kerja. Sorry sebab tak dapat join makan dengan Fik. Nurul kan ada?”
“Hmm...Nurul pun Nurul lah,” Syafik mengerling Nurul yang berada tidak jauh dengannya.
Setelah menjawab salam Syafik, Musliha kembali memberi tumpuan kepada kerja-kerjanya. Buat masa ini, Musliha sering dijinak-jinakkan dengan kerja-kerja biasa seperti catatan minit mesyuarat, pemantauan tapak projek, dan pengiraan kos kerana dia masih lagi berada di dalam proses belajar. Pada hari esok, ada seorang jurutera mekanikal yang akan bersama-sama bekerja dengan mereka dalam projek terbaru. Musliha tidak sabar menerima kawan baru di pejabat kerana sekurang-kurangnya kerja-kerja biasa yang sebenarnya membebankan itu dapat digalas bersama.
Jam di tangan dikerling Musliha. Sudah setengah jam mereka menanti Qayyum yang masih tidak menunjukkan batang hidungnya.
“Mus, kite dah lapar ni,” Hafizah bersuara dengan raut wajah yang sedang menagih simpati.
“Kite pun. Dah lah kejap lagi ada discussion,” jawab Musliha sambil lehernya dipanjangkan untuk menjenguk ke luar restoran. Qayyum dihubunginya namun tiada jawapan. Selang beberapa saat, telefon bimbit Musliha berdering.
“Helo, Encik Qayyum kat mana?” Musliha segera menyahut panggilan itu.
“So sorry but im on my way. You don’t need to get rush because I dah postpone discussion kita,”
“Okay. See you,”
Panggilan mati. Hafizah yang sudah menongkat dagunya kerana bosan menunggu direnung Musliha.
“Datang ke tak?” soal Hafizah dengan nada keletihan.
“Datang. Kalau awak dah lapar atau nak cepat, awak makanlah dulu,”
“Tak apa. Tunggu je lah. Bukan nak cepat pun,” jawab Hafizah bersahaja. Musliha mula serba salah.
Selang beberapa minit kemudian, Qayyum sudah menunjukkan dirinya di muka pintu restoran tersebut. Musliha tersenyum manakala Hafizah cuma berlagak selamba. Tangan yang dihulurkan Qayyum disambut kedua-dua gadis itu namun raut wajah yang menyambut kehadiran lelaki itu tidaklah serupa. Musliha dengan riak ceria, manakala Hafizah kurang menyenangi lelaki itu. Manakan tidak, sudah berhari-hari wajah lelaki itu terjengul di pejabatnya. Ditambah pula dengan gelagat manja Qayyum dengan pengurus kewangan mereka, Hafizah jadi meluat.
Perbualan antara Musliha dan Qayyum tidak sedikitpun menarik minat Hafizah. Bukan kerana tidak faham tentang topik itu, tetapi rasa meluat yang ada dalam diri Hafizah terhadap lelaki lewat 20-an itu menjadikan tumpuan Hafizah hanya kepada hidangannya. Perutnya yang berkeroncong diisi dengan makanan yang sudah lama terhidang di depan mata.
“Okay, Fiza. Nanti nak balik, call dulu tau. Jangan macam semalam, terpaksa kite jalan kaki sorang-sorang,” Musliha berpesan kepada Hafizah yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Hafizah pula hanya menganggukkan kepalanya seraya beredar meninggalkan Musliha dan Qayyum di dalam lif.
“Kenapa Fiza diam je?” Qayyum memberanikan diri bertanya kepada Musliha.
“Entah. Agaknya dia tertekan di pejabat kot,”
“Atau tertekan sebab saya lambat tadi?”
“I don’t think so. Sebelum Encik Qayyum datang tadi pun, dia dah macam tu,” Musliha cuba menyembunyikan perkara sebenar. Dia tahu sebenarnya Hafizah tidak gemar akan sikap Qayyum. Namun tidak mungkin baginya untuk memberitahu perkara sebenar kepada Qayyum.
“Next week, I akan ke Qatar. So anything, awak refer kepada a friend of mine yang saya akan kenalkan kejap lagi,” Qayyum berbicara sambil mereka sudah seiringan ke bilik mesyuarat sebaik melangkah keluar dari lif.
Daun pintu dikuak. Musliha kaget berbaur gembira melihat Nurul dan Syafik yang sedang menunggu mereka di dalam bilik mesyuarat. Mereka semua berkenalan di antara satu sama lain. Syafik pula sudah mula menunjukkan riak wajah cemburunya. Musliha sudah masak benar dengan perangai Syafik. Dia bersikap professional sepanjang perbincangan itu tanpa mengendahkan Syafik dengan muka masamnya.
“I heard that Datuk Yunus akan balik Malaysia by this year. Is that true?” soalan Kamal menarik perhatian Musliha. Adakah Datuk Yunus yang dimaksudkan itu adalah bapa Yusuf? Musliha tertanya sendiri. Tetapi tidak mungkin kerana syarikat milik Datuk Yunus terletak di Ampang, bukan di sini.
“Tak tahu lagi. Sebab dia masih sibuk menguruskan hal nya di sana.” Musliha hanya mendengar sahaja tanpa bersuara. Perlahan, hatinya mengatakan Datuk Yunus yang sedang diperkatakan bukanlah bapa Yusuf kerana bapa Yusuf ke luar negara untuk menenangkan fikiran, bukan untuk menguruskan hal kerja. Tambahan pula, bapa Yusuf adalah seorang pemilik syarikat perniagaan, bukan seorang pemilik syarikat pembangunan.
Musliha dan Nurul bertegur sapa. Nurul sungguh gembira kerana bermula kini, mereka akan bekerjasama mengendalikan projek pembangunan Kondominium di Kota Damansara.
“Lepas ni, bolehlah jumpa selalu kan?”
“Haah. Saya pun terkejut jugak tadi bila nampak awak dengan Fik.” Musliha turut gembira melihat keceriaan Nurul.
Syafik hanya mendiamkan diri persis riak Hafizah ketika makan tengahari tadi. Ya Allah, apakah memang nasib aku hari ini untuk berdepan dengan masam muka rakan-rakanku? Musliha mengeluh sendiri sebaik Syafik dan Nurul hilang dari pandangannya.
Apa yang menggembirakan hatinya pada hari ini, Qayyum sudah meletak kepercayaan kepadanya dalam mewakili syarikat untuk pemetaan tapak projek. Bukanlah kerana Qayyum bakal berangkat ke Qatar, tetapi melalui perbincangan di antara Qayyum dan Kamal tadi, benarlah Qayyum percaya akan kebolehan Musliha. Musliha bersyukur.
Sepasang mata galak Musliha hanya tertumpu kepada skrin komputer ribanya sahaja sejak pulang dari pejabat. Walaupun televisyen terpasang, namun tumpuannya tidak dapat diberikan sepenuh kepada rancangan televisyen yang sedang bersiaran. Sementara Hafizah asyik melayan drama slot Lestari itu. Hafizah masih bersikap dingin. Musliha tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara bagi memecahkan tembok kesunyian itu. Seingatnya, inilah kali pertama Hafizah bersikap dingin dengannya.
Mungkin saja hati sahabat Musliha itu dalam rajuk. Petang tadi, selepas habis waktu pejabat, Hafizah terpaksa menunggu Musliha di kaki bangunan selama hampir setengah jam kerana kelalaian Musliha. Tanpa disedari, jarum jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Panggilan telefon Hafizah juga tidak dijawabnya. Sebaik menyedari, Musliha menghubungi Hafizah dengan segera dan menyatakan bahawa dirinya tidak dapat pulang bersama Hafizah kerana masih banyak persiapan yang harus dilakukan sebelum mesyuarat diadakan pada pagi esok.
Walau bagaimanapun, Musliha tetap merasakan Hafizah tidak sepatutnya merajuk dengannya kerana sudah adil di pihaknya memandangkan semalam, Musliha terpaksa berjalan kaki sendirian pulang ke rumah sedangkan Hafizah punya kereta. Kakinya penat berjalan, namun tidak sedikit pun rasa marah timbul di hati Musliha. Bak kata pepatah, manusia punya warna rambut yang sama tetapi hati tetap lain. Mungkin ada perasaan amarah yang timbul dalam hati Hafizah terhadap Musliha dek kerana kejadian petang tadi.
“Awak nak tengok tv tak? Kalau tak, kite tutup aje,” akhirnya Hafizah bersuara. Ada perasaan lega yang menjengah Musliha. Akan tetapi, raut wajah Hafizah masih tidak berubah.
“Tutup je lah.” Musliha menjawab ringkas dengan nada suara yang sangat perlahan. Alat kawalan jauh ditekan dan skrin televisyen langsung berubah hitam.
“Fiza, awak nak tidur dah ke?” tegurnya sebaik Hafizah mula bangkit dari kerusi. Hafizah sekadar mengangguk dan terus menapak ke bilik tidurnya.
“Fiza, awak marah kite ke?” dengan intonasi yang sama, soalan sebenar terpacul jua. Hafizah menoleh ke arah Musliha yang sedang menunjukkan muka seorang pesalah.
“Tak marah pun,” Hafizah kembali duduk bersebelahan Musliha seperti tadi.
“Then? Kenapa awak tak bercakap pun dengan kite?” komputer ribanya diletak tepi. Kerja yang menanti untuk disudahkan dibiarkan sebentar. Tumpuan harus beralih kepada Hafizah yang mula memberi respon baik.
“Kite tak suka kalau awak rapat dengan Qayyum tu,” rasa sebenar terluah akhirnya.
“Rapat? Kite tak rapat dengan dia lah. Cuma buat masa sekarang ni, hanya kite satu-satunya jurutera bawahan dia. Dia bagi tunjuk ajar apa yang patut je. Tak lebih,” jelas Musliha dengan nada penuh hati-hati.
“Sekarang memanglah. Nanti, mula lah dia mainkan awak,”
“Apa maksud awak?”
“Entah lah Mus. Susah kite nak explain.” Mereka berdua terdiam seketika. “Awak ingat tak pasal mamat yang kite cerita kat awak hari tu?”
“Yang mana?” Musliha cuba mengingat.
“Mana ada mamat lain yang kite cerita kat awak. Satu tu je,”
“Yang selalu bagi mesej sweet-sweet kat awak tu?”
“Ingat pun. Qayyum lah orangnya,”
“Hah! Encik Qayyum tu yang bagi? Tidakku sangka,” Musliha sungguh terperanjat mengetahui ayat-ayat manis yang diterima Hafizah sejak kebelakangan ini adalah daripada Qayyum.
“Lepas tu sekarang, asyik jumpa dengan manager kite tu. Manager tu pulak, dah lah seksi. Mengada. Menyampah betul!” riak Hafizah penuh dengan kebencian.
“Awak jealous eh?” Musliha cuba menyakat sahabatnya.
“Tak ada masa nak jealous. Yang kite nak terangkan kat awak ni, pasal Qayyum tu. Ayat dalam handphone bukan main lagi tapi sebenarnya buaya!”
“Agaknya sebab dia suka awak kot. Dia pergi lah jumpa manager awak sebab nak bagi awak rasa cemburu. Alah, biasalah tu. Taktik lelaki tak ke mana dah,” Musliha cuba menyedapkan hati Hafizah.
“Tak, Mus. Kite dapat rasakan yang dia tu buaya. Kejap lagi, dia mula suka kat awak lah tu. Jangan layan tau. Buat sakit hati awak je,” pesan Hafizah.
“Ya lah. Manager awak tu, yang suka mengarah awak tak tentu pasal tu ke?”
“Haah. Dia tu je lah. Siapa lagi,”
“Dia tahu tak awak ni anak Encik Fauzi? Bos besar dia?”
“Tak. Kite sengaja tak nak siapa-siapa tahu. Bosan lah. Nanti semua nak mengampu. Buat-buat baik padahal, kat belakang kite, kutuk tak hengat,”
“Baguslah macam tu. Kite percaya, suatu hari nanti mesti diorang tahu awak ni siapa. Dan pada masa tu, baru terbeliak mata masing-masing.” Kata-kata Musliha sedikit sebanyak memberi semangat kepada Hafizah. Dia tidak pernah berbangga dengan kedudukan bapanya sebagai pemilik syarikat namun seperti yang dijanjikan Encik Fauzi, Hafizah bakal menjawat jawatan Pengarah Kewangan dan Pemasaran bagi syarikat itu. Apabila tibanya hari itu, pasti ramai yang terlopong. Janji itu tidak akan tertunai dengan cepat. Ianya tertakluk kepada prestasi Hafizah menjalankan kerja-kerjanya.
Hafizah tersenyum kepada Musliha. “Sorry tau,”
“Kenapa pulak?”
“Ya lah. Tak pasal-pasal awak rasa kecil hati dengan kite. Kite tak sengaja buat macam tu kat awak,”
“Alah tak ada apa-apa lah. Small matter,” Musliha mengenyitkan matanya kepada Hafizah. Sepantas kilat, hidungnya sudah dipicit Hafizah.
“Kite pergi tidur dulu ya,” Hafizah kembali menapak longlai ke bilik tidurnya, meninggalkan Musliha yang ingin menyambung kerja-kerjanya yang terbengkalai.
Musliha menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Musliha tahu bahawa Hafizah langsung tidak memarahinya. Ternyata sangkaannya meleset. Kini, tinggal seorang lagi rakannya yang masih dingin. Tiada satu pun mesej yang diterima Musliha seperti selalunya. Biasanya, apabila jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam, pasti satu ucapan selamat malam diterima dari Syafik. Namun tidak pada hari ini.
Telefon bimbitnya dicapai. Musliha berkira-kira untuk menghubungi Syafik. Kepantasannya memikir tidak sehebat Syafik yang sudah mempamerkan namanya di skrin telefon Musliha.
“Helo Fik. Mus baru je nak call Fik tadi,”
“Mus mimpi apa sampai nak call Fik? Tak pernah pun Mus buat macam tu sebelum ni,”
“Fik marah Mus kan?”
“Mus marah Fik kan?” soalan berbalas soalan.
“Laa..apa pulak? Fik yang tunjuk muka masam kat Mus tadi,” Musliha hairan. Seingatnya, tiada satu pun rasa marah yang timbul terhadap Sayfik pada hari ini. Tambahan, layanan yang baik tetap diberikan kepada Syafik biarpun Syafik sedang bermuram.
“Fik tak marah Mus pun. Cuma Fik tak suka tengok Mus dekat dengan lelaki lain,” sekali lagi Qayyum menjadi sebab.
“Tu senior Mus lah, Fik. Jangan lah cemburu buta,”
“Ya. Fik sedar. Sebab tu Fik nak minta maaf sebab tak cakap dengan Mus pun tadi,” nada Syafik tenang menunjukkan keikhlasannya memohon maaf dari Musliha.
“Tak ada apa-apa lah. Mus cuak je. Mana ada marah pun,”
“Kenapa cuak?”
“Ya lah. Mus tak suka kalau kawan Mus marah-marah Mus,” lama mereka terdiam dalam talian.
“Fik sayang Mus,” kata-kata itu terungkap lagi. Walaupun sudah banyak kali diungkap, Musliha sentiasa dapat merasakan kebenaran dan ketulusan perasaan itu.
“Thanks,”respon kebiasaan dari Musliha.
“Bilalah Mus nak terima Fik balik ek?”
“Kalau dah tak larat menunggu, jangan lah tunggu. Mus pun rasa bersalah buat Fik macam ni. Fik cari lah orang lain yang boleh balas rasa kasih Fik,”
“Tak apa. Fik masih nak menunggu. Mus tak perlu rasa bersalah pada Fik,”
“Okay lah Fik, mata Mus dah rasa berat ni,” Musliha tidak mahu memanjangkan topik itu lagi. Lagipun, kerja yang menimbun sudah lama menantinya.
Musliha mematikan talian sebaik salam Syafik dijawab. Jari-jemarinya pantas menari-nari di atas papan kekunci komputer untuk menyelesaikan kerja-kerja laporan pemetaan. Wajah Syafik bagaikan menggamit dirinya dengan perasaan serba salah. Di hatinya, sudah tiada lagi rasa cinta buat Syafik. Mungkin sekali kerana hati itu dikosongkan sejak pemergian Yusuf empat tahun yang lalu. Baginya, tiada lelaki yang bisa menjadi penawar tatkala hatinya terluka. Pujukan Syafik juga tidak dapat membantu walau dicurahkan segala rasa kasih yang ada. Hanya ibu, keluarga, dan Hafizah yang dapat merawat luka itu. Dan pastinya, hanya Yusuf Hazim yang dapat merawat penyakit `selsema buat-buat’. Tiada yang lain.
No comments:
Post a Comment