Sepasang baju anak kecil yang terlipat kemas di dalam beg plastik di ambil Musliha. Rindunya buat Aidil Eidham atau Didi, anak saudaranya jadi semakin sarat. Walaupun wajah itu bakal ditatapnya sebentar sahaja lagi, rasa rindu tetap datang menyinggah.
“Mus, kite tak bawak tuala lebih ni. Kite pinjam awak punya je ya,” suara Hafizah yang sedikit terlaung itu kedengaran dari bilik sebelah.
“Okay. Seminit, seratus ringgit!” balas Musliha.
“Okay!” Hafizah bersetuju sahaja. Musliha tersenyum sendiri.
“Kereta awak ke kite?” Musliha yang sudah siap mengemas sudah berdiri di muka pintu bilik Hafizah.
“Awak lah,” Hafizah mengenyitkan matanya. Kereta Honda City yang baru dimiliki Musliha sejak dua bulan lalu itu ingin dicuba Hafizah. Musliha hanya mengerlingkan matanya seraya mencapai kunci keretanya.
“Cepat!” gesa Musliha. Perjalanan dari Damansara ke Subang Jaya tidak mungkin mengambil masa yang lama namun dia tidak mahu berlengah lagi kerana rasa rindunya kepada anak saudara yang sudah mencecah umur 3 tahun itu tidak dapat ditanggung lagi. Inilah peluang yang baik untuk Musliha pulang ke rumah keluarganya dan meluangkan serba sedikit masa bersama. Sudah lama diri itu tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga atas kerana kesibukan yang tidak terhingga.
Telefon bimbit di dalam tas tangan berdering.
“Helo,”
“Kak Mus! Nak balik rumah ke?” suara jantan adiknya itu kedengaran di hujung talian.
“Haah. Kenapa? Amir nak balik jugak ke?”
“Kak Mus tolong ambil Amir kat stesen LRT Kelana Jaya boleh? Sekarang ni dah sampai di stesen Asia Jaya,” ujar Amir.
“Okay. Alif macam mana?”
“Alif kata, dia balik petang nanti. Dia balik dengan Abang Eid,”
“Okay, jalan!”
“Amboi ganasnya Kak Mus.” Amir mengusik kakaknya.
“Biasalah der,” Musliha sengaja menambah keganasannya lagi.
“Jangan ganas sangat kak, nanti tak ada orang nak tau,” usikan Amir melepaskan keluhan kecil dari Musliha.
“Apa-apa je lah Mir. Okay, jumpa nanti ya,” setelah salam disambut, talian dimatikan. Musliha terdiam seketika. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, hanya soal jodoh yang terdengar di telinganya. Mengenangkan dirinya akan berdepan dengan Puan Husna sebentar lagi, hatinya makin dihimpit kerunsingan. Pastinya soal itu akan datang menjengah ke pandengarannya lagi. Situasi sebegini lah yang pernah dirasakan Musfira suatu ketika dahulu. Kini sudah tiba giliran Musliha pula.
“Mus, jom!” sergahan Hafizah dari belakang memeranjatkan Musliha.
“Awak ni, main terjah je tau. Lemah semangat,” Musliha berkata sambil dadanya diurut perlahan. Hafizah sekadar melepaskan tawa kecil sambil menapak ke pintu rumah.
Keceriaan jelas terpancar di seraut wajah ibu tika menyambut kepulangan anak-anaknya. Rumah yang sudah menjadi milik Puan Husna itu telah dihias dan dikemas secantiknya bagi menceriakan lagi suasana majlis sederhana itu. Tangan tua itu dikucup Musliha, Hafizah dan Amir sebaik menapak ke dalam rumah.
“Ibu sihat?” Hafizah sudah biasa memanggil Puan Husna dengan panggilan ibu. Baginya, Puan Husna lah tempat untuk menumpang kasih seorang ibu.
“Alhamdulillah. Fiza tidur sini ke malam ni?”
“Haah. Ibu tak suka ke?”
“Apa pulak tak suka? Ibu sentiasa mengalu-alukan Fiza ke rumah ni. Cuma ibu takut kalau Fiza tak selesa je,”senyuman tidak lokek dari bibir Puan Husna sedari tadi.
“Rumah ni jauh lebih selesa berbanding rumah kami kat sana, bu. At least, ada jugak astro. Rumah kami tak ada astro pun bu,” ujar Hafizah dengan penuh rasa rendah diri.
“Ibu, birthday boy mana?” Musliha yang sudah puas mencari anak saudara kesayangannya kembali ke ruang tamu, mengajukan soalan kepada Puan Husna.
“Ikut baba dia ke Shah Alam.” Jawab Puan Husna, ringkas.
“Abang Eid pergi Shah Alam buat apa, bu?”
“Jemput Alif.”
“Alaa..kenapa bawak Didi sekali?” Musliha mengeluh kecil. Rindunya pada si kecil tidak dapat dilepaskan seperti yang ada dalam fikirannya sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
“Didi yang nak ikut. Dia sekarang ni, dah tak boleh renggang langsung dengan baba nya. Ke mana Abang Eid pergi, ke situ jugaklah dia.” Celah Musfira yang sedang menyusun makanan di atas meja.
“Ibu, siapa tu? Jemputan ibu ke?” Amir yang sedang mengambil angin di luar rumah menanyakan ibunya tentang seseorang yang datang memarkir kereta di hadapan pokok mangga luar pagar rumah. Puan Husna memanjangkan leher untuk melihat gerangan siapa yang hadir ke majlis mereka itu.
“Ibu kata, nak panggil jiran dengan keluarga je?” Amir bertanya lagi. Puan Husna masih terdiam.
“Assalamualaikum,” lelaki yang rambutnya sedikit terpacak, kening yang agak tebal dan berpakaian santai kemas itu memberikan salam kepada Amir dan Puan Husna yang tercegat di depan rumah. Puan Husna sudah tersenyum sementara Amir masih kehairanan.
“Waalaikumussalam, Syafik. Awalnya datang?” Puan Husna sudah mendekati Syafik di pagar dengan nada suara yang sugguh ceria. Syafik membalas soalan Puan Husna dengan segaris senyuman panjang. Syafik menghulurkan tangannya kepada Amir.
“Alif ke Amir?”
“Amir. Abang Fik eh?” Amir sudah mula ingat akan wajah lelaki itu. Banyak juga perubahan di wajah itu sejak kali terakhir bertemu lebih sepuluh tahun dahulu.
“Amir cam lagi? Alif mana?” sedikit sebanyak hatinya rasa terharu kerana Amir yang sudah remaja itu masih dapat mengecam rupa wajahnya.
“Abang Eid pergi ambil dia di UiTM.”
“Oh..Amir study kat mana?”
“UM.” Amir hanya memberi jawapan ringkas memandangkan dirinya masih kekok berdepan dengan Syafik yang tidak pernah dikenalinya dengan lebih dekat.
“Syafik, kenapa berbual kat luar tu? Masuk lah. Mus ada ni ha,” Puan Husna mempelawa Syafik masuk ke dalam rumah.
Hafizah berkali-kali memastikan penglihatannya pada wajah lelaki itu. Ya, benar, memang Syafik. Dia tidak menyangka Syafik turut menyertai keluarga Puan Husna bagi sambutan harijadi Didi. Langkahnya segera diatur ke bahagian dapur mendapatkan Musliha yang sedang menolong Musfira.
“Mus,” suara Hafizah perlahan sambil bahu Musliha dicuit.
“Apa dia?”
“Syafik datang,” kata Hafizah dalam nada yang bersungguh.
“Hah! Syafik? Biar benar?” Musliha seakan-akan tidak mempercayai berita dari Hafizah.
“Mus!” laungan suara Puan Husna terdengar dari ruang tamu.
“Tu, ibu panggil awak nak suruh layan tetamu la tu. Pergilah tengok, siapa tetamu ibu tu.” Musliha sudah mula rasa kurang senang dengan kehadiran`tetamu’ itu. Suara yang agak asing di ruang tamu itu cuba diamatinya. Memang benar, suara itu milik Syafik.
Dengan perlahan, Musliha menapak ke ruang tamu. Hatinya tidak senang dengan kehadiran Syafik. Tambahan pula, majlis pada hari ini diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Apa pula kata jiran tetangga tentang kehadiran lelaki yang asing di mata mereka itu. Kali pertama Abang Eid bertandang ke rumah semasa hari raya empat tahun lepas juga telah menimbulkan banyak tanda soal pada mereka, inikan pula majlis hari jadi Didi yang hanya melibatkan keluarga dan jiran terdekat sahaja.
“Mus, Syafik datang ni,” kata Puan Husna sebaik Musliha melangkah ke ruang tamu. Musliha hanya memberikan senyuman hambar kepada Syafik dan senyuman itu dibalas dengan senyuman manis oleh Syafik.
“Fik datang sorang? Tak ajak Nurul sekali?” Musliha sekadar berbasa-basi.
“Nak ajak macam mana, Mus tak panggil. Ni pun nasib baik ibu ajak Fik datang. Kalau tak, tak merasa lah kek harijadi Didi hari ni,” ujar Syafik. Panggilan yang dibahasakan Syafik kepada ibunya membuahkan satu tanda soal yang besar dalam kepala Musliha. Setahunya, hanya teman-teman rapatnya sahaja yang memanggil Puan Husna dengan panggilan `ibu’. Sedangkan Yusuf pun tidak menggunakan panggilan itu kepada Puan Husna.
“Tu lah Syafik, Mus ni sibuk memanjang. Nasib baik lah minggu ni harijadi Didi, kalau tak memang tak muncullah anak dara ibu ni,” sampuk Puan Husna pula. Musliha benar-benar tidak senang dengan panggilan `ibu’ yang dibahasakan Puan Husna dan Syafik. Manakan tidak, dia hanya berhubung dengan Syafik melalui telefon bimbit dan YM sahaja. Hubungannya dengan Syafik memang sudah mula renggang sejak beberapa tahun ini. Namun bagaimana pula panggilan `ibu’ itu muncul dari bicara Syafik bersama ibunya? Pastinya ada sesuatu yang berlaku di sebalik pengetahuannya sendiri.
Lelah dan penat datang menggantikan para tamu yang sudah berangkat pulang. Abang Eid sibuk mengemas dan melipat meja bersama Amir manakala Syafik setia membantu Alif menyusun kerusi. Di dapur, Musliha dan Hafizah sedang membanting tulang memberi bantuan kepada Puan Husna.
Majlis berlangsung dengan lancar tanpa apa-apa gangguan. Didi juga kelihatan ceria sepanjang hari dengan gelak ketawa yang tidak putus-putus terdengar dari suara comelnya. Syafik nampaknya adalah seorang yang suka melayan kanak-kanak. Sungguhpun Didi adalah kanak-kanak yang sangat lasak, namun Syafik tetap sabar melayan kerenahnya. Sedikit sebanyak, Musliha tercuit dengan cara Syafik.
Sesekali, Syafik cuba membuka bicara dengan Alif namun setiap percubaannya sering gagal. Barangkali dia memerlukan masa untuk menerima seseorang yang baru dalam hidupnya. Namun mengapa tidak semasa menerima Abang Eid dulu? Pantas sahaja dia berbual mesra dengan Abang Eid sewaktu menyambut hari raya empat tahun dahulu. Sedangkan sebelum itu, mereka tidak pernah sekali pun bertemu.
Berbeza pula dengan cara penerimaan Amir yang mesra melayan Syafik sepanjang hari. Walaupun kemesraan itu terselit kejanggalan, sekurang-kurangnya teguran dan bualan Syafik disambut dengan baik. Abang Eid juga ramah melayan Syafik sebagai tetamu walaupun di matanya, Syafik adalah seorang yang berbeza taraf jika dibandingkan dengan keluarga isteri. Daripada gaya dan percakapan Syafik, Abang Eid dapat menilai bahawa Syafik datang dari keluarga yang bukan calang-calang.
“Mus, kite kesian lah tengok Fik tu. Cuba awak intai sikit kat luar, Alif macam tak layan je,” kata Hafizah dalam nada perlahan sambil tangannya menghulurkan bekas-bekas makanan yang diambil dari meja luar.
“Tahu. Tak payah intai sekarang pun kite tahu. Tadi masa majlis, kite nampak Alif layan dia macam mana,” Musliha bernada hambar. Di saat ini, dia tidak suka bercakap tentang Syafik kerana setiap kali nama itu datang, pelbagai soalan datang bermain di ruang benaknya.
“Kenapa tiba-tiba je dia datang ek? Hairan betul,”
“Entah. Kite pun serabut memikirkan tujuan dia datang ke sini. Satu hal lagi, awak tahu tak dia panggil ibu apa?”
“Apa?” Hafizah bertanya seolah-olah sedang berbisik. Dahinya berkerut menantikan jawapan.
“Dia panggil ibu dengan panggilan `ibu’,” jawab Musliha dengan nada dan gaya yang sama dengan Hafizah. Lagaknya seperti orang yang sedang menyebarkan gosip.
“Hah! Biar benar!” suara Hafizah sudah meninggi. Musliha meletakkan jari telunjuknya di bibir, mengisyaratkan sesuatu kepada Hafizah.
“Apa yang benar, Fiza?” Puan Husna yang sedang menyusun makanan di dalam peti sejuk tersentak dengan suara Hafizah yang tidak semena-mena meninggi.
“Tak ada apa bu. Bekas ni ha, calar sikit. Bakas tupperware mahal pulak tu,” Hafizah menggosok-gosok bekas yang sedang dipegangnya sambil menunjukkan muka kerang busuk kepada Musliha yang sedang merenungnya, tajam.
“Alah..biasalah Fiza. Kalau tak ada bekas yang calar, tak namanya majlis makan-makan. Tak apa, basuh je macam biasa. Calar bukannya pecah, boleh dipakai lagi.” Suara Puan Husna semakin jauh di pendengaran Musliha dan Hafizah yang masih tercegat di sinki.
“Dia panggil ibu `ibu’?” suara Hafizah kembali perlahan seperti tadi sebaik Puan Husna meninggalkan mereka berdua di dapur.
“Itu yang buat kite makin jadi tak puas hati ni. Kite rasa, Alif tak suka Syafik panggil `ibu’ sebab awak tahu je lah Alif tu macam mana, manjanya lain sikit. Syafik bukannya rapat dengan ibu pun, tiba-tiba aje guna panggilan yang sama dengan kita semua. Memang tak lah kan?” kata Musliha, menggetus.
“Mus, bagi akak ganti. Mus pergi depan, ibu panggil. Agaknya kawan Mus tu nak balik dah kot,” celah Musfira yang baru sahaja tiba di dapur.
“Didi mana kak?” Musliha masih cuba untuk melarikan diri dengan menggunakan si kecil sebagai alat.
“Dah tidur dah pun. Seharian melasak, penat lah tu,”
Aduh! Tidur la pulak. Bentak hati Musliha.
“Apa lagi yang tercegat kat situ? Cepatlah, ibu panggil tu,” gesa Musfira lagi. Musliha langsung mengatur langkahnya ke ruang tamu dengan perasaan yang berbaur.
Pintu kereta Toyota Corolla Altis dibuka perlahan. Pandangan sekilas diberikan kepada Musliha yang mengiringi keberangkatan Syafik. Enjin sudah dihidupkan lalu tingkap di sebelah penumpang hadapan dibuka. Musliha tunduk mendapatkan wajah Syafik di dalam kereta. Tangan Syafik dilambai, memberi isyarat kepada Musliha supaya mendekati kereta. Pasti ada sesuatu yang hendak disampaikan.
“Ada apa Fik?”
“Fik minta maaf kalau Fik ganggu masa Mus untuk bersama keluarga. Mus jangan fikir Fik paksa Mus. Kalau Mus tak suka, atau masih tak sedia, Fik masih boleh tunggu. Itu janji Fik pada Mus. Kalau satu hari, Mus dah jumpa orang yang boleh menyayangi Mus lebih daripada Fik sayang Mus, Fik akan pertimbangkan sebab Fik tak nak paksa Mus. Ingat tu, okay?” nada suara Syafik penuh syahdu. Sungguh dia menyayangi hati Musliha sehinggakan suara pun dikawal agar tidak memberi calar pada sekeping hati yang amat dicintainya.
“Fik tak ganggu pun. Thanks sebab sudi hadir. Rumah Mus biasa aje, tak macam rumah Fik,” Musliha hanya merendahkan diri. Biarpun rumahnya kini lebih gah dari dulu, lebih terhias dengan pelbagai hiasan eksklusif, namun Musliha tahu rumah itu belum setaraf dengan yang didiami Syafik.
“Mus belum tahu rumah Fik macam mana. Lebih kurang aje. Bukan banglo persendirian pun. Kalau nak tahu, jom lah, rumah tu sentiasa terbuka untuk Mus,” segaris senyuman ikhlas diberikan kepada Musliha. Musliha turut memberikan senyuman yang sama.
“Fik bawak kereta elok-elok tau,” memandangkan hari sudah mula menjemput senja, Musliha tidak mahu berbual lebih panjang. Solat Asar harus ditunaikan segera sebelum tamat waktunya.
Mereka melambai sesama sendiri dan keempat-empat tayar itu bergoleklah di atas jalan. Musliha masih tercegat menanti hilangnya bayang kereta mewah Syafik dan tatkala itulah dirinya diperhatikan di dalam cermin kereta itu. Syafik mampu tersenyum lega, dapat melepaskan rindunya kepada Musliha. Lama sungguh mereka tidak bersua muka sejak tamatnya projek kondominium di Kota Damansara dua tahun lalu. Kebelakangan ini, hanya telefon bimbit dan alam maya sahaja yang menemukan mereka dan selama itulah rindu Syafik pada Musliha kian sarat.
Berbagai kata bermain di fikiran Musliha. Sungguh tidak dia sangka Puan Husna sudah menerima risikan keluarga Syafik. Si ibu sudah memberi kata setuju dan apa yang tinggal kini hanya kata yang sama dari si bunga yang dinanti. Musliha buntu. Daripada pemerhatiannya terhadap layanan Puan Husna kepada Syafik tadi, jelaslah Puan Husna menyenangi pemuda itu. Namun hatinya kosong. Cintanya pada Syafik tiada. Puas dicari dan digali, cinta itu tiada.
Bukan hanya kerana berpegang pada janji kepada sahabat, tetapi perasaan yang ada pada Syafik kini hanya untuk seorang kawan biasa dan simpati. Simpati! Ya, Musliha simpati akan Syafik yang setia menanti kehadiran cinta di hati Musliha buatnya. Tapi mengapa semakin ditunggu, semakin hilang perasaan itu? Apakah kata-kata hinaan yang pernah Syafik lemparkan dahulu sudah mematikan segala benih cinta yang ada di dalam hati Musliha?
Sakit. Itulah yang dirasakannya setelah cintanya tidak dihargai Syafik. Pedih menyerikan lagi luka yang sudah lama meninggalkan parutnya. Di kala sakit dan pedih itu terasa, hanya satu penawar yang dijumpai dan penawar itu sudah tiada, terkubur di dalam bumi. Ingatannya segera teralih kepada Yusuf. Kubur persemadian Yusuf tidak pernah dikunjunginya. Hanya doa dipanjat sebagai ziarah. Tiada arah mahupun petunjuk akan kubur itu. Sebaliknya, utusan alam maya masih setia diberi walaupun pemergian itu diredhai.
Salam diberi, doa dipanjat. Hafizah yang sedang memerhati Musliha di birai katil ligat menyusun kata, mengawalkan bicara. Musliha masih dengan lamunannya sambil telekung dilipat rapi.
“Jauh termenung?” Hafizah dapat mengesan, sahabatnya hanya meninggalkan jasad dan nyawa di alam nyata manakala fikiran melayang jauh dari bilik itu. Musliha melirikkan pandangannya pada Hafizah lalu keningnya diangkat, sekadar menegur.
“Betul ke keluarga Syafik dah datang merisik awak?” seperti biasa, Hafizah yang bersikap terus-terang tidak pandai menyembunyikan perkara yang bermain di fikirannya. Terutama apabila berdepan dengan Musliha. Mulutnya lancang sahaja tanpa perlu menggunakan kata-kata berlapik.
Lama Musliha terdiam. Hanya keluhan yang terdengar. Perlahan, kepalanya diangguk.
“Awak macam mana?” tanya Hafizah lagi. Suara Musliha masih tidak kedengaran. Hanya bahunya sahaja yang terangkat. Hafizah jadi mati kata. Sebagai seorang sahabat, dia tidak nampak keserasian Musliha dengan Syafik dan dia dapat membaca hati Musliha. Tiada cinta buat lelaki itu. Hafizah pasti.
“Kite rasa, awak kena bagi dia peluang untuk buka hati awak,” saran Hafizah. Musliha mengeluh lagi. Punggungnya dilabuhkan di sisi Hafizah. Bibirnya diketap kemas sementara sepasang matanya hanya menumpu kepada lantai putih bilik itu.
“Selama ni, bukannya kite tak bagi dia peluang, Fiza. Tapi kite kesian sebab buat dia menunggu kite lama sangat. Sebab tu lah bila habis aje projek yang dulu tu, kite jauhkan diri dari Syafik sebab kite tak nak dia tunggu kite lagi. Sekarang ni, kalau kite kata tak setuju, janji kite pada awak dan yang lain bukan lagi sebab utama tapi hati. Hati kite yang tak sedia untuk kembali menerima Syafik yang menjadi sebab kepada jawapan tu. Kite bingung, Fiza,” luah Musliha. Kepalanya dilentokkan ke atas bahu Hafizah. Benarlah apa yang menjadi telahan di hati Hafizah. Sememangnya Musliha tidak merasakan cinta sehangat yang dirasakan Syafik buatnya.
“Sabarlah. Awak ikutlah kata hati. Jangan berpandukan simpati.” Ujar Hafizah sambil bahu sahabatnya dielus manja. Musliha memejamkan matanya. Terasa segala beban di fikiran dilepaskan perlahan kepada Hafizah. Hatinya bersimpati kepada Syafik. Jika diikutkan kata hati yang sedang bersimpati, Musliha bersedia untuk memberi kata setuju. Namun jika dibuang rasa simpati itu, dia tiada jawapan yang sesuai. Musliha jadi makin bingung.
No comments:
Post a Comment