Kereta berwarna putih milik Musliha diparkirkan bersebelahan dengan sebuah kereta mewah BMW 3 Series berwarna silver. Nombor pendaftaran kereta itu diperhatikan dua pasang mata dari isi perut kereta Musliha. Mereka saling berpandangan.
“Kereta siapa agaknya tu?” Musliha bersuara sebaik tahu bahawa Hafizah turut memberikan perhatian kepada perkara yang sama. Hafizah hanya menjungkitkan kedua bahunya sambil bibirnya dijuihkan sedikit.
“Mus, kita ni awal lagi lah. Breakfast dulu? Lapar ni,” perutnya yang berkeroncong meminta-minta untuk diisi. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 7.30 pagi sedangkan waktu pejabat bermula 8.00 pagi.
“Laa..kenapa tak cakap tadi? Ni dah elok-elok parking baru nak bagitau,”
“Tak boleh ke? Lapar ni, Mus. Awak tak lapar?” Hafizah cuba memancing Musliha.
“Boleh tahan jugak. Tapi nak breakfast kat mana pagi-pagi macam ni?” Musliha sudah mula berkira-kira untuk menghidupkan enjin kereta.
“McD pun jadilah. Asal makan,”
“Kalau McD, kat uptown lah paling dekat kan?”
“Please Mus,” rayu Hafizah lagi.
Musliha melepaskan keluhan kecil lalu enjin keretanya dihidupkan. Tidak ada apa-apa yang perlu disegerakan pada pagi ini dan kerana itulah dia layan sahaja kehendak Hafizah. Biasanya, Hafizah akan bersarapan bersama Qayyum tetapi mulai hari ini, Qayyum terpaksa bertugas di Perak selama seminggu. Musliha pasti, sahabatnya sedang kesunyian kerana tiada buah hati di sisi.
Dua set sarapan dipesan dan mereka hanya menikmati makanan segera itu di dalam kereta. Musliha tidak betah apabila jam sudah menunjukkan 7.40 pagi kerana biasanya, Musliha akan sampai di pejabat 10 minit lebih awal dari waktu pejabat. Mujurlah Hafizah tidak kisah dengan sarapan segera begitu.
“Awak ada meeting ke hari ni?” dengan mulut yang penuh dengan makanan, Hafizah mengutarakan soalan.
“Tak. Tapi ada jurutera baru nak masuh lapor diri hari ni. Kite takut dia sampai awal, nanti kesian pulak bagi dia tunggu lama-lama.” Ujar Musliha. “Fiza, awak boleh tolong kite tak?” dengan nada yang sama, Musliha seakan-akan sedang memerlukan bantuan ringkas dari Hafizah.
“Tolong apa?” mulut yang masih penuh dengan makanan itu mengeluarkan suara lagi.
“Tolong senonoh sikit. Mulut penuh, tapi nak bercakap,” kata Musliha sambil sepasang matanya ditumpukan kepada pemanduan.
“Sorry dear, but I cant help you if that so,” Hafizah yang sudah menghabiskan makanannya memberi jawapan penuh selamba. Musliha di sisi, menjegilkan matanya kepada Hafizah.
“Nanti tengahari, makan sama tau?” Hafizah bersuara lagi. Musliha mengangguk tanda akur. Selesai kereta diparkir, beberapa fail di bahagian belakang dan tas tangannya dicapai sementara Hafizah sudahpun keluar dari kereta tanpa membawa apa-apa fail di tangan.
“Mus, awak tak nak ke burger tu?” makanan yang dibeli tadi masih belum dijamah Musliha dan jika tidak ditegur Hafizah tadi, hampir sahaja makanan itu ditinggal tidak berusik di dalam kereta. Kedua-dua tangannya yang sudah dipenuhi fail menyukarkan Musliha untuk mencapai makanan tersebut.
“Halo kawan, hulurkan tangan ringankan beban!” pinta Musliha, menggunakan slogan rancangan Bersamamu. Hafizah melepaskan tawa kecil mendengarkan slogan itu beserta dengan raut wajah bengang yang penuh erti dari Musliha.
“Lain kali, tak payah bawak balik kerja ke rumah, menyusahkan aje. Tengok kite ni, relaks je tau,” ujar Hafizah seraya melangkah seiring dengan Musliha ke lif berdekatan.
“Awak bos, kite kuli. Beza lah sayang,”
Hafizah tersenyum meleret mendengar kata-kata Musliha. Baginya, Musliha terlalu komited dengan kerja-kerjanya di pejabat sehinggakan waktu di rumah juga terisi untuk menyudahkannya. Musliha memang seorang yang gigih bekerja. Itulah sikap Musliha yang dikagumi Qayyum dan Hafizah namun sikap itu jugalah yang sering menjadi rungutan Puan Husna. Hafizah tersenyum sendiri.
“Awak nak kite hantar awak sampai ke pejabat ke?” Hafizah senang menawarkan pertolongan.
“Tak apa. Awak selit je kat jari kelingking kite ni,” ujar Musliha sambil jari kelingkingnya yang tersembunyi di balik fail yang bertimbun dihalakan kepada Hafizah.
“Betul ni?” Hafizah kurang yakin dengan Musliha. Musliha hanya mengangguk beberapa kali. Lantas plastik kecil berisi makanan tadi di selitkan di jari Musliha.
Hafizah melangkah meninggalkan Musliha bersama beberapa kakitangan yang masih berada di dalam lif tersebut. Dan sebaik Musliha menapak keluar dari lif, langkahnya disusun perlahan agar fail-fail yang dipegangnya tidak memberi aib kiranya ia terjatuh. Mujurlah tiada apa-apa yang berlaku. Mejanya yang tersedia kemas, dipenuhkan dengan fail-fail tersebut. Punggungnya dihenyakkan ke atas kerusi, melepaskan sedikit lelah. Keluhannya didengari Faiz, rakan kerjanya.
“Pagi-pagi lagi dah penat?” teguran Faiz mencelikkan mata Musliha yang dipejam bersama keluhan.
“Penat bawak fail,” jawabnya ringkas.
“Nanti ada engineer baru lapor diri. Tempat dia kat mana?” soal Faiz pula.
“Depan saya ni kan kosong.”
“Awak tak kisah ke?” soal Faiz lagi.
“Nak kisah apa nya? Saya takut dia yang kisah sebab dia kan dah jadi engineer kat luar negara sebelum ni,”
“Saya rasa dia okay aje,”
“Eh, mana awak tahu? Awak kenal dia ke?”
“Entah. Nampak macam baik aje orangnya.” Jawab Faiz.
“Awak kenal dia lah maknanya?” soal Musliha lagi, meminta kepastian.
“Tak ada lah. Cuma tadi dia datang sekejap, dia kata dia akan lewat sikit sampai. Dalam pukul 10.00 macam tu. Sebab dia ada hal nak diuruskan.” Jelas Faiz.
“Qayyum ada bagi salinan data tanah projek yang dekat Nilai tu tak?”
“Ada. Eh, kejap. Awak panggil Encik Qayyum macam tu je?” Faiz tersentak dengan panggilan yang dibahasakan Musliha.
“Bagi data tu,” Musliha meneruskan topik kerja berbanding panggilan yang digunakan untuk Qayyum. Dia terlupa, biasanya panggilan santai itu digunakan semasa luar pejabat. Musliha terasa malas untuk menerangkan situasi sebenar.
“Report kat dia nanti, baru tau,” Faiz sekadar bergurau.
“Terlepas lah. Dia kan tunang kawan saya. Kalau kat luar tak ada nya encik-encik bagai,” terang Musliha. “Bagi lah cepat. Saya nak padukan dengan yang saya dah check ni,” tangannya dihulurkan di atas pembahagi kubikal itu. Selang sesaat dua, kertas itu sudahpun ada dalam pegangannya.
“Helo,” suara Faiz kedengaran di sebelah kubik Musliha.
“Boleh..boleh..nanti saya bagitau Cik Musliha,” Musliha yang sedang mengamati peta grafik di atas mejanya tersentak mendengar namanya sendiri disebut Faiz.
“Ada apa Faiz?” Musliha sudah berdiri mendapatkan wajah Faiz.
“Su panggil. Dia minta awak pergi jumpa Hazim di meja depan,”
“Hazim?” nama itu tidak pernah kedengaran sejak dia bekerja di situ.
“Haah..kawan baru kita tu,”
“Kenapa pulak saya nak kena ke sana? Datanglah sendiri, tadi bukan ke dia dah ke sini?” Musliha tidak merasakan jurutera baru itu patut diberi layanan eksklusif hanya kerana dia datang dari luar negara. Baginya, semua orang sama dan apa yang diukur dalam pekerjaan adalah pengalaman, bukan sohor.
“Tadi tu, dia tak ke sini, dia tunggu di lobi, saya yang kebetulan baru nak masuk ofis, Su panggillah saya. Katanya, Hazim tu nak jumpa awak. Saya wakilkanlah. Alah, dulu masa saya baru masuk pun, Encik Qayyum yang ambil saya di meja depan sana. Manalah tahu jalan nak masuk ke sini.” Jelas Faiz. Barulah Musliha teringat, suatu ketika dahulu, Encik Qayyum juga yang menjemputnya di meja depan pada hari pertama dia bekerja. Tidak salah kiranya layanan yang sama diberikan kepada Hazim.
Peta yang diamatinya tadi dilipat dan langkahnya segera diatur ke lif. Barulah dia tahu, nama jurutera itu Hazim. Setibanya di meja depan, gadis bersanggul kemas yang dipanggil Su itu tersenyum kepada Musliha.
“Mana orangnya?”
Ibu jari Su dituding ke arah seorang lelaki segak berkemeja yang sedang duduk di bahagian sofa. Musliha melangkah perlahan ke arah lelaki itu.
“Assalamualaikum, Hazim?” salam diberi penuh lembut.
“Waalaikumussalam,” Hazim menjawab salam itu dengan sedikit tersentak. Namun sentakan itu tidak sehebat yang dirasakan Musliha sebaik Hazim menoleh ke arahnya. Musliha kaget. Air liur yang ditelan terasa bagai sebutir peluru yang masuk. Mukanya berubah pucat tanpa disedari. Matanya juga tidak berkelip melihat rupa Hazim.
“Cik,” suara yang sangat dirinduinya itu seakan bergema di pendengaran Musliha. Segera matanya beralih ke satu tempat yang lain.
“Tak mungkin!” suara Musliha perlahan namun masih tercapai di pendengaran Hazim.
“Cik, apa yang tak mungkin?” Hazim bersuara lagi. Musliha mengumpul keberanian untuk memandang wajah itu semula. Dengan harapan wajah sebenar Hazim akan muncul, bukan wajah Yusuf. Musliha merenung wajah itu lagi, lagi dan lagi.
“Cik Alia, janganlah pandang saya macam tu. Saya rasa takut pulak nak start kerja,” Hazim sudah mula tidak keruan ditenung begitu.
“Maaf. Panggil saya Musliha,” suara Musliha tersekat-sekat. Dia tidak tahu bagaimana untuk meneruskan bicara lagi. Hazim juga terdiam seribu bahasa, menanti kata-kata Musliha yang seterusnya. Perlahan, langkah diatur Musliha ke arah lif. Sementara Hazim hanya menurut langkah Musliha.
Di dalam lif, hanya sepi menemani mereka saat keduanya kematian kata. Raut wajah Musliha yang kelihatan sungguh serius meragut keberanian Hazim untuk memulakan bicara. Padanya, Musliha adalah seorang yang serius dan mungkin pendiam. Nafasnya ditarik sedalam mungkin, mengumpul suara untuk menyusun kata bicara dengan Musliha.
“Cik Musliha, maaf kalau cik tak suka datang jemput saya di kaunter. Actually, I’ve asked the receptionist macam mana nak ke ofis but the reply was the phone call to you.” Nada suara Hazim sungguh lembut dan perlahan sebagai tanda hormatnya kepada Musliha.
“It’s okay. Memang saya yang kena ke sana. Panggil saya Musliha je. No need `cik’ in front of it,” Musliha sudah mampu untuk mengeluarkan suara asalnya yang tidak tersekat-sekat lagi.
Hazim berasa sungguh lega dengan respon Musliha. Bibirnya tersenyum nipis. Diamatinya rambut Musliha yang sedikit berpelak di bahagian bawah, bibir mungil di wajah serius itu dan alis mata yang menawan. Cantik! Senyuman nipis yang sedari tadi terukir di bibir Hazim terhenti sebaik dua pasang mata mereka bertaut.
“Kenapa?” Musliha sedar dirinya diperhatikan sejak di dalam lif lagi. Hazim sekadar menggelengkan kepalanya.
“Tadi pun awak tenung saya semacam juga kan?” Hazim sekadar mengusik Musliha. Benar, renungan yang diberikan Musliha tadi lebih dalam berbanding renungan yang diberikannya.
Berani betul nak usik aku! Bentak hati Musliha. Musliha tidak mengendahkan kata-kata Hazim sebaliknya hanya terus mendiamkan diri. Sebenarnya, dia termalu sendiri akan emosinya yang tidak terkawal tadi.
“Faiz, kenalkan, ni Yu..Hazim,” mujur Musliha tangkas menukar kata. Hampir sahaja nama Yusuf disebutnya.
“Dah kenal tadi,” Faiz berdiri menyambut kedatangan Hazim. “Ahmad Faiz,” nama penuhnya dikenalkan seraya bersalam.
“Hazim Zakwan,” Hazim memperkenalkan nama penuhnya. Musliha tergamam. Dia segera berpaling ke arah Hazim dengan riak yang penuh tanda tanya.
“Kenapa Mus?” tanya Faiz, hairan. Dia hairan akan respon Musliha yang sungguh aneh tatkala Hazim memperkenalkan diri.
Semacam je Musliha ni. Mesti dah mula syok kat aku. Pandang pun lain macam. Bisik hati Hazim. Sementara Musliha pula kecewa mendengarkan nama penuh Hazim. Sangkaannya ternyata meleset. Dia sangkakan Hazim adalah Yusuf tetapi rupanya tidak.
“By the way, ni tempat awak. Duduk dulu, saya nak pergi cari fail untuk awak baca. Kejap lagi, saya akan perkenalkan awak kepada semua. Sekarang ni, ramai yang tak ada. Mereka ada mesyuarat di atas,” terang Musliha, tenang. Setenang air di muara, jangan disangka tiada gelora. Dadanya masih kencang berombak dek pukulan nama lelaki itu tadi.
Sekujur tubuh lampai Musliha sudah pun hilang di mata Hazim. Pandangannya kini beralih kepada sekitar suasana pejabat. Sungguh ringkas dan aman.
“Faiz, Encik Qayyum mana?” seperti yang dipinta, nama Faiz dipanggil tanpa awalannya.
“Dia kena bertugas di Perak minggu ni. Sebab tu Mus yang ambil alih untuk awak lapor diri,”
“Oh. Mus? Musliha?”
“Haah. Kitorang panggil dia Mus aje. Eh, umur berapa?” Faiz fikir, Hazim tentunya lebih muda darinya.
“27.” Jawab Hazim, ringkas.
“Eh samalah! Kita kira kautim je lah ek?” Faiz tidak selesa berbahasa sopan seperti ber`saya’ dan ber`awak’ dengan lelaki yang sebaya dengannya.
“Kautim? Meaning?” Hazim tidak mengerti makna perkataan yang disebut Faiz. Membesar di luar negara menyukarkan Hazim untuk memahami bahasa pasar melayu kini.
“Kira gang lah. Tak payah lah pakai `saya’ `awak’. Aku rasa semacam lah kalau baik sangat,” jelas Faiz.
“Tu lah. Aku pun macam tak selesa jugak tadi,” Hazim sudah mula selesa berbual dengan Faiz. Sekurang-kurangnya dia ada teman untuk berborak.
“Kau dah ada orang rumah?” soal Faiz lagi, untuk berkenalan. Hazim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Dekat TTDI,” sebenarnya Hazim tidak yakin akan jawapannya. Bukan tempat tinggalnya yang tidak dikenali tetapi soalan itu yang tidak dapat dierti.
“Tak, bukan rumah. Orang rumah,” Faiz meninggikan suaranya sedikit kerana mungkin Hazim tidak jelas akan soalannya tadi.
“Maksudnya?” sekali lagi, maksud yang ditanya.
Alamak..dia ni, nama melayu tulen, rupa tak berapa melayu, cakap lagilah menyimpang dari melayu. Parah! Getus hati Faiz.
“Wife,” dengan sekelip mata, bahasa pasar tadi sudah ditukar kepada bahasa inggeris.
“Oh..no..no..I am still available. Kau?”
“Dah ada dah. Seru datang awal,” ujar Faiz sambil tersenyum. Kali ini, Faiz tidak pasti sama ada `mamat celup’ di hadapannya faham akan maksud `seru’ yang diperkatakan. Hazim pula hanya terdiam mendengarkan jawapan Faiz. Cukuplah sekadar dia faham akan status lelaki itu. Kata-kata yang seterusnya hanya dibiarkan berlalu tanpa maksud yang tergarap.
“Musliha?” soal Hazim pula.
“Mus? Kenapa dengan dia?” Faiz kurang jelas akan pertanyaan itu.
“Is she married?”
“Tak..belum lagi. Ni, aku nak pesan, kalau boleh jangan cakap pasal jodoh dengan dia tau. Kalau kau sebut sikit je pasal jodoh, confirm angin satu badan,” Faiz memberi peringatan kerana Musliha sudah banyak kali bermuncung dengannya hanya kerana soal jodoh yang dibangkitkan.
“Dia sakit ke?” di fikiran Hazim, angin dalam badan Musliha mungkin merupakan sejenis penyakit.
Faiz menepuk dahinya perlahan. Aduh! Tak faham lagi! Parahlah aku dibuatnya. Getus hatinya lagi.
“Haah. Kalau kau tak nak dia sakit, jangan cakap pasal jodoh tau,” Faiz lebih senang mengiyakan sahaja soalan Hazim. Dia sudah tidak larat untuk menerangkan maksud sebenar. Diam-diam, hatinya tekad untuk menerapkan bahasa ibunda dalam membesarkan anaknya yang baru berusia dua bulan itu. Dia tidak mahu anaknya menjejak langkah lelaki di hadapannya kini.
“Hazim, ni fail-fail yang berkaitan dengan local procedure for each project starting. Awak baca dulu, if there is anything yang tak clear, you may ask me or Faiz. I believe, there is nothing that u are going to ask as it is very simple and plus with your international experience, it must be allright,” Musliha bersuara tegas sambil dua buah fail tebal diletakkan di atas meja Hazim. Hazim sekadar mengangguk dan sebaik Musliha kembali ke mejanya, Hazim melabuhkan punggungnya perlahan ke atas kerusi itu.
Musliha tertanya sendiri. Apakah Hazim yang merupakan lelaki yang dilihatnya di One Utama baru-baru ini? Adakah dia Yusuf? Tetapi jika benar Hazim dan Yusuf adalah orang yang sama, mengapa Hazim langsung tidak mengenalinya? Apa mungkin Yusuf sengaja hendak memberikan kejutan buatnya?Tidak mungkin! Sedarlah Musliha, lelaki di depanmu itu Hazim Zakwan bukan Yusuf Hazim! Musliha mendengus.
Hazim terdengar dengusan Musliha di balik pembahagi kubikal itu. Barangkali Musliha tidak senang dengan kehadirannya pada hari ini. Mungkin juga penyakit yang dihidapi Musliha yang membuatkan Musliha cepat penat dan cepat marah. Hazim meneruskan telaahnya. Sungguh banyak perkara yang harus diketahuinya yang berkenaan dengan proses kerja tempatan.
“Hazim, macam mana awak boleh panggil saya `Alia’ tadi?” Musliha tertanya-tanya kerana setahunya, dia belum memberitahu nama penuhnya kepada Hazim.
“Encik Qayyum pernah bagitahu saya, di sini ada dua engineer, Ahmad Faiz dan Alia Musliha. So, I thought they call you Alia.”
Musliha mengangguk lalu kerusinya digerakkan semula ke hadapan mejanya. Benarlah, Hazim tidak mengenalinya. Musliha pasrah. Kerja-kerjanya diteruskan seperti biasa. Terimalah hakikat, Mus. Yusuf dah tak ada! Batinnya menjerit lagi.
No comments:
Post a Comment