Rossa - Takdir Cinta

Wednesday 1 June 2011

Bab 5


Nama Umi Rasyidah di dalam telefon bimbit Musliha sengaja tidak dipadam. Tiada gunanya nama sahabatnya yang telah tiada itu dibuang kerana nama itu tidak akan terpadam dalam ingatannya. Doa tulus Musliha sentiasa dipanjat ke hadrat Illahi demi ketenangan Umi Rasyidah. Setiap kali teringat wajah kesayangan itu, setiap kali itulah hatinya pilu. Setiap kali teringat wajah si penjenayah itu, setiap kali itulah perasaan benci Musliha meluap-luap. Hatinya tidak puas selagi tidak dapat menumbuk muka itu. Namun, Musliha sedar negaranya berundang-undang dan dia juga sedar hukuman dariNya lebih daripada segala-galanya.
Umi, tenanglah kau di sana. Aku redha dengan pemergianmu. Aku pasrah. Akanku perjuangkan cita-citamu dan akanku pegang janji-janjiku padamu. Ya, aku tidak akan pernah berpisah dengan sahabat kita yang lain-lain. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah tali persahabatan ini tidak akan terputus. Bisik hatinya dengan pandangan lesu berkaca di depan kubur persemadian Umi Rasyidah.
“Mus, jom, dah tengahari ni, kesian ibu seorang diri kat rumah. Minggu depan kita datang lagi. Akak janji akan bawa Mus,” Musfira memujuk adiknya sambil megusap bahu adiknya perlahan.
“Baiklah, jom, assalamualaikum Umi,” Musliha berlalu ke kereta kakaknya.
Walau dirinya kini berada di dalam kereta, pandangannya tetap ke arah kubur Umi. Tidak redhakah aku dengan pemergian Umi? Jika benar keredhaan itu ada, mengapa hatiku masih merasa berat untuk menerima kenyataan itu? Mengapa tidak aku menyebut namanya dengan perkataan ‘arwah’ terlebih dahulu? Hangatnya pelukan sahabatku itu masih terasa-rasa dan keriangan suaranya masih terdengar-dengar di pendengaranku. Tulus matanya masih terbayang-bayang di mataku. Ya Allah, kuatkanlah imanku terhadap qada’ dan qadharmu.
“Mus dah ready betul-betul ke untuk SPM ni? Tinggal sebulan je lagi tau,” Musfira cuba membawa Musliha jauh dari ingatannya terhadap arwah Umi. Bukanlah kerana dia tidak menyukai arwah Umi, tetapi baginya, setiap yang hidup akan pergi dan setiap yang masih hidup perlu meneruskan hidup seperti sediakala. Sudah tiga minggu berturut-turut mereka ke tanah perkuburan itu tetapi Musliha kelihatan makin murung setiap kali dibawa ke sana. Musfira takut kalau Musliha abaikan persediaan terhadap peperiksaan SPM yang menjelang tiba.
“Boleh tahanlah kak, nak kata 100% ready pun tak berani juga. Tapi kak Fira jangan risau, insyaAllah, Mus akan bawa sekali lagi kejayaan kepada ibu dan kak Fira yang dah banyak berkorban untuk Mus” Musfira senang hati dengan jawapan Musliha. Yakinlah dia bahawa Musliha masih ada semangat cuma ia perlu diasah supaya setia bangkit. Musfira akui, Musliha seorang yang bersemangat tinggi dan tabah menghadapi ujian kerana walaupun kemurungan melanda Musliha, namun setitis air mata jua tidak pernah terlihat di mata Musliha. Musfira kagum.
“Alhamdulillah. Itulah yang akak nak dengar dan akak harap, ujian yang datang dijadikan semangat untuk Mus. Sebab, Mus kena ingat, setiap ujian itu sebenarnya suatu pendekatan kita kepada Allah. Satu hal lagi, hanya orang-orang yang tabah dan kuat yang akan diberikan ujian kerana Allah tahu tahap kemampuan kita dan itu juga bermakna Allah sayangkan kita,”
“Insyaallah, Mus ingat sampai bila-bila. Thanks kak,” Musliha tersenyum nipis.
Thanks to you too, my dear sister,”
“Untuk apa?”
“Persahabatan antara Mus dengan yang lain beri akak semangat kasih sayang terhadap kawan-kawan akak. Plus, result trial baru ni. Mus tahu tak? Ibu happy sangat dengan keputusan tu,”
“Ye je akak ni. Setakat 6A bukanlah bagus mana pun. Ada ramai lagi kawan-kawan sekolah Mus yang dapat straight A tau. Akak tak payah nak mengada lah,” 
Musfira mencebik “Eleh, malulah tu, dapat pujian kan?”
“Akak tak payah lah nak tolong pakaikan blusher untuk Mus pulak,”
Mereka sama-sama tertawa. Musfira senang melihat senyuman Musliha. Begitulah akrabnya hubungan mereka adik-beradik.


Selesai menunaikan solat Maghrib, seperti biasa, Musliha mencapai naskhah surah Yassin dan membacanya sebagai sedekah kepada kedua-dua sahabatnya yang telah pulang ke rahmatullah. Sesudah usai bacaan Yassin beserta doa, Musliha sudah berada di meja bacaanya. Dicapainya buku rujukan Kimia, dan barulah dia teringat, di dalam buku itu terselit sampul surat yang diberikan oleh Umi. ‘Baca kalau rindu kite’ tertulis di sampul surat itu.

Salam sayang buat Mus,
Mus, masa awak baca surat ini, tentunya awak sudah terniat untuk mengulangkaji subjek Kimia kan? Cintailah subjek ini. Jangan jadikan ia penghalang kejayaanmu. Kite kecewa kalau awak tak berjaya untuk menyayangi subjek ini sepertimana kite menyayanginya.
Mus,
Janganlah rindu sangat kat kite. Jaga surat ini baik-baik ye. Jangan buang dalam bakul sampah, sebab awak tahu kan, kite takkan bagi motivasi pada seseorang itu selagi seseorang itu tak memerlukan motivasi. Kite sayang awak sebab awaklah yang pernah menghiasi hidup kite macammana awak pernah andam kite jadi pengantin perempuan dulu.

Salam sayang,
-Umi-

Umi, kite akan sentiasa ingat pesanan awak, kita janji akan galas impian awak untuk skor subjek Kimia. Kite tak akan pernah lupa untuk jaga surat ini dengan baik kerana surat ini di antara peninggalan awak yang berharga buat kite. Hati Musliha berkata-kata dalam sendu. Airmatanya tidak tertahan lagi. Surat itu didekatkan di dadanya seolah-olah dia sedang memeluk Umi pada saat ini. Jiwanya kini sarat dengan kerinduan kepada sahabat-sahabatnya yang telah meninggalkan dia di dunia. Esakan Musliha berterusan sehingga tiada suara yang mampu dikeluarkan lagi. Hanya nafasnya yang sedari tadi turun dan naik seakan sesak. Beberapa titis airmatanya tertitis di atas helaian buku rujukan yang dibukanya.
Tut..tut..” bunyi telefon bimbit Musliha memecah kesunyian kamarnya. Musliha mencapai telefon bimbitnya dengan lemah.
“Yusuf?” Musliha tertanya sendiri. Hairan kerana baru petang tadi mereka berbual di telefon. Walaupun tidak panjang bualnya seperti biasa, tetapi masakan Yusuf mahu menghubunginya sekali lagi? Apakah dia akan kehilangan Yusuf pula pada kali ini? Adakah seorang lagi sahabatnya bakal meninggalkannya?
Belum sempat Musliha menjawab panggilan tersebut, bunyi telefon bimbitnya hilang. Sunyi. Seketika kemudian, bunyi deringan SMS pula yang datang.

Salam, knp tak jawab call? Ganggu ke?

Apa yang harus ku katakan? Tidak mungkin aku benarkan Yusuf mendengar suara tangisanku. Bisik hatinya.

Tak sempat nak jawab. Tak ganggu pun. Tapi knp call lagi? Tadi kan dah bual.

          Musliha meredakan tangisannya. Begitulah penangan Yusuf. Hanya dengan SMS, kesedihan Musliha bisa terubat walau sekelumit jua.

Saje. Tak bleh ke? Bleh kite call? Kalau bleh,bagi miscall pun jadi. Nanti kite call balik. Tapi kalau tak bleh, sms pun jadilah. Nak buat mcm mane org tak sudi cakap dengan kite kan?

Musliha tersenyum sendiri. Setelah deringan pendek diberikan, nama Yusuf sekali lagi tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Helo..” Musliha cuba menyorok suaranya yang sendu itu.
“Hai..awak ok ke?”
“Ok je. Kenapa awak tanya?”
“Suara awak lain,”
“Oh, selsema sikit,” Musliha cuba meyembunyikan keadaan sebenar.
“Selsema? Baru ke?”
“Haah..baru je..awak tak study ke?” Musliha cuba membawa topik perbualan ke arah lain.
“Tengah study la ni,”
“Laa..kalau tengah study, kenapa call? Ganggu la nanti,”
“Kite tengah study tentang penyakit,” Suara Yusuf tenang.
“Penyakit? Penyakit apa?”
“Penyakit selsema buat-buat”
“Maksud awak?”
“Awak nak tahu ke?”
“Boleh juga,”
“Penyakit selsema buat-buat ni adalah selsema yang lebih teruk daripada selsema biasa. Ia disebabkan oleh airmata yang terkeluar dengan banyaknya hingga menyebabkan muka pesakit bengkak, mata lebam dan hidung merah. Suara pesakit pun jadi lain. Tak sengau, tapi teresak-esak. Hati-hati dengan simtom-simtom penyakit selsema buat-buat ni. Bahaya, Musliha”
“Boleh menyebabkan kematian?” Musliha cuba melayan topik perbualan Yusuf namun sebak di dadanya kini membuak-buak.
“Tak. Tapi ianya disebabkan oleh kematian,” esakan halus mula terdengar di hujung talian Yusuf. Dia pasti dengan tekaanya. Musliha sedang bersedih. Entah mengapa, selesai menunaikan solat Maghrib tadi, hati lelakinya berkata Musliha sedang memerlukannya. Sebagai sahabat..sahabat? Ya, sahabat, tidak lebih dari itu. Dia tidak mungkin membiarkan Musliha berduka sendirian. Kasihnya kepada Musliha ibarat kasih seorang abang kepada adiknya.
“Kenapa macam ni, Yusuf, kenapa? Dua-dua pengantin yang selalu kite andam dulu dah takda. Kenapa cepat sangat diorang tinggalkan kite?” kali ini Musliha membiarkan tangisannya didengari Yusuf.
“Mus, menangislah sepuas hati awak. Kite ada untuk dengar luahan awak. Kite tahu, awak memerlukan seseorang untuk mencurah perasaan. Bebaskan diri awak daripada kesedihan tu. Jangan simpan sendiri sebelum termakan hati sendiri,”
Musliha mencurahkan segala esak tangisnya kepada lelaki itu. Yusuflah orang pertama yang mendengar tangisan Musliha. Begitulah kasihnya Yusuf terhadap Musliha dan begitu jugalah kepercayaan Musliha kepada Yusuf. Mereka sama-sama pasti perasaan kasih yang ada dalam jiwa masing-masing hanya sebagai sahabat di antara satu sama lain. Namun, jauh di sudut hati Yusuf, dia sayangkan Musliha dan dia sendiri tidak pasti di manakah tahap perasaan itu. Yusuf meyakinkan dirinya, perasaan sayang itu cuma sebagai sahabat. Tapi sekuat manakah kebenaran itu? Hanya Allah yang tahu.



No comments:

Post a Comment