Rossa - Takdir Cinta

Thursday 16 June 2011

Bab 21


Sebaik tiba di wad, perasaan Musliha tidak dapat dibendung lagi. Tidak disangka, Pak Lang nya sedang berkeadaan begitu. Musliha segera mendapatkan Mak Lang nya yang kelihatan sugul. Mukanya membengkak, matanya merah. Barangkali kerana airmata yang menitis tiada henti. Tangan tua Mak Lang dikucup lantas dipeluk tubuh itu sambil tangan Musliha menggosok belakang tubuh Mak Lang, perlahan. Alif dan Amir yang biasanya tidak betah duduk diam, tiba-tiba terpaku melihatkan `bapa kedua’ mereka terlantar sakit.
Musfira sudahpun teresak di samping Puan Husna. Kesedihan tidak tertahan lagi saat melihat keadaan Pak Lang yang tidak mampu berkelip mata apatah lagi untuk berkata-kata. Pak Lang hanya bisa mendengar. Itu sahaja lah deria yang berbaki. Sememangnya telah menjadi lumrah bagi setiap insan di dunia ini. Pendengaran adalah deria terakhir sebelum Izrail datang memanggil. Walaupun kenyataan itu terlekat di benak Musliha, namun dia masih belum bersedia untuk melihat Pak Lang pergi meninggalkan jasad. Akan tetapi, jauh di sudut hatinya, dia tidak sanggup melihat Pak Lang yang terpaksa menanggung derita sakit sebegitu rupa.
Tiba-tiba Musliha terfikir akan bapanya. Tidak mahukah ayah meminta ampun atas segala dosa yang pernah dilakukan kepada Pak Lang? Hatinya berdetik. Pantas telefon bimbit yang dipinjam daripada Syafik itu dikeluarkan. Jari-jemarinya ligat menekan-nekan punat telefon bimbitnya. Satu pesanan ringkas sudahpun dihantar kepada Encik Musa. Dia tidak tahu sama ada pesanan itu akan sampai kepada ayahnya ataupun tidak kerana Musliha sendiri tidak pasti. Apa Encik Musa masih menggunakan nombor yang sama atau tidak. Musliha tidak peduli. Sekurang-kurangnya tanggungjawab dia sebagai anak sudah terlepas. Terpulanglah kepada Encik Musa. Apa yang utama pada Musliha kini ialah kesihatan Pak Lang nya.
Senaskhah Yassin dicapai. Lantas bacaan suci Yassin meniti di bibir mulutnya. Mudah-mudahan, bacaan suci ini dapat meredakan penderitaan yang sedang ditanggung Pak Lang nya. Bacaan nadi Pak Lang adakalanya laju mendadak dan adakalanya terlalu rendah. Kondisinya tidak stabil. Tatkala mesin bacaan nadi itu berbunyi seakan loceng, degupan jantung Musliha laju. Dia berdebar kerana bunyi itu sangat menggerunkan baginya.
Selesai membaca surah Yassin, tangannya lembut mengusap kepala Pak Lang. Pak Lang lah bapa saudara yang telah banyak membantu Musliha. Sedari kecil, Musliha rapat dengan Pak Lang nya. Ketika berusia dua tahun, Musliha sering diserahkan kepada Pak Lang dan Mak Lang untuk dijaga. Ini kerana Pak Lang yang gemar melayani anak kecil sedangkan pada waktu itu, anak-anaknya sudah membesar. Pada suatu hari, pertelingkahan besar berlaku antara Pak Lang dan Encik Musa. Musliha tidak lagi dibenarkan berada di bawah jagaan Pak Lang. Namun, kerana kasih yang tidak pernah putus, Pak Lang sering menghubungi Puan Husna untuk bertanyakan khabar anak-anak saudaranya.
Bahkan sehingga tamat pelajaran sekolah menengah, Pak Lang masih menampung perbelanjaan sekolah Musliha dengan memasukkan wang sebanyak RM 200 pada setiap bulan. Bantuan daripada Pak Lang tidak terputus di situ sahaja malah RM 1000 diberikan kepada Musliha bagi menyambung pengajian di peringkat universiti. Begitu jugalah budi yang diberikan kepada Musfira. Padanya, anak-anak saudaranya adalah anaknya sendiri juga. Begitulah rapatnya hubungan mereka. Melihatkan keadaan Pak Lang kini, hati mana yang tidak akan dihanyut sayu. Airmata di pipi mengalir tanpa dipaksa. Namun Musliha masih dengan kekebalannya. Bukanlah dia sengaja menahan sebak namun airmatanya tidak terkeluar pabila dia bukan bersendiri. 
Perlahan, langkahnya disusun ke sisi katil. Mendekatkan mukanya ke telinga Pak Lang.
“Assalamualaikum, Pak Lang, Mus datang ni nak bagi semangat untuk Pak Lang. Pak Lang cepat-cepat sembuh, ya.” Dadanya sesak menahan sebak. Hatinya kini menangis tatkala melihat setitis airmata mengalir di kedua belah pipi Pak Lang. Musliha bersyukur kerana sekurang-kurangnya Pak Lang masih dapat memberi respon akan apa yang dibisikkan Musliha. Bacaan nadi Pak Lang melonjak setiap kali airmatanya mengalir. Kini Musliha mengerti, Pak Lang sebenarnya sedang teresak-esak menangis namun responnya tidak mampu ditunjukkan melalui raut wajah.
“Pak Lang janganlah sedih. Kami semua ada dengan Pak Lang. Pak Lang bukan bersendiri,” suara Musliha kali ini lebih lembut dan tenang, tanpa sedikitpun suara sebak terpamer. Selang beberapa minit kemudian, bacaan nadi Pak Lang mulai stabil. Mak Lang, Puan Husna dan Musfira sudah reda daripada tangisan. Puan Haiza yang hanya mengalirkan airmata tanpa esakan sedari tadi masih belum dapat menghentikan tangisannya.
“Mak Lang duduklah,” Musliha mempelawa Mak Lang duduk di sebelahnya. Mungkin kerana khuatir akan keadaan Pak Lang tadi, dia tidak senang duduk. Dengan pelawaan Musliha, tanpa lengah punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan Musliha. Mata Pak Lang sudah pun tertutup. Barangkali Pak Lang sedang tidur.
“Mak Lang dah makan?” Musliha bertanya dengan penuh rasa belas kasihan. Mak Lang terdiam sesaat dua sebelum kepalanya diangguk perlahan. Mengikut telahan Musliha, mungkin saja Mak Lang belum makan tengahari.
“Jom, Mak Lang temankan Mus makan pula?” tangannya memaut lengan Mak Lang.
“Ajaklah ibu. Mak Lang tak lapar,” akhirnya Mak Lang bersuara.
“Kejap lagi ibu pergi makan dengan Alif dan Kak Fira, Mak Lang ikutlah Mus dengan Amir,” ujar Musliha sambil matanya memandang Puan Husna, meminta persetujuan. Puan Husna mengangguk kecil.
“Siapa nak jaga Pak Lang?”
“Kak Lang pergilah dulu. Biar adik yang tolong jagakan Alang. Lagipun, adik dengan Azmi boleh turun sekejap lagi,” kata Puan Haiza pula, menyokong cadangan Musliha.
“Haah, kak. Acik belum nak turun lagi. Kita ambik giliranlah. Kak Lang dengan Mus turun dulu, kemudian Acik dengan Fira, lepas tu Adik pulak,”
“Adik tak apa ke turun last sekali?” Mak Lang masih ingin mengalah.
“Alah, Kak Lang ni. Apa nak dirisaukan? Kita bagi yang lebih tua turun dulu. Orang muda banyak tenaga lagi,” Puan Husna membidas dengan  senda terselit. Mak Lang tersenyum mendengarkan kata-kata Puan Husna sementara Puan Haiza mencemekkan bibirnya. Jelas terpamer sikap adik bongsunya itu. Lantas Musliha memimpin Mak Lang keluar dari wad. Amir pula mengekori mereka dari belakang.


Beg galas kepunyaan Yusuf diletakkan ke dalam kereta. Tidak ada satu pun baju yang dibawanya untuk kembali ke kampus. Hanya Memori Syafik, Cinta Alia dan komputer ribanya sahaja yang dibawa bersama. Sedang pelapik kereta dikibas-kibas, Datin Fadzila sudah terjengul di pintu utama Vila Nuzila. Hatinya resah. Entah mengapa naluri keibuannya tidak senang dengan perjalanan anaknya nanti.
“Zim, tak boleh ke kalau ponteng satu kelas je esok? Mummy risau lah kalau Zim nak ke Johor malam-malam macam ni,” airmuka kebimbangan Datin Fadzila jelas terpancar. Datuk Yunus yang sedang beristirehat di gazebo hanya memerhati.
“Itu semua perasaan mummy je tu. Tak ada apa lah. Zim dah biasa lah mum. Lagipun bukannya lewat sangat pun. Baru pukul 9 malam.” Yusuf cuba menenteramkan perasaan ibunya. Datuk Yunus yang sudah berada di sisi Datin Fadzila hanya berdiam. “Zim pergi dulu ya mum, dad. Jangan rindu Zim lebih-lebih tau,” matanya dikenyitkan kepada Datin Fadzila. Yusuf memang kuat menyakat. Sehinggakan ibunya yang sedang dalam kerisauan juga masih sempat disakatnya. Lantas dikucupnya kedua tangan ibubapanya.
Datin Fadzila masih berkerut melihat kereta yang dipandu Yusuf yang mula bergerak meninggalkan perkarangan Vila Nuzila. Sebaik melepasi gerbang banglo mewah itu, Yusuf menekan hon keretanya kepada Datuk Yunus dan Datin Fadzila. Lambaian diberikan oleh kedua-duanya kepada anak mereka yang tersayang.
“Bang, Zila risau lah. Rasa di hati ni tak sedap sangat,”
Datuk Yunus mendepakan tangannya lantas tubuh isterinya itu dibawa dalam dakapannya. Bahu Datin Fadzila diusap lembut. Dia sekadar ingin menenangkan perasaan gundah gulana yang sedang melanda Datin Fadzila.
“Tak usah lah fikir yang bukan-bukan,” suara Datuk Yunus lembut bagi memujuk isterinya. Lantas Datin Fadzila melentokkan kepalanya ke atas bahu suaminya. Ingin dilepaskan keresahannya kepada lelaki itu. Lelaki yang sentiasa mencintainya. Dahi Datin Fadzila dikucup lembut oleh Datuk Yunus. Sedikit sebanyak keresahan yang sedari tadi berselirat dalam fikiran Datin Fadzila reda buat seketika.


Sekali lagi Musliha menawarkan diri untuk menjaga Pak Lang pada malam ini. Memandangkan esok, mereka semua bakal bertolak ke Kuala Lumpur meneruskan kerja-kerja yang sudah terbengkalai. Musliha sudah memberitahu Syafik dan Nurul tentang ketidakhadirannya ke kuliah esok hari. Seperti biasa, Syafik hanya bertanyakan khabar tentang Musliha sahaja. Sedangkan si pesakit adalah Pak Lang, bukan Musliha. Benarlah, cintanya hanya buat Musliha sehingga tiada sedikitpun rasa kasihnya diberikan kepada orang lain meskipun orang-orang terdekat Musliha.
Musliha masih tidak menyedari akan sifat angkuh Syafik itu. Baginya, Syafik perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan semua itu. Sedang wajah Pak Lang ditatap penuh kasih, bayang seorang doktor yang datang merawat mengalih perhatian Musliha.
“Assalamualaikum,” Dr. Alia memberi salam kepada Musliha yang setia di samping Pak Lang.
“Waalaikumsalam.” Musliha sekadar menjawab salam Dr. Alia sambil memerhati Dr. Alia yang sedang memeriksa kesihatan Pak Lang.
“Adik ni anak pesakit ke?”
“Ya, saya. Anak saudara,”
“Oh. Pak cik awak tak ada anak?” Musliha hairan dengan soalan Dr. Alia. Kehairanannya membuatkan dia terdiam seketika. “Maaf, saya tak maksudkan apa-apa. Ini adalah kali kedua saya datang merawat dia. Jadi, saya belum sempat beramah mesra dengan ahli keluarga si pesakit,”
“Kedua-dua anaknya sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Insyaallah, mereka akan balik ke Malaysia minggu depan. Doktor ni, Dr. Alia kan?”
“Ya, saya,” tangan Dr. Alia dihulurkan kepada Musliha.
“Saya Alia Musliha,” sepuluh jari mereka kini bertaut. Dr. Alia tersenyum mendengarkan persamaan nama mereka.
“Dah lewat malam ni, tidurlah. Jangan sampai kesihatan sendiri terabai,” saran Dr. Alia. Musliha sekadar mengangguk sambil memberikan segaris senyuman manis kepada doktor tersebut.
Tiba-tiba saku seluarnya terasa gegaran. Tentunya telefon bimbitnya menerima sesuatu. Sama ada panggilan atau pesanan. Musliha hanya membiarkan sahaja memandangkan Dr. Alia masih berada di situ, memeriksa Pak Lang. Namun, memandangkan gegaran yang dirasakan cuma sekejap, Musliha mengeluarkan telefon bimbitnya lantas dia membaca pesanan ringkas yang diterima.

Mus, Pak Lang awak okay?

Musliha tersenyum membaca pesanan daripada Yusuf itu. Dia senang dengan sikap prihatin Yusuf.

Alhamdulillah. Makin stabil. Majlis semalam macam mana?

Selang beberapa minit, mesejnya berbalas lagi.

Ok lah. Tapi tak best sangat, sebab takda satu pun antara kita yang ada.

Musliha dapat merasakan kekosongan yang dirasakan Yusuf. Dr. Alia sudahpun beredar dari wad Pak Lang.

Sorry. Awak di Cheras lagi?

Its ok. Bukan salah awak. Kite dalam perjalanan ke Johor.

Isy, kenapa reply mesej kalau tengah drive?

Musliha tidak senang saat mengetahui Yusuf sedang menaip mesej sambil memandu.

Kite pro lah. Dun worry. Awak jaga Pak Lang lagi ke malam ni?

Pro lah sangat! Hatinya berbisik.

Yup. Cant leave him. Awak drive elok2 ya. Have a safe journey. Lagipun dah lewat ni, hati2 tau!

Insyaallah. Mus, jaga diri baik2 ya. Ingat, jangan terlalu ikutkan perasaan. Yang datang akan pergi, dan yang pergi tetap pergi. Jangan terkena penyakit selsema buat-buat lagi. Kalau kite tak ada, siapa nak pujuk. Bye, Mus. See you!

Pesanan itu tidak dapat dibalasnya. Kredit panggilan sudahpun habis. Mujurlah mesej Yusuf itu adalah yang terakhir. Tidak perlu baginya untuk merasa bersalah kerana tidak membalas mesej itu. Pak Lang masih tertidur. Komen doktor yang ditinggalkan di hujung katil dibaca. Rasa syukur dipanjat kerana keadaan dalaman Pak Lang sudah beransur pulih.


Datin Fadzila sukar melelapkan matanya. Jam sudah menunjukkan angka 12. Namun keresahan yang menimpanya membuatkan matanya sukar untuk dilelap. Datuk Yunus di sebelahnya sudahpun lena diulik mimpi. Lantas tangannya mencapai telefon bimbit di atas meja lampu tidur. Nombor telefon Yusuf dihubungi. Dia makin gelisah sebaik panggilan itu tidak dapat disambung. Datin Fadzila cuba mengerakkan tubuh suaminya tetapi Datuk Yunus masih asyik melayan tidurnya.
Datin Fadzila cuba mengusir segala pemikiran negatifnya. Matanya dipejam dan dia cuba melelapkan matanya. Sebaik matanya terpejam, deringan telefon antik bergema di ruang tamu. Datin Fadzila bingkas dari katilnya. Pergerakannya menyedarkan Datuk Yunus dari tidur. Datuk Yunus yang melihat gelagat cemas Datin Fadzila menurut langkah isterinya dengan mata terpisat-pisat.
“Helo,” Datin Fadzila menjawab panggilan itu menggunakan sambungan talian dari tingkat atas.
“Ya, saya ibu Yusuf Hazim. Ya, betul, Fadzila Hanim. Kenapa?” sepasang matanya berkilau menahan linangan airmata. Dia tidak sanggup mendengar lanjutan berita dari pihak hospital itu. Datuk Yunus di sampingnya masih ternanti-nanti berita seterusnya.
“Ya Allah, di mana? Hospital mana? Okay..okay..saya segera ke sana. Terima kasih,” tangan Datin Fadzila mengurut-urut dadanya.
“Zila, kenapa sayang? Apa dah jadi?” Datuk Yunus bertanya sambil tangannya memegang kedua-dua bahu isterinya yang sudah hanyut dalam tangisan.
“Bang, apa yang saya rasa betul, bang. Hazim kemalangan di Melaka, berlanggar dengan bas!” Datin Fadzila sudah tidak dapat menahan sebaknya lagi. Mukanya di benamkan ke dada suaminya. Airmata yang sedari tadi membasahi pipi sudah mula membasahi dada Datuk Yunus pula.
“Bawak bersabar. Hospital mana? Jom kita pergi. Sekarang juga,” Datin Fadzila mengangguk perlahan.
Datuk Yunus segera memapah isterinya ke bilik untuk bersiap-siap ke Hospital Alor Gajah. Sungguh tidak dia sangka rupa-rupanya keresahan yang bermain di hatinya membawa berita buruk tentang Yusuf. Hati keibuannya tidak sanggup kehilangan seorang lagi anak. Dulu, dia pernah kehilangan Yusuf Hazim bin Yunus Sabri ketika kandungannya berusia lapan bulan tetapi tidak mungkin baginya untuk kehilangan Muhd Yusuf Hazim bin Muhd Zakwan . Walau berlainan rahim, namun susu dada yang sepatutnya diberi kepada anak kandungnya telah diberikan kepada Muhd Yusuf Hazim. Kasih sayang yang diberikan kepada Hazim persis kasih seorang ibu kepada anak kandungnya. Dia merasakan seperti Hazim lahir dari rahimnya sendiri memandangkan Hazim sudah dijaganya sejak dalam pantang.


Yunus yang faham akan kesedihan yang dilalui isterinya sentiasa berada di samping Fadzila. Emosi Fadzila harus dijaga sebaik-baiknya. Kehilangan anak di dalam kandungan sudah semestinya membawa kemurungan kepada Fadzila. Seorang jururawat yang bertugas di situ simpati akan nasib pasangan suami isteri itu. Atas sebab kerosakan rahim, Fadzila tidak dapat melahirkan anak lagi selepas ini.
“Assalamualaikum, Encik Yunus, maaf mengganggu. Kalau tak keberatan, boleh saya bercakap dengan Encik Yunus sekejap?” Yunus mengangguk seraya bangun dari kerusi itu, mengikut langkah jururawat lelaki itu memandangkan isterinya sedang tidur.
“Maaf mengganggu. Terlebih dulu, saya nak ucap takziah atas pemergian anak encik. Bersabarlah. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Ada sesuatu yang saya nak sampaikan dan saya kira, mungkin Encik Yunus berminat dengan perkara ni,” Yunus hanya berdiam menantikan kata seterusnya daripada jururawat tersebut. Isteri saya bekerja sebagai guru tadika. Dua hari lepas, rakan sekerjanya meninggal akibat kemalangan bersama suami. Mereka suami isteri bersama anak sulung mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Si isteri ni pada ketika itu, sedang sarat mengandung.”
Baby?” soal Yunus untuk mengetahui cerita selanjutnya. Ini menambahkan lagi keyakinan jururawat itu untuk meneruskan hasratnya.
“Alhamdulillah, bayi tu selamat. Tapi saya takut kalau saya tak mampu jaga anak tu dengan baik memandangkan kewangan kami yang cuma cukup-cukup makan. Kalau katakan Encik Yunus berminat, saya dan isteri bersedia untuk menyerahkan anak itu pada encik,”
“Keluarga dia yang lain?”
“Perkahwinan mereka tu dulu tak direstui, jadi susah bagi kami untuk menyerahkan kembali anak tu pada saudara-mara dia yang lain. Saya pun kurang pasti dengan hubungan kekeluargaan mereka. Selama kami berkenalan pun, tidak pernah pulak kami kenal adik-beradik mereka,”
“Saya akan tanya pada isteri saya dulu. Terima kasih ya,”
“Sama-sama.”
Yunus sangat berminat untuk mengambil bayi itu. Ditenung wajah isterinya sedalam-dalam. Tangan Fadzila dikucupnya penuh kasih. Setitis airmata yang menitis ke atas tangan Fadzila membuka matanya.
“Abang, kenapa ni?” Fadzila bertanya kerana selama mereka kehilangan anak di dalam kandungan, tidak pernah sekalipun suaminya menitiskan airmata.
“Tak ada apa-apa, sayang. Zila, Zila setuju tak kalau Yusuf Hazim diganti dengan anak yang berusia lebih dua hari daripada anak kita?”
Lama Fadzila mendiamkan diri. Dia tidak tahu jawapan apakah yang boleh diberikan pada suaminya. Tak mungkin anaknya digantikan orang lain. Soalan suaminya dibiarkan begitu sahaja. Yunus faham akan perasaan isterinya.
Keesokan hari, jururawat berkenaan membawa bayi yang berusia tiga hari itu ke hospital untuk rawatan susulan. Keadaan bayi itu memerlukan inkubator kerana ianya masih berusia tujuh bulan ketika dilahirkan. Yunus yang terlihat anak yang berada dalam dukungan jururawat tersebut tertarik. Dia pantas menawarkan diri untuk mendukung bayi tersebut. Dia dapat merasakan bahawa mereka saling memerlukan. Dia memerlukan seorang anak untuk dibelai dan anak itu memerlukan bapa untuk membelainya.
Yunus meletakkan semula bayi itu ke dalam inkubator.
“Boleh saya bawa dia berjumpa isteri saya sekejap?” tanyanya kepada jururawat itu. Jururawat tersebut yang hanya tersenyum dari tadi menganggukkan kepalanya perlahan. Lantas inkubator itu ditolak ke arah katil isterinya.
“Zila, tengok ni, baby yang abang kata semalam,” Fadzila melihat anak itu dengan penuh kasih. Setelah mendengar cerita suaminya semalam, simpatinya tumpah buat anak itu.
“Bang, kita namakan dia Yusuf Hazim?” Yunus tersenyum mendengarkan cadangan Fadzila yang sebenarnya menunjukkan persetujuan Fadzila mengambil anak itu sebagai anaknya. Sejak hari itu, Fadzila sudah mula menyusukan Yusuf Hazim dengan susu badannya.




No comments:

Post a Comment