Rossa - Takdir Cinta

Sunday 26 June 2011

Bab 28


Musliha melemparkan pandangan kosong ke arah kedai-kedai yang sarat dengan pembeli-pembeli. Pelbagai ragam manusia dilihatnya. Ada yang bersama kawan-kawan, ada yang berpelukan dengan kekasih dan ada yang sedang memarahi anak. Apa yang paling menarik perhatiannya adalah sekumpulan remaja yang sedang berjalan bersama sambil menjilat aiskrim disulami senda tawa. Musliha teringat akan kenangannya bersama Hafizah dan Yusuf ketika mereka bersiar bersama-sama hampir 10 tahun yang lepas.
Musliha sudah mula bosan menunggu. Entah bila agaknya Hafizah akan sampai. Musliha meraba-raba isi tas tangannya untuk mencapai telefon bimbit. Rupanya sudah ada panggilan daripada Hafizah. Lantas dibalas panggilan itu.
“Fiza, awak kat mana? Dah jenuh kite menunggu ni,”
“Kejap..kejap..tengah cari parking. Awak tunggu je kat situ tau,”
“Okay,” panggilan segera dimatikan. Dalam kebosanan menunggu, Musliha tiada mood untuk berbicara lebih panjang.
Sebaik telefon bimbit diletakkan kembali ke dalam tas tangan, seorang lelaki yang sedang beratur menunggu makanan di kedai berdekatan menarik tumpuannya. Rupa itu sungguh mirip dengan lelaki yang selama ini bertakhta di benaknya. Musliha mengerutkan dahinya, direnung lelaki itu sedalam mungkin. Senyuman itu memang sama! Gerak tubuhnya, pandangan matanya. Ya, semirip dengan Yusuf Hazim. Musliha melangkah ke kedai Kebab King di mana lelaki itu sedang berdiri menantikan pesanannya.
“Ya, cik?” tanya pekedai itu.
“Bagi saya kebab ayam biasa,” Musliha terus memberi pesanan kerana dia ingin berdiri di situ untuk mendengarkan suara lelaki itu pula. Tubuh yang lebih tegap dan tinggi itu memberikan sedikit perbezaan pada lelaki itu berbanding Yusuf. Musliha terus-menerus memberi renungan yang dalam kepada lelaki itu.
Lelaki itu memberikan senyuman kepada Musliha sebaik menyedari dirinya sedang ditenung Musliha. Musliha yang menyedari kelakuannya diketahui lelaki itu, segera mengalihkan pandangan tanpa memberi sedikit pun respon kepada sapaan itu. Sebaik lelaki itu tidak lagi menoleh ke arahnya, sekali lagi renungan yang dalam diberikan Musliha kepada lelaki itu. Ini membuatkan lelaki itu menjadi tidak keruan.
“Cik ada masalah?” tanyanya.
Musliha sekadar menggeleng. Apapun, Musliha mendapati suara itu juga sama dengan suara Yusuf. Apa yang membezakan ialah kedewasaan suara lelaki itu. Penampilannya juga tampak lebih matang berbanding Yusuf.
“Berapa?” suara itu terdengar lagi. Kali ini dompetnya dikeluarkan untuk mengeluarkan bayaran bagi makanan yang dipesannya itu. Selesai membayar, lelaki itu beredar bersama dengan makanannya diiringi renungan sayup daripada Musliha.
Adakah dia Yusuf? Jika benar, kenapa dia langsung tidak mengenaliku? Apakah wajahku berubah selama 8 tahun tidak bertemu dengannya? Tidak! Tidak mungkin lelaki itu Yusuf! Yusuf sudah tiada, Musliha! Mungkin saja setiap persamaan itu hanya muncul dari bayanganmu. Musliha berfikir sendiri.
“Cik,” suara pekedai itu tinggi hingga dapat memecahkan lamunan Musliha. Musliha tersentak lalu wang kertas 10 ringgit dihulurkan. Deringan telefon bimbit kedengaran sayup-sayup. Dengan pantas, telefon itu ditelekupnya ke telinga.
“Helo,”
“Mus, awak kat mana? Kite dah sampai kat kiosk Mc Donald,”
“Kite datang sekarang,” panggilan terus sahaja dimatikan.
Musliha masih tertanya-tanya akan gerangan lelaki itu tadi. Mengapa terlalu mirip persamaan yang ada pada lelaki itu dengan Yusuf? Dompet yang dibuka lelaki itu tadi cuba diintainya untuk memerhati kad pengenalan yang tertera namun matanya tidak dapat menangkap nama penuh lelaki tersebut.
“Mus!” suara Hafizah mengembalikan Musliha ke alam nyata.
“Awak lapar ke sampai beli kebab ni?” Hafizah bertanya sambil kebab di tangan Musliha diperhatikan.
“Haah. Tunggu awak lama sangat, kite beli lah kebab ni,” ujar Musliha.
“Laa..kan kite dah cakap, kite dah nak sampai,”
“Tak apa lah. Kite share dengan awak nak? Tak tahulah kalau Qayyum jealous pulak nanti,” Musliha sekadar mengusik pasangan berdarah manis itu.
It’s okay. Lebih baik share makanan ni sebelum terlambat nanti,” bidas Qayyum pula. Hafizah dan Musliha tertawa kecil.
So, what’s first? Parkson or watches?
“Kita jalan-jalan dulu lah. Nampak yang berkenan, terus beli. Okay?” soalan Hafizah dibalas pandangan oleh Qayyum. Mereka jalan seiringan meniti setiap kedai yang ada di aras itu. Pada mulanya, Musliha teruja untuk menemani Hafizah dan Qayyum untuk membeli barangan hantaran perkahwinan mereka. Namun, wajah mirip Yusuf tadi menganggu tumpuan Musliha. Dia berharap agar dapat terserempak lagi dengan lelaki itu supaya Hafizah dapat menilai kemiripan yang dilihatnya tadi.
Hafizah dan Qayyum sibuk menilik kasut-kasut wanita yang dipamerkan di sepanjang rak berkaca itu. Senyuman manis tidak lokek dari bibir kedua-duanya. Kadang-kadang, terselit tawa bahagia mereka. Setiap kali tawa berderai, Musliha hanya tersenyum walaupun perbualan mereka tidak menjengah ke dalam perhatiannya.
“Mus, awak okay?” tegur Hafizah. Dia dapat megesan seperti ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran Musliha. Musliha hanya mengangguk sambil senyuman nipis diberikan sekadar meyakinkan Hafizah.
Are you sure?” Qayyum bertanya pula.
Yes, I’m sure,” senyuman yang sama diberikan kepada Qayyum.
“Habis tu, kenapa diam je dari tadi?”
“Tak ada apa-apa lah. Kite tak nak ganggu awak dengan Qayyum. Orang baru bertunang la katakan,”
Hafizah tidak mahu memanjangkan persoalannya lagi lalu urusan jual belinya diteruskan sahaja. Qayyum pula masih menunjukkan rasa hairannya kepada Musliha namun hanya jawapan yang sama diberikan Musliha. Musliha tidak mahu memberitahu tentang apa yang sedang bermain di benak fikirannya. Tentu sahaja Hafizah tidak akan mempercayai berita itu biarpun Musliha menyatakannya dengan penuh kesungguhan.
Sebenarnya, Musliha sendiri tidak yakin dengan apa yang baru sahaja dilihatnya tadi. Mungkin juga kerana rindunya yang terlalu sarat kepada Yusuf membuatkan wajah Yusuf terbayang di wajah lelaki itu. Musliha segera mengusir bayangan Yusuf di mindanya. Dia cuba memberi tumpuan yang lebih baik kepada pemilihan jam tangan pula buat pasangan itu.
Jauh di hatinya, terselit rasa gembira melihat sahabatnya sendiri yang akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Usia 27 tahun memang sesuai bagi wanita bekerjaya besar seperti Hafizah untuk bersuami. Qayyum juga tampak berseri tatkala meluangkan masa bersama insan tersayang. Tidak sia-sia perpakatannya dengan pengurus Hafizah pada satu masa dahulu. Sememangnya benih-benih cinta sudah ada dalam hati Hafizah terhadap lelaki yang sudah menjangkaui 34 tahun itu. Benih-benih itu hanya menunggu masa untuk membiak sahaja.
“Mus, bagi awak, yang mana lagi cantik?” soal Hafizah, meminta pandangan sahabat karibnya sambil meletakkan kedua-dua utas jam tangan ke atas pergelangan tangannya sambil diperhatikan Qayyum.
“Kalau bagi kite, yang putih tu lagi cantik,” walaupun warna kegemaran Musliha adalah hitam, tetapi pada kali ini, dia lebih cenderung untuk memilih warna putih berbanding hitam.
“Aik, kenapa pulak?” Hafizah hairan. Dahi Musliha dijamahnya. Hafizah menjangkakan Musliha akan sependapat dengannya dengan memilih warna hitam. “Awak demam ke?” soalan Hafizah itu membuatkan Musliha terasa geli hati.
“Ya lah. Kalau nak dibuat hantaran, lebih baik warna putih. Sebab ia melambangkan kesucian cinta pasangan pengantin. Warna hitam tu, tak dinafikan, memang cantik pun. Tapi tak sesuai kalau nak dijadikan sebagai hantaran,” jelas Musliha. Qayyum tersenyum mendengarkan pandangan bernas Musliha itu.
“Pandai jugak awak ni ek?” Hafizah mula menimbang tara hujah sahabatnya.
“Mestilah pandai. Saya yang ajar dia dulu tau,” sampuk Qayyum pula.
“Eh..tapi Qayyum tak ajar saya tentang benda-benda ni.”
“Mus, alang-alang awak dah pandai cakap tentang lambang cinta bagai ni, apa kata awak berlaki aje? Kan senang?” Hafizah mula dengan perangainya yang tidak sudah.
“Suka-suka hati awak aje. Kite ni tak ada calon. Lainlah awak tu, ada yang menunggu sekian lama,” Musliha menyiku lengan Hafizah sambil matanya memberi usikan kepada Qayyum.
“Syafik?” Hafizah sekadar menduga perasaan Musliha terhadap Syafik yang sudah lama menunggu hati Musliha.
“Entah. So, awak nak pilih yang mana ni?” Musliha tiada jawapan untuk diberikan setiap kali nama Syafik yang dipersoalkan. Hatinya masih tidak bersedia untuk menerima lelaki itu semula setelah 12 tahun putus cinta.
Hafizah merenung kedua-dua jam tangan itu, lama. Memandangkan Qayyum yang sudah terlebih dahulu memilih warna putih, ditambah pula dengan pandangan Musliha, Hafizah turut memilih warna putih sebagai warna jam tangan yang akan terhias di atas dulang hantaran pernikahannya. Selesai urusan jual beli, mereka sama-sama melangkah ke Old Wing untuk kembali ke tempat mereka bertemu sebentar tadi bagi menikmati sajian barat di restoran Milano.
Musliha terpandang kedai Kebab King yang menjadi tempat bersejarah baginya hari ini. Raut wajahnya langsung bertukar dan tumpuannya segera teralih. Matanya lurus ke arah kedai tersebut. Hafizah menyorot arah pandangan Musliha. Dia dapat menangkap pastinya ada sesuatu yang terjadi semasa Musliha membeli kebab tadi.
“Musliha,” suara Qayyum memecah lamunan Musliha terhadap peristiwa di Kebab King tadi. Matanya segera teralih ke arah Qayyum.
This Monday, engineer baru akan datang lapor diri. He’s in civil too. Saya nak minta tolong awak perkenalkan kerja-kerja yang sepatutnya sebab saya akan ke Perak untuk pantau projek di sana. Dia dah jadi engineer di Qatar selama setahun. So, what he should know is more to urusan Pejabat Tanah, procedure untuk site location mapping and those yang berkaitan dengan undang-undang and procedure kita di sini. Walaupun dia dah ada pengalaman setahun, but I think it is not enough for him to adapt himself as a local engineer.” Panjang lebar penerangan Qayyum kepada Musliha.
“Insyaallah. Saya akan tolong setakat yang saya mampu. I can see that it is a he, right?” Qayyum sekadar mengangguk kecil. “And he must be younger than me according to his working experience. It should be easier for me to bully him a little bit,” Musliha berseloroh sambil mukanya penuh kenakalan dan idea untuk mengenakan pekerja yang lebih muda darinya.
No, that is not true. Dia seusia dengan awak. Cuma, dia terpaksa menangguhkan pelajaran selama dua tahun. That’s why lambat habis dan lambat mula bekerja,” jawab Qayyum pula.
“Hah, Mus! Ni lah masanya untuk awak mengorak langkah ke alam perkahwinan,” sampuk Hafizah sebaik mendengar tentang usia pemuda yang bakal bekerjasama dengan Musliha itu.
“Memandai je. Kenal pun belum, tahu-tahu nak suruh ngorak langkah. Entah-entah dia dah kahwin. Kan Qayyum?” bidas Musliha.
“Dia single lagi. Tapi saya tak tahu lah kalau dah ada girlfriend,”
“Mus, awak kena cuba. Kalau tak kite tak sampai hati nak tinggal awak sorang-sorang kat rumah sewa lepas kahwin nanti. Kesian awak,” Hafizah bernada serius.
“Biarlah dulu Fiza. Kite malas nak fikir soal jodoh lagi,” Musliha bersuara sambil makanannya disuapkan tenang seperti tiada mood untuk memanjangkan cerita jodoh.
“Tak apa. Kite akan selalu doakan yang terbaik buat awak. Kalau Syafik yang terbaik pun, awak terima aje lah ya. Walaupun kite tak dapat terima dia sebagai `suami’ sahabat kite,” Hafizah ingin menenangkan perasaan Musliha yang mungkin sedang berkecamuk setiap kali mendengar soal jodoh.
“Alah kite tak risau. Cuba tengok Qayyum tu. Walaupun umurnya dah 30-an, tapi kahwin tetap kahwin. Buat apa nak risau? Semua orang dalam dunia ni dah ada jodohnya yang ditetapkan,” Musliha menyatakan apa yang bermain di fikirannya. Ya, sememangnya dia tidak hiraukan soal jodoh walaupun Puan Husna sering membangkitkan soal yang sama. Kini, Hafizah pula.
“Saya lelaki, Musliha. Tapi betul apa yang awak kata tu, bila dah sampai jodoh, tak ke mananya,” Qayyum cuba mengingatkan Musliha tentang perbezaan tentang seorang lelaki dan seorang perempuan yang berkahwin lambat namun dia masih mengakui kebenaran kata-kata Musliha tadi.
Musliha mengangguk perlahan sambil spaghetti di dalam pinggan disuap ke dalam mulut penuh nikmat. Fikirannya langsung tidak diserabuti persoalan yang berbangkit dalam perbualan mereka tadi. Sebaliknya, wajah yang sudah lama terkubur itu yang kembali menjengah dan menarik tumpuannya. Di fikiran Hafizah, tentu sahaja fikiran Musliha kini berselirat dengan soal jodoh yang dibincangkan mereka tadi. Sedikit sebanyak, Hafizah terasa bersalah pada Musliha.


Kesepian beraja di segenap ruang tamu. Siaran program televisyen ditonton dengan pandangan kosong. Musliha yang hanya memerapkan diri di dalam bilik tidur membuatkan Hafizah terasa keseorangan. Rasa bersalah kepada Musliha makin memuncak apabila teringatkan perbualannya tengahari tadi.
Aku tidak sepatutnya menyoal Musliha tentang jodoh. Itu semua kerja tuhan dan ia juga adalah hal yang agak sensitif bagi seorang wanita yang berusia lewat 20-an begini. Ya Allah, apakah yang sepatutnya aku lakukan? Patutkah aku menegur Musliha sekarang? Bagaimana kiranya Musliha tidak ingin melihat wajahku di saat ini? Hafizah termenung sendiri.
Bantal kecil yang dipeluknya sedari tadi diletakkan bersebelahan dengannya. Langkah dibuka perlahan ke pintu bilik Musliha. Lama berdiri di hadapan pintu itu, Hafizah berkira-kira untuk mengetuknya tetapi dia takut kalau perkara ini menjadi lebih rumit dengan bicara mereka nanti. Hafizah menarik nafas sedalam-dalamnya lalu jari-jemarinya disatukan kemas ke dalam genggaman. Buku lima yang tertonjol keluar diketuk perlahan pada pintu itu.
“Kejap, Fiza.” Suara Musliha sayup kedengaran dari luar biliknya.
“Boleh kite masuk?” Hafizah memberanikan diri untuk bertanya.
“Nanti..nanti..awak tunggu kite kat luar,”
“Okay,” Hafizah kembali melangkah ke tempat asalnya.
Benci benarkah Musliha padaku sehinggakan aku tidak dibenarkan masuk ke dalam biliknya seperti sediakala? Hati Hafizah diruntun pilu. Dia langsung tidak menyangka bahawa kata-katanya tadi telah mengguris hati sahabatnya sendiri. Daun pintu yang terkuak mengeluarkan bunyi engselnya. Wajah sembap terjengul di balik pintu itu. Hafizah makin diserang rasa bersalah.
Langkah yang agak lemah tersusun ke arahnya diperhatikan. Pelbagai kata sedang disusun supaya rapi sebagai awal bicara. Hati yang terusik dalam itu harus dijaga dengan kata-kata yang baik.
“Kenapa Fiza?” soal Musliha, tenang. Hafizah masih diam. Matanya merenung Musliha yang sedang mencari alat kawalan jauh dan sebaik mata itu mengarah ke matanya, Hafizah tertunduk. Jari-jemarinya dimain-mainkan sambil otaknya ligat mencari idea untuk meminta maaf dengan cara yang paling baik.
“Kenapa ni?” nada tenang tadi sudah berubah hairan. Hafizah masih ligat mencari kata.
“Kite nak minta maaf,” akhirnya terucap jua kata maaf itu. Sepi. Hafizah menggelabah kerana saat itu, dia tahu bahawa Musliha sememangnya tidak dapat memafkan atas segala ketelanjuran katanya siang tadi. Kepalanya diangkat sedikit untuk melihat riak Musliha. Rupanya Musliha sedang merenungnya dengan riak yang penuh tanda tanya.
“Minta maaf?” Musliha bertanya sambil keningnya sedikit berkerut.
“Hmm..” bibir nipis Hafizah diketap kemas. Fikirannya bercelaru untuk mengeluarkan penjelasan bagi maaf yang dipinta.
“Minta maaf kenapa pulak ni Fiza?” Musliha makin tertanya-tanya melihatkan kegelisahan yang melanda Hafizah.
“Pasal siang tadi,” berbagai kata yang bermain di minda, akhinya hanya tiga perkataan yang terpacul.
“Siang tadi? Apa ni Fiza? Kite tak faham,” Musliha masih menanti keterangan selanjutnya. Dia pasti, Hafizah punya penerangan yang lebih baik. Seingatnya, Hafizah tidak melakukan perkara yang tidak disenangi di hatinya.
“Kite tahu, awak tak suka kite cakap pasal jodoh kan? Maaflah. Kite bukan nak pertikaikan soal jodoh awak, cuma kite ikhlas, tak nak tinggal awak sorang-sorang kat rumah sewa ni nanti.” Akhirnya terlerai jua penjelasan yang sebenar.
“Memang betul, kite tak suka awak cakap pasal partner dan perkara yang sewaktu dengannya, tapi kite cuma larang awak cakap pasal Syafik. Kalau awak nak cakap pasal kahwin ke, cari pasangan ke, tips mengurat ke, kite tak ambil pusing langsung Fiza ooooiiiii,” jawapan Musliha memberi kelegaan yang amat kepada Hafizah. Namun, ada persoalan baru yang muncul di benaknya.
“Tapi kenapa kite nampak awak macam bad mood  je hari ni?”
“Tak ada apa-apa. Stress kerja je,” Musliha menyembunyikan perkara sebenar yang bermain di fikirannya.
“Ye ke? Awak tak payah lah jaga hati kite. Kalau awak terasa dengan kite, cakap aje lah. Kite ni dah duapuluh tahun bersahabat dengan awak. Kite memang dah masak benar dengan sikap awak bila awak stress,” Hafizah tahu, pasti ada antara kata-katanya siang tadi yang membuatkan fikiran Musliha merewang ke lain.
“Betul. Kite stress. Itu je. Mungkin stress kite lain sikit kali ni. Biasalah, dah tua. Perangai pun dah lain,”
“Jangan kata tua. Kalau awak tua, kite pun sama.”
“Awak tak apa, tak lama lagi dah nak berlaki. Kite ni calon pun entah ke mana lagi,” Musliha sekadar berseloroh.
“Sabarlah Mus. Macam awak kata tadi, kalau dah jodoh, tak ke mana pun kan?” walau nama Syafik terlintas setiap kali Musliha berkata tentang calon suami, namun dia tidak mahu membangkitkan rasa marah Musliha dengan menyebut nama itu lagi.
“Patut tak kite bagi Syafik peluang?” soal Musliha, meminta cadangan. Hafizah mati akal. Sememangnya, dia tidak mahu Musliha menerima Syafik kembali dalam hidupnya tetapi apakan daya kiranya nama itu yang sudah tertulis di luh mahfuz buat Musliha.
No comment,” Hafizah sekadar memberi jawapan selamat.
“Kadang-kadang, kite rasa kesian bila teringatkan Syafik yang sungguh-sungguh menunggu kite. Ibu pun suruh terima dia. Tapi nak buat macam mana, hati kite hanya dapat terima dia sebagai kawan je, Fiza. Awak rasa?” pandangan redup dilirikkan kepada Hafizah. Dia mengharapkan pandangan Hafizah mengenai perkara ini dapat memberi ilham baru buat langkah seterusnya dalam meniti penantian Syafik.
“Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Kalau ikut hati, kite tak bagi tapi kalau ikut rasa, kite tak paksa. Kite nasihatkan, awak buat lah solat istikharah. Jodoh ni kan, kerja tuhan,” jawabnya tenang.
“Kite dah buat banyak kali Fiza. Hati kite tetap rasa yang sama. Tak ada lagi rasa cinta dan sayang terhadap Fik seperti mana yang kite pernah rasa dulu. Kosong. Hanya kasih sebagai kawan yang tinggal,”
“Kite pun rasa susah nak cakap. Apa yang kite boleh tolong cuma satu, doa. Hanya doa je yang dapat kite hulur pada awak.”
Thanks. Itu pun dah lebih dari cukup. Awak janganlah terasa dengan kite ya. Kite cuma stress hari ni. Itu aje.” Musliha berpatah pada topik asal perbicaraannya dengan Hafizah.
“Kite tak terasa pun. Kite takut awak tu yang terasa. Qayyum pun minta maaf kalau dia buat awak terasa jugak,” pesanan Qayyum disampaikan. Bermakna bukan hanya Hafizah yang perasan akan perubahan sikap Musliha, Qayyum turut merasakan hal yang sama.
“Qayyum pun? Cakap kat dia, abang, Mus tak terasa pun dengan kita berdua. Mus kata, abang jaga saya elok-elok ya lepas kahwin nanti,” Musliha melembutkan suaranya seolah-olah Hafizah yang sedang berkata manja dengan Qayyum. Pantas sahaja pahanya dicubit lalu tawa mereka berdua pecah berderai.
“Mana ada kite panggil dia abang lah,” Hafizah berkata disulami tawa yang masih berbaki.
“Oh tak eh. Jadi yang panggil dia abang hari tu siapa?” Musliha mengusik lagi.
“Awak ni saja kan?” mata Hafizah membulat. Dia tahu, Musliha hanya memberi usikan semata-mata.
“Ya lah. Ada orang tu kan kuat cemburu. Sampai kan Encik Qayyum tu nak ikut kite makan tengahari pun, dia extend muncung,” usikan ditambah lagi. Musliha terkenang saat mula-mula Qayyum mengorak langkah untuk memikat hati Hafizah. Di saat itulah mereka mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik hasil pertolongan Musliha yang telah mendekatkan hubungan Hafizah dan Qayyum. Akhirnya kini, hati itu sudah termilik oleh sang kumbang bernama Qayyum. Musliha turut merasakan kebahagiaan Hafizah yang dilambung ombak cinta bersama tunangannya kini.
Musliha yakin, penantiannya tidak mungkin bersia. Biarlah jodoh itu lambat sekalipun, kebahagiaan pasti dimiliki. Itulah janji Allah buat setiap umatnya yang hidup berbenihkan cinta hakiki. Musliha pasti, sang wira yang bakal membimbing hidupnya kelak sedang membina sahsiah diri untuk menyunting dirinya. Biarlah takdir yang menentukan gerangan si nakhoda bahtera itu.




No comments:

Post a Comment