Rossa - Takdir Cinta

Saturday 18 June 2011

Bab 22


Seluruh badan Musliha terasa penat setelah berada di dalam perjalanan selama tiga jam. Esok, dia akan sendirian ke kampus dengan menaiki komuter. Mujurlah kelas pada hari esok akan bermula pada tengahari. Sekurang-kurangnya dia masih sempat untuk merehatkan diri. Telefon bimbitnya dicapai. Lantas nama Syafik dicari.

Fik, Mus dah sampai KL.

Pesanannya ringkas. Ianya sekadar untuk memaklumkan berita terkini tentangnya.

Syukur. Mus rehatlah dulu. Mesti penat kan? Esok datang kelas tak?

Hatinya berbunga riang tatkala mendapat mesej balas daripada Syafik.

Insyaallah datang.

“Mus!” terdengar suara Puan Husna memanggil Musliha.
“Ya, bu!” Musliha terus menyusun langkahnya ke luar kamar, mendapatkan ibunya. Telefon bimbitnya yang tadi di dalam pegangan tangan, diletakkan di atas katil.
“Mus teman Kak Fira beli Panadol sekejap. Amir demam,” pinta Puan Husna. Musliha menganggukkan kepalanya. Rambut Musliha yang agak kusut disisir dengan jari sahaja. Memandangkan pakaiannya masih tidak bertukar, dia terus sahaja ke luar rumah, mengikut Musfira ke kedai.
Setelah lebih kurang sepuluh minit meninggalkan rumah, Musliha dan Musfira sudah tiba dengan kereta yang sedang diparkir. Musliha terkocoh-kocoh mendapatkan Amir dengan segelas air minuman bersama sebiji Panadol yang dibeli sebentar tadi.
“Tak apa, biar ibu uruskan. Amir demam biasa aje ni. Mus pergilah rehat,” Musliha merenung keadaan adiknya. Dia pasti, demam itu hanya demam biasa. Lantas ditinggalkan Amir bersama ibunya dan segera dia menapak kembali ke kamar. Deringan telefon bimbitnya membuatkan langkahnya semakin laju. Sebaik pintu bilik dikuak, deringan itu sudahpun berhenti. Lantas dicapainya telefon bimbit itu. Syafik. Sudah dua panggilan yang tidak dijawabnya datang daripada lelaki itu.
“Nak call balik ke tak nak? Kredit baru je topup tadi. Sayang pulak,” Musliha mengomel sendiri.
Lama Musliha menunggu, telefonnya tidak berdering lagi. Perasaannya sedikit hampa. Hatinya masih tertanya-tanya. Perlukah baginya untuk membalas panggilan tersebut? Dia tidak mahu dilihat seperti gadis yang terhegeh-hegeh terhadap Syafik. Namun, egokah dia jika hal sebegini pun masih difikirkan begitu? Telefon bimbitnya direnung dalam-dalam.
“Aargh..kalau dia sayang aku, pandai-pandai lah call balik,” Musliha akhirnya menetapkan pendiriannya.
Dengan rasa penuh malas, Musliha menapak ke dalam bilik air untuk berwudhuk. Walau matanya sudah terasa berat, namun tanggungjawab kepada Yang Maha Esa tetap dijalankan seperti biasa. Sedang Musliha berkumuh, telefonnya berdering lagi. Tidak dia hiraukan deringan itu kerana sudah menjadi adat berwudhuk, dia tidak seharusnya meninggalkan wudhuk hanya kerana hal duniawi.
Sebaik wudhuknya selesai diambil, sekali lagi deringan telefon berhenti. Dia pasti, si pemanggil itu ialah Syafik. Lalu telekungnya dicapai dan niat asalnya diteruskan sahaja. Sebaik sejadahnya dihampar, Musliha berfikir sejenak. Ada baiknya jika dia beri pesanan ringkas tentang niatnya untuk menunaikan solat supaya Syafik tidak menghubunginya tika dia sedang khusyuk menunaikan solat.

Fik, Mus nak solat. Nanti Mus call.

Musliha langsung mengangkat takbir dan solat Isyak nya ditunaikan. Sebaik kedua salam diberi, satu pesanan ringkas diterimanya di telefon. Tangannya laju mencapai telefonnya yang ada di tengah katil itu.

Kalau ya pun nak solat, takkan lah sampai tiga kali Fik call Mus tak bleh jawab? Mus, kalau Mus nak jauhkan diri Mus dari Fik, fine! Fik dah tak ada kuasa nak halang Mus. Apa yang Fik nak Mus tau, Fik sayang Mus. Correction, Fik teramat menyayangi Mus.

“Apa kena lah dengan Fik ni. Nak kata datang bulan, dia lelaki. Yang sensitif sangat ni kenapa? Ada jugak handphone yang hancur kena baling malam ni,” Musliha merungut sendiri. Meskipun dia sudah masak dengan sikap panas baran Syafik, namun tahap kesabarannya juga tidaklah setinggi mana untuk berdepan dengan baran itu.

Sensitif nya Fik? Tadi Mus kluar, teman kak Fira belikan Panadol untuk Amir. Amir demam. Bila Mus balik, dah ada 2 miscal from Fik. Tadi, call yang ke-3, Mus tengah ambil wudhuk. Takkanlah Mus nak terkam kat handphone sedangkan wudhuk belum selesai?

Musliha cuba mengatur ayat yang terbaik supaya Syafik bisa memahami keadaan sebenar. Namun jangkaannya ternyata meleset sebaik pesanannya dibalas.

Terpulanglah pada Mus. Pada Fik, kalau sekali Mus bleh tipu Fik kononnya untuk jaga hati Fik, tak mustahil kalau kali ni pun Mus menipu lagi.

Musliha mendengus geram. Kesabarannya pada kali ini sudah hilang.

Up to u! I cant force u to put your trust on me. Memang tepat keputusan Mus untuk tak bagi peluang pada Fik secara melulu.

Musliha meraup mukanya berkali-kali. Telekung yang masih dipakainya ditanggalkan dengan kasar. Kemarahannya pada Syafik pada kali ini meluap-luap. Musliha mengambil tempat di penjuru katil. Tatkala fikirannya kusut memikirkan hal Syafik, pantas sahaja wajah Yusuf singgah ke dalam. Ya, di kala hatinya sedang dalam susah begini, Yusuf sering hubunginya. Telefon bimbit yang sudah dicampak ke atas katil tadi berdering lagi. Satu lagi pesanan diterima. Namun pesanan itu sengaja tidak dibacanya kerana dia pasti, tentunya ia dari Syafik.
Nama Yusuf dicari. Nombor itu dihubunginya. Namun hatinya hampa kerana panggilan itu tidak dapat disambung. Hatinya sedikit resah kerana selama ini, panggilan yang dibuatnya kepada Yusuf tidak pernah tidak disambut apatah lagi tidak disambung. Memang kejadian seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang mereka saling berhubung. Panggilan dicuba beberapa kali lagi. Jawapannya tetap sama. Suara Yusuf yang diharapkan, tetapi suara operator juga yang setia menjawab.
“Alahai, time ni pulak awak nak tutup handphone. Serabut!” rambutnya dikuak sedikit. Pesanan yang diterimanya tadi dibuka. Benarlah sangkaannya tadi.

Esok pukul 9 pagi, Fik ambil Mus kat rumah. Tunggu!

Musliha tahu, Syafik memang suka mendesaknya. Kadangkala, sikap Syafik yang suka mengongkongnya itu disenangi. Tetapi tidak apabila dalam keadaan begini.

Macamlah Fik tau rumah Mus kat mana.

Balasnya sinis. Dia sengaja menaikkan lagi kemarahan Syafik.

Fik dah kata dulu kan? Fik stalk Mus. Fik tau mana Mus duduk skrang. Dah, tidur, see u tmorow.

“Mamat ni memang angin monsun barat tak berdaya lah. Kejap elok, kejap tak. Kepala aku dah berpusing macam kena puting beliung tahu tak? Tidur lagi bagus daripada layan angin panas macam ni. Aku pun boleh naik hangin kalau asyik melayan dia ni. Bukan angin sepoi bahasa ni, angin tak reti barasa adalah!” Musliha membebel panjang sambil tubuhnya dibaringkan dan tangannya menarik selimut, kasar.


Sofea resah menanti kehadiran Yusuf di kelas. Dia menjadi hairan kerana ini bukan kali pertama Yusuf tidak menghadirkan diri, tetapi sudah kali ketiga. Semalam, kedua-dua kelas berlainan subjek tidak dihadiri lelaki itu. Termasuk kelas pagi ini, sudah tiga kali bayang lelaki itu tidak kelihatan. Hatinya runsing. Sudahlah nombor telefon tidak dapat dihubungi, ditambah pula dengan ketidakhadirannya, lengkaplah pakej kebimbangan Sofea.
“Assalamualaikum, Sir,” salamnya diberikan dengan penuh tertib kepada pensyarahnya.
“Waalaikumsalam. Yes, Sofea.”
Sir, saya nak tanya, ada tak Yusuf bagitau Sir about his absence to both of your class since yesterday?”
No, he didn’t. Why? Do you have his reason?
Me neither, sir. Thanks anyway.” Pensyarah tersebut mengangguk kecil lalu beredar dari situ. Sofea makin resah. Setahunya, Yusuf ada memberitahu tentang kepulangannya ke Kuala Lumpur dan sejak itu, tiada lagi khabar berita yang didengarinya.
Patutkah aku tanya Musliha? Hatinya berbisik. Lantas kerusi yang ada di sisinya diduduk. Komputer ribanya dibuka dan dengan pantas, Sofea melayari internet. Sofea dan Musliha ada berhubung melalui laman web sosial Facebook. Namun, hubungan mereka tidak rapat kerana mereka hanya mengenali antara satu sama lain melalui alam maya. Satu pesanan ditinggalkan kepada Musliha dengan harapan, Musliha bakal membalasnya.


Tepat jam 9 pagi, sebuah kereta Wira sudah terparkir di depan pagar rumahnya. Musliha benar-benar tidak menyangka rupanya selama ini syafik mengambil berat tentangnya sehinggakan kediaman baru mereka juga diketahui Syafik.
“Ibu, Mus pergi dulu,” kedua tangannya sudah dihulurkan kepada Puan Husna dengan mengharapkan tangannya itu disambut. Namun, huluran tangan itu disambut dengan kerutan di dahi ibunya.
“Sarapan tak, apa tak, tiba-tiba dah nak pergi. Makan dulu,”
“Tak apa lah bu. Kawan Mus dah tunggu kat luar,” Musliha masih belum bersedia untuk menyebut nama Syafik di hadapan ibunya.
“Kawan? Kawan Mus datang ambil? Lelaki ke perempuan? Ke pondan?”
“Ibu..apa pulak pondan?” Musliha tidak faham akan motif pertanyaan ibunya.
“Dah, kecut semacam je anak ibu ni bila ditanya,”
“Lelaki,” jawabnya ringkas. Puan Husna bingkas dari tempat duduknya lalu langsir yang menghiasi di segenap ruang tamu diselak sedikit.
“Boleh tahan jugak hensemnya. Tapi kan Mus, Yusuf lagi lah hensem,”
“Ibu ni..okay lah, Mus pergi dulu ya bu,” tangan Puan Husna dicapai dan dikucupnya. Puan
Husna masih terpinga-pinga dengan gelagat Musliha.
“Mus, namanya siapa?” Puan Husna masih sempat bertanyakan kepada anaknya yang sedang menyarungkan kasut di kaki.
“Err..Syafik, bu,” Musliha menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Patutlah kecut semacam. Mus..Mus..” Puan Husna menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sudah faham benar dengan anak gadisnya yang seorang itu. Dia juga tahu, di hati Musliha masih tersemat nama Syafik. Manakan tidak, Syafik adalah cinta pertama Musliha dan sememangnya cinta pertama sukar untuk dilupakan.
Puan Husna yang masih tercegat di muka pintu dilambai Musliha. Wajah si pemandu di sisinya masih belum dipandang walau sekilas. Kemarahannya masih bersisa dek kerana sikap panas baran Syafik dalam telefon semalam.
“Dah lama ke Mus tunggu?” suara Syafik bernada lembut.
Eh..eh..dia ni marah ke tidak sebenarnya? Kalau tak marah, bagus, biar aku seorang je yang marah. Senang! Batin Musliha bermonolog.
“Mus,” suara Syafik mengembalikan Musliha ke alam nyata.
“Tak..tak lama pun,” jawapannya tegang.
“Marah?”
“Marah buat apa? Fik tak lambat pun tadi,” solan Syafik sengaja diputarnya.
“Marah pasal semalam?”
“Aik? Semalam tu bukan ke Fik yang marah? Bukan Mus,” Musliha cuba memerangkap Syafik dengan perbuatannya sendiri.
Sorry lah. Fik mengantuk semalam,” giliran Syafik pula menjaga hati Musliha.
“Fik tak payah nak menipu lah. Mus lagi terer kalau bab-bab nak jaga hati dengan taktik menipu macam tu. Fik dah lupa?”
Syafik tersenyum mendengarkan omelan Musliha. Itu lah salah satu sikap Musliha yang digemarinya. Mengomel. Padanya, sikap itu mampu untuk meredakan kemarahan sesiapa sahaja.
“Fi pun tak tahu kenapa Fik emotional semalam. Sorry ya, Mus”
Musliha hanya mendiamkan diri. Baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah! Getus hatinya.


Telefon bimbit yang sedang ditekan-tekan oleh Musliha ditenung Nurul. Musliha dapat lihat tenungan Nurul dari ekor matanya namun sengaja dia tidak mengendahkan tenungan berbisa itu. Jka dibalas tenungan Nurul itu, pasti bertubi-tubi soalan yang perlu dijawabnya. Lagipun, tumpuannya kini lebih kepada Yusuf. Dia masih cuba menghubungi Yusuf tetapi Yusuf masih tidak dapat dihubungi.
“Mus, awak beli ni yang terpakai ke?” Nurul tidak dapat menyimpan soalannya lagi.
“Tak beli,” jawapannya ringkas. Tidak tahu bagaimana untuk disambung lagi.
“Habis tu?”
“Pinjam,” Musliha sudah terperangkap dengan jawapannya sendiri. Dia pasti Nurul mengenali telefon bimbit yang dipakainya itu.
“Syafik kan?” Musliha hanya mengangkatkan kedua keningnya sekali. “Aku dah agak dah. Korang ni mesti ada something kan?” Nurul sudah mula dengan kerjanya. Bergosip!
“Tak ada apa-apa lah Nurul, kitorang kawan lama.” Musliha sudah beranai membuka cerita.
“Oh, dah pernah kenal lah sebelum ni?”
“Haah. Satu sekolah.”
“Oh..Yusuf hari tu, siapa? Eh, Yusuf ke Hafiz nama dia?”
“Hafiz? Dari mana pulak datangnya Hafiz ni?”
“Saya dengar Syafik kata nama dia Hafiz,” Musliha terdiam sejenak. Dia cuba mengingatkan kembali kejadia malam itu.
“Oh! Yang itu Syafik perli je lah. Sebab sebenarnya, saya bagitau dia, kawan saya namanya Hafizah, nak berangkat ke Australia. Yusuf tu study kat UTM je. Saya tipu Syafik. Sebab tu dia main perli-perli,” Musliha meleraikan segala persoalan yang berselirat dalam kotak fikiran Nurul. Mendengarkan penjelasan Musliha, bibir Nurul membulat.
“Baru lah saya faham.”
So, tak payah lah menyusahkan diri untuk timbulkan gosip ya,” Nurul yang mendengar sekadar tersengih.
Tumpuan Musliha kini dilihkan kepada YM di skrin komputer ribanya. Apa yang diharapkan tiada untuknya pada hari ini. Yusuf tidak aktif di YM. Musliha buntu memikirkan cara untuk menghubungi Yusuf. Biasanya, hari Selasa lah yang menjadi hari untuk mereka saling bertukar cerita. Namun tidak pada hari ini. Hatinya mula runsing. Segala perasaan kurang enak sudah mula merangkak dalam hatinya.
Segera e-mel dihantar kepada Yusuf kerana biasanya e-mel yang dihantar kepada Yusuf dibalas cepat. Mungkin kerana Yusuf dapat membuka e-melnya dengan menggunakan kecanggihan telefon bimbit pemberian Datuk Yunus.

Salam,
Yusuf..awak pergi mana? Kenapa diam je ni? Dah berkali-kali kite cuba call. Kenapa tak dapat? Bila dapat je e-mel ni, terus reply tau. Kite tunggu. Bye.
 Salam,
Mus.

“Mus, saya balik dulu. Terima kasih, bagi pinjam ni,” Nurul meminta diri sambil fail yang dipinjamnya dikembalikan kepada Musliha.
“Okay. Kalau boring, datang lah lagi,” Musliha sudahpun berdiri di muka pintu, menghantar Nurul yang sudah ingin pulang ke biliknya. Nurul hanya mengangguk dan segera beredar meninggalkan Musliha.
Komputer ribanya yang berada di atas katil diterkamnya. Hampa. E-melnya masih tidak berbalas. Musliha bingung. Apakah sebenarnya yang sedang terjadi kepada Yusuf. Mengapa langsung tidak dapat dia hubungi sahabatnya itu. Sambil menunggu balasan e-mel, Musliha meluangkan masanya dengan melayari laman web sosial Facebook. Terdapat satu pesanan di inbox nya. Sebaik dibuka, pesanan itu datangnya daripada seorang rakan baik Yusuf di UTM, Sofea.
Pesanan itu segera dibukanya. Dadanya sedikit berdebar manakala jantungnya berdegup agak kencang.

Assalamualaikum, Musliha.
Maaf kalau saya menganggu masa awak. Saya cuma nak tanya, ada tak awak hubungi Yusuf? Semalam dan hari ni dia tak masuk kelas. Saya cuma risau. Kalau dia ada di Kuala Lumpur dan mungkin ada berhubung dengan awak, boleh awak tanya dia kenapa tak datang kelas? Thanks. –Sofea-

Musliha jadi cemas. Dia kaget saat mengetahui rupanya sudah dua hari Yusuf tidak ke kelas. Fikirannya bertambah buntu. Seingatnya, kali terakhir mereka berhubung adalah melalui pesanan ringkas yang diterimanya sewaktu Yusuf dalam perjalanan ke Johor. Berbagai bayangan kejadian sudah mula menyelinap masuk ke dalam kotak fikiran Musliha. Dia tidak tahu pada siapa harus dia melepaskan perasaan resah gelisah ini. Yang membuatkan Musliha terasa ralat ialah nombor telefon rumah Yusuf dan kedua ibubapa Yusuf yang disimpannya di dalam telefonnya sudah lesap. Puan Husna juga sering mengambil nombor mereka daripada simpanan Musliha. Lantas pesanan Sofea dibalas.

W’salam,
Kali terakhir kami berhubung, malam Isnin lepas, masa tu, dia dalam perjalanan ke sana. Saya sendiri dah banyak kali cuba hubungi dia, tapi panggila gagal. Sama-sama lah kita jejak dia. Katakan awak dah tahu di mana dia, tolong bagitau sya ya. Dan begitu juga sebaliknya. Thanks. Musliha.

Pada perkiraannya, ada pentingnya untuk dia memberitahu tentang perkara ini kepada Hafizah. Mungkin saja Hafizah ada menyimpan nombor rumah Yusuf.

Salam,
Fiza, Yusuf hilang. Dah banyak kali kite call dia tak dapat-dapat. Awak ada simpan lagi tak nombor telefon Uncle Yunus dengan Auntie Ila? Reply e-mel ni A.S.A.P tau!
-Musliha-

Apakah aku perlu memberitahu Syafik? Tidak mungkin. Pastinya keluhan Syafik yang bakal didengarinya. Ya Allah, kau selamatkanlah sahabatku Yusuf Hazim. Bisik hati Musliha.
Walau setiap sesuatu itu bersandarkan takdir, namun apa yang diharapkan dalam hidup sudah pastinya yang terbaik. Janganlah takdir begini yang diberikan kerana tiadalah upaya seorang manusia yang kerdil untuk memikul beban begini mengikut haluan takdir hidupnya. Namun, harus diingat jika Dia telah menetapkan segala sesuatu, tiada apa yang dapat dihalang. Musliha terus-terusan berdoa tanpa putus asa. Hatinya memegang harapan teguh untuk mendengar khabar Yusuf yang mengikut kata Sofea, sudah menghilang sejak semalam.






No comments:

Post a Comment