Rossa - Takdir Cinta

Monday 6 June 2011

Bab 10


Aduh! Sepatutnya aku berikan alasan pada Yusuf. Aku telah bersetuju untuk bersama dengan rakan kuliah bagi sambutan harijadi Syafik. Aargh, aku belum beri kata putus kepada Nurul, lebih baik aku ikut Yusuf. Bisik hati Musliha. Musliha memilih untuk pergi bersama Yusuf mengenangkan Yusuf yang sudah meminta izin daripada Puan Husna dan kesanggupan Yusuf pulang ke Kuala Lumpur demi menunaikan janjinya yang lama. Tambahan pula, sambutan harijadi Yusuf dua minggu hadapan tidak dapat dihadirinya. Sebagai ganti, Musliha merasakan dirinya harus menurut kehendak Yusuf.
Alasan apakah yang sesuai diberikan kepada rakan-rakan kuliahnya mengenai ketidakhadirannya ke sambutan harijadi Syafik? Alasan kerjakah, atau alasan tidak dapat keizinan ibu? Musliha merasakan perihal keizinan ibunya lebih relevan untuk diberikan. Dengan alasan ini, pasti Syafik akan terfikir akan ketidaksukaan Puan Husna terhadapnya. Nah, rasakan! Sedikit sebanyak, Musliha teruja untuk keluar bersama Yusuf. Dia rindu akan masa-masa yang dikongsi bersama Yusuf. Yusuf Hazim. Seorang lelaki yang tidak pernah jemu untuk menceriakan hari-hari Musliha. Hidupnya tanpa Yusuf sukar untuk dibayang.
Deringan SMS di telefonnya menghentikan lamunan Musliha.

Salam, Mus. Rina ade bgthu Mak Su, Mus nak cuti Ahad ni. Btul ke?

Soalan Puan Haiza seolah-olah tidak begitu senang dengan permintaan Musliha. Sebenarnya, jika tidak dibenarkan bercuti pada Ahad ini pun, Musliha tidaklah terasa ralat, kerana Yusuf sudahpun bercadang untuk mengambilnya di Hotel Seri Kayangan sebelum ke destinasi sebenar mereka.

Ya, Mak Su. Tak bleh ke? Klau tak bleh,takpe,Mus bleh kerja.

Selang beberapa minit kemudian, Musliha tersenyum membaca jawapan SMS daripada Mak Su nya kerana permohonan cutinya diluluskan. Dengan ini, bolehlah dia meluangkan masa bersama adik-adik dan ibunya yang sangat dirindui. Lantas, jemarinya ligat menekan punat-punat telefon bimbitnya.

Yusuf,hari Ahad ni,awk tak usah jemput kite di Hotel ya. Kite ambil cuti.

Selang beberapa minit, SMS nya dibalas.

Amboi,excitednya awk, sampai ambil cuti bagai. Kalau mcm tu,bleh la kite hangout dulu. Kite mungkin akn sampai sana pagi.

            Hai...ke situ pula difikirnya. Detik hati Musliha. Jika diminta izin ibunya untuk keluar bersama Yusuf, pasti saja keizinan itu diberi. Namun, hatinya cukup teruja untuk memanfaatkan masa itu bersama dengan keluarganya. Kebetulan, Musfira juga bercadang untuk membawa adik-adik serta ibu mereka bersiar-siar ke sekitar Kuala Lumpur.

Tapi kite ambil cuti untuk family. Kak Fira nak bawa kami ke KL. Lagipun,awk kenalah rehat dulu. Nanti mesti penat. Tak gitu?

Deringan SMS yang diharapkan tidak kedengaran malah deringan panggilan pula yang tiba. Pantas sahaja Musliha menyambut panggilan tanpa menghiraukan siapa pemanggil itu kerana dia pasti pemanggil itu pastinya Yusuf.
“Tak payah la sampai call. Reply je lah SMS tu,”
“Macam mana nak reply kalau tak dapat satu SMS pun dari sana?” suara itu pastinya suara Yusuf. Musliha yakin.
“Laa, awak tak dapat ke SMS kite tadi? Agaknya awak tak sempat baca, terus call kot,”
“Haha..Mus..Mus..sejak bila pula Mus bahasakan diri Mus ‘kite’ dengan Fik?”
Barulah Musliha sedar, dia sudah tersilap. Musliha memeriksa skrin telefon bimbitnya. Alamak! Syafik lah, bukan Yusuf, wahai Musliha. Bentak hatinya kepada diri sendiri.
“Eh, sorry Fik, Mus ingat kawan Mus tadi,” Musliha menggigit bibirnya dan matanya pula dipejam. Malu.
“Hmm..Fik ganggu ke? Mus SMS dengan siapa?”
“Tak..tak..Fik tak ganggu. Dengan Fiza tadi,” entah mengapa hati lelaki itu mahu dijaganya. Dia tidak mahu nama Yusuf disebut dalam bicaranya bersama Syafik kerana dia masak dengan perangai Syafik yang panas baran itu. Telinga Syafik pasti panas tatkala mendengarkan nama Yusuf. Sekaligus, Musliha tidak mahu nama Yusuf menjadi herdikan Syafik lagi.
“Oh, Fiza. Di mana Fiza sekarang ya?”
“Australia. To be specific, Adelaide. Dia ambil bisnes,”
“Wow! I’m proud of her. Macam mana Mus boleh berbalas SMS dengan dia, kalau dia kini di Australia?” Syafik mula terkesan sesuatu yang tidak kena dengan pertuturan Musliha yang sedikit laju berbaur gelabah.
“Dia cuti sekarang, ada di Malaysia. So, alang-alang Fik call ni, Mus nak minta maaf kerana tak dapat hadiri majlis Fik hujung minggu ni. Mus ada planning dengan Fiza lah. Cutinya dah sampai penghujung. Minggu depan, dia bakal berangkat ke Australia. Maaf ya Fik,”
It’s okay. cuma Fik rasa kecewa sikit sebab buah hati Fik takda sama pada majlis tu,”
“Buah hati? Siapa?” Musliha bernada kecewa. Apakah maksud luahan hati lelaki itu tengahari tadi? Masakan hatinya boleh berubah secepat itu? Yang membezakan hanya siang dan malam. Siang tadi, sayangnya padaku. Bila tiba malam, sayangnya pada `buah hati’nya pula.
“Mus lah. Tadi kan Fik dah kata, Mus lah yang bertakhta di hati Fik,” Musliha termalu sendiri dengan canangnya tadi.
“Fik, janganlah terlalu berharap pada Mus. Mus belum ada jawapannya,”
“Mus tak yakin pada Fik?”
“Bukan macam tu, tapi Mus tak yakin pada diri sendiri,”
“Maksud Mus? Mus tak yakin tentang kasih Mus pada Fik,”
“Mus tak pasti kasih tu masih ada atau hanya kenangan bagi Mus,”
Syafik menghembus nafas lembut.
“Fik janji pada Mus, Fik akan kembalikan perasaan itu dalam hati Mus. Apa yang Fik minta dari Mus cuma peluang. Boleh ya, Mus?”
“Fik janganlah terlalu berharap pada peluang tu. Kita masih muda, masih banyak yang kita akan tempuh. Mus tak berani untuk beri apa-apa kata putus. Mus hampir menyesal mengenali Fik dalam hidup Mus. Mus benar-benar terluka dengan kata-kata Fik. Seburuk mana pun ayah Mus, Mus sayangkan dia, Fik. Even until now, I’m still searching him. Mus terfikir, apakah Fik nak berbaik dengan Mus kerana Mus tak lagi hidup bersama dengan ayah Mus? Adik Fik sendiri tak pernah hormati Mus sebagaimana Mus hormati dia. Lepas kita putus dulu, Diana selalu beri senyuman sinis pada Mus. Sakit hati Mus ketika itu, Fik. Satu hal lagi, katakan Mus beri Fik peluang kedua, apakah Fik boleh terima sahabat-sahabat Mus yang sangat Mus sayangi? Mungkin jawapannya ya bagi Fiza, tapi Yusuf? Mus percaya, Fik tak akan dapat terima kenyataan bahawa Mus sangat akrab dengan Yusuf. Sebagaimana akrabnya Mus dengan Fiza. Fik fikirlah dulu, jangan main terjah je. Mus tak nak peluang yang mungkin Mus beri nanti disia-siakan Fik. Cukuplah sekali, Mus terluka kerana Fik. Jangan diduakan luka itu,” panjang lebar luahan Musliha. Berbagai soalan diberikan. Syafik bungkam. Dia tidak menyangka, sehebat itu luka yang ditinggalkannya kepada Musliha. Maaf, Musliha.
“Fik minta maaf, jika itulah yang Mus rasakan selama ini. Fik sendiri tak tahu kenapa Fik tak dapat terima keakraban Mus dengan Yusuf. Sedangkan Daniel, Fik takda apa-apa perasaan buruk pada keakraban Mus dengan Daniel. Mungkin juga kerana Daniel lebih akrab dengan Umi. Mus, Fik ingin jelaskan satu perkara. Fik ingin berbaik dengan Mus bukan kerana ketiadaan ayah Mus dalam keluarga Mus kini. Fik ikhlas. Percayalah dengan keikhlasan Fik, Mus,” Musliha sebak tatkala mendengarkan nama-nama arwah sahabatnya disebut Syafik.
“Fik, satu perkara yang Fik harus tahu, Daniel dan Umi dah meninggal dunia. Janganlah disebut lagi nama mereka. Mus sentiasa inginkan ketenangan bagi mereka,”
“Innalillah. Maaf Mus, Fik tak tahu. Boleh Fik tahu, kenapa?”
“Terlalu panjang explanation untuk tu. Cukuplah Fik tahu sekadar ajal mereka sudah tiba,”
“Mus, Fik ada untuk Mus. Should you need my ears, feel free to tell me. I will always be beside you,” nada Syafik lembut, memujuk. Musliha senang mendengarnya namun, luahannya sentiasa pada Yusuf kerana Yusuf lebih sabar mendengar berbanding Syafik. Tidak dinafikan, Syafik memanglah seorang yang penyayang. Mana-mana gadis yang mendapat tempat di hati Syafik pasti merasakan dirinya bertuah sepertimana yang dirasakan Musliha sebelum ini.
“Baiklah, Fik, Mus nak sudahkan tutorial. Thanks for calling, bye” talian terus dimatikan sebelum sempat mendengarkan ucapan selamat tinggal daripada Fik kerana dadanya sudah cukup sebak dan tangisnya tidak dapat ditahan lagi. Musliha tidak mahu Syafik terdengar akan tangisnya. Biarlah Yusuf kekal menjadi satu-satunya insan yang pernah mendengar tangisnya.
Titisan airmatanya tercurah lagi. Rindunya pada arwah pasangan pengantin kecil itu muncul kembali. Sebak di dada seakan menyakitkan dadanya. Nafasnya turun naik bagi mengawal esakan. Musliha meraut mukanya beberapa kali. Dibukanya lagi email yang pernah diberikan Fiza sebelum mendaftarkan diri ke universiti dulu. Lagu Kau Sahabat Kau Teman nyanyian Hijjaz berkumandang di corong komputer ribanya. Maaf, Daniel, Umi, sekali lagi aku meratap pemergianmu. Rindu di kalbu kian memuncak tatkala mengingatkan ketiadaanmu di sisi.
SMS yang masih tidak terbaca dibiarkan sahaja. Deringan panggilan sekali lagi diterima. Yusuf. Nama itu terpapar di skrin. Lalu ditelekupnya telefon bimbit itu ke telinganya.
“Yusuf!” Musliha melepaskan esakan dalam nama itu.
“Mus, kenapa ni? Ingat Daniel dan Umi lagi?” Musliha diam. Fahamlah Yusuf akan sebab tangisan Musliha itu. Yusuf memberi kata-kata pujukan dalam nada yang sungguh lembut. Yusuf sentiasa ada apabila kesedihan melanda Musliha. Yusuf seakan dapat merasakan bahawa Musliha dalam keadaaan tidak baik. Begitulah akrabnya hubungan mereka.
“Dah lah tu, awak kena pandai uruskan rasa sedih tu. Kalau kite takda, macam mana lah nanti?” Yusuf sempat mengusik Alia nya.
“Kenapa awak cakap macam tu? Awak pun nak tinggalkan kite?”
“Takda lah. Takkan mungkin kite tinggalkan Alia kite,”
“Mulalah tu!” Musliha menjerit kecil seakan anak kecil. Tawa Yusuf meledak mendengarkan kemanjaan Musliha. Musliha turut ketawa. Sepantas itu Yusuf bisa meredakan kesedihan yang menggamit sanubari Alia Musliha.
Yusuf atau Syafik. Masing-masing punya tempat sendiri di hati Musliha. Hidup Musliha tanpa kehadiran Syafik bermakna tiadalah keindahan cinta remaja dalam hidupnya. Sementara jika hidupnya tanpa kehadiran Yusuf, tiadalah keindahan persahabatan dalam hidupnya. Namun, harus diingat, antara cinta dan persahabatan, cinta itu lebih mudah musnah dibandingkan dengan persahabatan. Dalam cinta, hati lebih akrab pada nafsu. Hangatnya membawa bahagia namun musnahnya membawa duka. Dusta bisa hadir dalam cinta tetapi tidak dalam hubungan sahabat. Segalanya jujur dan jernih. Namun, apakah pula keindahan hidup jika tiada cinta yang lahir? Pulanglah kepadaNya, pasti ada cinta yang agung dalam setiap nafasmu.


          


No comments:

Post a Comment