Rossa - Takdir Cinta

Monday 13 June 2011

Bab 18


Nurul tertunggu-tunggu rakan baiknya. Kejadian pada malam itu seperti bermain di benak fikirannya. Jam menunjukkan pukul 9.50 pagi. Biasanya, Musliha sampai ke kuliah dua puluh minit sebelum bermulanya kelas, tetapi tidak pada hari ini. Tinggal sepuluh minit sahaja lagi, kelas bakal bermula. Hatinya mula runsing memandangkan telefon bimbit Musliha tidak dapat dihubungi.
“Nurul, kenapa tak masuk lagi?”
“Aku risau lah Syafik.”
“Risau kenapa? Assignment tak siap?”
“Bukan. Aku risaukan Mus. Tak sampai-sampai lagi, telefon tak dapat,”
“Takpa, kau masuk dulu, biar aku yang tunggu,”
“Boleh percaya ke kau ni? Tak pasal-pasal kau marah dia pulak. Baran kau tu bukan calang-calang,” sambil mata Nurul menjeling Syafik yang berdiri di sebelahnya.
“Isy tak adalah sampai nak marah. Aku pun risau juga,”
“Hah! Tu pun dia,” jari Nurul dituding ke arah gadis yang sedang terkocoh-kocoh menaiki tangga.
“Mus, kenapa lambat?” Syafik bertanya sebaik Musliha menapak ke anak tangga yang terakhir.
Handphone Mus kena curi,” suara Musliha sedikit merengek.
“Takpa, kita masuk kelas dulu,” Nurul menarik tangan Musliha ke dalam kelas.
“Kenapa korang keluar ni?” Musliha bertanya kepada Ain dan beberapa rakannya yang sedang keluar dari bilik kuliah.
“Kelas batal. Prof Aisyah bagi SMS kat saya,” jawab Ain.
Yes! Saya cukup bahagia kalau kelas batal tau. Jom Mus, kita pergi makan dulu. Saya ada hal penting nak borak dengan awak ni,”
Sorry Nurul, saya tak boleh teman awak makan lah. Saya nak ke Mines.”
“Dengan Yusuf?” Syafik mencelah.
“Takpa lah,kita borak lain kali je,bye Mus” Nurul cepat-cepat meminta diri sebelum mendengar apa-apa perbalahan yang mungkin terjadi. Nurul menuruni anak tangga meninggalkan Syafik dan Musliha berdua. Musliha langsung membuka langkahnya untuk menuruni anak tangga.
“Nanti.” Syafik mencapai pergelangan tangan Musliha. Musliha hanya membiarkan sahaja. “Kenapa hari biasa macam ni pun nak keluar dengan dia? Tak cukup lagi keluar bersama malam tu?”
“Fik, Mus bukan nak pergi dengan sesiapa pun. Lagipun, macam mana Mus nak keluar dengan Yusuf pulak sedangkan dia di Johor, Mus di sini,” pandangan Musliha redup.
“Bukan dengan sesiapa? Maksud Mus nak keluar seorang diri?”
“Ya. Mus ada hal penting yang nak diuruskan. Mus dah lambat ni, pergi dulu ya,” tangan Syafik direnggangkan dari pergelangan tangannya. Namun gagal. Pegangan Syafik makin kemas.
“Hal penting? Kenapa?”
“Kan Mus dah cakap tadi, handphone Mus kena curi. So, Mus nak pergi deactivate nombor Mus di Celcom Cube.”
“Oh, habis tu, nak pergi dengan apa?”
“Dengan apa lagi, bas lah. Fik, Mus nak pergi ni. Boleh Fik lepaskan tangan Mus?”
No. Fik tak akan lepas unless Mus pergi sana dengan Fik,”
“Tak payah susah-susah. Mus dah biasa pergi ke sana dengan public transport.”
“Mus, please. Let me bring you there,” suara Syafik kali ini lebih lembut, pandangannya juga seiring dengan nada suaranya. Itulah saat yang dirindukan Musliha.
“Okay,” Musliha mengikut langkah Syafik.
Musliha terpujuk dengan cara Syafik. Sedikit sebanyak, hatinya mula berbunga. Sekurang-kurangnya Musliha tahu amarah Syafik sudah reda.
“Kenapa Mus diam je?” Syafik cuba memecah kesunyian.
“Takut,” jawapan Musliha membuatkan tawa Syafik sedikit kedengaran.
“Takut? Kenapa? Fik bukannya makan orang pun. Mus ingat Fik nak culik Mus ya?”
“Mus takut Fik masih marah Mus lagi,”
“Maksud Mus?”
“Ya lah. Sejak malam tu, Mus tahu Fik dah benci pada Mus kan? Sebab dah tipu Fik,”
“Fik tak marah tapi Fik kecewa dengan cara Mus. Apa pun, Fik nak tahu, kenapa Mus sanggup tipu Fik? Sedangkan Fik rasa sepanjang perkenalan kita, Mus tak pernah tipu Fik pun,” Syafik bernada biasa sahaja. Tiada sedikitpun nada marah dalam bicaranya. Lama Musliha mendiam sebelum menjawab soalan Syafik.
“Sebab Mus tahu, Fik akan lebih kecewa kalau Mus beritahu Fik yang Mus dah janji dengan Yusuf. Mus dah kenal Fik. Fik memang cepat marah kalau dengar nama Yusuf kan?” akhirnya perkara sebenar dapat dijelaskan juga. Kau betul, Yusuf! Detik hati Syafik.
“Maknanya, Mus nak jaga hati Fik lah kan?” Syafik cuba memerangkap perasaan Musliha terhadapnya. Muka Musliha merah padam.
“Fik kawan Mus, Yusuf sahabat Mus. Hati kedua-duanya Mus nak kena jaga,”
“Kawan?” Syafik cuba memasang perangkap lagi. Musliha sekadar menoleh dengan pandangan kosong. Dia tidak mengerti apa yang bermain di fikiran Syafik kini. Masih hinakah aku di pandangan matanya sehinggakan tidak mahu diangkat sebagai kawannya pun? Hati Musliha tertanya-tanya. Parut luka di hatinya yang ditinggalkan Syafik dulu terasa basah kembali.
“Walaupun Fik tak anggap Mus sebagai kawan Fik dan mungkin Mus terlalu hina untuk Fik, tapi Mus masih menganggap Fik sebagai kawan Mus.” Muka Musliha kini masam mencuka. Sebaik kereta diparkir, dia langsung membuka pintu kereta untuk keluar.
“Mus, Fik tak..” Syafik mencapai tangan Musliha untuk menerangkan maksudnya yang sebenar namun, Musliha menarik tangannya, kasar sehingga menyebabkan Syafik tidak dapat meneruskan ayatnya. Lantas Syafik keluar dari isi perut kereta, mengikut jejak Musliha yang sudah meninggalkannya beberapa langkah. Langkah Musliha dikejar.
“Mus, dengarlah dulu,”
“Nak dengar apa lagi? Kalau dulu Fik panggil Mus ni dengan panggilan `anak dadah’, sekarang apa pulak? Anak takda bapa? Macam tu?” suaranya diperlahankan kerana laluan belakang bangunan yang melalui tasik buatan Mines Wonderland itu boleh menggemakan suara pejalan kaki yang lalu lalang di situ.
“Hey..apa ni Mus? Janganlah fikir yang bukan-bukan. Mus, nanti dulu. Dengar dulu,” jari-jemari runcing Musliha dicapai dan dipegang kemas. Kali ini, Musliha hanya membiarkan saja. Dia bersedia untuk mendengar penjelasan Syafik. Syafik terdiam lama. Dia tidak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk mengatur ayatnya. Dia tidak mahu melukai hati Musliha lagi.
“Cakap jela, kalau tak cakap macam mana Mus nak dengar?” Syafik tersenyum mendengarkan tutur Musliha yang masih dalam rajuk. Syafik merindukan saat-saat yang pernah dilalui bersama Musliha dulu. Dia sudah masak dengan rajuk Musliha yang tidak mungkin bertahan lama itu.
“Fik bukan tak suka kalau Mus anggap Fik sebagai kawan Mus, tapi Fik rasa janggal bila Mus kata kita sekadar kawan. Sedangkan di hati Fik, Mus lebih dari tu,” langkah Musliha makin kecil tatkala mendengarkan pujukan Syafik. “Mus, sebenarnya malam tu, Fik langsung tak marahkan Mus. Kalau ada pun perasaan marah tu, ianya bukan untuk Mus,”
“Jadi, Fik marah Yusuf?” Musliha menoleh ke arah Syafik.
“Mungkin,”
“Tapi kenapa, Fik? Dia tak salah. Dia tak tahu pun yang Mus tipu Fik,”
“Dah, tak perlulah kita bincang tentang tu lagi. Fik dah lupakan pun. Sekarang ni, Fik nak tanya Mus, betul ke Mus hanya anggap Fik sebagai kawan Mus?” Musliha sekadar mengangguk. “Betul ni?”
“Betul lah,”
“Tak lebih dari tu?”
“Belum.”
“Belum? Maksudnya akan?”
“Mungkin, kalau Fik bagi peluang pada Mus untuk mengenali Fik yang sekarang,”
“Okay sayang, Mus kenalilah Fik sepuas-puasnya. Fik akan tunggu sampai bila pun. Asalkan, Mus buka jalan untuk Fik,” senyuman Syafik kini melebar.
“Satu lagi, jangan panggil Mus dengan perkataan `sayang’,”
“Kenapa? Malu?”
“Buat apa nak malu? Ni Mus lah. Tak mainlah malu-malu. Mus tak selesalah Fik. Kita kan, kawan?”
“Fik janji, Fik akan buat Mus rasa selesa dengan panggilan tu,” Syafik mengenyitkan matanya.
“Eey! Gatal!” berderai ketawa Syafik melihatkan respon Musliha. Bahagia datang singgah di hatinya lagi. Alia Musliha yang dicintainya kini kembali menceriakan hatinya. Dia pasti, suatu hari nanti, hati Musliha pasti dapat ditakluki sekali lagi dan bila tibanya saat itu, tak mungkin baginya untuk melepaskan Musliha lagi. Terima kasih, Yusuf.



Yusuf ligat menekan punat-punat telefon bimbitnya. Skrin komputer ribanya juga ditilik berkali-kali. Dia sungguh bimbang akan Musliha. Manakan tidak. Seharian suntuk Musliha tidak dapat dihubungi. Berbagai kemungkinan menjalar dalam benak fikirannya. Biasanya, mereka pasti berhubung antara satu sama lain pada hari Selasa. Terutamanya pada waktu petang kerana jadual mereka kosong pada waktu tersebut.
Apa mungkin Musliha sedang menghabiskan masa bersama Syafik? Ya, aku sedar aku bukan sesiapa buatmu. Tambahan pula Syafik ada di sana menemanimu. Tentu sahaja masamu lebih banyak diluangkan bersama Syafik. Perlukah bagiku untuk meluahkan perasaanku? Ya tuhan, berilah aku jawapan. Mengapa Kau beri perasaan ini padaku jika aku tidak layak baginya? Mengapa perasaan ini menyakitkan hatiku?
“Yusuf, jauh termenung?” lamunan Yusuf terhenti. Yusuf hanya tersenyum tanpa mengeluarkan suara. “Awak teringatkan dia ke?”
“Bukan teringat, saya cuma risau. Hari ni, dah berkali-kali saya call dia, tak dapat-dapat. Awak buat apa kat sini?”
“Saya nak ambil angin je. Tak sangka pula awak pun ada kat sini.”
“Saya memang selalu ada kat sini petang Selasa. Ya lah, kelas kan tak ada.” Yusuf melemparkan pandangannya ke tasik yang terhampar di depan matanya.
“Kalau saya duduk ni, ada orang marah tak?”
“Duduk jela. Kalau ada yang marah pun, mungkin orang yang berkenan kat awak lah kot?”
“Isy, orang macam saya mana ada orang berkenan,” Sofea sudah pun melabuhkan punggungnya ke atas bangku yang sama dengan Yusuf.
“Orang yang tak berkenan ke, atau awak yang tak berkenan?” Yusuf bertanya sambil tangannya masih ligat menekan-nekan telefon bimbitnya. Komputer ribanya ditutup bagi menyembunyikan gambar yang terpampang di skrin daripada Sofea.
“Orang yang tak suka saya, Yusuf,”
“Macam dalam je maknanya tu. Kenapa? Ada orang tolak cinta awak ke? Beritahu saya, siapa orang tu? Biar saya ajar sikit,” Yusuf cuba berseloroh dengan Sofea.
“Awak lah,” suara Sofea perlahan.
“Apa?”
“Ada lah. Mana boleh beritahu,”
“Oh, nak berahsia dengan saya ya?” Sofea hanya tersenyum.
“Awak sayang Musliha?”
“Dia sahabat saya yang terbaik, mestilah saya sayang dia,”
“Tapi saya rasa, awak sayang dia lebih dari tu kan? Saya dapat baca mata awak. Kalau saya cakap tentang dia, mata awak bersinar. Itulah tandanya orang yang sedang dilamun cinta,” Yusuf bungkam. “Yusuf, perasaan tu jangan disimpan lama. Awak bayangkan, durian yang sedap tu, kalau disimpan lama, boleh jadi busuk tau,”
“Tapi masih boleh dimakan kan? Bila dia jadi tempoyak,”
“Tak semua orang makan tempoyak, sesetengah je. Macam saya, saya tak makan tempoyak. Kalau durian, kebanyakan orang tempatan boleh makan tau. So, awak tak nak mengaku lagi yang awak tu dah jatuh cinta pada Musliha?”
“Okay, saya mengaku. Memang saya cintakan Musliha tapi saya dah terlambat. Nasi dah jadi bubur, durian dah jadi tempoyak. Musliha ada orang lain. Cinta pertama dia. Sampai sekarang, saya tak pernah beritahu dia yang saya cintakan dia. Awaklah orang pertama yang tahu tentang perasaan saya pada dia. Saya mengaku, saya memang terluka bila saya tahu, dia dah berbaik dengan Syafik. Sangat terluka. Saya tak pernah rasa sakit macam tu tapi tak apa, saya tumpang bahagia bila tengok dia pun bahagia dengan Syafik. Saya yakin, Syafik boleh jaga hati dia lebih baik dari apa yang saya boleh buat.” Sofea setia mendengar luahan Yusuf. Itu juga lah yang aku rasa kini, Yusuf. Aku mencintaimu sejak pertama kali kita bertemu di Kolej Matrikulasi. Namun, di matamu hanya ada Musliha hingga kini.
“Sabar ya, Yusuf. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Jodoh dan pertemuan ada di tanganNya. Kita sebagai hamba, hanya boleh berdoa supaya mungkin jodoh yang ada di tanganNya itu, adalah milik kita. Saya faham, saya pun pernah rasa sakit tu. betul, memang sakit. Saya tak nafikan tapi kalau awak bersabar, insyaallah, rasa pedih tu akan hilang sedikit demi sedikit. Percayalah,”
Thanks Fea, sebab sudi pinjamkan telinga awak untuk saya.” Sofea memberikan senyuman manis kepada Yusuf. Sesungguhnya Sofea amat menyayangi Yusuf. Bukanlah kerana rupa dan penampilannya, namun sikap yang diperoleh Yusuf cukup memikat hatinya. Barangkali, Musliha juga seorang yang baik. Kalau tidak, masakan lelaki sebaik Yusuf bisa terpikat dengan Musliha. Mengapa takdir menemukan aku dengan Yusuf jika hatinya bukan untukku? 

No comments:

Post a Comment