Rossa - Takdir Cinta

Wednesday 15 June 2011

Bab 20


 Sampai di bilik, Musliha mencapai komputer ribanya dan menghubungi Yusuf melalui Skype. Dia tahu, Yusuf sedang berlapang pada waktu ini kerana memang sudah menjadi kebiasaan, jarang kelas-kelas kuliah diadakan pada petang Jumaat begini.
“Helo,” suatu suara yang tidak dikenali menjawab panggilan Musliha. Musliha terdiam. Dia teragak-agak untuk meneruskan perbualan lantas panggilan itu dimatikan. Selang beberapa minit, ada mesej yang sampai kepada Musliha.

-          Kenapa awak letak?

Dahi Musliha sedikit berkerut sambil hatinya tertanya-tanya akan gerangan si penyahut panggilan itu tadi. Mustahil jika suara itu dikatakan suara Yusuf kerana suara itu lebih garau.

-          Mus..awak ok? Ada something yang kite buat kat awak ke sampai awak tak nak cakap dengan kite macam ni sekali?

Benarlah orang itu Yusuf jika dilihat dari segi bahasa yang digunakannya. Namun, Musliha masih musykil.

-          Mus, kite minta maaf kalau kite ada buat silap apa-apa pada awak. Tapi sekurang-kurangnya, bagitau lah kite, apa salah yang kite dah buat tu.

Tanpa berlengah lagi, jari-jemari Musliha mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer ribanya.

+     Tak, Yusuf. Awak tak buat apa-apa silap pun. Cuma kite terkejut, suara awak lain sangat. Kite ingat, roommate awak ke, kawan awak ke.
-          Oh, kite ingat kenapa tadi. Cuak sekejap.
+     Itu pun nak cuak, tak macho lah. Anyway, kenapa suara awak lain sangat?
-          Tak ada lah. Awak punya telinga tu yang something wrong somewhere kot.

Musliha tergelak kecil membaca senda gurau Yusuf. Ya, Yusuf memang bijak menceriakan Musliha.

+    Eh, suka2 hati je kata macam tu ek. Betul lah Yusuf, suara awak lain. Kite takut tau tadi.
-          Kenapa takut?
+      Ya lah. Mana lah tahu kalau ada orang culik awak kat sana ke.
-          Eleh, risau lah tu kononnya?
+      Apa pulak konon? Memang betullah kite risau.
-          Sayang jugak awak kat kite ek.

Pipi Musliha terasa panas diusik begitu.

+      Ada2 je awak ni. Awak tak sihat eh?

Untuk menghilangkan rasa malu, Musliha cuba menelah.

-          Sikit je. Bukan apa sangat pun.
+      Sikit macam mana? Demam?
-          Demam biasa je. Tak lah teruk mana.
+      Patutlah suara awak lain benar. Kenapa tak cakap kat kite?
-          Nak cakap macam mana, baru je jawab call tadi, terus dimatikan.

Sekali lagi Musliha tertawa sendiri.

+      Maksud kite, kenapa tak beritahu semalam ke, pagi tadi ke.
-          Kite dah besar lah Mus. Lelaki pulak tu. takkan lah demam sikit pun nak mengadu kan?
+      Kite ingat awak ok je sebab e-mel kite awak jawab macam biasa. Yusuf, bila awak nak buat akaun Facebook? Susah lah pakai e-mel ni.
-          Malas lah Mus. Banyak benda pula nak kena jaga. Skype dengan Ym ni pun dah pening nak jaga. Inikan pulak kalau ditambah satu lagi. Oh ya! Selasa hari tu, kenapa awak macam nak cepat je masa call kite? Dah lah kite call banyak kali pun awak tak jawab. Kenapa?
+     Oh, kite lupa nak bagitau awak. Handphone kite kena curi. Masa kite call awak tu, kite dekat Mines, Serdang. Kite ke sana untuk deactivate nombor kite.
-          Tapi kenapa nombor yang awak guna untuk call kite tu private number?
+      Sebab public phone kot.
-          So, sekarang ni awak pakai handphone mana?
+      Kite pakai yang Syafik punya. Dia bagi pinjam dulu. Sebab dia ada satu lagi.

Yusuf bagaikan terasa ada halilintar yang datang memanahnya tatkala nama Syafik dibaca.

-          Oh..baguslah macam tu. Dia dah ok dengan awak?
+      Ok je. Dia tak marah pun.
-          Dia marah kite kan? Bukan awak.

Alamak! Apa aku nak jawab ni? Hati Musliha berbisik tanya.

+   Tak, dia tak marah sesiapa pun, dia cuma kecewa sebab kite bohong dia. Awak janganlah terasa pulak.
-          Kalau dia tak marah, tak apa lah. Mana ada terasa pun. I’m a man. Takkan lah pasal tu pun nak terasa kan?
+   Itu baru macho. Ok lah, Yusuf. Kite nak solat Asar. Awak jaga kesihatan elok2 ya. Makan ubat, jangan lupa!
-          Siap, bos!
+   Banyaklah awak punya siap. Kalau awak tak makan ubat, siap lah awak. Bye!
-          Bye!

Yusuf mampu tersenyum setelah selesai berhubung dengan Musliha. Terasa demamnya kini makin kebah. Hatinya kini makin siap untuk merelakan pemergian hati Musliha buat Syafik. Biarpun hatinya terseksa dengan perasaan yang diperam tetapi dia rela demi kebahagiaan gadis yang amat dicintainya. Pada Yusuf, Syafik lah yang bertanggungjawab atas penderitaan yang dirasakan Musliha suatu masa dulu namun kini, Syafik juga lah yang bertanggungjawab atas kesenangan Musliha.


Tugasan yang diberikan oleh Prof Aisyah memerlukan para pelajarnya untuk memerah otak semampu-mampunya. Kadangkala, Musliha terasa tertekan dengan kesukaran tugasan-tugasan itu. Tekanan yang dirasakan membuatkan dirinya merasakan bidang kejuruteraan itu tidak bersesuaian dengannya. Sememangnya, minat Musliha bidang perubatan. Namun, apakan daya, rezeki tidak menyebelahinya. Dia telah pun tersenarai sebagai pelajar Sains Fizikal ketika menyambung pengajiannya di Kolej Matrikulasi. Cabaran tetap disahut dan kini, dia bergelar mahasiswi bidang kejuruteraan sekaligus meletakkan dirinya di dalam bidang yang sama dengan Yusuf dan Syafik.
Apabila tekanan mula dirasai, Musliha teringatkan arwah Umi yang sering mengatakan bahawa `tekanan itu cabaran’. Tatkala itu lah air matanya mengalir lagi. Raut wajah Umi yang lembut itu terbayang di matanya. Dia sukar untuk melupakan Umi Rasyidah, pengantin perempuan yang sering diandamnya tika kecil dahulu. Kini, dia tiada lagi membawa seribu kenangan bersama. Jika dulu, mesej-mesej di dalam telefon bimbit yang diterima daripada Umi sering ditatapnya setiap kali rindu datang menjengah. Namun kini, segalanya tinggal memori. Tiada lagi kenangan untuk ditatap. Hanya surat peninggalan Umi sahaja yang tersimpan rapi.
Bunyi `bip’ di komputer ribanya mengusir wajah Umi dari bayangan. Jarinya pantas menyeka airmata yang membasahi pipinya. Yusuf. Nama itu sering hadir tika Musliha dalam kesedihan. Musliha tersenyum sendiri.
Bagaikan dapat membaca perasaan Musliha, Yusuf pasti menghubungi Musliha setiap kali hatinya mengatakan Musliha sedang memerlukan dirinya. Yusuf tidak pernah mungkin membiarkan Musliha berada dalam kesedihan. Mungkin keakrabannya yang membawa firasatnya pada Musliha. Nalurinya tepat, Musliha memang sedang dalam kesedihan. Namun, tiada tangisan yang didengarinya pada kali ini. Barangkali Musliha sudah pandai mengawal emosinya. Luahan rindu terhadap Umi sudah bertukar menjadi perbincangan tugasan pelajaran. Sekurang-kurangnya Yusuf berjaya menghilangkan kesedihan yang singgah di hati sahabatnya.
Tekanan yang dirasakan Musliha akan tugasannya semakin reda sebaik berbincang dengan Yusuf. Ya, Yusuf memang bijak. Mungkin juga berbekalkan minat di dada, Yusuf mampu menyelesaikan masalah yang diberikan Prof Aisyah kepada Musliha. Dengan itu, selesai lah sudah tugasan yang sukar itu. Kehadiran Yusuf dalam hidupnya sungguh bermakna. Tekanan yang menyeksa mindanya dan kesedihan yang bertapak di hatinya bisa reda dengan adanya Yusuf. Sukar bagi Musliha untuk membayangkan hidupnya tanpa Yusuf.
Rasa kasih yang diberikan pada Yusuf berlainan dengan rasa cinta yang ada untuk Syafik. Meskipun Syafik jarang di sampingnya tika Musliha memerlukan, namun Syafik setia bertakhta di hatinya kerana lelaki itu seakan ada auranya yang tersendiri buat Musliha. Kadangkala, Musliha sendiri tidak dapat menahan sikap panas baran Syafik tetapi dia tahu Syafik tidak mungkin menyinga jika dia berlaku jujur. Musliha juga tahu, Syafik seorang pencinta yang setia dan kerana itulah, Syafik seakan mengongkong Musliha daripada berkawan rapat dengan mana-mana lelaki pun. Sikap cemburu Syafik juga tidak tertahan oleh Musliha namun bak kata pepatah, cemburu itu tandanya sayang. Musliha terima Syafik seadanya. Kini, dia hanya terikat oleh janji-panji kepada sahabat-sahabatnya. Jika tidak kerana itu, sudah pasti Musliha kembali ke pangkuan seorang lelaki yang bernama Ahmad Syafik. Lelaki yang dicintai Musliha dan mencintai Musliha.


Hati Musliha dipagut hiba saat dia sedar akan tujuan perjalanan jauh mereka sekeluarga pada pagi ini. Berita buruk yang diterima awal Subuh tadi membawa mereka ke kampung tanpa lengah lagi. Jauh di sudut hati, Musliha tidak bersedia untuk kehilangan Pak Lang. Mengikut kata doktor, kondisi bapa saudaranya kini di tahap kritikal dan beliau sudah pun dimasukkan ke Unit Jagaan Jantung (CCU). Pernafasannya juga disokong oleh alat bantuan pernafasan bagi mengekalkan bacaan nadi.
Esak tangis Mak Lang nya yang didengari melalui talian awal pagi tadi menembahkan lagi kerisauan Musliha sekeluarga. Jika diikutkan pengalaman Musfira dalam pemanduan, mereka tidak bersedia untuk berada dalam perjalanan jauh ke Pahang. Namun, tindakan Dr. Azmi yang telah mengambil cuti kecemasan pada hari ini mengizinkan mereka untuk pulang bersama-sama. Sesekali kereta yang dipandu Dr. Azmi hilang dari pandangan mereka tetapi perjalanan tetap diteruskan mengikut panduan penunjuk arah yang ada di sekitar tepi lebuhraya.
Sebenarnya kepulangan mereka ke kampung adalah perkara yang sudah dirancang dua minggu lalu. Rasa syukur tetap dipanjat ke hadrat Illahi kerana sekurang-kurangnya Allah mengizinkan kepulangan itu mengikut rancangan mereka. Namun, tidak semuanya yang dirancang akan berjalan seperti yang dikehendaki manusia. Dia yang Maha Mengetahui tentunya lebih arif dalam menentukan segalanya.
Entah mengapa kekecewaan datang menimpa Yusuf. Dia kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan Musliha pagi ini. Ketika Yusuf pergi ke Hotel Seri Kayangan, Syila memberitahunya tentang kepulangan Musliha ke kampung atas sebab keadaan bapa saudaranya yang makin kritikal. Walaupun alasan itu tersangat kukuh, dia tetap kecewa kerana sejak semalam, dia terlalu ingin berjumpa dengan Musliha. Mungkin kerana dia terasa beban selama menyimpan Memori Syafik. Bukan sahaja Memori Syafik yang ingin dikembalikan bahkan diari Cinta Alia, iaitu diarinya sendiri turut ingin dihadiahkan kepada Musliha. Mungkin itu sahaja satu-satunya cara baginya untuk meluahkan perasaan cinta yang mendalam kepada Musliha.
Apakah niatku tidak suci? Mungkinkah itu hikmah di sebalik ketentuanMu, Ya Allah? Batinnya berbisik. Ucapan harijadi daripada Musliha pagi tadi cukup bermakna buatnya. Walaupun ucapan itu pada kali ini bukanlah bersama dengan sekotak hadiah, tetapi harinya terasa indah. Keindahan hari itu menjadi keruh sebaik menyedari bahawa tiada sedikitpun peluang untuknya meluahkan rasa cinta buat Alia Musliha. Hanya Syafik yang diberikan peluang. Ya, hanya Syafik. Sedarlah Yusuf! Kau hanya sahabat buat Musliha! Hatinya menjerit.


Majlis harijadi Yusuf pada malam ini tampak gah dengan hiasan-hiasan eksklusif yang disusun sendiri oleh Datin Fadzila. Hati ibunya inginkan yang terbaik buat Yusuf. Namun, Yusuf tetap sugul. Baginya, majlis itu tiada seri kerana tiada satu pun sahabat terbaiknya menghadirkan diri pada majlis itu. Bucu bintang yang dicipta bersama dengan empat sahabatnya dahulu musnah. Rasa kehilangan datang menjenguk di hatinya.
 Tiada lagi Daniel yang sering di sisinya setiap kali meniupkan lilin di atas kek harijadinya. Tiada lagi Umi yang sentiasa memberikan keazaman yang tinggi buat Yusuf dalam setiap kad harijadi pemberiannya. Hafizah juga jauh di perantauan. Tiada lah senda gurau dan usikan yang selalu menceriakan lagi suasana. Pertelingkahan lidah antara Yusuf dan Hafizah sentiasa merancakkan gelak tawa di segenap majlis. Walaupun Musliha hanya pernah bersama Yusuf di majlis harijadi sebanyak tiga kali, iaitu sejak pemergian Daniel, namun sekurang-kurangnya tempat Daniel digantikan oleh Musliha.
Pada malam ini, Yusuf sendiri. Hanya bertemankan ibubapa dan saudara-mara terdekat sahaja. Selainnya adalah rakan-rakan bisnes Datuk Yunus, dan pekerja-pekerja kedua ibubapanya. Kalau diikutkan rasa, Yusuf tidak mahu meneruskan majlis tersebut. Namun, apakan daya kerana kepulangannya disambut oleh hiasan-hiasan yang sudah hampir siap di perkarangan Vila Nuzila. Tidak terdaya baginya untuk membatalkan sambutan itu melihatkan wajah Datin Fadzila yang berseri-seri menyambut kepulangan Yusuf.
Yusuf kaget saat terpandang seorang gadis yang sedang menghulurkan sebuah kotak besar kepadanya dengan segaris senyuman di bibir. Lantas pandangannya merayap ke sekitar perkarangan majlis. Tak mungkin! Tak mungkin bagi aku untuk menerima tetamu sepertinya. Tetamu yang telah merentap hati dan perasaanku terhadap satu-satunya gadis yang aku cintai. Jerit batinnya.
“Hazim,” suara Diana membawa Yusuf kembali ke alam nyata. Lamunannya sudah jauh meninggalkan Diana yang terpinga-pinga di hadapannya.
“Hai, datang dengan siapa?” Yusuf bertanya dengan harapan nama lelaki itu tidak disebut.
“Dengan parents je,” Diana menjawab dalam nada yang pernah didengarinya dulu. Nada manja. Jika tidak kerana Diana yang sedang berhadapan dengannya, sudah lama dadanya diurut seraya mendengarkan jawapan Diana. “Nah, this is for you. Happy last teen birthday,” Diana menghulurkan kotak hadiah yang dibalut kemas itu kepada Yusuf.
Thanks,” Yusuf mengambil kotak hadiah itu sambil bibirnya mengukir senyuman nipis.
“Teman saya makan?” ajak Diana, penuh manja. Yusuf sudah masak dengan perangai kebanyakan perempuan yang cuba mendekatinya dengan cara begitu.
Sorry, I’ve got something to do there,” Yusuf menjawab dengan penuh sikap kelelakian sambil jarinya dituding ke arah bapanya yang tidak menang tangan melayan para tetamu. Diana yang memahami maksud Yusuf mengangguk perlahan dengan raut wajah yang sedikit kecewa. “Anyway, again, thanks a lot ya,” Yusuf menyambung bicaranya sambil kotak yang diterimanya tadi diangkatkan sedikit. Melihatkan gaya Diana yang mula menyusun gerak manjanya, Yusuf pantas meletakkan kotak itu ke atas meja yang tersedia di sebelahnya dan langsung beredar. Yusuf rimas melihat gerak liuk Diana.
Para tetamu yang mula bertandang dilayan dengan baik oleh Yusuf. Sedikit sebanyak, kesunyiannya dapat diredakan. Secara tidak langsung, ajakan Diana juga dapat ditepis memandangkan dirinya yang sibuk melayani tetamu. Acara meniup lilin tidak dilakukan pada malam ini atas permintaannya sendiri. Kedewasaan adalah alasan yang diberikan kepada ibunya namun sebab sebenar ialah kesunyian dan kehilangan yang dirasakan kerana ketiadaan sahabat karib. Walau hatinya kelam, dia tidak mahu ibunya turut merasakan kegelapan dan kesunyian itu. Biarlah dia seorang diri yang merana dalam kegelapan asalkan dapat melihat ibunya riang dalam sinaran.


Selesai majlis sambutan harijadi Yusuf, Datuk Yunus dan Datin Fadzila kelihatan sungguh penat tetapi senyuman masih tersisa di bibir masing-masing kerana dapat menyambut hari keputeraan anak teruna mereka.
“Hazim, daddy harap, Zim happy dengan majlis tadi,” ucap Datuk Yunus sebaik seluruh badannya dihenyakkan ke atas sofa mewah di ruang tamu. Yusuf yang masih tercegat di hadapan Datuk Yunus hanya memberikan senyuman.
“Zim happy, dad. Thanks, mom. That was really awesome. Really appreciate it.” Datin Fadzila hanya tersenyum mendengarkan kata-kata anaknya. “Zim naik dulu, ya,” ujar Yusuf kepada kedua-dua ibubapanya lantas langkahnya disusun ke arah anak tangga di ruangan tengah.
Kepenatan adalah perkara biasa setiap kali sesebuah majlis selesai dijalankan. Namun, kepenatan yang dirasakan Yusuf pada hari ini bukanlah kepenatan biasa. Barangkali dia penat berpura-pura gembira sepanjang majlis tadi. Sepanjang malam juga lah kesunyian,keperitan dan kegelapan yang menjalar dalam dirinya disembunyikan. Yusuf bersyukur kerana sekurang-kurangnya segala rasa itu dapat diselindungkan daripada pemerhatian ibubapanya.
Yusuf duduk di birai katil sambil nafasnya ditarik sedalam mungkin. Dadanya terasa sesak dengan segala rasa yang kian menekan jiwanya. Dia bingkas bangun lalu air wudhuk diambil bagi menunaikan solat sunat. Dia tahu, hanya Allah yang boleh membantunya untuk meredakan segala keluh kesahnya. Selesai menunaikan solat, Yusuf berteleku di atas sejadah. Buat kesekian kalinya, air mata lelaki itu tumpah lagi. Hanya Dia tempat untuk Yusuf mengadu. Tiadalah tempat mengadu yang lebih baik selain daripada Dia yang maha mendengar.
“Ya Allah, kau cucurilah rahmat ke atas roh sahabat-sahabatku Ahmad Daniel Zafran dan Umi Rasyidah. Tenangkanlah mereka di sana. Tempatkanlah mereka bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan mulia di sisiMu, Ya Allah. Kau lindungilah Nor Hafizah yang kini jauh di perantauan. Kau sampaikanlah rasa rindu ini padanya. Ya Allah Ya Rahim, Kau jagalah hati Alia Musliha. Janganlah Engkau benarkan sesiapa pun melukai hatinya. Sampaikanlah rasa cintaku ini padanya beserta kehendakMu. Tiadalah dayaku untuk melawan kehendakMu.
Segala kegembiraan, kebahagiaan dan keceriaan yang pernah aku kecapi bersama sahabatku adalah anugerahMu. Dan kini, di kala Engkau menguji aku dengan rasa kekosongan, Kau kuatkanlah semangatku. Jika ujian ini yang mendekatkan aku padaMu, aku redha. Kiranya inilah balasan ke atas dosa-dosaku yang lampau, aku terima seadanya, Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan dalam meniti hari tanpa kehadiran sahabat-sahabat yang aku sayangi di sisi. Aku redha akan pemergian kedua-duanya, dan aku bersyukur atas kesempatanku mengenali mereka. Amin ya rabbul alamin.” Yusuf memanjatkan doa ke hadrat Illahi bersama esakan. 
Airmatanya laju mengalir di pipi tatkala nama sahabat-sahabatnya disebut. wajah-wajah kesayangan itu seperti bermain di fikirannya. Dia tidak malu menitiskan airmata di hadapan Yang Maha Kuasa kerana airmata itu juga kurniaanNya. Tangannya diraupkan ke muka seusai doa dipanjat.





1 comment:

  1. cian Yusuf!! kalau Mus x nak, meh sini, aku nak! huahua~~~

    ReplyDelete