Rossa - Takdir Cinta

Wednesday 22 June 2011

Bab 25

Kain kafan yang membaluti Pak Lang ditatap. Kucupan terakhir yang diberikan di dahi masih terasa-rasa di bibir Musliha. Sekujur tubuh kaku di hadapannya sedang menanti untuk ke alam barzakh. Ayat-ayat suci masih berkumandang dari suara-suara tetamu yang tidak henti-henti bersedekah. Sayu dan pilu bertakhta di rumah itu. Pak lang dikenali sebagai insan yang banyak berbakti atas dasar sikap pemurahnya kepada jiran sekampung. Kini tiada lagi. Yang tinggal cuma nama yang meniti di bibir setiap yang mengingatinya.
Senyum kasihnya masih terbayang. Lawak jenakanya masih terngiang. Namun kini segalanya hilang. Hati Musliha menangis tidak henti. Biarpun zahirnya tenang namun tiada siapa yang tahu apa yang dirasakan di hati. Musliha tidak mampu bersuara lagi. Fikirannya menerawang. Dia yang sering dikatakan hati kayu kini dirasakan seperti daun yang layu keguguran terbang mengikut arah bayu. Selama hidupnya, dia telah kehilangan empat orang yang sangat disayangi. Hati mana yang tidak lemah. Jiwa mana yang tidak robek. Dada mana yang tidak sebak.
“Musliha,” suatu suara yang tidak dikenali menyebut namanya perlahan. Sebaik menoleh, wajah itu ditatap sedalamnya. Dahinya berkerut cuba untuk mengingati pemilik wajah itu. Kakinya yang pada ketika itu sedang melangkah ke belakang rumah terhenti.
“Mus cam abang tak?” dahinya yang dikerut tadi menambah kedutannya apabila panggilan `abang’ didengari.
“Maaf, siapa ya?” suara yang terketar dikawalnya.
“Ni Abang Eid. Yang duduk kat sebelah tu.” Ibu jarinya menunjukkan ke arah rumah yang bersebelahan dengan rumah Pak Lang.
“Abang Eid? Maaf, Mus tak ingat,” jawabnya sopan.
“Mungkin Mus terlalu kecil masa tu. Mus selalu keluar bermain dengan abang masa kecil dulu. Masa tu abang darjah 5, Mus pulak, 3 tahun tak silap abang,” ujarnya penuh lembut. Sungguh Musliha tidak mengecam pemuda itu. Lelaki berbadan sasa, mata yang bulat dan hidung mancung. Segak! Namun tiada dalam ingatan Musliha.
“Mus sabar ya. Jangan sedih sangat. Redha lah,” kata-katanya seperti kata-kata seorang abang kepada adiknya.
“Mus okay,”
“Mus..walaupun abang tak kenal Mus lama sangat, tapi wajah yang sugul, mata yang asyik termenung, suara yang tak terkeluar adalah ciri-ciri orang yang sedang bersedih,” suaranya tenang dan perlahan sebagai tanda menghormati majlis.
Ya, selsema buat-buat. Hati Musliha bicara sendiri.
“Takkan lah nak suruh Mus ketawa pulak?” Musliha cuba mengalihkan perasaan sedih yang mula menerpa.
“Abang tak ada lah nak suruh Mus ketawa. Tapi, cubalah bercakap-cakap sikit dengan makcik-makcik yang lain tu. Kesian Mak Lang dengan Mak Chik yang dari tadi melayan tetamu,” mendengarkan nasihat Abang Eid, matanya dikerling ke arah Mak Lang dan Puan Husna yang sedang sibuk melayan tetamu di bahagian hadapan.
“Mus tak reti,” jawapannya ringkas. Langkahnya segera dituju ke destinasinya.
“Mus, nanti,” suara itu menghentikan langkah Musliha sekali lagi.
“Abang Eid, tolong jangan ganggu Mus. Mus perlukan masa untuk terima semua ni,” Musliha mula rimas dengan kehadiran Abang Eid.
“Okay..sorry. Abang cuma nak tanya, Kak Fira mana?” soalan sebenar yang terbuku terpacul jua.
“Laa..nak tanya pasal Kak Fira ke? Entahlah, dari tadi tak nampak dia. Rasanya tadi dia ada di dapur. Entah, cubalah cari,” Musliha terus melangkah tanpa mempedulikan Abang Eid lagi. Dia mahu bersendiri. Bukan untuk melayan perasaan tetapi untuk melepaskan tangisan. Gelora yang dirasakan di dada tidak dapat ditahan lagi.
“Kak Fira?” suaranya lembut menegur Musfira yang sedang duduk di buaian. Musfira masih terdiam. Pandangannya tertumpu ke arah satu sudut yang tidak pasti. Walau pandangannya seperti dalam tumpuan namun Musliha pasti fikiran kakaknya tidak tertumpu di situ.
“Kak Fira,” kali ini suaranya dikuatkan sedikit.
“Ya,” Musfira tersentak dari lamunannya. Airmata jernih yang menitis sempat diseka sebelum menoleh. “Ada apa Mus? Duduklah sini,”
“Kak Fira sedih ek?” Musliha cuba mengagak seraya duduk di sebelah Musfira.
“Mestilah sedih. Akak tak sekebal Mus,” Musfira menjawab sambil mukanya ditunduk.
“Mus tak sekebal yang akak fikirkan.”
“Sekurang-kurangnya Mus tak selemah akak,”
“Mus faham kak. Mus rasa kehilangan tu.” Bahu Musfira diusap lembut sambil tangannya terdepa.
“Dia abah kita, Mus,” airmata Musfira menitis lagi. Suaranya terketar dalam sebak.
“Mus faham. Kak Lina dengan Kak Ima pun sedih jugak. Kita kena bagi diorang semangat, bukan lemahkan semangat.”
“Akak tahu. Sebab tu akak duduk kat sini, sekurang-kurangnya diorang tak nampak airmata akak. Kalau tak, lemah lah semangat diorang,” suara Musfira mula tenang.
“Oh ya. Tadi ada orang cari akak,” Musliha cuba mengalih hala perbualan mereka.
“Cari akak? Siapa?”
“Dia kata, nama dia Eid.”
“Eid? Eidhar?” Musfira dapat mengagak gerangan lelaki bernama Eid itu.
“Ya lah kot. Dia tak beritahu Mus nama penuh dia. Tapi dia membahasakan diri dia Abang Eid,”
“Rumah sebelah tu?” Musfira cuba memastikan lagi.
“Haah. Siapa dia kak?” Musliha tahu, kakaknya kenal akan Abang Eid.
“Dia tu anak jiran Pak Lang. Dulu, dia selalu sangat bawak Mus main petang-petang.”
“Oh..tapi kenapa dia nak cari akak? Dia nampak macam baya akak je?”
“Entah. Mana lah akak tahu. Dia lebih tua,” Musfira hanya menjawab ringkas. Dia tidak mahu memanjangkan cerita berkaitan Eidhar. Biarlah episod lama berlalu. Tiada lagi siaran ulangan buat kisah yang sudah lama dilupakannya.
“Tua berapa tahun?”
“Mus berkenan kat dia ke?” senyuman Musfira meleret.
“Isy. Tak ada lah. Dia kan lagi tua dari akak. Kalau akak nak bagi kat Mus pun, Mus tadah je. Dia handsome lah kak,” Musliha cuba menyakat Musfira.
“Eh, kenapa riuh tu?” suara-suara di bahagian depan rumah itu menarik perhatian Musfira.
“Dah nak angkat kot? Maknanya Kak Ima dah sampai lah tu. Tadi diorang tunggu Kak Ima je,”
“Jom.” Musfira mencuit paha adiknya seraya melangkah ke bahagian depan rumah kampung itu.
Jenazah Pak Lang diangkat masuk ke dalam keranda. Hati Musliha sekali lagI dilanda sayu melihatkan tubuh itu masuk ke dalam keranda. Tiada lagi jasad itu di penglihatannya. Tubuh itu tidak mungkin didakapnya lagi. Imamah, anak kedua Pak Lang yang baru sampai ke rumah meraung akan pemergian bapanya. Sepuluh tahun mengabdikan diri di bumi Eropah telah mengusir ingatannya terhadap bapa tersayang. Puan Husna memeluk Imamah penuh kemas. Musliha segera meluru ke arah kakak saudaranya itu.
“Kak Ima, sabar. Bawak mengucap. Ingat Allah, ingat agama kita, Kak Ima.” Musliha cuba menenangkan Imamah semampu mungkin. Sebaik keranda diusung ke dalam van jenazah, raungan Imamah berhenti dan tubuhnya yang berada di dalam pelukan Puan Husna semakin lemah.
“Ima!” Puan Husna memanggil Imamah namun terlambat kerana Imamah sudah tidak menyedarkan dirinya.
Musliha hiba akan keadaan yang berlaku. Dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya pemergian yang dialami sepanjang hidupnya hingga kini masih tidak menggugat iman di dada. Aku bersyukur ke hadratMu, Ya Allah. Bisik hati kecilnya.


Makanan yang terhidang dijamah Syafik. Seleranya tidak tertumpu kepada juadah itu malah fokusnya juga tidak diberikan sepenuhnya ketika di dalam kelas tadi. Ingatannya tetap buat Musliha. Dia kini bimbang dengan keadaan Musliha. Syafik tidak betah melihat Musliha bersedih. Dia cuba menurut kehendak Musliha yang ingin diberikan masa namun Syafik sedar lebih banyak masa yang diberikan bermakna dia membenarkan hati Musliha menangis buat masa yang lama. Dia akur bukan senang untuk memujuk hati gadis kebal itu.
Kerisauan Nurul juga tidak kurangnya. Kekadang, airmata mengalir melihatkan rakan baiknya berkeadaan begitu. Tiada cara baginya untuk membawa Musliha kembali ke dirinya yang sebenar. Celoteh Musliha dirinduinya. Walaupun Nurul sedar akan tempatnya di hati Musliha tidaklah setinggi Yusuf sebagai kawan, namun dia turut resah dengan keadaan Musliha.
“Kau tak tanya dia ke?” Nurul hairan dengan cara Syafik. Pertanyaan Syafik baginya tidak relevan. Sepatutnya jika hati sudah berkenan, Syafik harus berani dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada seorang rakan yang lain.
“Kau nak suruh aku tanya apa?”
“Tanya je lah,” jawapan Syafik menyebabkan Nurul menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Tanya apa? Mus, agak-agak bila awak nak couple dengan Syafik? Macam tu?” bidas Nurul. Syafik pula sudah tersenyum meleret. Dia terasa geli hati dengan soalan yang Nurul rancang untuk ditanyakan kepada Musliha.
“Tak ada lah. Kau tanya dia, dia sayang aku ke tak?”
“Geli geleman aku nak sebut perkataan sayang tu. Kau tahu tak? Sebenarnya perasaan sayang ni, makin ditanya makin tidak,”
“Ya ke? Cuba kau tanya aku, sayang Mus ke tak. Aku akan jawab, ya, aku sayang. Dan bila aku jawab macam tu, aku jadi bertambah sayang kat dia tau,” kata-kata Syafik seolah-olah ada seekor lipan yang bergerak di atas batang tengkok Nurul pada ketika itu.
“Kau ni kenapa?” Syafik bertanya kerana hairan dengan geligut Nurul.
“Aku geli lah Syafik. Aku kalau bab-bab feel ni memang tak terbawa,”
“Eleh..tengoklah nanti kalau kau dah mula ada feel dekat mana-mana lelaki. Aku confirm, kau jadi lebih dari aku,”
“Aku tak nafikan, tapi kalau aku dah mula feel, aku simpan sorang je lah. Buat apa aku nak share dengan orang lain. Macam kau sekarang ni, seboleh-boleh nak bagitau aku kan? Kau tak rasa malu ke?”
“Aku bukan syok kat kau buat apa aku nak malu?”
“Lantak kau lah. Tapi kalau dalam hal Mus ni, aku rasa lebih baik kau tanya dia sendiri je lah. Kau tak payah nak guna aku sebagai orang tengah. Aku memang tak dapat nak tolong,” Nurul berterus terang sambil tangannya diangkat seolah-olah sedang menyerah diri kepada polis.
“Sikit pun tak boleh? “
Nurul menggeleng perlahan sambil mulutnya dilap menggunakan tisu yang tersedia. “Nope!”
“Kalau macam tu, aku ngurat kau je lah,” Syafik berkata sambil matanya dikenyitkan. Nurul pula sudah menjegilkan matanya.
“Tak ingin aku! Dah lah Syafik. Aku nak balik kolej dulu.” Nurul bangun dari tempat duduknya dan sekelip mata, Nurul sudah hilang dari penglihatan Syafik.
Syafik tersenyum meleret melihat cara Nurul yang sudah menggelabah malu. Dulu, Musliha juga selalu berceloteh persis Nurul tatkala diusik di depannya tetapi kini Musliha sudah jauh berubah. Masanya lebih banyak diluangkan kepada lamunan dan pelajaran sahaja. Panggilan telefon tidak lagi dijawab apatah lagi SMS. Syafik rindukan Musliha sesungguh-sungguhnya.


Musliha sedar akan kealpaannya kepada orang sekeliling yang setia memberi semangat kepadanya. Tiba-tiba dia teringatkan Syila yang sentiasa memberi sokongan moral kepadanya. Begitu juga dengan Nurul yang sentiasa di samping walaupun dia tidak pernah endah dengan apa yang dicelotehkan Nurul sejak kehilangan Yusuf. Pada satu hari ketika telefon bimbit Syafik yang dipinjamnya dipulangkan kembali, Syafik cuba untuk bergurau senda dengannya tetapi entah mengapa gurauan itu tidak difahaminya.
Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Matanya masih belum terasa mengantuk. Tika itu, yang lainnya sudah lena diulik mimpi. Lalu tangannya mencapai beg galas yang didalamnya ada komputer riba. Dia terpaksa membawa komputer riba bersama kerana bimbang kiranya komputer itu ditinggalkan di bilik. Niatnya ialah untuk menghantar e-mel kepada Yusuf. Namun jarinya terhenti tatkala mengingatkan diri sendiri tentang pemergian itu. Sebahagian dirinya menerima pemergian Yusuf namun sebahagian lagi mengatakan Yusuf masih ada. Musliha bingung.
Sebaik komputernya aktif, nama Hafizah yang berwarna hijau di dalam senarai Skype mengukir sebuah senyuman nipis di bibirnya.

+ Fiza...

Musliha menyapa Hafizah seperti biasa. Seminit menunggu, skrin masih kosong. Musliha mengerti, Hafizah masih memerlukan masa bersendiri.

- Ya, Mus. Awak apa khabar?

Senyuman Musliha melebar mendapat pesanan balas dari Hafizah. Dia sungguh rindu akan Hafizah.

+ Alhamdulillah, sihat. Awak?
-  Sihat jugak. Pak Lang awak macam mana?
+ Pak Lang baru je meninggal tengahari tadi.
-  Innalillah. Takziah, Mus. Banyak bersabar eh.
+ Fiza, bila awak nak balik? Kite perlukan awak. Kite dah tak ada tempat mengadu lagi. Kite dah tak ada sahabat. Yusuf dah tak ada, Fiza. Dah tak ada.
-  Mus, jangan sedih. Kalau awak sedih, kite beribu kali ganda sedih. Kite pun rindu awak. Kite perlukan kekuatan jugak. Sekarang ni, hanya tinggal kite berdua. Awak kena janji dengan kite, tak akan tinggalkan kite ya.

Dengan mata yang berlinangan, Musliha masih dapat membaca setiap bait perkataan di skrin komputernya.

+  Kalau macam tu, kenapa awak tak nak balik?
-  Kite nak sangat balik ke sana Mus, tapi sekarang ni kite tengah exam. Tinggal seminggu je lagi. Then, kite janji, kite akan selalu jumpa awak. Kite tak sempat pun nak minta maaf dengan Yusuf. Selama kitorang chatting, rasanya banyak jugak usikan kite yang mungkin boleh buat Yusuf terasa.
+ Jangan risau. Yusuf bukan jenis berdendam. Dia seorang pemaaf. Tak mungkin dia simpan perkara remeh dalam hati. Kalau awak tulus dengan dia, insyaallah, dia pun tulus dengan awak. Kite semua kan sahabat?
-  Mus. Kenapa awak membahasakan Yusuf dengan perkataan `dia’? Bukan ke sepatutnya `arwah’?

Musliha terdiam. Skrin dibiarkan kosong. Dia tidak tahu apa yang seharusnya dijawab kepada Hafizah. Musliha takut kalau-kalau Hafizah mungkin akan kecewa dengan caranya.

-  Mus..kite faham dengan perasaan awak. Awak masih tak dapat terima dengan ketiadaan Yusuf kan? Kite faham sebab kite pun sama. Masih dalam keadaan terkejut dengan pemergian Yusuf. Apa kata, nanti bila kite balik, kite bawak awak ke kubur Yusuf. Mungkin di situ kita sama-sama dapat terima dengan apa yang sebenarnya berlaku? Boleh?

Musliha masih menyepi. Dia masih belum bersedia untuk ke kubur Yusuf.

+ Awak tahu ke kubur Yusuf kat mana?
-  Auntie Ila kata kat mana? Dalam surat tu, dia bagitau awak tak?
+ Tak pulak. Ada lah tu hikmahnya. Mungkin Allah tahu yang kite berdua belum dapat terima pemergian Yusuf sepenuhnya. Kalau kita pergi lawat kubur Yusuf pun, tapi hati belum redha, kita hanya akan mengganggu ketenangan roh.

Ya, aku sedar. Aku sedang berbicara hal roh Yusuf. Detik hati Musliha.

-  Betul jugak tu. Satu hari, bila Auntie Ila dah balik, bolehlah kita ke kubur ya?
+ Ya. Mungkin pada masa tu, kita dah redha sepenuhnya.
-  Mus..thanks. You have helped me to accept the fact better. Honestly, I was crying non-stop. I miss all of them. I miss the old times that we have shared together. I miss my mom, my sister. I have no one to talk to accept you. Thanks a lot. Please don’t leave me like what they have done to us.
+ The same thanks goes to you. I felt the same, Fiza. Tambah pulak dengan pemergian Pak Lang. Memang kite rasa lemah. Hanya awak yang tinggal. Kite terlalu rindukan masa lalu. Berutus surat dengan awak, Daniel, Umi dan Yusuf. Dah lah. Let’s move on from the memory. Kita kena hidup di alam nyata. Kenal realiti. Should you need me, I want you to know that I am all ears for you, dear.
-  Awak buat kite menangis.
+ Hahaha..at least kite berjaya! Yeay!
-  Dah..dah..pergi tidur. Dah lewat kan?
+ Yup. Ok, bye. Thanks again for giving me such a smile here. Assalamualaikum
-  Waalaikumsalam.

Musliha pantas menyahaktifkan namanya di senarai Skype. Peti e-mel diperiksanya. Seperti biasa, pesanan balas dari Yusuf yang diharapkan. Kosong. Yang ada cuma e-mel berkaitan laman web Facebook nya. Sebuah pesanan baru dikarang buat Yusuf. Aktiviti harian dan segala berita penting disampaikan kepada Yusuf. Bukan sahaja tentang kematian Pak Lang, malah pertemuan semula dengan Abang Eid turut diceritakan kepada Yusuf.
Musliha tahu, pastinya e-mel itu tidak akan berbalas namun hanya itu caranya untuk mengurangkan ratapannya ke atas pemergian itu. Kini Musliha sedar. Dia masih punya keluarga yang memerlukan keceriannya. Dia juga punya Syila, Nurul dan Syafik sebagai ganti. Walaupun keakraban Musliha dengan Umi, Daniel dan Yusuf tiada tolok bandingnya, namun hak mereka sebagai kawan di sisi tidak harus disia-siakan.
Komputer ribanya ditutup dan diletakkan kembali ke dalam beg galas. Sebelum mata dipejam, telefon bimbitnya dicapai. Niat asalnya untuk menetapkan jam loceng terbantut apabila tiga pesanan ringkas dan empat panggilan tidak berjawab daripada orang yang sama diterima. Lantas Musliha menekan-nekan punat telefon itu untuk sekadar memberi khabar kepada si pemanggil.

Fik, sorry. Mus silent handphone and plus, my handphone was in my bag. Sorry sebab mengabaikan Fik dan Nurul buat masa yang lama. Mus okay kat sini. Dont worry. Goodnight. Sleep tight.

Setelah selesai menetapkan jam, telefon bimbit itu diletakkannya di bawah bantal seperti biasa. Sebaik matanya cuba dilelapkan, gegaran di bawah bantal mencelikkan matanya kembali.

Alhamdulillah. At last dapat jugak reply dari Mus. I miss you a lot. Jaga kesihatan. With your reply, I can really sleep tight. Mus dah ajar Fik cara untuk bersabar dengan baik. My prayers were for you, your greatest friend, and your best uncle. Goodnight to you too.

Syukurlah jika benar doa Syafik buat Yusuf dan Pak Lang tulus dari hati lelakinya. Ya, benar. Syafik sudah mula belajar untuk bersabar dengan apa yang terjadi. Jika dulu, dua panggilan tidak berjawab sudah cukup menaikkan darahnya tetapi kini, Syafik menjadi seorang yang lebih memahami dan bersabar. Musliha tersenyum nipis sambil matanya dilelapkan. Dengan keredhaan di hati, Musliha mula tenang ibarat lautan yang reda dari gelora ombaknya.

1 comment:

  1. Nampak gaye cam end dia ngan Syafik jew..x best r gitew! tp kalo Syafik brubh tape kowt..

    ReplyDelete